Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 18


Bahagian 18

Wahyu kepada Nabi Joseph Smith, Oliver Cowdery, dan David Whitmer, diberikan di Fayette, New York, Jun 1829. Menurut Nabi, wahyu ini menyatakan “panggilan dua belas rasul pada zaman akhir, dan juga arahan berkenaan pembangunan Gereja.”

1–5, Tulisan suci menunjukkan bagaimana membangunkan Gereja; 6–8, Dunia sedang menjadi matang dalam kederhakaan; 9–16, Nilai semua jiwa adalah besar; 17–25, Untuk memperoleh keselamatan, manusia mesti mengambil ke atas diri mereka nama Kristus; 26–36, Pemanggilan dan misi Dua Belas didedahkan; 37–39, Oliver Cowdery dan David Whitmer mesti mencari Dua Belas; 40–47, Untuk memperoleh keselamatan, manusia mesti bertaubat, dibaptiskan, dan mentaati perintah-perintah.

1 Sekarang, lihatlah, kerana hal yang telah kamu, hamba-Ku Oliver Cowdery, hasratkan untuk tahu daripada-Ku, Aku memberikan kepadamu firman ini:

2 Lihatlah, Aku telah menyatakan kepadamu, melalui Roh-Ku dalam banyak hal, bahawa hal-hal yang telah kamu tuliskan adalah benar; kerana itu kamu tahu bahawa ianya adalah benar.

3 Dan jika kamu tahu bahawa ianya adalah benar, lihatlah, Aku memberi kepadamu sebuah perintah, agar kamu bersandar pada apa yang telah dituliskan;

4 Kerana di dalamnya semua hal dituliskan tentang landasan gereja-Ku, Injil-Ku, dan batu-Ku.

5 Kerana itu, jika kamu akan membangunkan gereja-Ku, di atas landasan Injil-Ku dan batu-Ku, pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawanmu.

6 Lihatlah, dunia sedang menjadi matang dalam kederhakaan; dan mestilah perlu bahawa anak-anak manusia digugah ke arah pertaubatan, baik bangsa bukan Israel mahupun juga bani Israel.

7 Kerana itu, sebagaimana engkau telah dibaptiskan oleh tangan hamba-Ku Joseph Smith Jr., menurut apa yang telah Aku perintahkan kepadanya, dia telah memenuhi apa yang Aku perintahkan kepadanya.

8 Dan sekarang, janganlah takjub bahawa Aku telah memanggilnya untuk tujuan-Ku sendiri, yang mana tujuan itu diketahui di dalam-Ku; kerana itu, jika dia akan tekun dalam mentaati perintah-perintah-Ku dia akan diberkati menuju kehidupan abadi; dan namanya ialah Joseph.

9 Dan sekarang, Oliver Cowdery, Aku berfirman kepadamu, dan juga kepada David Whitmer, dengan cara perintah; kerana, lihatlah, Aku memerintahkan semua orang di mana-mana pun untuk bertaubat, dan Aku berfirman kepadamu, bahkan seperti kepada Paulus rasul-Ku, kerana kamu dipanggil bahkan dengan panggilan yang sama yang dengannya.

10 Ingatlah nilai semua jiwa adalah besar di mata Tuhan;

11 Kerana, lihatlah, Tuhan Penebusmu menderita kematian dalam keadaan daging; kerana itu Dia menderita kesakitan semua manusia, agar semua manusia boleh bertaubat dan datang kepada-Nya.

12 Dan Dia telah bangkit lagi dari yang mati, agar Dia boleh membawa semua orang kepada-Nya, dengan syarat-syarat pertaubatan.

13 Dan betapa besar kebahagiaan-Nya di dalam jiwa yang bertaubat!

14 Kerana itu, kamu telah dipanggil untuk menyerukan pertaubatan kepada orang-orang ini.

15 Dan jika demikian halnya bahawa kamu akan bekerja sepanjang hidupmu dalam menyerukan pertaubatan kepada orang-orang ini, dan membawa, meskipun hanya satu jiwa kepada-Ku, maka betapa besarnya kebahagiaanmu bersamanya di dalam kerajaan Bapa-Ku!

16 Dan sekarang, jika kebahagiaanmu besar dengan satu jiwa yang telah kamu bawa kepada-Ku ke dalam kerajaan Bapa-Ku, maka betapa besar kebahagiaanmu jika kamu akan membawa banyak jiwa kepada-Ku!

17 Lihatlah, kamu memiliki Injil-Ku di hadapanmu, dan batu-Ku, dan keselamatan-Ku.

18 Mintalah kepada Bapa dalam nama-Ku, dalam iman percaya bahawa kamu akan menerima, dan kamu akan memperoleh Roh Kudus, yang menyatakan segala hal yang perlu kepada anak-anak manusia.

19 Dan jika kamu tidak memiliki iman, harapan, dan kasih ihsan, kamu tidak dapat melakukan apa pun.

20 Janganlah bertikai menentang mana-mana gereja pun, kecuali gereja iblis.

21 Ambillah ke atas dirimu nama Kristus, dan ucapkanlah kebenaran dengan kesungguhan.

22 Dan seberapa banyak yang bertaubat dan dibaptiskan dalam nama-Ku, iaitu Yesus Kristus, dan bertahan sampai akhir, orang yang sama akan diselamatkan.

23 Lihatlah, Yesus Kristus adalah nama yang diberikan oleh Bapa, dan tidak ada nama lain diberikan yang dengannya manusia dapat diselamatkan;

24 Kerana itu, semua orang mesti mengambil ke atas diri mereka nama yang diberikan oleh Bapa, kerana dalam nama itu mereka akan dipanggil pada hari terakhir;

25 Kerana itu, jika mereka tidak mengetahui nama yang dengannya mereka dipanggil, mereka tidak dapat memiliki tempat di dalam kerajaan Bapa-Ku.

26 Dan sekarang, lihatlah, ada yang lain yang dipanggil untuk memaklumkan Injil-Ku, baik kepada bangsa bukan Israel mahupun kepada bangsa Yahudi;

27 Ya, bahkan dua belas; dan Dua Belas ini akan menjadi para pengikut-Ku, dan mereka akan mengambil ke atas diri mereka nama-Ku; dan Dua Belas ini ialah mereka yang akan berhasrat untuk mengambil ke atas diri mereka nama-Ku dengan tujuan hati yang sepenuhnya.

28 Dan jika mereka berhasrat untuk mengambil ke atas diri mereka nama-Ku dengan tujuan hati yang sepenuhnya, mereka dipanggil untuk pergi ke seluruh dunia untuk mengkhutbahkan Injil-Ku kepada setiap makhluk.

29 Dan merekalah yang ditahbiskan oleh-Ku untuk membaptis dalam nama-Ku, menurut apa yang dituliskan;

30 Dan kamu memiliki apa yang telah dituliskan di hadapanmu; kerana itu, kamu mesti melaksanakannya menurut firman yang telah dituliskan.

31 Dan sekarang, Aku berfirman kepadamu, Dua Belas—Lihatlah, rahmat-Ku cukup untukmu; kamu mesti berjalan dengan lurus di hadapan-Ku dan janganlah berdosa.

32 Dan, lihatlah, kamulah mereka yang ditahbiskan oleh-Ku untuk menahbiskan para imam dan pengajar; untuk memaklumkan Injil-Ku, menurut kuasa Roh Kudus yang ada dalam dirimu, dan menurut panggilan dan kurniaan Tuhan kepada manusia;

33 Dan Aku, Yesus Kristus, Tuhanmu dan Rajamu, telah memfirmankannya.

34 Firman ini bukannya daripada manusia tidak juga daripada orang biasa, tetapi daripada-Ku; kerana itu, kamu akan bersaksi ianya adalah daripada-Ku dan bukan daripada orang biasa;

35 Kerana suara-Kulah yang memfirmankannya kepadamu; kerana ia diberikan melalui Roh-Ku kepadamu, dan melalui kuasa-Ku kamu dapat saling membacakannya; dan kecuali melalui kuasa-Ku kamu tidak akan dapat memperolehnya;

36 Kerana itu, kamu dapat bersaksi bahawa kamu telah mendengar suara-Ku, dan mengetahui firman-Ku.

37 Dan sekarang, lihatlah, Aku memberi tugas kepadamu, Oliver Cowdery, dan juga kepada David Whitmer, bahawa kamu harus mencari Dua Belas ini, yang memiliki hasrat-hasrat seperti yang telah Aku firmankan;

38 Dan berdasarkan hasrat mereka dan pekerjaan-pekerjaan mereka kamu akan mengenali mereka.

39 Dan apabila kamu telah menemui mereka kamu haruslah menunjukkan hal-hal ini kepada mereka.

40 Dan kamu akan menjatuhkan diri dan menyembah Bapa dalam nama-Ku.

41 Dan kamu mesti berkhutbah kepada dunia, mengatakan: Kamu mesti bertaubat dan dibaptiskan, dalam nama Yesus Kristus;

42 Kerana semua orang mesti bertaubat dan dibaptiskan, dan bukan hanya lelaki, tetapi juga wanita, dan anak-anak yang telah mencapai umur pertanggungjawaban.

43 Dan sekarang, setelah kamu menerima ini, kamu mesti mentaati perintah-perintah-Ku dalam segala hal;

44 Dan melalui tanganmu Aku akan mengerjakan suatu pekerjaan yang menakjubkan di kalangan anak-anak manusia, untuk meyakinkan banyak orang tentang dosa-dosa mereka, agar mereka boleh datang pada pertaubatan, dan agar mereka boleh datang ke kerajaan Bapa-Ku.

45 Kerana itu, berkat-berkat yang Aku berikan kepadamu melebihi segala hal.

46 Dan setelah kamu menerima ini, jika kamu tidak mentaati perintah-perintah-Ku kamu tidak dapat diselamatkan di dalam kerajaan Bapa-Ku.

47 Lihatlah, Aku, Yesus Kristus, Tuhanmu dan Rajamu, dan Penebusmu, melalui kuasa Roh-Ku telah memfirmankannya. Amin.