Bantuan Pengkajian
Samuel, Nabi Perjanjian Lama


Samuel, Nabi Perjanjian Lama

Anak lelaki Elkana dan Hana, Samuel lahir sebagai jawapan atas doa-doa ibunya (1 Sam. 1). Sewaktu kanak-kanak dia ditempatkan dalam pengurusan Eli, imam tinggi pada khemah suci di Silo (1 Sam. 2:11; 3:1). Tuhan memanggil Samuel pada usia muda untuk menjadi nabi (1 Sam. 3). Setelah kematian Eli, Samuel menjadi nabi dan hakim Israel yang besar serta memulihkan hukum, tatatertib, dan ibadat keagamaan yang teratur di negeri itu (1 Sam. 4:15–18; 7:3–17).

1 Samuel 28:5–20 mengandungi sebuah laporan tentang Samuel dibawa kembali dari yang mati oleh penyihir wanita di En-Dor atas permintaan Raja Saul. Ini tidaklah mungkin suatu penglihatan dari Tuhan, kerana penyihir wanita atau perantaraan rohani lain tidak dapat mengaruhi seorang nabi untuk menampakkan diri atas permintaannya.

Kitab Samuel yang Pertama dan Kedua

Dalam beberapa macam Alkitab, kitab 1 dan 2 Samuel adalah satu kitab. Di dalam yang lainnya itu adalah dua kitab. Kitab-kitab tersebut meliputi tempoh masa kira-kira 130 tahun, dari kelahiran Samuel sampai tepat sebelum kematian Raja Daud.

Kitab Samuel yang Pertama

Bab 1–4 menghuraikan bahawa Tuhan mengutuk dan menghukum keluarga Eli serta memanggil Samuel sebagai imam tinggi dan hakim. Bab 4–6 menceritakan bagaimana tabut perjanjian jatuh ke dalam tangan orang-orang Filistin. Bab 7–8 mencatat peringatan Samuel tentang memiliki tuhan palsu dan raja yang jahat. Bab 9–15 menghuraikan pertabalan Saul dan masa pemerintahannya sebagai raja. Bab 16–31 menceritakan sejarah Daud dan perolehan kekuasaan olehnya—Samuel menyapu minyak kepada Daud yang telah menewaskan Goliat. Saul membenci Daud, tetapi Daud menolak untuk membunuh Saul walaupun dia memiliki kesempatan untuk melakukannya.

Kitab Samuel yang Kedua

Kitab ini mengandungi rincian tentang masa pemerintahan Daud sebagai raja Yehuda dan akhirnya seluruh Israel. Bab 1–4 memperlihatkan perjuangan panjang antara pengikut Daud, setelah dia ditabalkan atas Yehuda, dan pengikut Saul. Bab 5–10 memperlihatkan Daud menjadi sangat berkuasa di banyak negeri. Bab 11–21 memperlihatkan kemunduran kekuatan rohani Daud kerana dosa-dosanya dan pemberontakan dalam keluarganya sendiri. Bab 22–24 menghuraikan usaha Daud untuk membuat pendamaian dengan Tuhan.

Cetak