Bahagian 29
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di dalam hadirat enam orang penatua, di Fayette, New York, September 1830. Wahyu ini diberikan beberapa hari sebelum persidangan, bermula pada tarikh 26Â September 1830.
1–8, Kristus mengumpulkan umat pilihan-Nya; 9–11, Kedatangan-Nya membawakan Zaman Seribu Tahun; 12–13, Dua Belas Rasul akan menghakimi seluruh Israel; 14–21, Tanda, wabak, dan kemusnahan akan mendahului Kedatangan Kedua; 22–28, Kebangkitan terakhir dan penghakiman akhir menyusuli Zaman Seribu Tahun; 29–35, Segala sesuatu adalah rohani bagi Tuhan; 36–39, Iblis dan bala tenteranya dicampak keluar dari syurga untuk menggoda manusia; 40–45, Kejatuhan dan Korban Tebusan membawa keselamatan; 46–50, Anak-anak kecil ditebus melalui Korban Tebusan.
1 Dengarkanlah suara Yesus Kristus, Penebusmu, Aku Yang Agung, lengan belas kasihan-Nya telah menebus dosa-dosamu.
2 Yang akan mengumpulkan umat-Nya bahkan bagaikan seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya, bahkan seberapa banyak yang akan mendengar suara-Ku dan merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan meminta kepada-Ku dalam doa yang membara.
3 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa pada waktu ini dosa-dosamu diampuni bagimu, oleh kerana itu kamu menerima hal-hal ini; tetapi ingatlah untuk tidak lagi berdosa, agar jangan bahaya datang ke atas dirimu.
4 Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu bahawa kamu dipilih dari dunia untuk memaklumkan Injil-Ku dengan suara kesukacitaan, bagaikan dengan bunyi sangkakala.
5 Angkatlah hatimu dan bergembiralah, kerana Aku berada di tengah-tengahmu, dan Aku adalah pembelamu dengan Bapa; dan ia adalah kemahuan-Nya yang baik untuk memberimu kerajaan itu.
6 Dan, seperti yang tertulis—Apa pun yang akan kamu minta dalam iman, dipersatukan dalam doa menurut perintah-Ku, akan kamu terima.
7 Dan kamu dipanggil untuk mendatangkan pengumpulan umat pilihan-Ku; kerana umat pilihan-Ku mendengar suara-Ku dan tidak mengeraskan hati mereka;
8 Kerana itu perintah telah tersebar luas daripada Bapa bahawa mereka akan dikumpulkan di satu tempat di permukaan tanah ini, untuk menyediakan hati mereka dan bersedia dalam segala hal menghadapi hari itu apabila kesengsaraan dan kemusnahan dihantar kepada yang jahat.
9 Kerana masanya sudah dekat dan harinya akan segera tiba apabila bumi sudah matang; dan semua yang sombong dan mereka yang melakukan kejahatan akan menjadi bagaikan tunggul jerami; dan Aku akan membakar mereka, firman Tuhan Semesta Alam, agar kejahatan tidak akan berada di atas bumi;
10 Kerana masanya sudah dekat, dan apa yang diucapkan oleh para rasul-Ku mesti digenapi; kerana seperti yang mereka ucapkan demikianlah akan terjadi;
11 Kerana Aku akan menunjukkan diri-Ku dari syurga dengan kuasa dan kemuliaan yang besar, dengan seluruh bala tentera di sana, dan tinggal dalam kebenaran bersama manusia di atas bumi selama seribu tahun, dan yang jahat tidak akan bertahan.
12 Dan lagi, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, dan ia telah tersebar luas dalam sebuah perintah yang teguh, melalui kehendak Bapa, bahawa para rasul-Ku, Dua Belas yang bersama-Ku dalam pelayanan-Ku di Yerusalem, akan berdiri di sisi tangan kanan-Ku pada hari kedatangan-Ku dalam sebuah tiang api, berpakaian jubah kebenaran, dengan mahkota di atas kepala mereka, dalam kemuliaan bahkan seperti Aku, untuk menghakimi seluruh bani Israel, bahkan seberapa banyak yang telah mengasihi-Ku dan mentaati perintah-perintah-Ku, dan tiada yang lain.
13 Kerana sebuah sangkakala akan berbunyi dengan panjang dan nyaring, bahkan seperti di atas Gunung Sinai, dan seluruh bumi akan bergoncang, dan mereka akan datang—ya, bahkan orang mati yang mati di dalam Aku, untuk menerima mahkota kebenaran, dan dikenakan pakaian ke atas mereka, bahkan seperti Aku, untuk berada bersama-Ku, agar kami boleh menjadi satu.
14 Tetapi, lihatlah, Aku berfirman kepadamu sebelum hari yang besar ini akan datang matahari akan digelapkan, dan bulan akan berubah menjadi darah, dan bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan akan ada tanda-tanda yang lebih besar di langit di atas dan di bumi di bawah;
15 Dan akan ada tangisan dan ratapan di kalangan banyak orang;
16 Dan akan ada hujan batu yang dashyat dihantar untuk menghancurkan hasil-hasil tuaian bumi.
17 Dan akan terjadilah, kerana kejahatan dunia, bahawa Aku akan melakukan pembalasan terhadap yang jahat, kerana mereka tidak mahu bertaubat; kerana cawan kemarahan-Ku sudah penuh; kerana lihatlah, darah-Ku tidak akan membersihkan mereka jika mereka tidak mendengar-Ku.
18 Kerana itu, Aku Tuhan Raja akan menghantar banyak lalat ke atas permukaan bumi, yang akan melanda penduduknya, dan akan memakan daging mereka, dan akan menyebabkan ulat-ulat datang ke atas mereka;
19 Dan lidah mereka akan dikelukan agar mereka tidak akan bersuara menentang-Ku; dan daging mereka akan jatuh terlepas dari tulang-tulang mereka, dan mata mereka dari rongganya;
20 Dan akan terjadilah bahawa binatang buas di hutan dan burung di udara akan melahap mereka.
21 Dan gereja yang besar dan keji itu, yang merupakan pelacur di seluruh bumi, akan dicampakkan dengan api pelahap, seperti yang diucapkan oleh mulut Yehezkiel si nabi, yang berbicara tentang hal-hal ini, yang belum terjadi tetapi semestinya akan terjadi, seperti mana Aku hidup, kerana kekejian tidak akan berkuasa.
22 Dan lagi, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu bahawa apabila zaman seribu tahun berakhir, dan manusia mula menyangkal Tuhan mereka kembali, kemudian Aku akan melepaskan bumi tetapi untuk suatu masa yang singkat;
23 Dan pengakhiran itu akan datang, dan langit dan bumi akan dilenyapkan dan berlalu, dan akan terdapat langit yang baru dan sebuah bumi yang baru.
24 Kerana semua hal yang lama akan berlalu, dan semua hal akan menjadi baru, bahkan langit dan bumi, dan seluruh kegenapannya, baik manusia mahupun binatang buas, burung-burung di udara, dan ikan di laut;
25 Dan tiada sehelai rambut pun, tidak juga zarah, akan hilang, kerana ia adalah hasil kerja tangan-Ku.
26 Tetapi, lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, sebelum bumi akan berlalu, Mikhael, malaikat agung-Ku, akan membunyikan sangkakalanya, dan pada waktu itu semua yang mati akan bangun, kerana kuburan mereka akan dibukakan, dan mereka akan datang—ya, bahkan semuanya.
27 Dan yang soleh akan dikumpulkan pada sisi tangan kanan-Ku kepada kehidupan kekal; dan yang jahat pada sisi tangan kiri-Ku yang akan Aku malu akui di hadapan Bapa;
28 Kerana Aku akan berfirman kepada mereka—Pergilah daripada-Ku, kamu yang terkutuk, ke dalam api yang abadi, yang disediakan untuk iblis dan para malaikatnya.
29 Dan sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, tidak pernah pada bila-bila masa pun Aku maklumkan daripada mulut-Ku sendiri bahawa mereka akan kembali, kerana di mana Aku berada mereka tidak dapat datang, kerana mereka tidak memiliki kuasa.
30 Tetapi ingatlah bahawa segala penghakiman-Ku tidak diberikan kepada manusia; dan seperti firman-firman itu telah tersebar luas daripada mulut-Ku begitulah ia akan digenapi, bahawa yang pertama akan menjadi yang terakhir, dan bahawa yang terakhir akan menjadi yang pertama dalam segala hal apa pun yang telah Aku ciptakan melalui firman kuasa-Ku, yang merupakan kuasa Roh-Ku.
31 Kerana melalui kuasa Roh-Ku Aku telah menciptakan mereka; ya, segala sesuatu baik rohani mahupun duniawi—
32 Pertamanya rohani, yang kedua duniawi, yang merupakan permulaan pekerjaan-Ku; dan sekali lagi, pertamanya duniawi, dan yang kedua rohani, yang merupakan pekerjaan-Ku yang terakhir—
33 Berfirman kepadamu agar kamu boleh memahami secara alamiah; tetapi bagi diri-Ku pekerjaan-Ku tiada pengakhiran, tiada juga permulaan; tetapi ia diberikan kepadamu agar kamu boleh memahami, kerana kamu telah memintanya daripada-Ku dan dipersetujui.
34 Kerana itu, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu bahawa segala sesuatu bagi-Ku adalah rohani, dan tidak pada bila-bila masa pun Aku memberikan kepadamu suatu hukum yang duniawi; tidak juga seorang pun, tidak juga anak-anak manusia; tidak juga Adam, bapamu, yang telah Aku ciptakan.
35 Lihatlah, Aku memberi kepadanya bahawa dia haruslah menjadi seorang wakil bagi dirinya; dan Aku memberikan kepadanya perintah, tetapi bukan perintah duniawi yang Aku berikan kepadanya, kerana perintah-perintah-Ku adalah rohani; ianya bukanlah alamiah tidak juga duniawi, tidak juga badaniah tidak juga berhawa nafsu.
36 Dan terjadilah bahawa Adam, digoda oleh iblis—kerana, lihatlah, iblis ada sebelum Adam, kerana dia memberontak melawan-Ku, mengatakan, Berilah aku kehormatan-Mu, iaitu kuasa-Ku; dan juga sepertiga daripada bala tentera syurga dia palingkan daripada-Ku kerana hak pilihan mereka;
37 Dan mereka dibuang, dan demikianlah terjadinya iblis dan para malaikatnya;
38 Dan, lihatlah, ada sebuah tempat yang disediakan bagi mereka sejak dari permulaan, yang mana tempat itu adalah neraka.
39 Dan mestilah perlu bahawa iblis akan menggoda anak-anak manusia, atau mereka tidak dapat menjadi juru wakil diri mereka sendiri; kerana jika mereka tidak pernah merasakan pahit mereka tidak dapat mengenal yang manis—
40 Kerana itu, terjadilah bahawa iblis menggoda Adam, dan dia memakan buah terlarang dan melanggar perintah, dimana dia menjadi tunduk pada kehendak iblis, kerana dia menyerah pada godaan.
41 Kerana itu, Aku, Tuhan Raja, menyebabkan agar dia harus diusir dari Taman Eden, dari hadirat-Ku, kerana pelanggarannya, dimana dia menjadi mati secara rohani, iaitu kematian pertama, bahkan kematian yang sama yang merupakan kematian terakhir, yang adalah rohani, yang akan dinyatakan kepada yang jahat apabila Aku akan berfirman: Pergilah, kamu yang terkutuk.
42 Tetapi, lihatlah, Aku berfirman kepadamu bahawa Aku, Tuhan Raja, memberikan kepada Adam dan kepada benih keturunannya, bahawa mereka tidak akan mati sehubungan dengan kematian duniawi, sehingga Aku, Tuhan Raja, akan mengutuskan para malaikat untuk memaklumkan kepada mereka pertaubatan dan penebusan, melalui iman pada nama Putera Tunggal-Ku.
43 Dan demikianlah telah Aku, Tuhan Raja, menetapkan bagi manusia masa percubaannya—agar melalui kematian alaminya dia boleh dibangkitkan dalam kebaqaan pada kehidupan abadi, bahkan seberapa banyak yang akan percaya;
44 Dan mereka yang tidak percaya pada kelaknatan abadi; kerana mereka tidak dapat ditebus dari kejatuhan rohani mereka, kerana mereka tidak bertaubat;
45 Kerana mereka lebih mengasihi kegelapan daripada terang, dan perbuatan mereka adalah jahat, dan mereka menerima upah mereka daripada siapa yang ingin mereka patuhi.
46 Tetapi lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa anak kecil ditebus sejak pengasasan dunia melalui Anak Tunggal-Ku;
47 Kerana itu, mereka tidak dapat berdosa, kerana kuasa tidak diberikan kepada Setan untuk menggoda anak kecil, sehingga mereka mula menjadi bertanggungjawab di hadapan-Ku;
48 Kerana diberikan kepada mereka bahkan seperti yang Aku kehendaki, menurut kesenanganan-Ku sendiri, agar hal-hal yang besar akan dituntut dari tangan nenek moyang mereka.
49 Dan, lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa barang siapa memiliki pengetahuan, tidakkah Aku perintahkan untuk bertaubat?
50 Dan dia yang tidak memiliki pemahaman, terserahlah pada-Ku untuk melakukan menurut apa yang tertulis. Dan sekarang, Aku tidak memaklumkan apa pun lagi kepadamu pada waktu ini. Amin.