Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 76


Bahagian 76

Sebuah penglihatan yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith dan Sidney Rigdon, di Hiram, Ohio, 16 Februari 1832 Sebagai pengantar catatan ini tentang penglihatan ini, sejarah Joseph Smith menyatakan: “Sekembalinya saya dari persidangan Amherst, saya memulakan lagi penterjemahan Tulisan Suci. Dari pelbagai wahyu yang telah diterima, adalah jelas bahawa banyak pokok ajaran penting berkaitan dengan keselamatan manusia, telah dikeluarkan dari Alkitab, atau hilang sebelum ianya dibukukan. Ia jelas terbukti sendirinya dari kebenaran-kebenaran yang selebihnya, bahawa jika Tuhan memberi ganjaran kepada setiap orang menurut perbuatan yang dilakukan dalam tubuh, istilah ‘Syurga,’ yang dimaksudkan sebagai rumah para Orang Suci yang abadi, mestilah melibatkan lebih daripada satu kerajaan. Sehubungan dengan itu, … semasa menterjemahkan Injil Yohanes, saya sendiri dan Elder Rigdon telah melihat penglihatan berikut” Pada masa penglihatan ini diberikan, Nabi sedang menterjemahkan Yohanes 5:29.

1–4, Tuhan adalah Raja; 5–10, Misteri-misteri kerajaan akan diwahyukan kepada semua yang setia; 11–17, Semua orang akan datang dalam kebangkitan soleh atau tidak soleh; 18–24, Penduduk dari banyak dunia merupakan anak-anak yang dilahirkan bagi Tuhan melalui Korban Tebusan Yesus Kristus; 25–29, Seorang malaikat Tuhan jatuh dan menjadi iblis; 30–49, Para putera keterkutukan menderita kelaknatan kekal; semua orang yang lain memperoleh suatu tahap keselamatan; 50–70, Kemuliaan dan ganjaran bagi makhluk yang telah dipermuliakan di dalam kerajaan selestial dihuraikan; 71–80, Mereka yang akan mewarisi kerajaan terestrial dihuraikan; 81–113, Kedudukan mereka di dalam kemuliaan telestial, terestrial, dan selestial dijelaskan; 114–119, Yang setia boleh melihat dan memahami misteri-misteri kerajaan Tuhan melalui kuasa Roh Kudus.

1 Dengarlah, Wahai kamu langit, dan pasanglah telinga, Wahai bumi, dan bersukacitalah kamu para penduduknya, kerana Tuhan adalah Raja, dan selain Dia tidak ada Juruselamat.

2 Besarlah kebijaksanaan-Nya, menakjubkanlah cara-cara-Nya, dan sejauh mana perbuatan-Nya tiada seorangpun dapat mengetahuinya.

3 Tujuan-Nya tidak gagal, tiada sesiapa pun juga yang dapat menahan tangan-Nya.

4 Dari keabadian ke keabadian Dia adalah yang sama, dan tahun-tahun-Nya tidak pernah gagal.

5 Kerana demikianlah firman Tuhan—Aku, Tuhan, penuh berbelas kasihan dan penyayang kepada mereka yang takut kepada-Ku, dan senang menghormati mereka yang melayani-Ku dalam kesolehan dan dalam kebenaran sehingga akhir.

6 Maka besarlah ganjaran mereka dan abadilah kemuliaan mereka.

7 Dan kepada mereka akan Aku wahyukan segala misteri, ya, segala misteri tersembunyi tentang kerajaan-Ku dari zaman dahulu, dan untuk zaman yang akan datang, akan Aku beritahukan kepada mereka kehendak-Ku yang baik tentang segala hal yang berkaitan dengan kerajaan-Ku.

8 Ya, bahkan keajaiban keabadian akan mereka ketahui, dan hal-hal yang akan datang akan Aku perlihatkan kepada mereka, bahkan hal-hal tentang banyak generasi.

9 Dan kebijaksanaan mereka akan menjadi hebat, dan pemahaman mereka mencecah langit; dan di hadapan mereka kebijaksanaan orang bijak akan musnah, dan pemahaman orang bijaksana akan menjadi tak bererti.

10 Kerana melalui Roh-Ku akan Aku menerangi mereka, dan melalui kuasa-Ku akan Aku beritahukan kepada mereka rahsia-rahsia kehendak-Ku—ya, bahkan hal-hal yang belum pernah dilihat oleh mata, atau didengari oleh telinga, atau pun masuk ke dalam hati manusia.

11 Kami, Joseph Smith Jr. dan Sidney Rigdon, yang berada di dalam Roh pada hari keenam belas bulan Februari, pada tahun Tuhan kita seribu lapan ratus dan tiga puluh dua—

12 Melalui kuasa Roh mata kami dibukakan dan pemahaman kami diterangi, sehingga melihat dan memahami hal-hal daripada Tuhan—

13 Bahkan hal-hal itu yang ada sejak dari permulaan sebelum dunia ada, yang telah ditetapkan oleh Bapa, melalui Putera Tunggal-Nya, yang berada di pangkuan Bapa, bahkan sejak dari permulaan;

14 Tentangnya kami memberikan kesaksian, dan kesaksian yang kami berikan adalah kegenapan Injil Yesus Kristus, yang merupakan Putera, yang telah kami lihat dan dengannya kami bercakap dalam penglihatan syurgawi itu.

15 Kerana semasa kami sedang melakukan kerja penterjemahan, yang Tuhan telah tetapkan kepada kami, kami sampai pada ayat kedua puluh sembilan pasal kelima Yohanes, yang diberikan kepada kami seperti berikut—

16 Berfirman tentang kebangkitan orang mati, mengenai mereka yang akan mendengar suara Putera Manusia:

17 Dan akan datang; mereka yang telah melakukan kebaikan, dalam kebangkitan orang soleh; dan mereka yang telah melakukan kejahatan, dalam kebangkitan orang yang tidak soleh.

18 Sekarang, ini menyebabkan kami takjub, kerana ia telah diberikan kepada kami oleh Roh.

19 Dan semasa kami merenungkan tentang hal-hal ini, Tuhan menyentuh mata pemahaman kami dan ianya dibukakan, dan kemuliaan Tuhan bersinar di sekitarnya.

20 Dan kami melihat kemuliaan Putera, pada tangan kanan Bapa, dan menerima kegenapan-Nya;

21 Dan melihat para malaikat kudus, dan mereka yang telah dikuduskan di hadapan takhta-Nya, menyembah Tuhan, dan Anak Domba, yang menyembah-Nya selama-lamanya.

22 Dan sekarang, selepas begitu banyak kesaksian yang telah diberikan tentang Dia, inilah kesaksiannya, yang terakhir dari kesemuanya, yang kami berikan terhadap Dia: Bahawa Dia hidup!

23 Kerana kami melihat-Nya, bahkan pada tangan kanan Tuhan; dan kami mendengar suara yang memberikan kesaksian bahawa Dia ialah Anak Tunggal Bapa—

24 Bahawa oleh Dia, dan melalui Dia, dan daripada Dia, dunia-dunia ada dan diciptakan, dan para penduduknya adalah para putera dan puteri yang dilahirkan bagi Tuhan.

25 Dan kami juga telah melihat ini, dan memberikan kesaksian, bahawa seorang malaikat Tuhan yang berwewenang di hadirat Tuhan, yang memberontak melawan Putera Tunggal yang Bapa kasihi dan yang berada di pangkuan Bapa, dibuang dari hadirat Tuhan dan Putera,

26 Dan disebut Keterkutukan, kerana syurga menangisinya—dia adalah Lusifer, putera fajar.

27 Dan kami melihat, dan tengoklah, dia terjatuh! terjatuh, bahkan putera fajar!

28 Dan sementara kami masih berada di dalam Roh, Tuhan memerintahkan kami agar kami harus menuliskan penglihatan ini; kerana kami melihat Setan, ular tua itu, bahkan iblis, yang memberontak melawan Tuhan, dan berusaha untuk mengambil kerajaan Tuhan kita dan Kristus-Nya—

29 Kerana itu, dia melancarkan perang terhadap para orang suci Tuhan, dan mengepung mereka.

30 Dan kami melihat suatu penglihatan tentang penderitaan mereka yang dia perangi dan kuasai, kerana demikianlah datanglah suara Tuhan kepada kami:

31 Demikianlah firman Tuhan mengenai mereka semua yang mengetahui kuasa-Ku, dan telah dijadikan pengambil bahagian darinya, dan membiarkan diri mereka melalui kuasa iblis untuk dikuasai, dan menyangkal kebenaran dan menentang kuasa-Ku—

32 Mereka adalah mereka yang merupakan para putera keterkutukan, tentang merekalah Aku berfirman bahawa adalah lebih baik bagi mereka untuk tidak pernah dilahirkan;

33 Kerana mereka adalah bejana kemurkaan, ditakdirkan untuk menderita kemurkaan Tuhan, bersama dengan iblis dan para malaikatnya dalam keabadian;

34 Mengenai mereka yang telah Aku firmankan tiada pengampunan di dunia ini dan juga di dunia yang akan datang—

35 Yang telah menyangkal Roh Kudus setelah menerimanya, dan telah menyangkal Putera Tunggal Bapa, telah menyalibkan-Nya dan memalukan-Nya secara terbuka.

36 Inilah mereka yang akan pergi ke dalam tasik api dan belerang, bersama dengan iblis dan para malaikatnya—

37 Dan hanya kepada merekalah kematian kedua akan memiliki kuasa;

38 Ya, sesungguhnya, hanya merekalah yang tidak akan ditebus pada waktu Tuhan yang tepat, selepas menderitai kemurkaan-Nya.

39 Kerana semua yang selebihnya akan dibawakan pada kebangkitan orang mati, melalui kemenangan dan kemuliaan Anak Domba, yang dibunuh, yang berada di pangkuan Bapa sebelum dunia-dunia itu diciptakan.

40 Dan inilah Injil, khabar gembira, yang mana suara dari syurga persaksikan kepada kami—

41 Bahawa Dia datang ke dunia, bahkan Yesus, untuk disalibkan bagi dunia, dan untuk menanggung dosa-dosa dunia, dan untuk menguduskan dunia, dan untuk membersihkannya dari segala ketidaksolehan;

42 Agar melalui Dia semua orang boleh diselamatkan yang telah Bapa letakkan ke dalam kuasa-Nya dan ciptakan melalui-Nya;

43 Yang memuliakan Bapa, dan menyelamatkan segala pekerjaan tangan-Nya, kecuali para putera keterkutukan itu yang menyangkal Putera setelah Bapa mempersembahkan-Nya.

44 Kerana itu, Dia menyelamatkan semua orang kecuali mereka—mereka akan pergi ke dalam hukuman kekal, yang merupakan hukuman tanpa akhir, iaitu hukuman abadi, untuk memerintah bersama iblis dan para malaikatnya dalam keabadian, di mana ulat mereka tidak mati, dan apinya tidak terpadam, yang merupakan seksaan mereka—

45 Dan penghujungnya, dan juga tempatnya, dan juga seksaan mereka, tiada seorang pun tahu;

46 Tiada juga ia diwahyukan, tidak sekarang, dan tidak juga akan diwahyukan kepada manusia, kecuali kepada mereka yang dijadikan pengambil bahagiannya;

47 Walaupun demikian, Aku, Tuhan, memperlihatkannya melalui penglihatan kepada banyak orang, tetapi dengan segera menutupnya kembali;

48 Kerana itu, penghujung, keluasan, ketinggian, kedalaman, dan kegetirannya, tidaklah mereka fahami, tiada seorang pun kecuali mereka yang telah ditetapkan pada penghukuman ini.

49 Dan kami mendengar suara, memfirmankan: Tulislah penglihatan ini, kerana tengoklah, inilah pengakhiran bagi penglihatan tentang penderitaan orang-orang fasiq.

50 Dan lagi kami memberikan kesaksian—kerana kami melihat dan mendengar, dan inilah kesaksian Injil Kristus mengenai mereka yang akan datang ke dalam kebangkitan orang soleh—

51 Mereka adalah mereka yang menerima kesaksian tentang Yesus, dan percaya pada nama-Nya dan dibaptis menurut cara penguburan-Nya, dikubur di dalam air dalam nama-Nya, dan ini menurut perintah yang telah Dia berikan—

52 Agar dengan mentaati perintah-perintah mereka boleh dicuci dan dibersihkan dari segala dosa mereka, dan menerima Roh Kudus melalui peletakkan tangan oleh dia yang telah ditahbiskan dan dimeteraikan pada kuasa ini;

53 Dan yang mengatasi dengan iman, dan dimeteraikan oleh Roh Kudus perjanjian, yang Bapa curahkan ke atas diri mereka semua yang soleh dan benar.

54 Mereka adalah mereka yang merupakan gereja Putera Sulung.

55 Mereka adalah mereka yang ke dalam tangannya telah Bapa berikan segala hal—

56 Mereka adalah mereka yang merupakan para imam dan raja, yang telah menerima kegenapan-Nya, dan kemuliaan-Nya;

57 Dan merupakan imam dari Yang Maha Tinggi, menurut tarekat Melkisedek, yang menurut tarekat Henokh, yang menurut tarekat Putera Tunggal.

58 Kerana itu, seperti yang tertulis, mereka adalah Tuhan, bahkan anak-anak Tuhan

59 Kerana itu, segala hal adalah milik mereka, sama ada hidup atau mati, atau hal-hal yang ada sekarang, atau hal yang akan datang, segalanya adalah milik mereka dan mereka adalah milik Kristus, dan Kristus adalah milik Tuhan.

60 Dan mereka akan mengatasi segala hal.

61 Kerana itu, janganlah biarkan seorang pun bermegah dalam diri manusia, tetapi sebaliknya biarlah dia bermegah di dalam Tuhan, yang akan menundukkan semua musuh di bawah kaki-Nya.

62 Merekalah yang akan tinggal di dalam hadirat Tuhan dan Kristus-Nya selama-lamanya.

63 Inilah mereka yang akan Dia bawa bersama-Nya, apabila Dia akan datang dalam awan di langit untuk memerintah umat-Nya di atas bumi.

64 Inilah mereka yang akan mempunyai bahagian dalam kebangkitan pertama.

65 Inilah mereka yang akan datang ke dalam kebangkitan orang soleh.

66 Inilah mereka yang telah datang ke Gunung Sion, dan ke kota Tuhan yang hidup, tempat syurgawi, yang paling kudus dari semuanya.

67 Inilah mereka yang telah datang kepada rombongan malaikat yang tak terhitung banyaknya, ke perhimpunan umum dan gereja Henokh, dan Putera Sulung.

68 Inilah mereka yang namanya tertulis di dalam syurga, di mana Tuhan dan Kristus adalah hakim kepada semua orang.

69 Inilah mereka yang merupakan orang-orang soleh yang dijadikan sempurna melalui Yesus pengantara bagi perjanjian baru, yang membawakan korban tebusan yang sempurna ini melalui penumpahan darah-Nya sendiri.

70 Inilah mereka yang tubuhnya adalah selestial, yang kemuliaannya adalah kemuliaan matahari, bahkan kemuliaan Tuhan, yang paling tinggi dari semuanya, yang mana kemuliaan-Nya dituliskan bagaikan matahari di cakerawala.

71 Dan lagi, kami melihat dunia terestrial, dan lihat dan tengoklah, inilah mereka yang adalah dari terestrial, kemuliaan mereka berbeza dari gereja Putera Sulung yang telah menerima kegenapan Bapa, bahkan seperti kemuliaan bulan berbeza dengan matahari di cakerawala.

72 Lihatlah, inilah mereka yang telah mati tanpa hukum;

73 Dan juga mereka yang merupakan roh-roh manusia yang ditahan di dalam penjara, yang Putera lawati, dan khutbahkan Injil kepada mereka, agar mereka boleh dihakimi menurut manusia dalam keadaan daging;

74 Yang tidak menerima kesaksian tentang Yesus dalam keadaan daging, tetapi sesudah itu menerimanya.

75 Inilah mereka yang merupakan orang-orang terhormat di bumi, yang telah dibutakan oleh kelicikan manusia.

76 Inilah mereka yang menerima kemuliaan-Nya, tetapi bukan kegenapan-Nya.

77 Inilah mereka yang menerima kehadiran Putera, tetapi bukan kegenapan Bapa.

78 Keranaitu, mereka adalah tubuh terestrial, dan bukan tubuh selestial, dan berbeza dalam kemuliaan seperti bulan berbeza dari matahari.

79 Inilah mereka yang tidak berani dalam kesaksian tentang Yesus; kerana itu, mereka tidak mendapatkan mahkota ke atas kerajaan Tuhan kita.

80 Dan sekarang, inilah penghujung penglihatan yang kami lihat tentang terestrial, yang Tuhan perintahkan kepada kami untuk dituliskan semasa kami masih berada di dalam Roh.

81 Dan lagi, kami telah melihat kemuliaan telestial, yang mana kemuliaannya adalah kemuliaan yang lebih rendah, bahkan seperti kemuliaan bintang-bintang berbeza dari kemuliaan bulan di cakerawala.

82 Inilah mereka yang tidak menerima Injil Kristus, tidak juga kesaksian tentang Yesus.

83 Inilah mereka yang tidak menyangkal Roh Kudus.

84 Inilah mereka yang dibuang ke neraka.

85 Inilah mereka yang tidak akan ditebus daripada iblis sehinggalah kebangkitan terakhir, sehingga Tuhan, bahkan Kristus Anak Domba, akan menyelesaikan pekerjaan-Nya.

86 Inilah mereka yang tidak menerima kegenapan-Nya di dunia abadi, tetapi dari Roh Kudus melalui pelayanan dari terestrial;

87 Dan terestrial melalui pelayanan dari selestial.

88 Dan juga telestial menerimanya dari pelayanan para malaikat yang ditetapkan untuk melayani mereka, atau yang ditetapkan untuk menjadi roh-roh yang melayani mereka; kerana mereka akan menjadi pewaris-pewaris keselamatan.

89 Dan demikianlah kami telah melihat, dalam penglihatan syurgawi, kemuliaan telestial, yang melampaui segala pemahaman;

90 Dan tiada seorang pun yang mengetahuinya kecuali kepada dia yang Tuhan telah wahyukannya.

91 Dan demikianlah kami telah melihat kemuliaan terestrial yang melebihi segala hal kemuliaan telestial, bahkan di dalam kemuliaan, dan di dalam kuasa, dan di dalam daya, dan di dalam kekuasaan.

92 Dan demikianlah kami telah melihat kemuliaan selestial, yang melebihi segala hal—di mana Tuhan, bahkan Bapa, memerintah di atas takhta-Nya selama-lamanya;

93 Iaitu di hadapan takhta-Nya segala hal tunduk dalam ketakziman kerendahan hati, dan memberi-Nya kemuliaan selama-lamanya.

94 Mereka yang tinggal di dalam hadirat-Nya adalah gereja Putera Sulung; dan mereka melihat sebagaimana mereka dilihat, dan mengetahui sebagaimana mereka diketahui, setelah menerima kegenapan-Nya dan rahmat-Nya;

95 Dan Dia menjadikan mereka sama rata dalam kuasa, dan dalam daya, dan dalam kekuasaan.

96 Dan kemuliaan selestial adalah satu, bahkan seperti kemuliaan matahari adalah satu.

97 Dan kemuliaan terestrial adalah satu, bahkan seperti kemuliaan bulan adalah satu.

98 Dan kemuliaan telestial adalah satu, bahkan seperti kemuliaan bintang-bintang adalah satu; kerana seperti satu bintang berbeza dari bintang yang lain dalam kemuliaan, demikian juga berbeza dalama kemuliaan di antara satu sama lain di dalam dunia telestial;

99 Kerana inilah mereka yang dari Paulus, dan dari Apolos, dan dari Kefas.

100 Inilah mereka yang mengatakan mereka adalah sebahagian daripada yang satu dan sebahagian daripada yang lain—sebahagian daripada Kristus dan sebahagian daripada Yohanes, dan sebahagian daripada Musa, dan sebahagian daripada Elias, dan sebahagian dari Esayas, dan sebahagian daripada Yesaya, dan sebahagian daripada Henokh;

101 Tetapi tidak menerima Injil, tidak juga kesaksian tentang Yesus, tidak juga para nabi, tidak juga perjanjian yang kekal.

102 Yang terakhir dari semuanya, semua mereka ini adalah mereka yang tidak akan dikumpulkan bersama para orang suci, untuk diangkat pada gereja Putera Sulung, dan diterima ke dalam awan.

103 Inilah mereka yang merupakan para pendusta, dan penyihir, dan penzina, dan pelacur, dan sesiapa pun yang mengasihi dan membuat pendustaan.

104 Inilah mereka yang menderita kemurkaan Tuhan di atas bumi.

105 Inilah mereka yang menderita pembalasan api abadi.

106 Inilah mereka yang dicampakkan ke neraka dan menderita kemurkaan Tuhan Yang Mahakuasa, sehingga kegenapan zaman, apabila Kristus akan menundukkan semua musuh di bawah kaki-Nya, dan akan menyempurnakan pekerjaan-Nya;

107 Apabila dia akan menyerahkan kerajaan, dan mempersembahkannya kepada Bapa, tanpa noda, memfirmankan: Aku telah mengatasi dan telah memijak-mijak alat pemeras anggur seorang diri, bahkan alat pemeras anggur dari kedahsyatan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa.

108 Kemudian Dia akan dimahkotai dengan mahkota kemuliaan-Nya, untuk duduk di atas takhta kuasa-Nya untuk memerintah selama-lamanya.

109 Tetapi lihatlah, dan tengoklah, kami telah melihat kemuliaan dan para penduduk di dunia telestial, bahawa jumlah mereka adalah tidak terhitung banyaknya seperti bintang-bintang di angkasa, atau seperti pasir di tepi laut;

110 Dan telah mendengar suara Tuhan berfirman: Semuanya akan berlutut, dan setiap lidah akan mengakui kepada Dia yang duduk di atas takhta itu selama-lamanya;

111 Kerana mereka akan dihakimi menurut pekerjaan mereka, dan setiap orang akan menerima menurut pekerjaannya sendiri, kekuasaannya sendiri, di dalam tempat-tempat tinggal yang disediakan;

112 Dan mereka akan menjadi para hamba Yang Maha Tinggi; tetapi di mana Tuhan dan Kristus tinggal mereka tidak dapat datang, dunia-dunia tanpa akhir.

113 Inilah penghujung penglihatan yang kami lihat, yang mana kami telah diperintahkan untuk menuliskannya sementara kami masih berada di dalam Roh.

114 Tetapi menakjubkan dan agungnya pekerjaan Tuhan, dan misteri-misteri kerajaan-Nya yang Dia perlihatkan kepada kami, yang melampaui segala pemahaman dalam kemuliaan, dan dalam daya, dan dalam kekuasaan;

115 Yang mana Dia telah perintahkan kepada kami agar kami tidak harus menuliskannya semasa kami masih berada di dalam Roh, dan tidak dibenarkan bagi manusia untuk mengatakannya;

116 Tidak juga manusia mampu untuk memberitahukannya, kerana ia hanya untuk dilihat dan difahami melalui kuasa Roh Kudus, yang Tuhan telah berikan kepada mereka yang mengasihi-Nya, dan menyucikan diri mereka di hadapan-Nya;

117 Kepada merekalah Dia berikan hak istimewa ini untuk melihat dan mengetahui bagi diri mereka sendiri;

118 Agar melalui kuasa dan penyataan Roh, semasa dalam keadaan daging, mereka dapat menahani hadirat-Nya di dalam dunia kemuliaan.

119 Dan kepada Tuhan dan Anak Dombalah kemuliaan, dan kehormatan, dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.