Bahagian 42
Wahyu yang diberikan dalam dua bahagian melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 9 dan 23 Februari 1831. Bahagian pertama merangkumi ayat 1 sehingga 72, diterima di dalam kehadiran dua belas penatua dan dalam penggenapan janji Tuhan yang telah dibuat sebelumnya bahawa “hukum” akan diberikan di Ohio (lihat bahagian 38:32). Bahagian kedua merangkumi ayat 73 sehingga 93. Nabi menyatakan wahyu ini sebagai “kandungan hukum Gereja.”
1–10, Para penatua dipanggil untuk mengkhutbahkan Injil, membaptis yang insaf, dan membangunkan Gereja; 11–12, Mereka mesti dipanggil dan ditahbiskan dan mesti mengajarkan asas-asas Injil yang terdapat di dalam tulisan suci; 13–17, Mereka mesti mengajar dan bernubuat melalui kuasa Roh; 18–29, Para Orang Suci diperintahkan untuk tidak membunuh, mencuri, berdusta, berhawa nafsu, berbuat zina, ataupun bercakap jahat terhadap orang lain; 30–39, Hukum-hukum yang mengatur pembaktian harta-harta dinyatakan; 40–42, Keangkuhan dan kemalasan dikecam; 43–52, Yang sakit mesti disembuhkan melalui pelayanan dan dengan iman; 53–60, Tulisan suci mengatur Gereja dan mesti dimaklumkan kepada dunia; 61–69, Tempat untuk Yerusalem Baru dan misteri-misteri kerajaan akan didedahkan; 70–73, Harta-harta yang telah dibaktikan mesti digunakan untuk menyara para pemimpin Gereja; 74–93, Hukum-hukum yang mengatur permukahan, perzinaan, pembunuhan, kecurian, dan pengakuan dosa dinyatakan.
1 Dengarlah, Wahai penatua-penatua gereja-Ku, yang telah berhimpun bersama dalam nama-Ku, bahkan Yesus Kristus Putera Tuhan yang hidup, Juruselamat dunia; sejauh kamu percaya pada nama-Ku dan mentaati perintah-perintah-Ku.
2 Lagi Aku berfirman kepadamu, dengar dan patuhilah hukum yang akan Aku berikan kepadamu.
3 Kerana sesungguhnya Aku berfirman, kerana kamu telah berkumpul bersama menurut perintah yang telah Aku perintahkan kamu, dan bersetuju berkaitan dengan satu hal ini, dan telah meminta kepada Bapa dalam nama-Ku, demikianlah kamu akan menerima.
4 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu perintah yang pertama ini, bahawa kamu haruslah pergi dalam nama-Ku, setiap orang daripadamu, kecuali hamba-Ku Joseph Smith Jr., dan Sidney Rigdon.
5 Dan Aku memberikan kepada mereka sebuah perintah bahawa mereka harus pergi untuk suatu masa yang singkat, dan akan diberikan melalui kuasa Roh bila mereka seharusnya kembali.
6 Dan kamu haruslah pergi dalam kuasa Roh-Ku, mengkhutbahkan Injil-Ku, berdua-dua, dalam nama-Ku, mengangkat suaramu bagaikan dengan bunyi sangkakala, memaklumkan firman-Ku seperti para malaikat Tuhan.
7 Dan kamu haruslah pergi membaptiskan dengan air, mengatakan: Bertaubatlah kamu, bertaubatlah kamu, kerana kerajaan syurga di depan mata.
8 Dan dari tempat ini kamu haruslah pergi ke wilayah-wilayah di sebelah barat; dan sejauh kamu akan menemui mereka yang akan menerimamu kamu haruslah membangunkan gereja-Ku di setiap wilayah—
9 Sehinggalah waktunya akan tiba apabila akan didedahkan kepadamu dari syurga, bila Kota Yerusalem Baru akan dipersiapkan, agar kamu boleh berkumpul menjadi satu, agar kamu boleh menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Tuhanmu.
10 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa hamba-Ku Edward Partridge haruslah berdiri pada jabatan yang telah Aku lantikkan kepadanya. Dan akan terjadi, bahawa jika dia melanggar orang lain akan dilantik sebagai penggantinya. Demikianlah. Amin.
11 Lagi Aku berfirman kepadamu, bahawa tidak akan diberikan kepada sesiapa pun untuk pergi mengkhutbahkan Injil-Ku, atau untuk membangunkan gereja-Ku, kecuali dia ditahbiskan oleh seseorang yang memiliki wewenang, dan diketahui oleh gereja bahawa dia memiliki wewenang dan telah secara rasminya ditahbiskan oleh ketua-ketua gereja.
12 Dan lagi, para penatua, imam dan pengajar gereja ini haruslah mengajarkan asas-asas Injil-Ku, yang ada di dalam Alkitab dan Kitab Mormon, yang mana di dalamnya adalah kegenapan Injil.
13 Dan mereka haruslah mentaati perjanjian-perjanjian dan fasal gereja untuk melakukannya, dan ini akan menjadi ajaran mereka, sebagaimana mereka akan diarahkan oleh Roh.
14 Dan Roh akan diberikan kepadamu melalui doa dengan iman; dan jika kamu tidak menerima Roh janganlah kamu mengajar.
15 Dan semua ini kamu akan berusaha untuk lakukan seperti yang telah Aku perintahkan tentang ajaranmu, sehingga kegenapan tulisan suci-Ku diberikan.
16 Dan apabila kamu akan mengangkat suaramu melalui Penolong, kamu haruslah berbicara dan bernubuat seperti yang kelihatannya baik bagi-Ku;
17 Kerana, lihatlah, Penolong mengetahui segala sesuatu, dan memberikan kesaksian tentang Bapa dan Putera.
18 Dan sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepada gereja. Janganlah engkau membunuh; dan dia yang membunuh tidak akan memperoleh pengampunan di dunia ini, tidak juga di dunia yang akan datang.
19 Dan lagi, Aku berfirman, janganlah engkau membunuh; tetapi dia yang membunuh akan mati.
20 Janganlah engkau mencuri; dan dia yang mencuri dan tidak mahu bertaubat akan diusir.
21 Janganlah engkau berdusta; dia yang berdusta dan tidak mahu bertaubat akan diusir.
22 Engkau haruslah mengasihi isterimu dengan sepenuh hatimu, dan akan berpaut kepadanya dan bukan kepada yang lain.
23 Dan dia yang memandang kepada seorang wanita sehingga berhawa nafsu terhadapnya akan menyangkal iman, dan tidak akan memiliki Roh; dan jika dia tidak bertaubat dia akan diusir.
24 Janganlah engkau berbuat zina; dan dia yang berbuat zina, dan tidak bertaubat, akan diusir.
25 Tetapi dia yang telah berbuat zina dan bertaubat dengan sepenuh hatinya, dan meninggalkannya, dan tidak melakukannya lagi, haruslah engkau ampuni;
26 Tetapi jika dia melakukannya lagi, dia tidak akan diampuni, tetapi akan diusir.
27 Janganlah engkau bercakap jahat tentang sesamamu, jangan juga mendatangkan apa pun bahaya kepadanya.
28 Engkau mengetahui hukum-Ku tentang hal-hal ini yang diberikan dalam tulisan suci-Ku; dia yang berdosa dan tidak bertaubat akan diusir.
29 Jika engkau mengasihi-Ku haruslah engkau melayani-Ku dan mentaati segala perintah-Ku.
30 Dan lihatlah, engkau haruslah mengingati yang miskin, dan membaktikan harta-hartamu untuk menyara mereka dengan apa yang engkau miliki untuk diberikan kepada mereka, dengan perjanjian dan surat ikatan hak milik yang tidak boleh dilanggar.
31 Dan sejauh kamu memberikan harta kekayaanmu kepada yang miskin, kamu akan melakukannya bagi-Ku; dan ia akan diletakkan di hadapan uskup gereja-Ku dan para penasihatnya, dua orang daripada para penatua, atau imam tinggi, sebagaimana yang akan dia tugaskan atau telah tugaskan dan tetapkan untuk tujuan itu.
32 Dan akan terjadilah, bahawa selepas ia diletakkan di hadapan uskup gereja-Ku, dan setelah dia menerima kesaksian tentang pembaktian harta-harta gereja-Ku ini, bahawa ia tidak boleh diambil dari gereja, selaras dengan perintah-perintah-Ku, setiap orang akan dijadikan bertanggungjawab kepada-Ku, seorang pengawas ke atas hartanya sendiri, atau apa yang telah dia terima menurut pembaktian, sebanyak mana yang cukup untuk dirinya dan keluarganya.
33 Dan lagi, jika akan terdapat harta-harta di tangan gereja, atau sebarang individu darinya, lebih daripada yang diperlukan untuk saraan mereka selepas pembaktian yang pertama ini, merupakan lebihan untuk dibaktikan kepada uskup, ia akan disimpan untuk melayani mereka yang tidak mempunyai apa-apa, dari semasa ke semasa, agar setiap orang yang memiliki keperluan boleh dibekalkan secukupnya dan menerima menurut keinginannya.
34 Oleh kerana itu, lebihannya akan disimpan di dalam gudang penyimpanan-Ku, untuk melayani yang miskin dan yang memerlukan, sebagaimana yang akan ditetapkan oleh majlis tinggi gereja, dan uskup dan majlisnya;
35 Dan untuk tujuan membeli tanah demi manfaat umum gereja, dan membangunkan rumah-rumah ibadat, dan membangunkan Yerusalem Baru yang selepas ini akan didedahkan—
36 Agar umat perjanjian-Ku boleh dikumpulkan menjadi satu pada hari itu apabila Aku akan datang ke bait suci-Ku. Dan ini Aku lakukan demi keselamatan umat-Ku.
37 Dan akan terjadi, bahawa dia yang berdosa dan tidak bertaubat akan diusir dari gereja, dan tidak akan menerima lagi apa yang telah dia baktikan kepada yang miskin dan yang memerlukan dari gereja-Ku, atau dengan perkataan lain, bagi-Ku—
38 Kerana sejauh kamu melakukannya kepada mereka yang paling rendah ini, kamu melakukannya kepada-Ku.
39 Kerana ia akan terjadi, apa yang Aku firmankan melalui mulut para nabi-Ku akan digenapi; kerana Aku akan membaktikan kekayaan mereka yang memeluk Injil-Ku di kalangan bangsa bukan Israel kepada yang miskin dari umat-Ku yang merupakan dari bani Israel.
40 Dan lagi, janganlah engkau angkuh dalam hatimu; biarlah segala pakaianmu sederhana, dan kecantikannya adalah kecantikan buatan tanganmu sendiri;
41 Dan biarlah segala hal dilakukan dalam kebersihan di hadapan-Ku.
42 Janganlah engkau malas; kerana dia yang malas tidak akan makan roti tidak juga memakai pakaian pekerja.
43 Dan barang siapa di antara kamu sakit, dan tidak memiliki iman untuk disembuhkan, tetapi percaya, akan dirawat dengan penuh kelembutan, dengan herba-herba dan makanan yang mudah dicerna, dan bukannya melalui tangan musuh.
44 Dan para penatua gereja, dua atau lebih, hendaknya dipanggil, dan akan berdoa untuk mereka dan meletakkan tangan mereka ke atas diri mereka dalam nama-Ku; dan jika mereka mati mereka akan mati bagi-Ku, dan jika mereka hidup mereka akan hidup bagi-Ku.
45 Engkau haruslah hidup bersama dalam kasih, sedemikian rupanya engkau akan menangis kerana kehilangan mereka yang mati, dan terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki harapan untuk kebangkitan yang mulia.
46 Dan akan terjadilah bahawa mereka yang mati di dalam Aku tidak akan merasakan kematian, kerana ia akan terasa manis bagi mereka;
47 Dan mereka yang tidak mati di dalam Aku, celakalah mereka, kerana kematian mereka adalah pahit.
48 Dan lagi, akan terjadilah bahawa dia yang memiliki iman kepada-Ku untuk disembuhkan, dan tidak ditetapkan pada kematian, akan disembuhkan.
49 Dia yang memiliki iman untuk melihat akan melihat.
50 Dia yang memiliki iman untuk mendengar akan mendengar.
51 Yang lumpuh iaitu mereka yang memiliki iman untuk melompat akan melompat.
52 Dan mereka yang tidak memiliki iman untuk melakukan hal-hal ini, tetapi percaya kepada-Ku, memiliki kuasa untuk menjadi anak-anak-Ku; dan sejauh mereka tidak melanggar hukum-Ku engkau haruslah memikul kelemahan mereka.
53 Engkau haruslah berdiri di tempat pengawasanmu.
54 Janganlah engkau mengambil pakaian saudaramu; engkau haruslah membayar untuk apa yang akan engkau terima daripada saudaramu.
55 Dan jika engkau mendapatkan lebih daripada apa yang akan menjadi saraanmu, engkau haruslah memberikannya ke dalam gudang penyimpanan-Ku, agar segala hal boleh dilakukan menurut apa yang telah Aku firmankan.
56 Engkau haruslah meminta, dan tulisan suci-Ku akan diberikan seperti yang telah Aku tetapkan, dan ia akan dilindungi dengan selamat.
57 Dan adalah perlu bahawa engkau haruslah senyap tentangnya, dan tidak mengajarkannya sehinggalah kamu telah menerimanya dengan lengkap.
58 Dan Aku memberi kepadamu sebuah perintah bahawa pada waktu itu kamu haruslah mengajarkannya kepada semua orang; kerana ianya akan diajarkan kepada semua negara, kaum, bahasa dan bangsa.
59 Engkau haruslah mengambil hal-hal yang telah engkau terima, yang telah diberikan kepadamu dalam tulisan suci-Ku untuk sebuah hukum, untuk menjadi hukum-Ku untuk menguruskan gereja-Ku;
60 Dan dia yang melakukan menurut hal-hal ini akan diselamatkan, dan dia yang tidak melakukannya akan dilaknat jika dia meneruskan sedemikian.
61 Jika engkau akan meminta, engkau akan menerima wahyu demi wahyu, pengetahuan demi pengetahuan, agar engkau boleh mengetahui misteri dan hal-hal kedamaian—yang membawa kebahagiaan, yang membawa kehidupan abadi.
62 Engkau haruslah meminta, dan ia akan didedahkan kepadamu pada waktu-Ku tersendiri yang tepat di mana Yerusalem Baru akan dibangunkan.
63 Dan lihatlah, akan terjadilah bahawa para hamba-Ku akan diutus ke timur dan ke barat, ke utara dan ke selatan.
64 Dan bahkan sekarang, biarlah dia yang pergi ke timur mengajar mereka yang akan ditukarkan hati untuk melarikan diri ke barat, dan ini diakibatkan oleh apa yang akan datang ke atas bumi, dan dari komplot-komplot rahsia.
65 Lihatlah, engkau haruslah mentaati segala hal ini, dan akan besarlah ganjaranmu; kerana kepadamu diberikan untuk mengetahui misteri-misteri kerajaan, tetapi tidaklah diberikan kepada dunia untuk mengetahuinya.
66 Kamu haruslah mentaati hukum-hukum yang telah kamu terima dan setialah.
67 Dan selepas ini kamu akan menerima perjanjian-perjanjian gereja, iaitu yang akan cukup untuk menegakkanmu, baik di sini mahupun di Yerusalem Baru.
68 Oleh kerana itu, dia yang kekurangan kebijaksanaan, biarlah dia meminta daripada-Ku, dan Aku akan memberikannya dengan murah hati dan tidak memarahinya.
69 Angkat hatimu dan bersukacitalah, kerana kepadamu kerajaan, atau dengan perkataan lain, kunci-kunci gereja telah diberikan. Demikianlah. Amin.
70 Para imam dan pengajar akan memiliki tugas pengawasan mereka, bahkan seperti para anggota.
71 Dan para penatua atau imam tinggi yang dilantik untuk membantu uskup sebagai penasihat dalam segala hal, keluarga mereka haruslah disara dari harta-harta yang telah dibaktikan kepada uskup, demi kebaikan yang miskin, dan untuk tujuan-tujuan lain, seperti yang disebutkan sebelumnya;
72 Atau mereka mesti menerima pembayaran yang adil untuk segala pelayanan mereka, sama ada tugas pengawasan atau dari cara yang lain, sebagaimana yang dianggap terbaik atau diputuskan oleh para penasihat dan uskup.
73 Dan uskup, juga, harus menerima saraannya, atau pembayaran yang adil untuk segala pelayanannya di dalam gereja.
74 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa sesiapa pun di antara kamu, telah menyingkirkan pasangan mereka disebabkan permukahan, atau dengan perkataan lain, jika mereka akan bersaksi di hadapanmu dengan segala kerendahan hati bahawa inilah keadaannya, janganlah kamu mengusir mereka dari kalangan kamu;
75 Tetapi jika kamu mendapati bahawa sesiapa pun telah meninggalkan pasangan mereka demi perzinaan, dan mereka sendiri adalah orang yang bersalah, dan pasangan mereka masih hidup, mereka haruslah diusir dari kalangan kamu.
76 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu haruslah berwaspada dan berhati-hati, dengan semua pertanyaan, agar kamu tidak menerima orang yang seperti itu di kalangan kamu jika mereka telah berkahwin;
77 Dan jika mereka belum berkahwin, mereka haruslah bertaubat dari segala dosa mereka atau kamu tidak akan menerima mereka.
78 Dan lagi, setiap orang yang masuk dalam gereja Kristus ini, haruslah berusaha untuk mentaati semua perintah dan perjanjian gereja.
79 Dan akan terjadilah, bahawa jika sesiapa pun di antara kamu membunuh mereka akan diserahkan dan diuruskan menurut undang-undang negara; kerana ingatlah bahawa dia tidak memperoleh pengampunan; dan ia akan dibuktikan menurut undang-undang negara.
80 Dan jika sesiapa pun lelaki atau wanita berbuat zina, lelaki atau wanita itu haruslah diadili di hadapan dua orang penatua gereja, atau lebih, dan setiap perkataan haruslah ditegakkan terhadap lelaki atau wanita itu oleh dua orang saksi dari gereja, dan bukanlah daripada musuh; tetapi jika ada lebih daripada dua orang saksi adalah lebih baik.
81 Tetapi lelaki atau wanita itu haruslah dihukum melalui mulut dua orang saksi; dan para penatua haruslah menghadapkan perkara itu di hadapan gereja, dan gereja akan mengangkat tangan mereka terhadap lelaki atau wanita itu, agar mereka boleh diurus menurut hukum Tuhan.
82 Dan jika dapat, kehadiran uskup juga diperlukan.
83 Dan demikianlah kamu harus lakukan dalam segala perkara yang akan datang ke hadapanmu.
84 Dan jika seorang lelaki atau wanita merompak, lelaki atau wanita itu akan diserahkan pada undang-undang negara.
85 Dan jika lelaki atau wanita itu mencuri, lelaki atau wanita itu akan diserahkan pada undang-undang negara.
86 Dan jika lelaki atau wanita itu berdusta, lelaki atau wanita itu akan diserahkan pada undang-undang negara.
87 Dan jika lelaki atau wanita itu melakukan apa-apa kederhakaan pun, lelaki atau wanita itu akan diserahkan pada hukum, bahkan daripada Tuhan.
88 Dan jika saudara lelaki atau saudara perempuanmu bersalah terhadapmu, engkau haruslah mengajak lelaki atau wanita itu berada di antara engkau dan lelaki atau wanita itu sendiri; dan jika lelaki atau wanita itu mengaku engkau haruslah berdamai.
89 Dan jika lelaki atau wanita itu tidak mengaku engkau haruslah menyerahkan lelaki atau wanita itu kepada gereja, bukan kepada anggota, tetapi kepada para penatua. Dan ia akan dilakukan dalam suatu pertemuan, dan bukan di hadapan dunia.
90 Dan jika saudara lelaki atau saudara perempuanmu bersalah terhadap banyak orang, lelaki atau wanita itu haruslah ditegur di hadapan banyak orang.
91 Dan jika sesiapa pun bersalah secara terbuka, lelaki atau wanita itu haruslah ditegur dengan terbuka, agar lelaki atau wanita itu boleh menjadi malu. Dan jika lelaki atau wanita itu tidak mengaku, lelaki atau wanita itu akan diserahkan pada hukum Tuhan.
92 Jika sesiapa pun bersalah secara rahsia, lelaki atau wanita itu akan ditegur secara rahsia, agar lelaki atau wanita itu boleh mempunyai peluang untuk mengaku secara rahsia kepada lelaki atau wanita yang telah lelaki atau wanita itu salahi, dan kepada Tuhan, agar gereja tidak payah berbicara secara teguran terhadap lelaki atau wanita itu.
93 Dan dengan demikianlah kamu akan menjalankan segala hal.