Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 84


Bahagian 84

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, 22 dan 23 September 1832. Semasa bulan September, para penatua telah mula kembali dari misi mereka di negeri-negeri sebelah timur dan membuat laporan tentang pekerjaan mereka. Ianya adalah semasa mereka berada bersama dalam masa yang gembira ini komunikasi yang berikutnya telah diterima. Nabi telah menggelarkannya sebagai sebuah wahyu tentang imamat.

1–5, Yerusalem Baru dan bait suci akan dibangunkan di Missouri; 6–17, Jalinan keimamatan dari Musa ke Adam diberikan; 18–25, Imamat yang lebih tinggi memegang kunci pengetahuan Tuhan; 26–32, Imamat yang lebih rendah memegang kunci pelayanan para malaikat dan persediaan Injil; 33–44, Manusia memperoleh kehidupan kekal melalui sumpah dan perjanjian imamat; 45–53, Roh Kristus menerangi manusia, dan dunia berada dalam dosa; 54–61, Para Orang Suci mesti bersaksi tentang hal-hal yang telah mereka terima; 62–76, Mereka mesti mengkhutbahkan Injil, dan tanda-tanda akan menyusuli; 77–91, Para penatua pergi tanpa dompet atau tas, dan Tuhan akan menguruskan keperluan mereka; 92–97, Wabak dan kutukan menunggu mereka yang menolak Injil; 98–102, Lagu baru penebusan Sion diberikan; 103–110, Biarlah setiap orang berdiri pada jawatannya sendiri dan bekerja pada pemanggilannya sendiri; 111–120, Para hamba Tuhan harus memaklumkan kekejian pemusnahan di zaman akhir.

1 Sebuah wahyu Yesus Kristus kepada hamba-Nya Joseph Smith Jr. dan enam orang penatua, ketika mereka menyatukan hati mereka dan mengangkat suara mereka ke syurga.

2 Ya, firman Tuhan mengenai gereja-Nya, ditubuhkan pada zaman akhir untuk pemulihan umat-Nya, sebagaimana Dia telah firmankan melalui mulut para nabi-Nya, dan untuk pengumpulan para orang suci-Nya untuk berdiri di atas Gunung Sion, yang akan menjadi kota Yerusalem Baru.

3 Yang mana kota itu akan dibina, bermula di bidang tanah bait suci, yang ditetapkan oleh jari Tuhan, di sempadan sebelah barat Negeri Missouri, dan didedikasikan oleh tangan Joseph Smith Jr. dan yang lain-lain iaitu mereka yang Tuhan sangat berkenan.

4 Sesungguhnya inilah firman Tuhan, agar Kota Yerusalem Baru harus dibina melalui pengumpulan para orang suci, bermula di tempat ini, bahkan di tempat bait suci, yang mana bait suci itu akan dibina dalam generasi ini.

5 Kerana sesungguhnya generasi ini tidak akan berlalu semuanya sehinggalah sebuah rumah akan dibina bagi Tuhan, dan segumpal awan akan tinggal di atasnya, yang mana awan itu akan menjadi bahkan kemuliaan Tuhan, yang akan memenuhi rumah itu.

6 Dan anak-anak lelaki Musa, menurut Imamat Kudus yang dia terima dari tangan ayah mertuanya, Yitro;

7 Dan Yitro menerimanya dari tangan Kaleb;

8 Dan Kaleb menerimanya dari tangan Elihu;

9 Dan Elihu dari tangan Yeremias;

10 Dan Yeremias dari tangan Gad;

11 Dan Gad di dari tangan Esayas;

12 Dan Esayas menerimanya dari tangan Tuhan.

13 Esayas juga hidup pada masa Abraham, dan diberkati oleh dia—

14 Yang mana Abraham itu telah menerima imamat dari Melkisedek, yang telah menerimanya melalui garis keturunan nenek moyangnya, bahkan sehingga Nuh;

15 Dan dari Nuh sehingga Henokh, melalui garis keturunan nenek moyang mereka;

16 Dan dari Henokh sehinggalah Habel, yang telah dibunuh melalui pakatan jahat abangnya, yang menerima imamat melalui perintah-perintah Tuhan, melalui tangan bapanya, Adam, yang merupakan manusia pertama—

17 Yang mana imamat itu diteruskan di dalam gereja Tuhan dalam semua generasi, dan adalah tanpa permulaan hari ataupun penghujung tahun.

18 Dan Tuhan menetapkan imamat juga kepada Harun dan benih keturunannya, sepanjang seluruh generasi mereka, yang mana imamat itu juga berterusan dan tinggal selamanya bersama imamat yang adalah menurut tarekat Tuhan yang paling kudus.

19 Dan imamat yang lebih tinggi ini melaksanakan Injil dan memegang kunci misteri-misteri kerajaan, bahkan kunci pengetahuan Tuhan.

20 Oleh kerana itu, di dalam tatacara-tatacaranya, kuasa ketuhanan dinyatakan.

21 Dan tanpa tatacara-tatacaranya, dan wewenang imamat, kuasa ketuhanan tidak dinyatakan kepada manusia dalam keadaan daging;

22 Kerana tanpanya tiada seorang pun dapat melihat muka Tuhan, bahkan Bapa, dan hidup.

23 Sekarang, ini Musa dengan jelasnya mengajarkan kepada anak-anak Israel di padang belantara, dan berusaha dengan tekun untuk menguduskan umatnya agar mereka boleh melihat muka Tuhan;

24 Tetapi mereka mengeraskan hati mereka dan tidak dapat bertahan di dalam hadirat-Nya; oleh kerana itu, Tuhan dalam kemurkaan-Nya, kerana kemarahan-Nya menyala terhadap mereka, bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Nya semasa di padang belantara, yang mana peristirahatan itu adalah kegenapan kemuliaan-Nya.

25 Oleh kerana itu, Dia mengambil Musa dari tengah-tengah mereka, dan juga Imamat Kudus;

26 Dan imamat yang lebih rendah diteruskan, yang mana imamat itu memegang kunci pelayanan para malaikat dan persediaan Injil;

27 Yang mana Injil itu adalah Injil pertaubatan dan pembaptisan, dan pengampunan dosa-dosa, dan hukum perintah-perintah badaniah, yang mana Tuhan dalam kemurkaan-Nya menyebabkannya untuk diteruskan bersama bani Harun di kalangan anak-anak Israel sehingga Yohanes, yang Tuhan datangkan, dipenuhi dengan Roh Kudus dari rahim ibunya.

28 Kerana dia telah dibaptiskan semasa dia masih di dalam zaman kanak-kanaknya, dan telah ditahbiskan oleh malaikat Tuhan pada waktu dia berumur lapan hari pada kuasa ini, untuk menumbangkan kerajaan bangsa Yahudi, dan untuk meluruskan jalan Tuhan di hadapan umat-Nya, untuk menyediakan mereka untuk kedatangan Tuhan, yang di dalam tangan-Nya diberikan segala kuasa.

29 Dan lagi, jawatan penatua dan uskup adalah tambahan yang perlu yang termasuk dalam imamat tinggi.

30 Dan lagi, jabatan pengajar dan diaken adalah tambahan yang perlu yang termasuk dalam imamat yang lebih rendah, yang mana imamat itu dtetapkan kepada Harun dan anak-anak lelakinya.

31 Oleh kerana itu, seperti yang Aku firmankan mengenai anak-anak lelaki Musa—kerana anak-anak lelaki Musa dan juga anak-anak lelaki Harun akan mempersembahkan suatu persembahan dan korban yang dapat diterima di dalam rumah Tuhan, yang mana rumah itu akan dibina bagi Tuhan dalam generasi ini, di atas bidang tanah yang telah dibaktikan seperti yang telah Aku tetapkan—

32 Dan anak-anak lelaki Musa dan Harun akan dipenuhi dengan kemuliaan Tuhan, di atas Gunung Sion di dalam rumah Tuhan, kamulah anak-anak lelaki mereka; dan juga banyak yang telah Aku panggil dan utuskan untuk membangunkan gereja-Ku.

33 Kerana barang siapa yang setia untuk menerima dua imamat ini yang telah Aku firmankan tentangnya, dan meningkatkan pemanggilan mereka, dikuduskan oleh Roh bagi memperbaharui tubuh mereka.

34 Mereka menjadi anak-anak lelaki Musa dan Harun dan benih keturunan Abraham, dan gereja dan kerajaan, dan umat pilihan Tuhan.

35 Dan juga mereka semua yang menerima imamat ini menerima-Ku, firman Tuhan;

36 Kerana dia yang menerima para hamba-Ku menerima-Ku;

37 Dan dia yang menerima-Ku menerima Bapa-Ku;

38 Dan dia yang menerima Bapa-Ku menerima kerajaan Bapa-Ku; oleh kerana itu segala yang Bapa-Ku miliki akan diberikan kepadanya.

39 Dan ini adalah menurut sumpah dan perjanjian yang termasuk dalam imamat itu.

40 Oleh kerana itu, mereka semua yang menerima imamat, menerima sumpah dan perjanjian Bapa-Ku ini, yang tidak boleh dia langgari, tidak juga ianya boleh dipindahkan.

41 Tetapi barang siapa melanggar perjanjian ini setelah dia menerimanya, dan berpaling sepenuhnya daripadanya, tidak akan memperoleh pengampunan dosa di dunia ini dan juga di dunia yang akan datang.

42 Dan celakalah mereka semua yang tidak datang pada imamat ini yang telah kamu terima, yang Aku sekarang tetapkan ke atas dirimu yang hadir pada hari ini, melalui suara-Ku sendiri dari syurga; dan bahkan telah Aku berikan bala tentera syurgawi dan para malaikat-Ku untuk bertanggungjawab terhadap kamu.

43 Dan Aku sekarang memberi kepadamu sebuah perintah untuk berhati-hati tentang dirimu sendiri, untuk tekun mengendahkan firman tentang kehidupan kekal.

44 Kerana kamu harus hidup dengan setiap firman yang keluar dari mulut Tuhan.

45 Kerana firman Tuhan adalah kebenaran, dan apa pun yang merupakan kebenaran adalah cahaya, dan apa pun yang terang adalah Roh, bahkan Roh Yesus Kristus.

46 Dan Roh memberikan cahaya kepada setiap orang yang datang ke dunia; dan Roh menerangi setiap orang di seluruh dunia, yang mendengar suara Roh.

47 Dan setiap orang yang mendengar suara Roh datang kepada Tuhan, bahkan Bapa.

48 Dan Bapa mengajarnya tentang perjanjian yang telah Dia perbaharui dan tetapkan ke atas dirimu, yang ditetapkan ke atas dirimu untuk kepentinganmu, dan bukan untuk kepentinganmu saja, tetapi untuk seluruh dunia.

49 Dan seluruh dunia berada dalam dosa, dan merintih di dalam kegelapan dan di dalam belenggu dosa.

50 Dan dengan ini kamu boleh mengetahui mereka berada di dalam belenggu dosa, kerana mereka tidak datang kepada-Ku.

51 Kerana barang siapa tidak datang kepada-Ku berada di dalam belenggu dosa.

52 Dan barang siapa tidak menerima suara-Ku tidak mengenali suara-Ku, dan bukanlah daripada-Ku.

53 Dan dengan ini kamu boleh mengetahui yang soleh dari yang jahat, dan bahawa seluruh dunia merintih di dalam dosa dan kegelapan bahkan sekarang.

54 Dan fikiranmu pada waktu-waktu yang lalu telah digelapkan disebabkan ketidakpercayaan, dan kerana kamu telah memandang remeh hal-hal yang telah kamu terima—

55 Yang mana kesombongan dan ketidakpercayaan telah membawa seluruh gereja ke dalam penghukuman.

56 Dan penghukuman ini berada di atas anak-anak Sion, bahkan kesemuanya.

57 Dan mereka akan tetap berada di dalam penghukuman ini sehingga mereka bertaubat dan mengingati perjanjian yang baru, bahkan Kitab Mormon dan perintah-perintah terdahulu yang telah Aku berikan kepada mereka, bukan hanya untuk mengatakannya, tetapi untuk melakukannya menurut apa yang telah Aku tuliskan—

58 Agar mereka boleh menghasilkan buah yang layak untuk kerajaan Bapa mereka; jika tidak akan tetap ada pencambukan dan penghakiman untuk dicurahkan ke atas anak-anak Sion.

59 Kerana adakah anak-anak kerajaan akan mencemari tanah kudus-Ku? Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Tidak.

60 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu yang sekarang mendengar firman-Ku, yang merupakan suara-Ku, diberkatilah kamu sejauh kamu menerima hal-hal ini;

61 Kerana Aku akan mengampunimu dari dosa-dosamu dengan perintah ini—agar kamu tetap tabah dalam fikiranmu dalam kekhusyukan dan roh doa, dalam memberikan kesaksian kepada seluruh dunia tentang hal-hal itu yang telah disampaikan kepadamu.

62 Oleh kerana itu, pergilah kamu ke seluruh dunia; dan ke mana pun tempat yang kamu tidak dapat pergi kamu haruslah ke sana, agar kesaksian itu boleh pergi daripada dirimu ke seluruh dunia kepada setiap makhluk.

63 Dan seperti yang Aku firmankan kepada para rasul-Ku, demikian juga Aku berfirman kepadamu, kerana kamu adalah para rasul-Ku, bahkan imam tinggi Tuhan; kamu adalah mereka yang telah Bapa-Ku berikan kepada-Ku; kamu adalah teman-teman-Ku;

64 Oleh kerana itu, seperti yang Aku firmankan kepada para rasul-Ku Aku berfirman kepadamu lagi, bahawa setiap jiwa yang percaya pada perkataanmu, dan dibaptiskan dengan air untuk pengampunan dosa-dosa, akan menerima Roh Kudus.

65 Dan tanda-tanda ini akan mengikuti mereka yang percaya—

66 Dalam nama-Ku mereka akan melakukan banyak pekerjaan yang menakjubkan;

67 Dalam nama-Ku mereka akan mengusir iblis;

68 Dalam nama-Ku mereka akan menyembuhkan yang sakit;

69 Dalam nama-Ku mereka akan membuka mata orang yang buta, dan menyembuhkan telinga orang yang tuli;

70 Dan lidah orang yang bisu akan berbicara;

71 Dan jika sesiapa pun yang akan memberikan racun kepada mereka ia tidak akan menyakiti mereka;

72 Dan racun seekor ular tidak akan memiliki kuasa untuk membahayakan mereka.

73 Tetapi sebuah perintah Aku berikan kepada mereka, agar mereka tidak akan bermegah akan diri mereka tentang hal-hal ini, tidak juga membicarakannya di hadapan dunia; kerana hal-hal ini diberikan kepadamu untuk keuntunganmu dan untuk keselamatan.

74 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, mereka yang tidak percaya pada perkataanmu, dan tidak dibaptiskan di dalam air dalam nama-Ku, untuk pengampunan dosa-dosa mereka, agar mereka boleh menerima Roh Kudus, akan dilaknati, dan tidak akan datang ke dalam kerajaan Bapa-Ku di mana Bapa-Ku dan Aku berada.

75 Dan wahyu ini kepadamu, dan perintah, berkuatkuasa tepat dari waktu ini ke atas seluruh dunia, dan Injil adalah bagi semua yang belum menerimanya.

76 Tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepada mereka semua kepada mereka kerajaan telah diberikan—daripada kamu ianya mesti dikhutbahkan kepada mereka, agar mereka akan bertaubat dari pekerjaan jahat mereka yang terdahulu; kerana mereka mesti ditegur kerana hati ketidakpercayaan mereka yang jahat, dan saudara-saudaramu di Sion kerana pemberontakan mereka terhadapmu pada waktu Aku mengutusmu.

77 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, kerana sejak dari sekarang Aku akan memanggilmu teman, adalah perlu bahawa Aku memberi kepadamu perintah ini, agar kamu menjadi bahkan seperti teman-Ku pada masa ketika Aku bersama mereka, melakukan perjalanan untuk mengkhutbahkan Injil dalam kuasa-Ku;

78 Kerana Aku tidak membiarkan mereka untuk memiliki dompet atau tas, tidak juga dua helai baju.

79 Lihatlah, Aku mengutusmu keluar untuk menguji dunia, dan pekerja layak menerima upahnya.

80 Dan sesiapa pun yang akan pergi dan mengkhutbahkan Injil kerajaan ini, dan tidak gagal untuk terus setia dalam segala hal, tidak akan letih dalam fikiran, tidak juga digelapkan, tidak juga dalam tubuh, tulang sendi; dan sehelai rambut kepalanya tidak akan jatuh ke tanah tanpa diketahui. Dan mereka tidak akan lapar, tidak juga dahaga.

81 Oleh kerana itu, janganlah kamu memikirkan tentang keesokan hari, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau dengan apa kamu akan berpakaian.

82 Kerana, perhatikanlah bunga teratai di ladang, bagaimana ia tumbuh, tidak membanting tulang, tidak juga menenun; dan kerajaan-kerajaan dunia, dalam segala kemuliaannya, tidak seindah seperti salah satunya ini.

83 Kerana Bapamu, yang berada di dalam syurga, mengetahui bahawa kamu memerlukan hal-hal ini.

84 Oleh kerana itu, biarlah hari esok memikirkan tentang halnya sendiri.

85 Jangan juga kamu memikirkan apa yang harus kamu katakan sebelumnya; tetapi simpanlah baik-baik dalam fikiranmu secara berterusan firman kehidupan, dan akan diberikan kepadamu pada jam yang tepat bahagian itu yang akan dibagikan kepada setiap orang.

86 Oleh kerana itu, janganlah biarkan seorang pun di antara kamu, kerana perintah ini adalah bagi semua yang setia yang dipanggil oleh Tuhan di dalam gereja pada pelayanan, dari saat ini mengambil dompet atau tas, yang pergi untuk memaklumkan Injil kerajaan ini.

87 Lihatlah, Aku mengutusmu keluar untuk menegur dunia tentang semua perbuatan mereka yang tidak soleh, dan untuk mengajarkan mereka tentang penghakiman yang akan datang.

88 Dan barang siapa menerimamu, di sana Aku akan berada juga, kerana Aku akan pergi di hadapan mukamu. Aku akan berada di kanan dan kirimu, dan Roh-Ku akan berada dalam hatimu, dan para malaikat-Ku di sekelilingmu, untuk menyokongmu.

89 Barang siapa menerimamu menerima-Ku; dan orang yang sama akan memberimu makan, dan mengenakan pakaian kepadamu, dan memberimu wang.

90 Dan dia yang memberimu makan, atau mengenakan pakaian kepadamu, atau memberimu wang, walau bagaimanapun tidak akan kehilangan ganjarannya.

91 Dan dia yang tidak melakukan hal-hal ini bukanlah pengikut-Ku; dengan ini kamu boleh mengenali para pengikut-Ku.

92 Dia yang tidak menerimamu, pergilah daripadanya seorang diri saja, dan bersihkanlah kakimu bahkan dengan air, air yang murni, sama ada di dalam panas atau sejuk, dan berikanlah kesaksian terhadapnya kepada Bapamu yang berada di dalam syurga, dan janganlah kembali lagi kepada orang itu.

93 Dan di desa atau kota mana pun yang kamu masuki, lakukanlah sedemikian juga.

94 Walaupun demikian, carilah dengan tekun dan janganlah menahan diri; dan celakalah rumah itu, atau desa atau kota itu yang menolakmu, atau perkataanmu, atau kesaksianmu mengenai Aku.

95 Celakalah, Aku berfirman lagi, pada rumah itu, atau desa atau kota itu yang menolakmu, atau perkataanmu, atau kesaksianmu mengenai Aku;

96 Kerana Aku, Yang Maha Kuasa, telah meletakkan tangan-Ku ke atas bangsa-bangsa, untuk mencambuk mereka kerana kejahatan mereka.

97 Dan wabak akan menular, dan tidak akan diambil dari bumi sehingga Aku telah menyelesaikan pekerjaan-Ku, yang akan disingkatkan dalam kebenaran—

98 Sehingga semua akan mengenali-Ku, yang tetap tinggal, bahkan dari yang terkecil sehinggalah yang terbesar, dan akan dipenuhi dengan pengetahuan tentang Tuhan, dan akan melihat dengan mata kepala sendiri, dan akan mengangkat suara mereka, dan dengan suara bersama menyanyikan lagu baru ini, mengatakan:

99 Tuhan telah membawa Sion kembali;Tuhan telah menebus umat-Nya, Israel,Menurut pemilihan rahmat,Yang telah dilaksanakan dengan imanDan perjanjian nenek moyang mereka.

100 Tuhan telah menebus umat-Nya;Dan Setan diikat dan waktunya tidak ada lagi.Tuhan telah mengumpulkan segala hal menjadi satu.Tuhan telah membawa Sion turun dari atas.Tuhan telah membawa Sion naik dari bawah.

101 Bumi telah melahirkan dan menunjukkan kekuatannya;Dan kebenaran ditegakkan dalam sanubarinya;Dan syurga tersenyum kepadanya;Dan dia dikenakan kemuliaan Tuhannya;Kerana Dia berdiri di tengah-tengah umat-Nya.

102 Kemuliaan, dan kehormatan, dan kuasa, dan daya,Diberikan kepada Tuhan kita; kerana Dia penuh dengan belas kasihan,Keadilan, kerahmatan dan kebenaran, dan kedamaian,Selama-lamanya, Amin.

103 Dan lagi, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, adalah perlu bahawa setiap orang yang pergi untuk memaklumkan Injil kekal-Ku, bahawa sejauh mereka memiliki keluarga, dan menerima wang sebagai pemberian, bahawa mereka haruslah mengirimkannya kepada mereka atau menggunakannya demi manfaat mereka, sebagaimana Tuhan akan arahkan mereka, kerana demikianlah kelihatannya baik bagi-Ku.

104 Dan biarlah mereka semua yang tidak memiliki keluarga, yang menerima wang, mengirimkannya kepada uskup di Sion, atau kepada uskup di Ohio, agar boleh dibaktikan untuk membawakan wahyu-wahyu dan pencetakannya, dan untuk menegakkan Sion.

105 Dan jika sesiapa pun akan memberikan kepada sesiapa pun daripadamu sehelai jubah, atau sehelai baju, ambillah yang lama dan berikanlah ia kepada yang miskin, dan pergilah dengan bersukacita.

106 Dan jika sesiapa pun di antara kamu kuat di dalam Roh, biarlah dia mengambil bersamanya dia yang lemah, agar dia boleh diteguhkan dalam segala kelembutan hati, agar dia boleh menjadi kuat juga.

107 Oleh kerana itu, ambillah bersamamu mereka yang ditahbiskan pada imamat yang lebih rendah, dan utuslah mereka sebelum kamu untuk membuat temu janji, dan untuk menyediakan jalan, dan untuk memenuhi janji yang kamu sendiri tidak mampu penuhi.

108 Lihatlah, inilah cara bagaimana para rasul-Ku, pada zaman dahulu, membangunkan gereja-Ku bagi-Ku.

109 Oleh kerana itu, biarlah setiap orang berdiri pada jawatannya sendiri, dan bekerja pada pemanggilannya sendiri; dan janganlah biarkan kepala berkata kepada kaki bahawa ia tidak memerlukan kaki; kerana tanpa kaki bagaimana tubuh akan mampu berdiri?

110 Juga tubuh memerlukan setiap anggota, agar semuanya boleh diteguhkan bersama, agar sistemnya boleh dikekalkan sempurna.

111 Dan lihatlah, imam tinggi harus melakukan perjalanan, dan juga para penatua, dan juga imam yang lebih rendah; tetapi diaken dan pengajar haruslah ditetapkan untuk mengawasi gereja, untuk menjadi pelayan rohani yang tetap bagi gereja.

112 Dan uskup, Newel K. Whitney, juga harus melakukan perjalanan ke sekitarnya dan ke kalangan semua jemaah gereja, mencari yang miskin untuk melayani keinginan mereka dengan merendahkan hati yang kaya dan yang sombong.

113 Dia juga harus menggaji seorang wakil untuk bertanggungjawab dan melakukan urusan duniawinya sebagaimana yang dia akan arahkan.

114 Walaupun demikian, biarlah uskup pergi ke Kota New York, juga ke Kota Albany, dan juga ke Kota Boston, dan memperingatkan orang-orang di kota-kota itu dengan suara Injil, dengan suara kuat, tentang kemusnahan dan penghapusan menyeluruh yang menunggu mereka jika mereka menolak hal-hal ini.

115 Kerana jika mereka menolak hal-hal ini masa penghakiman mereka sudah dekat, dan rumah mereka akan ditinggalkan musnah terlantar.

116 Biarlah dia percaya kepada-Ku dan dia tidak dikelirukan; dan sehelai rambut dari kepalanya tidak akan jatuh ke tanah tanpa diketahui.

117 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dari para hamba-Ku yang selebihnya, pergilah kamu sebagaimana keadaanmu mengizinkan, dalam beberapa pemanggilanmu, ke kota-kota dan desa-desa yang besar dan terkenal, menegur dunia dalam kesolehan tentang segala perbuatan mereka yang tidak soleh dan fasiq, menyatakan dengan jelas dan dengan pengertian pemusnahan kekejian pada zaman akhir.

118 Kerana, bersamamu firman Tuhan Yang Maha Kuasa, Aku akan mengoyakkan kerajaan-kerajaan mereka; Aku bukan sahaja akan menggoncangkan tanah, tetapi langit yang berbintang akan bergetar.

119 Kerana Aku, Tuhan, telah menghulurkan tangan-Ku untuk mengerahkan kuasa syurga; kamu tidak dapat melihatnya sekarang, tetapi tidak lama lagi dan kamu akan melihatnya, dan mengetahui bahawa Aku ada, dan bahawa Aku akan datang dan memerintah bersama umat-Ku.

120 Aku adalah Alfa dan Omega, yang awal dan yang akhir. Amin.