Bahagian 132
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Nauvoo, Illinois, dicatatkan pada 12Â Julai 1843, berkaitan dengan perjanjian yang baru dan abadi, termasuk keabadian perjanjian perkahwinan dan asas beristeri banyak. Walaupun wahyu ini dicatat pada tahun 1843, bukti menunjukkan bahawa beberapa asas-asas terlibat dalam wahyu ini diketahui oleh Nabi seawal 1831. Lihat Pengisytiharan Rasmi 1.
1–6, Permuliaan diperoleh melalui perjanjian yang baru dan kekal; 7–14, Tema dan syarat-syarat perjanjian itu dinyatakan; 15–20, Perkahwinan selestial dan kelanjutan unit keluarga membolehkan manusia untuk menjadi tuhan; 21–25, Jalan yang kecil dan sempit menuntun pada kehidupan kekal; 26–27, Hukum diberikan berkaitan dengan penistaan terhadap Roh Kudus; 28–39, Janji-janji peningkatan abadi dan permuliaan dibuat kepada para nabi dan Orang Suci dalam semua zaman; 40–47, Joseph Smith diberikan kuasa untuk mengikat dan memeteraikan di atas bumi dan di dalam syurga; 48–50, Tuhan memeteraikan permuliaan kepadanya; 51–57, Emma Smith dinasihati untuk setia dan benar; 58–66, Hukum-hukum yang mengatur beristeri banyak dinyatakan.
1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu hamba-Ku Joseph, bahawa kerana kamu telah menanyakan dari tangan-Ku untuk mengetahui dan memahami dimana Aku, Tuhan, membenarkan hamba-Ku Abraham, Ishak, dan Yakub, seperti juga Musa, Daud dan Salomo, para hamba-Ku, yang menyentuh asas dan ajaran tentang mereka yang memiliki banyak isteri dan gundik—
2 Lihatlah, dan tengoklah, Aku ialah Tuhan Rajamu, dan akan menjawab kepadamu yang menyentuh tentang hal ini.
3 Oleh kerana itu, sediakanlah hatimu untuk menerima dan mematuhi arahan yang Aku akan berikan kepadamu; kerana kepada mereka semua yang diwahyukan hukum ini mestilah mematuhi hukum yang sama itu.
4 Kerana lihatlah, Aku mewahyukan kepadamu sebuah perjanjian yang baru dan kekal; dan jika kamu tidak menuruti perjanjian itu, maka kamu dilaknat; kerana tiada seorang pun yang dapat menolak perjanjian ini dan diizinkan untuk masuk ke dalam kemuliaan-Ku.
5 Kerana semua yang ingin untuk memperoleh berkat daripada tangan-Ku harus menuruti hukum yang ditetapkan bagi berkat itu, dan syarat-syaratnya, yang telah ditegakkan sejak sebelum pengasasan dunia.
6 Dan berkaitan dengan perjanjian yang baru dan abadi, ia telah ditegakkan demi kegenapan kemuliaan-Ku; dan dia yang menerima kegenapannya mesti dan harus menuruti hukum itu, atau dia akan dilaknat, firman Tuhan Raja.
7 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa syarat-syarat hukum ini adalah seperti ini: Semua perjanjian, kontrak, ikatan, kewajipan, sumpah, ikrar, pelaksanaan, hubungan, persatuan, atau jangkaan, yang tidak dibuat dan dimasuki dan dimeteraikan oleh Roh Kudus perjanjian, oleh dia yang telah ditetapkan, baik untuk waktu ini mahupun untuk seluruh keabadian, dan juga yang paling kudus, melalui wahyu dan perintah melalui pengantara yang telah Aku sapukan minyak, yang telah Aku tetapkan di atas bumi untuk memegang kuasa ini (dan Aku telah menetapkan hamba-Ku Joseph untuk memegang kuasa ini pada zaman akhir, dan tidak pernah ada selain satu orang di atas bumi pada suatu masa kepadanya kuasa ini dan kunci-kunci imamat ini dianugerahkan), adalah tanpa kesan, kebaikan, atau kuasa semasa dan selepas kebangkitan dari yang mati; kerana semua kontrak yang tidak dibuat untuk tujuan ini akan berakhir apabila manusia mati.
8 Lihatlah, rumah-Ku adalah rumah ketertiban, firman Tuhan Raja, dan bukannya rumah kekeliruan.
9 Adakah Aku akan menerima suatu persembahan, firman Tuhan, yang tidak dibuat dalam nama-Ku?
10 Atau adakah Aku akan menerima daripada tanganmu apa yang tidak Aku tetapkan?
11 Dan adakah Aku akan menetapkan kepadamu, firman Tuhan, melainkan ianya melalui hukum, bahkan seperti yang Aku dan Bapa-Ku tahbiskan kepadamu, sebelum wujudnya dunia?
12 Aku ialah Tuhan Rajamu; dan Aku memberi kepadamu perintah ini—bahawa tiada seorang pun akan datang kepada Bapa melainkan melalui-Ku atau melalui firman-Ku, yang merupakan hukum-Ku, firman Tuhan.
13 Dan setiap perkara yang ada di dunia ini, sama ada ianya ditetapkan oleh manusia, melalui takhta, atau pemerintahan, atau kuasa, atau hal-hal yang ternama, walau apa pun ia, yang bukan melalui-Ku atau melalui firman-Ku, firman Tuhan, akan dijatuhkan, dan tidak akan kekal selepas manusia mati, tidak juga semasa atau selepas kebangkitan, firman Tuhan Rajamu.
14 Kerana apa pun yang tinggal adalah melalui-Ku; dan apa pun yang tidak melalui-Ku akan digoncang dan dihancurkan.
15 Oleh kerana itu, jika seorang lelaki mengahwini baginya seorang isteri di dunia, dan lelaki itu mengahwini wanita itu bukan melalui-Ku tidak juga melalui firman-Ku, dan lelaki itu membuat perjanjian dengan wanita itu selagi lelaki itu berada di dunia dan wanita itu bersama lelaki itu, perjanjian dan pernikahan mereka tidaklah berkuasa apabila mereka mati, dan apabila mereka berada di luar dunia; oleh kerana itu, mereka tidak terikat dengan apa-apa hukum pun apabila mereka berada di luar dunia.
16 Oleh kerana itu, apabila mereka berada di luar dunia mereka tidak juga berkahwin atau dikahwinkan; tetapi ditetapkan sebagai malaikat-malaikat di dalam syurga, yang mana para malaikat itu adalah hamba yang melayani, untuk melayani bagi mereka yang layak akan kemuliaan yang jauh lebih besar dan yang luar biasa, dan yang abadi.
17 Kerana para malaikat ini tidak menuruti hukum-Ku; oleh kerana itu, mereka tidak dapat berketurunan, tetapi kekal terpisah dan sendirian, tanpa permuliaan, dalam keadaan mereka yang diselamatkan, sepanjang seluruh keabadian; dan sejak dari itu bukanlah para tuhan, tetapi para malaikat Tuhan selama-lamanya.
18 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, jika seorang lelaki mengahwini seorang isteri, dan membuat sebuah perjanjian dengan wanita itu untuk waktu ini dan untuk seluruh keabadian, jika perjanjian itu bukan melalui-Ku atau melalui firman-Ku, yang merupakan hukum-Ku, dan tidak dimeteraikan oleh Roh Kudus perjanjian, melalui dia yang telah Aku sapukan minyak dan tetapkan pada kuasa ini, maka ianya tidaklah sah dan juga berkuasa apabila mereka berada di luar dunia, kerana mereka tidak disatukan oleh-Ku, firman Tuhan, tidak juga melalui firman-Ku; apabila mereka berada di luar dunia ia tidak dapat diterima di sana, kerana para malaikat dan para tuhan ditetapkan di sana, mereka tidak dapat melepasi mereka; mereka tidak dapat, oleh kerana itu, mewarisi kemuliaan-Ku; kerana rumah-Ku adalah rumah ketertiban, firman Tuhan Raja.
19 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, jika seorang lelaki mengahwini seorang isteri melalui firman-Ku, yang merupakan hukum-Ku, dan melalui perjanjian yang baru dan kekal, dan ianya dimeteraikan bagi mereka melalui Roh Kudus perjanjian, melalui dia yang disapukan minyak, kepadanya telah Aku tetapkan kuasa ini dan kunci-kunci imamat ini; dan akan dikatakan kepada mereka—Kamu akan tampil dalam kebangkitan pertama; dan jika ianya selepas kebangkitan pertama, dalam kebangkitan berikutnya; dan akan mewarisi takhta, kerajaan, pemerintahan, dan kuasa, kekuasaan, segala ketinggian dan kedalaman—dan akan dituliskan dalam Kitab Kehidupan Anak Domba, bahawa dia tidak akan melakukan pembunuhan yang menumpahkan darah yang tidak berdosa, dan jika kamu tinggal dalam perjanjian-Ku, dan tidak melakukan pembunuhan yang menumpahkan darah yang tidak berdosa, ianya akan terjadi kepada mereka dalam semua hal apa pun yang hamba-Ku telah letakkan ke atas diri mereka, dalam waktu ini, dan seluruh keabadian; dan akan berkuasa penuh apabila mereka berada di luar dunia; dan mereka akan melepasi para malaikat, dan para tuhan, yang ditempatkan di sana, ke permuliaan dan kemuliaan mereka dalam segala hal, seperti yang telah dimeteraikan ke atas kepala mereka, yang mana kemuliaannya akan menjadi kegenapan dan penerusan benih keturunan selama-lamanya.
20 Pada waktu itu mereka akan menjadi tuhan, kerana mereka tidak mempunyai akhir; oleh kerana itu mereka akan berada dari kekekalan ke kekekalan, kerana mereka berterusan; pada waktu itu mereka akan melebihi segalanya, kerana segalanya tunduk kepada mereka. Pada waktu itu mereka akan menjadi Tuhan, kerana mereka memiliki segala kuasa, dan para malaikat tunduk kepada mereka.
21 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, melainkan kamu menuruti hukum-Ku kamu tidak dapat mencapai kemuliaan ini.
22 Kerana kecillah pintu gerbang, dan sempitlah jalan yang menuntun pada permuliaan dan penerusan kehidupan, dan hanya sedikit sahaja yang menemukannya, kerana kamu tidak menerima-Ku di dunia tidak juga kamu mengenal-Ku.
23 Tetapi jika kamu menerima-Ku di dunia, maka kamu akan mengenal-Ku, dan akan menerima permuliaanmu; sehingga di mana Aku berada kamu akan berada juga.
24 Inilah kehidupan kekal—untuk mengenali satu-satunya Tuhan yang bijak dan benar, dan Yesus Kristus, yang telah Dia utuskan. Akulah Dia. Terimalah kamu, oleh kerana itu, hukum-Ku.
25 Lebarlah pintu gerbang, dan luaslah jalan yang menuntun pada kematian; dan banyak yang pergi ke dalam tempat itu, kerana mereka tidak menerima-Ku, tidak juga mereka menuruti hukum-Ku.
26 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, jika seorang lelaki mengahwini seorang isteri menurut firman-Ku, dan mereka dimeteraikan melalui Roh Kudus perjanjian, menurut penetapan-Ku, dan lelaki atau wanita itu akan melakukan dosa atau apa pun pelanggaran terhadap perjanjian yang baru dan kekal, dan segala macam penistaan, dan jika mereka tidak melakukan pembunuhan dimana mereka menumpahkan darah yang tidak berdosa, mereka masih akan tampil dalam kebangkitan pertama, dan masuk ke dalam permuliaan mereka; tetapi mereka akan dihancurkan dalam daging, dan akan diserahkan pada seksaan Setan sehinggalah hari penebusan, firman Tuhan Raja.
27 Penistaan terhadap Roh Kudus, yang tidak akan diampuni di dunia dan juga di luar dunia, adalah dimana kamu melakukan pembunuhan yang mana kamu telah menumpahkan darah yang tidak berdosa, dan menyetujui kematian-Ku, setelah kamu menerima perjanjian-Ku yang baru dan kekal, firman Tuhan Raja; dan dia yang tidak menuruti hukum ini tidak sekali-kali dapat masuk ke dalam kemuliaan-Ku, tetapi akan dilaknat, firman Tuhan.
28 Aku ialah Tuhan Rajamu, dan akan memberi kepadamu hukum Imamat Kudus-Ku, sebagaimana ditahbiskan oleh-Ku dan Bapa-Ku sebelum wujudnya dunia.
29 Abraham menerima segalanya, apa pun yang telah diterimanya, melalui wahyu dan perintah, melalui firman-Ku, firman Tuhan, dan telah masuk ke dalam permuliaannya dan duduk di atas takhtanya.
30 Abraham menerima janji-janji berkenaan benih keturunannya, dan buah auratnya—daripada auratnyalah kamu wujud, iaitu, hamba-Ku Joseph—yang akan berterusan selagi mereka berada di dunia; dan menyentuh tentang Abraham dan benih keturunannya, mereka akan berterusan di luar dunia ini; baik di dunia mahupun di luar dunia mereka akan berterusan tidak terkira banyaknya bagaikan bintang-bintang; atau, seperti jika kamu mengira pasir di tepi laut kamu tidak dapat mengiranya.
31 Janji ini adalah milikmu juga, kerana kamu adalah dari Abraham, dan janji yang telah dibuat kepada Abraham; dan melalui hukum inilah pekerjaan Bapa-Ku berterusan, yang mana di dalamnya Dia memuliakan diri-Nya.
32 Pergilah kamu, oleh kerana itu, dan lakukanlah pekerjaan Abraham; masuklah kamu ke dalam hukum-Ku dan kamu akan diselamatkan.
33 Tetapi jika kamu tidak masuk ke dalam hukum-Ku kamu tidak dapat menerima janji Bapa-Ku, yang telah Dia buat kepada Abraham.
34 Tuhan memerintahkan Abraham, dan Sara memberikan Hagar kepada Abraham sebagai isteri. Dan mengapa dia melakukannya? Kerana inilah hukumnya; dan dari Hagar lahirlah banyak orang. Dan ini, oleh kerana itu, menggenapi, di samping hal-hal lain, janji-janji tersebut.
35 Adakah Abraham, oleh kerana itu, berada di bawah penghukuman? Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Tidak; kerana Aku, Tuhan, memerintahkannya.
36 Abraham diperintahkan untuk mempersembahkan anak lelakinya Ishak; walaupun demikian, ianya tertulis: Janganlah engkau membunuh. Abraham, meskipun demikian, tidak menolak, dan ia dianggap olehnya sebagai kebenaran.
37 Abraham menerima gundik-gundik, dan mereka telah melahirkan anak baginya; dan ianya dianggap sebagai kebenaran kepadanya, kerana mereka diberikan kepadanya, dan dia menurut hukum-Ku; seperti juga Ishak dan Yakub yang tidak melakukan apa pun yang lain selain dari apa yang telah diperintahkan kepada mereka; dan kerana mereka tidak melakukan apa pun yang lain selain dari apa yang telah diperintahkan kepada mereka, mereka telah masuk ke dalam permuliaan mereka, menurut janji-janji tersebut, dan duduk di atas takhta, dan bukanlah para malaikat tetapi adalah para Tuhan.
38 Daud juga menerima banyak isteri dan gundik, dan juga Salomo dan Musa para hamba-Ku, seperti juga ramai para hamba-Ku yang lain, sejak dari awal penciptaan sehingga waktu ini; dan tidak mereka berdosa dalam apa pun kecuali di dalam hal-hal yang mereka tidak terima daripada-Ku.
39 Para isteri dan gundik Daud diberikan kepadanya oleh-Ku, melalui tangan Natan, hamba-Ku, dan daripada para nabi yang lain yang memiliki kunci-kunci kuasa ini; dan dia tidak berdosa apa pun terhadap-Ku dalam hal-hal ini kecuali di dalam hal Uria dan isterinya; dan, oleh kerana itu dia telah jatuh dari permuliaannya, dan menerima bahagiannya; dan dia tidak akan mewarisi mereka di luar dunia, kerana Aku memberikan mereka kepada yang lain, firman Tuhan.
40 Aku ialah Tuhan Rajamu, dan Aku memberi kepadamu, hamba-Ku Joseph, suatu penetapan, dan memulihkan segala hal. Mintalah apa yang kamu kehendaki, dan akan diberikan kepadamu menurut firman-Ku.
41 Dan kerana kamu telah bertanya mengenai perzinaan, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, jika seorang lelaki menerima seorang isteri dalam perjanjian yang baru dan kekal, dan jika dia berada bersama lelaki lain, dan Aku belum tetapkan kepadanya melalui penetapan kudus, dia telah berbuat zina dan akan dihancurkan.
42 Jika dia tidak berada dalam perjanjian yang baru dan kekal, dan dia berada bersama lelaki lain, dia telah berbuat zina.
43 Dan jika suaminya bersama wanita lain, dan dia di dalam suatu ikrar, dia telah melanggar ikrarnya dan telah berbuat zina.
44 Dan jika wanita itu tidak berbuat zina, tetapi tidak berdosa dan tidak melanggar ikrarnya, dan dia mengetahuinya, dan Aku mewahyukannya kepadamu, hamba-Ku Joseph, maka kamu akan memiliki kuasa, melalui kuasa Imamat Kudus-Ku, untuk mengambil wanita itu dan memberikan wanita itu kepada lelaki yang tidak berbuat zina tetapi sentiasa setia; kerana lelaki itu akan dijadikan pemerintah ke atas banyak hal.
45 Kerana Aku telah menganugerahkan ke atas dirimu kunci-kunci dan kuasa imamat, yang melaluinya Aku memulihkan segala hal, dan memberitahukan kepadamu segala hal pada waktunya yang tepat.
46 Dan sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa apa pun yang kamu meteraikan di atas bumi akan dimeteraikan di dalam syurga; dan apa pun yang kamu ikat di atas bumi, dalam nama-Ku dan melalui firman-Ku, firman Tuhan, itu akan secara kekal terikat di dalam syurga; dan dosa-dosa sesiapa pun yang kamu lepaskan di atas bumi akan dilepaskan secara kekal di dalam syurga; dan dosa-dosa sesiapa pun yang kamu kekalkan di atas bumi akan dikekalkan di dalam syurga.
47 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman, sesiapa pun yang kamu berkati akan Aku berkati, dan sesiapa pun yang kamu kutuk akan Aku kutuk, firman Tuhan; kerana Aku, Tuhan, ialah Tuhanmu.
48 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Joseph, bahawa apa pun yang kamu berikan di atas bumi, dan kepada siapa pun kamu berikan sesiapa pun di atas bumi, melalui firman-Ku dan menurut hukum-Ku, akan dikunjungi dengan berkat dan bukan kutukan, dan dengan kuasa-Ku, firman Tuhan, dan akan ada tanpa kutukan di atas bumi dan di dalam syurga.
49 Kerana Aku ialah Tuhan Rajamu, dan akan bersamamu bahkan sehingga ke akhir dunia, dan sepanjang seluruh keabadian; kerana sesungguhnya Aku memeteraikan ke atas dirimu permuliaanmu, dan menyediakan sebuah takhta bagimu di dalam kerajaan Bapa-Ku, bersama Abraham bapamu.
50 Lihatlah, Aku telah melihat pengorbananmu, dan akan mengampuni segala dosamu; Aku telah melihat pengorbananmu dalam mematuhi apa yang telah Aku beritahukan kepadamu. Pergilah, oleh kerana itu, dan Aku membuat sebuah jalan untuk melepaskan dirimu, seperti Aku menerima persembahan Abraham akan anak lelakinya Ishak.
51 Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu: Sebuah perintah Aku berikan kepada hamba perempuan-Ku, Emma Smith, isterimu, yang telah Aku berikan kepadamu, agar dia menahan dirinya dan tidak terlibat dalam apa yang Aku perintahkan kepadamu untuk ditawarkan kepadanya; kerana Aku melakukannya, firman Tuhan, untuk menguji kamu semua, seperti yang Aku lakukan terhadap Abraham, dan agar Aku boleh menuntut suatu persembahan dari tanganmu, melalui perjanjian dan pengorbanan.
52 Dan biarlah hamba perempuan-Ku, Emma Smith, menerima mereka semua yang telah diberikan kepada hamba-Ku Joseph, dan yang berhemah dan suci di hadapan-Ku; dan mereka yang tidak suci, dan telah mengatakan bahawa mereka suci, akan dihancurkan, firmanTuhan Raja.
53 Kerana Aku ialah Tuhan Rajamu, dan kamu harus mematuhi suara-Ku; dan Aku memberi kepada hamba-Ku Joseph agar dia akan dijadikan pemerintah ke atas banyak hal; kerana dia telah setia terhadap beberapa hal, dan sejak dari sekarang Aku akan menguatkannya.
54 Dan Aku memerintahkan hamba perempuan-Ku, Emma Smith, untuk tinggal dan berpaut kepada hamba-Ku Joseph, dan bukan kepada yang lain. Tetapi jika dia tidak mahu menuruti perintah ini dia akan dihancurkan, firman Tuhan; kerana Aku ialah Tuhan Rajamu, dan akan menghancurkannya jika dia tidak menuruti hukum-Ku.
55 Tetapi jika dia tidak mahu menuruti perintah ini, maka hamba-Ku Joseph akan melakukan segala hal baginya, bahkan seperti yang telah dia katakan; dan Aku akan memberkatinya dan menjadikannya beranak cucu dan memberikan kepadanya seratus kali ganda di dunia ini, ayah dan ibu, saudara lelaki dan perempuan, rumah dan tanah, isteri dan anak, dan mahkota kehidupan abadi di dalam dunia-dunia yang abadi.
56 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman, biarlah hamba perempuan-Ku mengampuni pelanggaran-pelanggaran hamba-Ku Joseph; dan kemudian pelanggaran-pelanggarannya akan diampuni, yang mana dia telah melanggarnya terhadap-Ku; dan Aku, Tuhan Rajamu, akan memberkatinya, dan menjadikannya beranak cucu, dan membuatkan hatinya bersukacita.
57 Dan lagi, Aku berfirman, janganlah biarkan hamba-Ku Joseph melepaskan harta miliknya daripada tangannya, agar jangan musuh datang dan menghancurkannya; kerana Setan berusaha untuk menghancurkan; kerana Aku ialah Tuhan Rajamu, dan dia ialah hamba-Ku; dan lihatlah, dan tengoklah, Aku bersamanya, seperti Aku bersama Abraham, bapamu, bahkan sehingga permuliaan dan kemuliaannya.
58 Sekarang, menyentuh tentang hukum imamat, ada banyak hal yang berkaitan dengannya.
59 Sesungguhnya, jika seorang lelaki dipanggil oleh Bapa-Ku, seperti Harun, melalui suara-Ku sendiri, dan melalui suara Dia yang mengutus-Ku, dan Aku telah menganugerahinya dengan kunci-kunci kuasa imamat ini, jika dia melakukan apa pun dalam nama-Ku, dan menurut hukum-Ku dan melalui firman-Ku, dia tidak akan berbuat dosa, dan Aku akan mempersolehkannya.
60 Janganlah biarkan seorang pun, oleh kerana itu, mengkritik hamba-Ku Joseph; kerana Aku akan mempersolehkannya; kerana dia akan melakukan pengorbanan yang Aku tuntut daripada tangannya untuk pelanggarannya, firmanTuhan Rajamu.
61 Dan lagi, berkaitan dengan hukum imamat—jika sesiapa pun lelaki yang mengahwini seorang gadis perawan, dan berhasrat mengahwini seorang lagi, dan yang pertama memberikan persetujuannya, dan jika dia mengahwini yang kedua, dan mereka ialah gadis perawan, dan belum berikrar kepada lelaki lain, maka dia dipersolehkan; dia tidak berbuat zina kerana mereka diberikan kepadanya; kerana dia tidak dapat berbuat zina dengan apa yang menjadi kepunyaannya dan bukan orang lain.
62 Dan jika dia telah diberikan sepuluh orang gadis perawan kepadanya melalui hukum ini, dia tidak berbuat zina, kerana mereka ialah kepunyaannya, dan mereka diberikan kepadanya; oleh kerana itu dia dipersolehkan.
63 Tetapi jika salah seorang atau sesiapa pun daripada sepuluh orang gadis perawan itu, setelah dia dikahwini, akan bersama lelaki lain, wanita itu telah berbuat zina, dan akan dihancurkan; kerana mereka diberikan kepada lelaki itu untuk beranak cucu dan memenuhi bumi, menurut perintah-Ku, dan untuk menggenapi janji yang diberikan oleh Bapa-Ku sebelum pengasasan dunia, dan untuk permuliaan mereka di dunia-dunia abadi, agar mereka boleh melahirkan jiwa-jiwa manusia; kerana di dalam ini pekerjaan Bapa-Ku diteruskan, agar Dia boleh dimuliakan.
64 Dan lagi, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, jika sesiapa pun lelaki memiliki seorang isteri, yang memegang kunci-kunci kuasa ini, dan lelaki itu mengajarkan kepada wanita itu hukum imamat-Ku, berkaitan dengan hal-hal ini, maka hendaklah wanita itu percaya dan melayani lelaki itu, atau wanita itu akan dihancurkan, firman Tuhan Rajamu; kerana Aku akan menghancurkan wanita itu; kerana Aku akan membesarkan nama-Ku ke atas mereka semua yang menerima dan menuruti hukum-Ku.
65 Oleh kerana itu, ianya akan menjadi hukum sah bagi-Ku, jika wanita itu tidak menerima hukum ini, bagi lelaki itu untuk menerima segala hal apa pun yang Aku, Tuhan Rajanya, akan berikan kepada lelaki itu, kerana wanita itu tidak percaya dan tidak melayani lelaki itu menurut firman-Ku; dan wanita itu kemudiannya menjadi seorang pelanggar; dan lelaki itu dikecualikan dari hukum Sara, yang telah melayani Abraham menurut hukum tersebut semasa Aku memerintahkan Abraham untuk mengambil Hagar menjadi isteri.
66 Dan sekarang, berkaitan dengan hukum ini, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Aku akan mewahyukan lebih banyak kepadamu, selepas ini; oleh kerana itu, biarlah cukup untuk setakat ini. Lihatlah, Aku ialah Alfa dan Omega. Amin.