Bahagian 133
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Hiram, Ohio, 3 November 1831. Sebagai pengantar wahyu ini, sejarah Joseph Smith menyatakan, “Pada waktu ini ada banyak hal yang diinginkan oleh para Penatua untuk mengetahui berkaitan dengan pengkhutbahan Injil kepada para penduduk bumi, dan tentang pengumpulan; dan untuk berjalan dengan cahaya yang benar, dan diberikan arahan dari syurga, pada tarikh 3 November 1831, saya telah bertanya kepada Tuhan dan menerima wahyu penting yang berikut.” Bahagian ini merupakan yang pertama sekali ditambahkan ke dalam kitab Ajaran dan Perjanjian sebagai tambahan dan selepas itu diberikan nombor bahagian.
1–6, Para Orang Suci diperintahkan untuk bersedia bagi Kedatangan Kedua; 7–16, Semua orang diperintahkan untuk pergi dari Babilon, datang ke Sion, dan bersedia bagi hari Tuhan yang besar; 17–35, Dia akan berdiri di atas Gunung Sion, benua-benua akan menjadi satu daratan, dan suku-suku Israel yang hilang akan kembali; 36–40, Injil telah dipulihkan melalui Joseph Smith untuk dikhutbahkan ke seluruh dunia; 41–51, Tuhan akan turun dengan pembalasan kepada yang jahat; 52–56, Itu akan menjadi tahun bagi mereka yang ditebus-Nya; 57–74, Injil mesti disebarkan untuk menyelamatkan para Orang Suci dan untuk kehancuran orang jahat.
1 Dengarlah, Wahai kamu umat gereja-Ku, firman Tuhan Rajamu, dan dengarlah firman Tuhan tentang kamu—
2 Tuhan yang akan dengan tiba-tiba datang ke bait suci-Nya; Tuhan yang akan turun ke atas dunia dengan kutukan untuk penghakiman; ya, ke atas segala bangsa yang melupakan Tuhan, dan ke atas semua yang fasiq di kalangan kamu.
3 Kerana Dia akan menunjukkan lengan kudus-Nya di mata segala bangsa, dan segenap hujung bumi akan melihat keselamatan daripada Tuhan mereka.
4 Kerana itu, bersedialah kamu, bersedialah kamu, Wahai umat-Ku; kuduskanlah dirimu; berkumpullah kamu bersama, Wahai kamu umat gereja-Ku, di atas negeri Sion, semua kamu yang belum diperintahkan untuk tinggal.
5 Pergilah kamu keluar dari Babilon. Jadilah kamu bersih yang menyandang bejana Tuhan.
6 Adakanlah perhimpunan khusyukmu, dan saling berbicara selalu. Dan biarlah setiap orang memanggil nama Tuhan.
7 Ya, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu lagi, waktunya telah tiba apabila suara Tuhan kepadamu: Pergilah kamu keluar dari Babilon; berkumpullah kamu keluar dari antara bangsa-bangsa, dari empat penjuru angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain.
8 Utuslah para penatua gereja-Ku kepada bangsa-bangsa yang berada jauh; ke pulau-pulau di laut; utuslah ke negeri-negeri asing; serulah kepada segala bangsa, terlebih dahulu kepada bangsa bukan Israel, dan kemudian kepada bangsa Yahudi.
9 Dan lihatlah, dan tengoklah, ini akan menjadi seruan mereka, dan suara Tuhan kepada semua orang: Pergilah kamu ke negeri Sion, agar sempadan-sempadan umat-Ku boleh diperluaskan, dan agar pancang-pancangnya boleh dikuatkan, dan agar Sion boleh menyebar luas ke wilayah-wilayah sekitarnya.
10 Ya, biarlah seruannya disebarkan ke antara semua orang: Bangun dan bangkit dan pergilah untuk menemui Pengantin Lelaki; lihat dan tengoklah, Pengantin Lelaki datang; pergilah kamu keluar untuk menemui-Nya. Sediakanlah dirimu untuk hari Tuhan yang besar.
11 Berjagalah, oleh kerana itu, kerana kamu tidak mengetahui hari dan juga jamnya.
12 Biarlah mereka, oleh kerana itu, yang berada di antara bangsa bukan Israel pergi ke Sion.
13 Dan biarlah mereka yang dari Yehuda pergi ke Yerusalem, ke gunung-ganang rumah Tuhan.
14 Pergilah kamu keluar dari antara bangsa-bangsa, bahkan dari Babilon, dari tengah-tengah kejahatan, iaitu Babilon rohani.
15 Tetapi sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan, janganlah biarkan pemergianmu itu terburu-buru, tetapi biarlah segala hal disediakan bagimu sebelumnya; dan dia yang pergi, janganlah biarkan dia melihat ke belakang agar jangan kehancuran akan datang kepadanya secara tiba-tiba.
16 Dengarkanlah, Wahai kamu penduduk bumi. Dengarkanlah, kamu para penatua gereja-Ku bersama, dan dengarlah suara Tuhan; kerana Dia memanggil kepada semua orang, dan Dia memerintahkan semua orang di mana-mana pun untuk bertaubat.
17 Kerana lihatlah, Tuhan Raja telah mengutus malaikat yang berseru di tengah-tengah langit mengatakan: Sediakanlah kamu jalan Tuhan, dan jadikanlah jalan-Nya lurus, kerana waktu kedatangan-Nya sudah hampir—
18 Apabila Anak Domba akan berdiri di atas Gunung Sion, dan bersama-Nya seratus empat puluh empat ribu, mempunyai nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka.
19 Kerana itu, bersedialah kamu untuk kedatangan Pengantin Lelaki; pergilah kamu, pergilah kamu keluar untuk menemui-Nya.
20 Kerana lihatlah, Dia akan berdiri di atas Bukit Zaitun, dan di atas lautan yang dahsyat, bahkan lautan dalam, dan di atas pulau-pulau di laut, dan di atas negeri Sion.
21 Dan Dia akan menyuarakan suara-Nya dari Sion, dan Dia akan berfirman dari Yerusalem, dan suara-Nya akan didengari di kalangan semua orang;
22 Dan itu akan menjadi suatu suara bagaikan suara perairan yang banyak, dan bagaikan suara guntur yang kuat, yang akan menghancurkan gunung-ganang, dan lembah-lembah tidak akan ditemukan.
23 Dia akan memerintah lautan dalam, dan ia akan dipindahkan kembali ke negara-negara utara, dan pulau-pulau akan menjadi satu daratan;
24 Dan negeri Yerusalem dan negeri Sion akan dikembalikan ke tempatnya sendiri, dan bumi akan menjadi seperti dahulu seperti pada masa ianya belum terbahagi.
25 Dan Tuhan, bahkan Juruselamat, akan berdiri di tengah-tengah umat-Nya, dan akan memerintah ke atas semua daging.
26 Dan mereka yang berada di negara-negara utara akan datang dalam ingatan Tuhan; dan para nabi mereka akan mendengar suara-Nya, dan tidak akan lagi menahan diri mereka; dan mereka akan menghentam batu, dan ais akan mengalir turun di hadapan mereka.
27 Dan sebuah jalan besar akan dibangunkan di tengah-tengah lautan dalam.
28 Musuh-musuh mereka akan menjadi mangsa bagi mereka,
29 Dan di gurun-gurun yang gersang akan muncul kolam-kolam air yang hidup; dan tanah yang kekeringan tidak lagi akan menjadi tanah yang haus.
30 Dan mereka akan membawakan harta-harta mereka yang berharga kepada anak-anak Efraim, para hamba-Ku.
31 Dan batas bukit-bukit yang abadi akan bergegar di hadapan mereka.
32 Dan di sana mereka akan sujud dan dimahkotai dengan kemuliaan, bahkan di Sion, melalui tangan para hamba Tuhan, bahkan anak-anak Efraim.
33 Dan mereka akan dipenuhi dengan nyanyian kebahagiaan kekal.
34 Lihatlah, inilah berkat daripada Tuhan yang kekal kepada suku-suku Israel, dan berkat yang lebih berharga ke atas kepala Efraim dan para sekutunya.
35 Dan mereka juga yang dari suku Yehuda, selepas kesakitan mereka, akan dikuduskan dalam kekudusan di hadapan Tuhan, untuk tinggal di dalam hadirat-Nya siang dan malam, selama-lamanya.
36 Dan sekarang, sesungguhnya berfirmanlah Tuhan, agar hal-hal ini boleh diketahui di antara kamu, Wahai penduduk bumi, Aku telah mengutuskan malaikat-Ku terbang di tengah-tengah langit, memiliki Injil kekal, yang telah muncul kepada beberapa orang dan telah memberikannya kepada manusia, yang akan muncul kepada banyak orang yang tinggal di atas bumi.
37 Dan Injil ini akan dikhutbahkan kepada setiap negara, dan kaum, dan bahasa, dan bangsa.
38 Dan para hamba Tuhan akan pergi, mengatakan dengan suara yang lantang: Takutlah kepada Tuhan dan berikanlah kemuliaan kepada-Nya, kerana masa penghakiman-Nya telah datang;
39 Dan sembahlah Dia yang menjadikan langit, dan bumi, dan laut, dan sumber-sumber air—
40 Memanggil nama Tuhan siang dan malam, mengatakan: Ya semoga Engkau akan mengoyakkan langit, agar Engkau akan turun, sehingga gunung-ganang dapat mengalir turun dalam hadirat-Mu.
41 Dan ianya akan dijawab ke atas kepala mereka; kerana hadirat Tuhan akan bagaikan api lebur yang membakar, dan bagaikan api yang menyebabkan air mendidih.
42 Ya Tuhan, Engkau akan turun untuk memaklumkan nama-Mu kepada musuh-musuh-Mu, dan segala bangsa akan gementar dengan hadirat-Mu—
43 Apabila Engkau melakukan perkara-perkara yang menakutkan, hal-hal yang tidak disangka oleh mereka;
44 Ya, apabila Engkau turun, dan gunung-ganang mengalir turun dalam hadirat-Mu, Engkau akan bertemu dia yang bersukacita dan mengerjakan kebenaran, yang mengingati-Mu dalam jalan-Mu.
45 Kerana sejak permulaan dunia manusia tidak mendengar dan juga mengenali melalui telinga, tidak juga mata sesiapa pun melihat, Ya Tuhan, selain Engkau, betapa besarnya hal-hal yang telah Engkau sediakan kepada dia yang menunggu-Mu.
46 Dan akan dikatakan: Siapakah ini yang turun dari Tuhan di dalam syurga dengan pakaian yang berwarna; ya, dari wilayah-wilayah yang tidak diketahui, berpakaian dalam pakaian-Nya yang mulia, melakukan perjalanan dalam kebesaran kekuatan-Nya?
47 Dan Dia akan berfirman: Aku ialah Dia yang berfirman dalam kebenaran, berkuasa untuk menyelamatkan.
48 Dan Tuhan akan berpakaian merah, dan pakaian-Nya seperti Dia yang memijak-mijak di dalam tong anggur.
49 Dan akan sebegitu besarlah kemuliaan hadirat-Nya sehingga matahari akan menyembunyikan mukanya kerana malu, dan bulan akan menahan cahaynya, dan bintang-bintang akan dilemparkan dari tempatnya.
50 Dan suara-Nya akan didengari: Aku telah memijak-mijak alat pemeras anggur seorang diri, dan telah membawa penghakiman ke atas semua orang; dan tiada seorang pun berada bersama-Ku;
51 Dan Aku telah memijak-mijak mereka dalam kegeraman-Ku, dan Aku memijak-mijak mereka dalam kemarahan-Ku, dan darah mereka telah Aku percikkan ke atas pakaian-Ku, dan mengotorkan seluruh pakaian-Ku; kerana inilah hari pembalasan yang ada dalam hati-Ku.
52 Dan sekarang tahun bagi mereka yang ditebus-Nya telah datang; dan mereka akan menyebutkan kebaikan hati penuh kasih Tuhan mereka, dan segala yang telah Dia berikan ke atas diri mereka menurut kebaikan-Nya, dan menurut kebaikan hati penuh kasih-Nya, selama-lamanya.
53 Di dalam segala kesengsaraan mereka Dia disengsarakan. Dan malaikat dari hadirat-Nya menyelamatkan mereka; dan dalam kasih-Nya, dan dalam rasa kasihan-Nya, Dia menebus mereka, dan mengangkat mereka, dan menyokong mereka sepanjang zaman dahulu;
54 Ya, dan Henokh juga, dan mereka yang berada bersamanya; para nabi yang ada sebelum dia; dan juga Nuh, dan mereka yang ada sebelum dia; dan juga Musa, dan mereka yang ada sebelum dia;
55 Dan dari Musa ke Elia, dan dari Elia ke Yohanes, yang berada bersama Kristus pada kebangkitan-Nya, dan para rasul kudus, bersama Abraham, Ishak, dan Yakub, akan berada di dalam hadirat Anak Domba.
56 Dan kubur para orang suci akan dibuka; dan mereka akan datang dan berdiri pada sisi kanan Anak Domba, apabila Dia akan berdiri di atas Gunung Sion, dan di atas kota yang kudus, Yerusalem Baru; dan mereka akan menyanyikan nyanyian Anak Domba, siang dan malam selama-lamanya.
57 Dan untuk tujuan ini, agar manusia boleh dijadikan pengambil bahagian dari kemuliaan yang akan diwahyukan, Tuhan mengutuskan kegenapan Injil-Nya, perjanjian-Nya yang kekal, menjelaskan dengan terang dan mudah—
58 Untuk menyediakan yang lemah untuk hal-hal yang akan datang ke atas bumi itu, dan untuk tugas suruhan Tuhan pada masa yang lemah akan menundukkan yang bijak, dan yang kecil menjadi suatu bangsa yang kuat, dan dua orang akan menumpaskan beribu-ribu orang mereka.
59 Dan melalui hal-hal yang lemah dari bumi Tuhan akan membanting bangsa-bangsa itu dengan kuasa Roh-Nya.
60 Untuk tujuan inilah perintah-perintah ini diberikan; mereka diperintahkan untuk disembunyikan dari dunia pada hari ianya diberikan, tetapi sekarang harus disebarkan kepada semua daging—
61 Dan ini menurut fikiran dan kehendak Tuhan, yang berkuasa ke atas semua daging.
62 Dan kepada dia yang bertaubat dan menguduskan dirinya di hadapan Tuhan akan diberikan kehidupan abadi.
63 Dan kepada mereka yang tidak mendengar suara Tuhan akan digenapi apa yang telah dituliskan oleh Nabi Musa, bahawa mereka akan disingkirkan dari kalangan orang-orang itu.
64 Dan juga apa yang telah dituliskan oleh Nabi Maleakhi: Kerana, lihatlah, harinya datang yang akan membakar bagaikan ketuhar, dan semua yang sombong, ya, dan semua yang melakukan kejahatan, akan menjadi tunggul jerami; dan hari yang datang itu akan membakar mereka, firman Tuhan semesta alam, sehingga akan meninggalkan mereka tanpa akar tidak juga cabang.
65 Kerana itu, ini akan menjadi jawapan Tuhan kepada mereka:
66 Pada hari itu apabila Aku datang kepada umat milik-Ku, tiada seorang pun di antara kamu menerima-Ku, dan kamu dihalau keluar.
67 Apabila Aku memanggil lagi tiada seorang pun daripadamu yang menjawab; namun lengan-Ku tidak sama sekali dipendekkan sehingga Aku tidak dapat menebus, tidak juga kuasa-Ku untuk membebaskan.
68 Lihatlah, dengan herdikan-Ku Aku mengeringkan laut. Aku menjadikan sungai-sungai sebuah padang belantara; ikan mereka berbau busuk, dan mati kerana kehausan.
69 Aku menyelimuti langit dengan kegelapan, dan menjadikan kain guni pakaian mereka.
70 Dan ini yang akan kamu peroleh daripada tangan-Ku—kamu akan berbaring dalam kedukaan.
71 Lihatlah, dan tengoklah, tiada seorang pun yang akan membebaskanmu; kerana kamu tidak mematuhi suara-Ku semasa Aku memanggil kepadamu dari syurga; kamu tidak mempercayai para hamba-Ku, dan semasa mereka diutus kepadamu kamu tidak menerima mereka.
72 Kerana itu, mereka memeteraikan kesaksian dan mengikat hukum itu, dan kamu diserahkan pada kegelapan.
73 Inilah mereka yang akan pergi ke dalam kegelapan luar, di mana terdapatnya tangisan, dan ratapan, dan kertakan gigi.
74 Lihatlah Tuhan Rajamu telah memfirmankannya. Amin.