Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 1


Ajaran dan Perjanjian

Bahagian 1

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, pada 1 November 1831, semasa persidangan khusus para penatua Gereja, yang diadakan di Hiram, Ohio. Banyak wahyu telah diterima daripada Tuhan sebelum waktu ini, dan penyusunannya untuk penerbitan dalam bentuk buku adalah salah satu perkara utama yang dipersetujui dalam persidangan itu. Bahagian ini merupakan kata pengantar Tuhan tentang ajaran, perjanjian, dan perintah-perintah yang diberikan dalam zaman keagamaan ini.

1–7, Suara peringatan adalah kepada semua orang; 8–16, Kemurtadan dan kejahatan mendahului Kedatangan Kedua; 17–23, Joseph Smith dipanggil untuk memulihkan kebenaran dan kuasa Tuhan ke bumi; 24–33, Kitab Mormon ditampilkan dan Gereja yang benar ditubuhkan; 34–36, Kedamaian akan diambil dari bumi; 37–39, Kajilah perintah-perintah ini.

1 Dengarlah, Wahai kamu umat gereja-Ku, firman suara-Nya yang tinggal di syurga, dan mata-Nya yang tertumpu kepada semua orang; ya, sesungguhnya Aku berfirman: Dengarlah kamu orang-orang dari jauh; dan kamu yang berada di atas pulau-pulau di laut, dengarkanlah bersama.

2 Kerana sesungguhnya suara Tuhan adalah kepada semua orang, dan tidak seorang pun dapat mengelak; dan tidak ada mata yang tidak akan melihat, tiada juga telinga yang tidak akan mendengar, tiada juga hati yang tidak akan tertembus.

3 Dan yang memberontak akan ditusuk dengan kedukacitaan yang besar; kerana kederhakaan mereka akan dibicarakan di atas atap-atap rumah, dan perbuatan rahsia mereka akan didedahkan.

4 Dan suara peringatan adalah kepada semua orang, melalui mulut para pengikut-Ku, yang telah Aku pilih pada zaman akhir ini.

5 Dan mereka akan pergi dan tidak seorang pun akan menahan mereka, kerana Aku Tuhan telah memerintahkan mereka.

6 Lihatlah, inilah wewenang-Ku, dan wewenang para hamba-Ku, dan kata pengantar-Ku bagi kitab perintah-perintah-Ku, yang telah Aku berikan kepada mereka untuk diterbitkan bagimu, Wahai penduduk bumi.

7 Oleh itu, takut dan gementarlah, Wahai kamu manusia, kerana apa yang telah Aku Tuhan tetapkan di dalamnya akan digenapi.

8 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa mereka yang pergi, menyampaikan khabar ini kepada penduduk bumi, kepada mereka kuasa diberikan untuk memeteraikan baik di atas bumi mahupun di dalam syurga, mereka yang tidak percaya dan memberontak;

9 Ya, sesungguhnya, untuk memeteraikan mereka pada hari ketika kemurkaan Tuhan akan dicurahkan kepada yang jahat tanpa batas—

10 Sampai masanya ketika Tuhan akan datang untuk mengganjarkan kepada setiap orang menurut pekerjaannya, dan mengukurkan kepada setiap orang menurut ukuran yang telah dia ukurkan kepada sesamanya.

11 Oleh itu suara Tuhan adalah kepada hujung-hujung bumi, agar semua yang mahu mendengar boleh mendengar:

12 Bersedialah kamu, bersedialah kamu untuk apa yang akan datang, kerana Tuhan sudah dekat;

13 Dan kemarahan Tuhan dinyalakan, dan pedang-Nya dimandikan di dalam syurga, dan ia akan jatuh ke atas penduduk bumi.

14 Dan lengan Tuhan akan didedahkan; dan masanya tiba bahawa mereka yang tidak mahu mendengar suara Tuhan, tidak juga suara para hamba-Nya, tidak juga mengendahkan perkataan para nabi dan rasul, akan disingkirkan daripada kalangan orang ini;

15 Kerana mereka telah menyimpang dari tatacara-tatacara-Ku, dan telah melanggar perjanjian-Ku yang abadi;

16 Mereka tidak mencari Tuhan untuk menegakkan kebenaran-Nya, tetapi setiap orang berjalan dalam jalannya sendiri, dan menurut rupa tuhannya sendiri, yang mana rupanya adalah serupa dengan dunia, dan kewujudannya berupa berhala, yang menjadi tua dan akan binasa di Babilon, bahkan Babilon yang besar itu, yang akan jatuh.

17 Oleh itu, Aku Tuhan, mengetahui malapetaka yang akan datang ke atas penduduk bumi, memanggil hamba-Ku Joseph Smith Jr., dan berfirman kepadanya dari syurga, dan memberinya perintah-perintah;

18 Dan juga memberikan perintah-perintah kepada yang lain, bahawa mereka hendaknya memaklumkan hal-hal ini kepada dunia; dan semua ini agar ia akan digenapi, yang ditulis oleh para nabi—

19 Hal-hal yang lemah dari dunia akan tampil dan mematahkan yang perkasa dan kuat, agar manusia tidak akan berunding sesamanya, tidak juga percaya kepada lengan daging—

20 Tetapi agar setiap orang boleh berbicara di dalam nama Tuhan raja, bahkan Juruselamat dunia;

21 Agar iman juga boleh meningkat di bumi;

22 Agar perjanjian-Ku yang abadi boleh ditegakkan;

23 Agar kegenapan Injil-Ku boleh dimaklumkan oleh yang lemah dan yang sederhana ke hujung-hujung dunia, dan di hadapan para raja dan pemerintah.

24 Lihatlah, Aku ialah Tuhan dan telah memfirmankannya; perintah-perintah ini adalah daripada-Ku, dan diberikan kepada para hamba-Ku dalam kelemahan mereka, menurut cara bahasa mereka, agar mereka boleh memahami.

25 Dan sejauh mana mereka keliru ia boleh dijelaskan;

26 Dan sejauh mana mereka mencari kebijaksanaan mereka boleh diberi petunjuk;

27 Dan sejauh mana mereka berdosa mereka boleh dihukum, agar mereka boleh bertaubat;

28 Dan sejauh mana mereka merendahkan hati mereka boleh dijadikan kuat, dan diberkati dari syurga, dan menerima pengetahuan dari masa ke semasa.

29 Dan setelah menerima catatan bangsa Nefi, ya, bahkan hamba-Ku Joseph Smith Jr., akan memperoleh kuasa untuk menterjemah melalui belas kasihan Tuhan, melalui kuasa Tuhan, Kitab Mormon tersebut.

30 Dan juga kepada mereka yang diberikan perintah-perintah ini, akan memperoleh kuasa untuk meletakkan landasan gereja ini, dan untuk membawakannya keluar dari keadaan yang tidak dikenali dan dari kegelapan, satu-satunya gereja yang benar dan hidup di atas permukaan seluruh bumi, yang dengannya Aku, Tuhan, sangat berkenan, berfirman kepada gereja secara kolektif dan bukan secara individu—

31 Kerana Aku Tuhan tidak dapat memandang dosa dengan sedikit keizinan pun;

32 Walaupun demikian, dia yang bertaubat dan melakukan perintah-perintah Tuhan akan diampunkan;

33 Dan dia yang tidak bertaubat, daripadanya akan diambil bahkan cahaya yang telah diterimanya; kerana Roh-Ku tidak akan selalu berjuang bersama manusia, firman Tuhan Semesta Alam.

34 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Wahai penduduk bumi: Aku Tuhan bersedia memberitahukan hal-hal ini kepada semua manusia;

35 Kerana Aku bukanlah orang yang pilih kasih, dan menginginkan agar semua orang akan tahu bahawa hari itu cepat menghampiri; masanya belumlah sekarang, tetapi sudah di depan mata, apabila kedamaian akan diambil dari bumi, dan iblis akan memiliki kuasa ke atas kekuasaannya sendiri.

36 Dan juga Tuhan akan memiliki kuasa ke atas para orang suci-Nya, dan akan memerintah di tengah-tengah mereka, dan akan turun dalam penghakiman ke atas Idumea, atau dunia.

37 Selidikilah perintah-perintah ini, kerana ia adalah benar dan pasti, dan nubuat-nubuat serta perjanjian yang ada di dalamnya semuanya akan digenapi.

38 Apa yang telah Aku Tuhan firmankan, telah Aku firmankan, dan Aku tidak memaafkan diri-Ku; dan walaupun langit dan bumi berlalu, firman-Ku tidak akan berlalu, tetapi semuanya akan digenapi, sama ada melalui suara-Ku sendiri atau melalui suara para hamba-Ku, ia adalah sama.

39 Kerana lihatlah, dan tengoklah, Tuhan ialah Raja, dan Roh memberikan kesaksian, dan kesaksian itu benar, dan kebenaran tetap tinggal selama-lamanya. Amin.