Bahagian 124
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Nauvoo, Illinois, 19 Januari 1841. Disebabkan meningkatnya penganiayaan dan tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang terhadap mereka oleh para pegawai kerajaan, para Orang Suci telah dipaksa untuk meninggalkan Missouri. Perintah penghapusan yang dikeluarkan oleh Lilburn W. Boggs, pentadbir Missouri, bertarikh 27 Oktober 1838, telah menyebabkan mereka tiada pilihan lain. Pada tahun 1841, semasa wahyu ini diberikan, Kota Nauvoo, meliputi bekas kawasan desa Commerce, Illinois, yang telah dibangunkan oleh para Orang Suci, dan di sinilah ibu pejabat Gereja telah ditubuhkan.
1–14, Joseph Smith diperintahkan untuk membuat sebuah pernyataan rasmi tentang Injil kepada presiden Amerika Syarikat, para pentadbir, dan pemerintah segala bangsa; 15–21, Hyrum Smith, David W. Patten, Joseph Smith Sr., dan yang lain di kalangan yang hidup dan yang mati diberkati kerana integriti dan kehemahan mereka; 22–28, Para Orang Suci diperintahkan untuk membina sebuah rumah penginapan bagi orang asing serta sebuah bait suci di Nauvoo; 29–36, Pembaptisan bagi yang mati mesti dilaksanakan di dalam bait suci; 37–44, Umat Tuhan selalu membina bait suci untuk pelaksanaan tatacara-tatacara yang kudus; 45–55, Para Orang Suci dikecualikan daripada membina sebuah bait suci di Jackson County kerana penindasan oleh musuh mereka; 56–83, Arahan diberikan untuk pembinaan Rumah Nauvoo; 84–96, Hyrum Smith dipanggil untuk menjadi seorang bapa bangsa, untuk menerima kunci-kuncinya, dan untuk menggantikan Oliver Cowdery; 97–122, William Law dan yang lain dinasihati dalam pekerjaan mereka; 123–145, Para penguasa umum dan tempatan dipilih, sekali gus kewajipan dan pertalian kuorum mereka dinyatakan.
1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu, hamba-Ku Joseph Smith, Aku sangat berkenan dengan persembahan dan pengakuanmu, yang telah kamu buat; kerana untuk tujuan ini Aku telah bangkitkan kamu, agar Aku boleh menunjukkan kebijaksanaan-Ku melalui hal-hal yang lemah dari bumi ini.
2 Doa-doamu diterima di hadapan-Ku; dan sebagai jawapan kepadanya Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu sekarang dipanggil dengan segera untuk membuat sebuah pernyataan rasmi tentang Injil-Ku, dan berkenaan pancang ini yang telah Aku tanamkan untuk menjadi batu penjuru Sion, yang akan digilap dengan kehalusan yang sama dengan sebuah istana.
3 Pernyataan ini akan dibuat kepada semua raja di dunia, ke empat-empat penjurunya, kepada presiden pilihan yang terhormat, dan para pentadbir yang berhati mulia dari negara yang kamu tinggal itu, dan kepada semua bangsa di bumi di merata tempat di luar negara.
4 Biarlah ianya ditulis dengan semangat kelembutan hati dan dengan kuasa Roh Kudus, yang akan berada di dalammu semasa penulisannya;
5 Kerana akan diberikan kepadamu melalui Roh Kudus untuk mengetahui kehendak-Ku tentang para raja dan yang berkuasa, bahkan apa yang akan menimpa mereka pada waktu yang akan datang.
6 Kerana, lihatlah, Aku akan meminta mereka untuk mengendahkan cahaya dan kemuliaan Sion, kerana waktu yang ditentukan telah datang untuk menyokongnya.
7 Berserulah kamu, oleh kerana itu, kepada mereka dengan pernyataan yang kuat, dan dengan kesaksianmu, jangan takut kepada mereka, kerana mereka bagaikan rumput, dan segala kemuliaan mereka bagaikan bunga yang tidak lama lagi gugur, bahawa mereka juga akan ditinggalkan tanpa alasan—
8 Dan agar Aku boleh mengunjungi mereka pada hari pengunjungan, apabila Aku akan membuka penutup muka-Ku, untuk menetapkan tempat bagi penindas di kalangan orang yang munafik, di mana terdapatnya kertakan gigi, jika mereka menolak para hamba-Ku dan kesaksian-Ku yang telah Aku wahyukan kepada mereka.
9 Dan lagi, Aku akan mengunjungi dan melembutkan hati mereka, banyak daripada mereka demi kebaikanmu, agar kamu boleh menemui kerahmatan di mata mereka, agar mereka boleh datang pada cahaya kebenaran, dan bangsa bukan Israel pada permuliaan atau pengangkatan Sion.
10 Kerana hari pengunjungan-Ku datang dengan segera, pada jam ketika kamu tidak memikirkannya; dan di manakah yang akan menjadi selamat bagi umat-Ku, dan perlindungan bagi mereka yang akan tertinggal?
11 Bangunlah, Wahai para raja di bumi! Datanglah kamu, Ya, datanglah kamu, bersama emas dan perakmu, untuk menolong umat-Ku, ke rumah para puteri Sion.
12 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Robert B. Thompson menolongmu untuk menulis pernyataan ini, kerana Aku sangat berkenan dengannya, dan bahawa dia harus bersamamu;
13 Biarlah dia, oleh kerana itu, mendengar nasihatmu, dan Aku akan memberkatinya dengan suatu berkat yang berlipat ganda; biarlah dia setia dan benar dalam segala hal sejak dari sekarang, dan dia akan menjadi hebat di mata-Ku;
14 Tetapi biarlah dia ingat bahawa tugas pengawasannya akan Aku tuntut daripada tangannya.
15 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, diberkatilah hamba-Ku Hyrum Smith; kerana Aku, Tuhan, mengasihinya kerana integriti hatinya, dan kerana dia mengasihi apa yang benar di hadapan-Ku, firman Tuhan.
16 Lagi, biarlah hamba-Ku John C. Bennett menolongmu dengan kerjamu dalam mengirimkan firman-Ku kepada para raja dan orang-orang di bumi, dan berdiri di sisimu, bahkan kamu hamba-Ku Joseph Smith, pada waktu kesengsaraan; dan ganjarannya tidak akan gagal jika dia menerima nasihat.
17 Dan kerana kasihnya dia akan menjadi hebat, kerana dia akan menjadi milik-Ku jika dia melakukan ini, firman Tuhan. Aku telah melihat pekerjaan yang telah dia lakukan, yang Aku terima jika dia meneruskannya, dan akan memahkotainya dengan berkat-berkat dan kemuliaan yang besar.
18 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu bahawa adalah kehendak-Ku bahawa hamba-Ku Lyman Wight harus terus berkhutbah bagi Sion, dalam semangat kelembutan hati, mengakui-Ku di hadapan dunia; dan Aku akan menyokongnya bagaikan di atas sayap helang; dan dia akan menghasilkan kemuliaan dan kehormatan bagi dirinya dan demi nama-Ku.
19 Agar apabila dia akan menyelesaikan pekerjaannya Aku dapat menerimanya bagi diri-Ku, bahkan seperti yang Aku lakukan kepada hamba-Ku David Patten, yang bersama-Ku pada waktu ini, dan juga hamba-Ku Edward Partridge, dan juga hamba-Ku yang sudah tua Joseph Smith Sr., yang duduk bersama Abraham di sisi kanannya, dan diberkati dan kuduslah dia, kerana dia adalah milik-Ku.
20 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku George Miller adalah tanpa tipu daya; dia boleh dipercayai kerana integriti hatinya, dan kerana kasih yang dia miliki tentang kesaksian-Ku, iaitu Tuhan, mengasihinya.
21 Oleh kerana itu, Aku berfirman kepadamu, Aku memeteraikan ke atas kepalanya jawatan keuskupan, seperti kepada hamba-Ku Edward Partridge, agar dia boleh menerima pembaktian rumah-Ku, agar dia boleh memberikan berkat-berkat ke atas kepala umat-Ku yang miskin, firman Tuhan. Janganlah biarkan seorang pun mengeji hamba-Ku George, kerana dia akan menghormati-Ku.
22 Biarlah hamba-Ku George, dan hamba-Ku Lyman, dan hamba-Ku John Snider, dan yang lain, membina sebuah rumah demi nama-Ku, sama seperti yang akan hamba-Ku Joseph tunjukkan kepada mereka, di tempat yang akan dia tunjukkan kepada mereka juga.
23 Dan ia akan menjadi sebuah rumah untuk menumpang, rumah di mana orang-orang asing boleh datang dari jauh untuk menginap di dalamnya; oleh kerana itu biarlah ia menjadi rumah yang baik, layak untuk diterima oleh semua, agar pengembara yang letih boleh mendapatkan kesihatan dan perlindungan sambil dia akan merenungkan firman Tuhan; dan batu penjuru yang telah Aku tetapkan bagi Sion.
24 Rumah ini akan menjadi sebuah tempat tinggal yang baik jika ia dibina demi nama-Ku, dan jika pengurus yang akan ditetapkan untuknya tidak membiarkan apa pun pencemaran datang padanya. Ia akan menjadi kudus, atau Tuhan Rajamu tidak akan berada di dalamnya.
25 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah semua orang suci-Ku datang dari jauh.
26 Dan hantarlah kamu para utusan yang pantas, ya, para utusan terpilih, dan katakan kepada mereka: Datanglah kamu, dengan semua emas, dan perakmu, dan batu-batu berhargamu, dan dengan semua barangan antikmu; dan bersama semua yang berpengetahuan tentang benda-benda antik, yang ingin datang, boleh datang, dan membawa kayu berangan, dan kayu cemara, dan kayu pain, bersama dengan segala kayu yang berharga di bumi;
27 Dan dengan besi, dengan tembaga, dan dengan loyang, dan dengan zink, dan dengan segala barangan berhargamu di bumi; dan binalah sebuah rumah demi nama-Ku, bagi Yang Maha Tinggi untuk tinggal di dalamnya.
28 Kerana tidak ada sebuah tempat pun yang terdapat di atas bumi yang Dia boleh datang dan memulihkan semula apa yang hilang bagimu, atau yang telah Dia ambil, bahkan kegenapan imamat.
29 Kerana tiada sebuah kolam pembaptisan di atas bumi, agar mereka, para orang suci-Ku, boleh dibaptiskan bagi mereka yang sudah mati—
30 Kerana tatacara ini kepunyaan rumah-Ku, dan tidak dapat diterima oleh-Ku, kecuali pada masa kemiskinanmu, dimana kamu tidak mampu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku.
31 Tetapi Aku memerintahkanmu, kamu semua para orang suci-Ku, untuk membina sebuah rumah bagi-Ku; dan Aku memberikan kepadamu waktu yang cukup untuk membina sebuah rumah bagi-Ku; dan sepanjang waktu ini pembaptisanmu akan diterima oleh-Ku.
32 Tetapi lihatlah, pada penghujung waktu itu pembaptisan bagi orang matimu tidak akan diterima oleh-Ku lagi; dan jika kamu tidak melakukan hal-hal ini pada penghujung waktu itu kamu akan ditolak sebagai sebuah gereja, bersama orang matimu, firman Tuhan Rajamu.
33 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa setelah kamu mempunyai waktu yang cukup untuk membina sebuah rumah bagi-Ku, di mana di situlah tempatnya tatacara pembaptisan bagi orang mati, dan yang sama seperti yang ditegakkan sejak sebelum pengasasan dunia, pembaptisan bagi orang matimu tidak dapat diterima oleh-Ku;
34 Kerana di dalamnya kunci-kunci imamat kudus ditahbiskan, agar kamu boleh menerima kehormatan dan kemuliaan.
35 Dan setelah waktu ini, pembaptisan bagi orang matimu, melalui mereka yang berada di merata tempat di luar daerah, tidak dapat diterima oleh-Ku lagi, firman Tuhan.
36 Kerana ditetapkan bahawa di Sion, dan di pancang-pancangnya, dan di Yerusalem, tempat-tempat itu yang telah Aku tetapkan untuk perlindungan, akan menjadi tempat untuk pembaptisan bagi orang matimu.
37 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bagaimanakah penyucianmu akan dapat diterima oleh-Ku, kecuali kamu melaksanakannya di dalam rumah yang telah kamu bina demi nama-Ku?
38 Kerana, untuk sebab ini Aku memerintahkan Musa agar dia harus membina sebuah khemah ibadat, agar mereka harus membawanya bersama mereka di padang belantara, dan untuk membina sebuah rumah di negeri yang dijanjikan, agar tatacara-tatacara itu boleh diwahyukan yang telah disembunyikan sejak dunia belum ada.
39 Oleh kerana itu, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa penyapuan minyakmu, dan penyucianmu, dan pembaptisan bagi orang matimu, dan perhimpunan khusyukmu, dan upacara peringatan untuk pengorbananmu melalui para anak lelaki Lewi, dan untuk wahyu di dalam tempatmu yang paling kudus di mana kamu menerima percakapan, dan peraturan dan penghakimanmu, untuk permulaan wahyu dan pengasasan Sion, dan untuk kemuliaan, kehormatan, dan penganugerahan seluruh penduduknya, adalah ditahbiskan melalui tatacara rumah kudus-Ku, yang umat-Ku selalu diperintahkan untuk membinanya bagi nama kudus-Ku.
40 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah rumah ini dibina demi nama-Ku, agar Aku boleh mewahyukan tatacara-tatacara-Ku yang ada di dalamnya kepada umat-Ku;
41 Kerana Aku rela untuk mewahyukan kepada gereja-Ku hal-hal yang telah disembunyikan sejak sebelum pengasasan dunia, hal-hal yang berkaitan dengan kegenapan zaman.
42 Dan Aku akan menunjukkan kepada hamba-Ku Joseph segala hal yang berkaitan dengan rumah ini, dan keimamatannya, dan tempat di mana ia akan dibina.
43 Dan kamu akan membinanya di tempat di mana kamu telah fikirkan untuk membinanya, kerana itu adalah tempat yang telah Aku pilih untuk kamu membinanya.
44 Jika kamu bekerja dengan seluruh dayamu, Aku akan membaktikan tempat itu agar ia menjadi kudus.
45 Dan jika umat-Ku akan mendengar suara-Ku, dan suara para hamba-Ku yang telah Aku tetapkan untuk memimpin umat-Ku, lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan dipindahkan dari tempat mereka.
46 Tetapi jika mereka tidak mahu mendengar suara-Ku, tidak juga suara orang-orang yang telah Aku tetapkan ini, mereka tidak akan diberkati, kerana mereka mencemarkan tanah kudus-Ku, dan tatacara kudus, dan piagam-Ku, dan firman kudus-Ku yang Aku berikan kepada mereka.
47 Dan akan terjadi bahawa jika kamu membina sebuah rumah demi nama-Ku, dan tidak melakukan apa yang Aku firmankan, Aku tidak akan melaksanakan sumpah yang Aku buat kepadamu, tidak juga memenuhi janji-janji yang kamu harapkan daripada tangan-Ku, firman Tuhan.
48 Kerana bukannya berkat tetapi, kamu, melalui pekerjaanmu sendiri, membawakan kutukan, kemurkaan, kemarahan, dan penghakiman ke atas kepalamu sendiri, melalui kebodohanmu, dan melalui segala kekejianmu, yang kamu jalankan di hadapan-Ku, firman Tuhan.
49 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa apabila Aku memberikan sebuah perintah kepada sesiapa pun anak-anak manusia untuk melakukan sesuatu pekerjaan demi nama-Ku, dan anak-anak manusia itu pergi dengan seluruh daya mereka dan dengan segala yang mereka miliki untuk melaksanakan pekerjaan itu, dan tidak menghentikan ketekunan mereka, dan musuh mereka menyerang mereka dan menghalang mereka daripada melaksanakan pekerjaan itu, lihatlah, adalah perlu menurut-Ku untuk tidak lagi menuntut pekerjaan itu daripada tangan anak-anak manusia, tetapi menerima persembahan mereka.
50 Dan kederhakaan dan pelanggaran terhadap hukum-hukum dan perintah-Ku yang kudus akan Aku kunjungi mereka yang menghalang pekerjaan-Ku, sehingga ke generasi ketiga dan keempat, selagi mereka tidak bertaubat, dan membenci-Ku, firman Tuhan Raja.
51 Oleh kerana itu, kerana sebab ini Aku telah menerima persembahan daripada mereka yang Aku perintahkan untuk membina sebuah kota dan sebuah rumah demi nama-Ku, di Jackson County, Missouri, dan dihalang oleh musuh mereka, firman Tuhan Rajamu.
52 Dan Aku akan menjawab penghakiman, kemurkaan, dan kemarahan, ratapan, dan kepedihan, dan kertakan gigi kepada diri mereka, sehingga ke generasi ketiga dan keempat, selagi mereka tidak bertaubat, dan membenci-Ku, firman Tuhan Rajamu.
53 Dan ini Aku jadikan sebuah contoh bagimu, untuk menyenangkan hati mu berkenaan mereka semua yang telah diperintahkan untuk melakukan suatu pekerjaan dan telah dihalang oleh tangan musuh mereka, dan oleh penindasan, firman Tuhan Rajamu.
54 Kerana Aku ialah Tuhan Rajamu, dan akan menyelamatkan mereka semua saudara-saudaramu yang suci hatinya, dan telah dibunuh di negeri Missouri, firman Tuhan.
55 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku memerintahkanmu lagi untuk membina sebuah rumah pada nama-Ku, bahkan di tempat ini, agar kamu boleh membuktikan dirimu kepada-Ku bahawa kamu setia dalam segala apa pun hal yang Aku perintahkan kepadamu, agar Aku boleh memberkatimu, dan memahkotaimu dengan kehormatan, kebaqaan, dan kehidupan abadi.
56 Dan sekarang, Aku berfirman kepadamu, berkaitan dengan rumah tumpangan-Ku yang telah Aku perintahkan kepadamu untuk membinanya untuk menumpangkan orang-orang asing, biarlah ianya dibina demi nama-Ku, dan biarlah nama-Ku dinamakan ke atasnya, dan biarlah hamba-Ku Joseph dan keluarganya mempunyai tempat di dalamnya, dari generasi ke generasi.
57 Kerana penyapuan minyak ini telah Aku letakkan di atas kepalanya, agar berkatnya juga akan diletakkan ke atas kepala anak cucunya selepas dia.
58 Dan seperti yang Aku firmankan kepada Abraham mengenai kaum-kaum di bumi, demikian juga Aku berfirman kepada hamba-Ku Joseph: Dalam dirimu dan dalam benih keturunanmu kaum di bumi akan diberkati.
59 Oleh kerana itu, biarlah hamba-Ku Joseph dan benih keturunan selepasnya mempunyai tempat di rumah itu, dari generasi ke generasi, selama-lamanya, firman Tuhan.
60 Dan biarlah nama rumah itu disebut Rumah Nauvoo; dan biarlah ia menjadi sebuah tempat tinggal yang menyenangkan orang, dan sebuah tempat peristirahatan bagi pengembara yang letih, agar dia boleh merenungkan kemuliaan Sion, dan kemuliaan batu penjurunya;
61 Agar dia juga boleh menerima nasihat daripada mereka yang telah Aku tentukan untuk menjadi bagaikan tanaman yang masyhur, dan bagaikan para penjaga di atas temboknya.
62 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku George Miller, dan hamba-Ku Lyman Wight, dan hamba-Ku John Snider, dan hamba-Ku Peter Haws, menguruskan diri mereka, dan menetapkan salah seorang daripada mereka untuk menjadi presiden ke atas kuorum mereka untuk tujuan membina rumah itu.
63 Dan mereka haruslah membentuk suatu perlembagaan, yang dengannya mereka boleh menerima saham untuk pembinaan rumah itu.
64 Dan mereka tidak akan menerima kurang daripada lima puluh dolar untuk satu syer saham ke atas rumah itu, dan mereka akan diizinkan untuk menerima lima belas ribu dolar daripada sesiapa pun untuk saham ke atas rumah itu.
65 Tetapi mereka tidak akan diizinkan untuk menerima saham lebih dari lima belas ribu dolar daripada sesiapa pun.
66 Dan mereka tidak akan diizinkan untuk menerima kurang dari lima puluh dolar untuk satu syer saham daripada sesiapa pun ke atas rumah itu.
67 Dan mereka tidak akan diizinkan untuk menerima sesiapa pun, sebagai seorang pemegang saham atas rumah ini, kecuali dia akan membayar sahamnya kepada mereka pada waktu dia menerima saham;
68 Dan setimpal dengan jumlah saham yang dibayarnya kepada mereka dia akan menerima saham ke atas rumah itu; tetapi jika dia tidak membayar apa pun kepada mereka dia tidak akan menerima sebarang saham ke atas rumah itu.
69 Dan jika sesiapa pun membayar saham kepada mereka ia adalah saham ke atas rumah itu, bagi dirinya, dan bagi generasi selepasnya, dari generasi ke generasi, selagi dia dan para pewarisnya akan memegang saham itu, dan tidak menjual atau memindahkan hak saham itu daripada tangan mereka menurut kehendak dan tindakan bebas mereka sendiri, jika kamu mahu melakukan kehendak-Ku, firman Tuhan Rajamu.
70 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, jika hamba-Ku George Miller, dan hamba-Ku Lyman Wight, dan hamba-Ku John Snider, dan hamba-Ku Peter Haws, menerima apa pun saham ke dalam tangan mereka, dengan wang, atau dengan harta dimana mereka menerima nilai wang yang sebenarnya, mereka tidak harus mengambil sebarang bahagian dari saham itu untuk tujuan lain, hanya ke atas rumah itu.
71 Dan jika mereka mengambil sebarang bahagian dari saham itu ke mana-mana tempat lain, kecuali ke atas rumah itu, tanpa persetujuan pemegang saham, dan tidak membayar kembali empat kali ganda untuk saham yang mereka ambil ke mana-mana tempat lain itu, kecuali ke atas rumah itu, mereka akan dikutuk, dan akan dikeluarkan dari tempat mereka, firman Tuhan Raja; kerana Aku, Tuhan, ialah Tuhan, dan tidak dapat dipermainkan dalam hal-hal ini.
72 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Joseph membayar saham kepada mereka untuk pembinaan rumah itu, seperti yang kelihatan baik baginya; tetapi hamba-Ku Joseph tidak boleh membayar saham lebih dari lima belas ribu dolar ke atas rumah itu, dan juga kurang dari lima puluh dolar; begitu juga dengan sesiapa pun, firman Tuhan.
73 Dan ada juga orang lain yang berniat untuk mengetahui kehendak-Ku tentang mereka, kerana mereka telah memintanya daripada tangan-Ku.
74 Oleh kerana itu, Aku berfirman kepadamu berkenaan hamba-Ku Vinson Knight, jika dia mahu melakukan kehendak-Ku biarlah dia melaburkan saham ke dalam rumah itu bagi dirinya, dan bagi generasi selepasnya, dari generasi ke generasi.
75 Dan biarlah dia mengangkat suaranya dengan lama dan kuat, di tengah orang-orang itu, untuk membela yang miskin dan yang memerlukan; dan janganlah biarkan dia lalai, tidak juga biarkan hatinya lemah; dan Aku akan menerima persembahannya, kerana bagi-Ku ia tidak akan menjadi seperti persembahan Kain, kerana dia akan menjadi milik-Ku, firman Tuhan.
76 Biarlah keluarganya bersukacita dan memalingkan hati mereka dari kesengsaraan; kerana Aku telah memilihnya dan menetapkannya, dan dia akan dihormati di antara keluarganya, kerana Aku akan mengampuni segala dosanya, firman Tuhan. Amin.
77 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Hyrum melaburkan saham ke dalam rumah itu seperti yang kelihatan baik baginya, bagi dirinya dan generasi selepasnya, dari generasi ke generasi.
78 Biarlah hamba-Ku Isaac Galland melaburkan saham ke dalam rumah itu; kerana Aku, Tuhan, mengasihinya untuk pekerjaan yang telah dia lakukan, dan akan mengampuni segala dosanya; oleh kerana itu, biarlah dia diingati untuk sebahagian hak miliknya ke atas rumah itu dari generasi ke generasi.
79 Biarlah hamba-Ku Isaac Galland ditetapkan di kalangan kamu, dan ditahbiskan oleh hamba-Ku William Marks, dan diberkati olehnya, untuk pergi bersama hamba-Ku Hyrum untuk menyelesaikan pekerjaan yang akan hamba-Ku Joseph tunjukkan kepada mereka, dan mereka akan sangat diberkati.
80 Biarlah hamba-Ku William Marks membayar saham ke dalam rumah itu, seperti yang kelihatan baik baginya, bagi dirinya dan generasinya, dari generasi ke generasi.
81 Biarlah hamba-Ku Henry G. Sherwood membayar saham ke dalam rumah itu, seperti yang kelihatan baik baginya, bagi dirinya dan benih keturunan selepasnya, dari generasi ke generasi.
82 Biarlah hamba-Ku William Law membayar saham ke dalam rumah itu, bagi dirinya dan benih keturunan selepasnya, dari generasi ke generasi.
83 Jika dia mahu melakukan kehendak-Ku janganlah biarkan dia membawa keluarganya ke kawasan-kawasan sebelah timur, bahkan ke Kirtland; walaupun demikian, Aku, Tuhan, akan membangunkan Kirtland, tetapi Aku, Tuhan, telah menyediakan pencambukan untuk penduduknya.
84 Dan kepada hamba-Ku Almon Babbitt, ada banyak hal yang tidak Aku senangi; lihatlah, dia menginginkan untuk menegakkan pendapatnya daripada nasihat yang telah Aku tetapkan, bahkan juga dari Presidensi Gereja-Ku; dan dia mendirikan seekor anak lembu emas untuk penyembahan umat-Ku.
85 Janganlah biarkan seorang pun pergi dari tempat ini yang telah datang ke sini berusaha untuk mentaati perintah-perintah-Ku.
86 Jika mereka tinggal di sini biarlah mereka hidup bagi-Ku; dan jika mereka mati biarlah mereka mati bagi-Ku; kerana mereka akan beristirahat dari segala kerja mereka di sini, dan akan meneruskan pekerjaan mereka.
87 Oleh kerana itu, biarlah hamba-Ku William meletakkan kepercayaannya kepada-Ku, dan berhenti untuk takut tentang keluarganya, disebabkan penyakit di negeri ini. Jika kamu mengasihi-Ku, taatilah perintah-perintah-Ku; dan penyakit di negeri ini akan berpaling pada kemuliaanmu.
88 Biarlah hamba-Ku William pergi dan memaklumkan Injil abadi-Ku dengan suara yang lantang, dan dengan kebahagiaan yang besar, sebagaimana dia akan diilhami oleh Roh-Ku, kepada penduduk Warsaw, dan juga kepada penduduk Carthage, dan juga kepada penduduk Burlington, dan juga kepada penduduk Madison, dan menunggu dengan sabar dan dengan tekun untuk arahan yang lebih lanjut di persidangan umum-Ku, firman Tuhan.
89 Jika dia mahu melakukan kehendak-Ku biarlah dia sejak dari sekarang mendengar nasihat hamba-Ku Joseph, dan dengan kemampuannya membantu yang miskin, dan menerbitkan terjemahan baru dari firman-Ku yang kudus kepada penduduk bumi.
90 Dan jika dia mahu melakukan ini Aku akan memberkatinya dengan berkat yang berlipat ganda, agar dia tidak akan ditinggalkan, tidak juga benih keturunannya ditemui mengemis roti.
91 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku William ditetapkan, ditahbiskan, dan disapukan minyak, sebagai penasihat kepada hamba-Ku Joseph, menggantikan tempat hamba-Ku Hyrum, agar hamba-Ku Hyrum boleh mengambil jawatan Imamat dan Bapa Bangsa, yang ditetapkan kepadanya oleh ayahnya, melalui berkat dan juga melalui hak;
92 Agar sejak dari sekarang dia akan memegang kunci-kunci berkat bapa bangsa ke atas kepala seluruh umat-Ku,
93 Agar sesiapa pun yang dia berkati akan diberkati, dan sesiapa pun yang dia kutuk akan dikutuk; agar apa pun yang akan dia ikat di atas bumi akan terikat di dalam syurga; dan apa pun yang akan dia lepaskan di atas bumi akan dilepaskan di dalam syurga.
94 Dan sejak dari waktu ini Aku menetapkan kepadanya bahawa dia boleh menjadi nabi, dan pelihat, dan pewahyu bagi gereja-Ku, seperti juga hamba-Ku Joseph;
95 Agar dia juga boleh bertindak bersama-sama dengan hamba-Ku Joseph; dan bahawa dia akan menerima nasihat daripada hamba-Ku Joseph, yang akan menunjukkan kepadanya kunci-kunci yang dengannya dia boleh minta dan terima, dan dimahkotai dengan berkat, dan kemuliaan, dan kehormatan, dan imamat, dan kurniaan keimamatan yang sama, yang pernah sekali diberikan kepada dia iaitu hamba-Ku Oliver Cowdery;
96 Agar hamba-Ku Hyrum boleh memberikan kesaksian tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadanya, agar namanya boleh disimpan sebagai kenangan terhormat dari generasi ke generasi, selama-lamanya.
97 Biarlah hamba-Ku William Law juga menerima kunci-kunci yang melaluinya dia boleh meminta dan menerima berkat-berkat; biarlah dia menjadi rendah hati di hadapan-Ku, dan tanpa tipu daya, dan dia akan menerima Roh-Ku, bahkan Penolong, yang akan menyatakan kepadanya kebenaran akan segala hal, dan akan memberikannya, pada jam yang tepat, apa yang akan dia katakan.
98 Dan tanda-tanda ini akan mengikutinya—dia akan menyembuhkan yang sakit, dia akan mengusir iblis, dan akan dibebaskan daripada mereka yang akan memberikan kepadanya racun yang membunuh;
99 Dan dia akan dituntun pada jalan di mana ular beracun tidak dapat mematuk tumitnya, dan dia akan mempunyai daya fikiran yang hebat bagaikan di atas sayap burung helang.
100 Dan sekiranya Aku menghendaki bahawa dia akan membangkitkan yang mati, janganlah dia menahan suaranya.
101 Oleh kerana itu, biarlah hamba-Ku William berseru dengan lantang dan tidak menahan diri, dengan kebahagiaan dan kesukacitaan, dan dengan hosana kepada Dia yang duduk di atas takhta selama-lamanya, firman Tuhan Rajamu.
102 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, Aku memiliki sebuah misi yang disimpan untuk hamba-Ku William, dan hamba-Ku Hyrum, dan hanya untuk mereka sahaja; dan biarlah hamba-Ku Joseph tinggal di rumah, kerana dia diperlukan. Selebihnya akan Aku tunjukkan kepadamu selepas ini. Demikianlah. Amin.
103 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, jika hamba-Ku Sidney mahu melayani-Ku dan menjadi penasihat bagi hamba-Ku Joseph, biarlah dia bangkit dan datang dan berdiri dalam jawatan panggilannya, dan merendahkan hatinya di hadapan-Ku.
104 Dan jika dia akan mempersembahkan kepada-Ku suatu persembahan yang dapat diterima, dan pengakuan, dan tetap tinggal bersama umat-Ku, lihatlah, Aku, Tuhan Rajamu, akan menyembuhkannya sehingga dia akan disembuhkan; dan dia akan mengangkat suaranya lagi di atas gunung-ganang, dan menjadi jurucakap di hadapan muka-Ku.
105 Biarlah dia datang dan menempatkan keluarganya di kawasan sekitar tempat tinggal hamba-Ku Joseph.
106 Dan dalam semua perjalanannya biarlah dia mengangkat suaranya bagaikan dengan suara sangkakala, dan memperingatkan penduduk bumi untuk melarikan diri dari kemurkaan yang akan datang.
107 Biarlah dia membantu hamba-Ku Joseph, dan juga biarlah hamba-Ku William Law membantu hamba-Ku Joseph, dalam membuat sebuah pernyataan rasmi kepada para raja di bumi, bahkan seperti yang telah Aku firmankan kepadamu sebelum ini.
108 Jika hamba-Ku Sidney mahu melakukan kehendak-Ku, janganlah biarkan dia memindahkan keluarganya ke kawasan-kawasan sebelah timur, tetapi biarlah dia menukar tempat tinggal mereka, bahkan seperti yang telah Aku firmankan.
109 Lihatlah, bukanlah kehendak-Ku bahawa dia harus berusaha untuk mencari keselamatan dan perlindungan dari kota yang telah Aku tetapkan bagimu, bahkan Kota Nauvoo.
110 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahkan sekarang, jika dia akan mendengar suara-Ku, maka akan baiklah kepadanya. Demikianlah. Amin.
111 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Amos Davies membayar saham kepada mereka yang telah Aku tetapkan untuk membina sebuah rumah untuk tumpangan, bahkan Rumah Nauvoo.
112 Biarlah ini dilakukannya jika dia ingin mendapat sebahagian hak milik; dan biarlah dia mendengar nasihat hamba-Ku Joseph, dan bekerja dengan tangannya sendiri agar dia boleh mendapatkan kepercayaan orang lain.
113 Dan apabila dia akan membuktikan dirinya setia dalam segala hal yang akan dipercayakan pada pengurusannya, ya, bahkan beberapa hal, dia akan dijadikan pemerintah ke atas banyak hal;
114 Biarlah dia oleh kerana itu merendahkan dirinya agar dia boleh dipermuliakan. Demikianlah. Amin.
115 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, jika hamba-Ku Robert D. Foster mahu mematuhi suara-Ku, biarlah dia membina sebuah rumah bagi hamba-Ku Joseph, menurut kontrak yang telah dia buat dengannya, kerana pintu akan dibukakan baginya dari masa ke semasa.
116 Dan biarlah dia bertaubat dari segala kebodohannya, dan mengenakan pada dirinya kasih ihsan; dan berhenti melakukan kejahatan, dan mengenepikan segala percakapannya yang kasar;
117 Dan juga membayar saham kepada kuorum bagi Rumah Nauvoo, bagi dirinya dan bagi generasi selepasnya, dari generasi ke generasi.
118 Dan mendengar nasihat hamba-Ku Joseph, dan Hyrum, dan William Law, dan kepada yang berkuasa yang telah Aku panggil untuk meletakkan landasan Sion; dan maka akan baiklah kepadanya buat selama-lamanya. Demikianlah. Amin.
119 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, janganlah biarkan seseorang pun membayar saham kepada kuorum Rumah Nauvoo melainkan dia menjadi seorang yang percaya pada Kitab Mormon, dan wahyu-wahyu yang telah Aku berikan kepadamu, firman Tuhan Rajamu;
120 Kerana apa yang lebih atau kurang daripada ini datang dari yang jahat, dan akan disertai dengan kutukan dan bukannya berkat, firman Tuhan Rajamu. Demikianlah. Amin.
121 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah kuorum Rumah Nauvoo memperoleh suatu ganjaran upah yang adil untuk semua kerja mereka yang mereka lakukan dalam membina Rumah Nauvoo; dan biarlah upah mereka seperti yang akan dipersetujui di antara mereka, berkaitan dengan harganya.
122 Dan biarlah setiap orang yang membayar saham menanggung sebahagian daripada upah mereka, jika perlu, untuk saraan mereka, firman Tuhan; jika tidak, kerja mereka akan dikira sebagai bayaran untuk saham ke atas rumah itu. Demikianlah. Amin.
123 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku sekarang memberi kepadamu para pemimpin yang termasuk dalam Imamat-Ku, agar kamu boleh memegang kunci-kuncinya, bahkan Imamat yang menurut tarekat kudus Melkisedek, yang menurut tarekat kudus Putera Tunggal-Ku.
124 Pertama, Aku memberi kepadamu Hyrum Smith untuk menjadi seorang bapa bangsa kepadamu, untuk memegang pemeteraian berkat-berkat gereja-Ku, bahkan Roh Kudus perjanjian, yang dengannya kamu dimeteraikan pada hari penebusan, agar kamu tidak jatuh walau bagaimanapun waktu godaan yang akan datang ke atas dirimu.
125 Aku memberi kepadamu hamba-Ku Joseph untuk menjadi penatua utama atas seluruh gereja-Ku, untuk menjadi penterjemah, pewahyu, pelihat, dan nabi.
126 Aku memberi kepadanya sebagai para penasihat hamba-Ku Sidney Rigdon dan hamba-Ku William Law, agar orang-orang ini boleh membentuk sebuah kuorum dan Presidensi Utama, untuk menerima wahyu bagi seluruh gereja.
127 Aku memberi kepadamu hamba-Ku Brigham Young untuk menjadi presiden ke atas majlis Dua Belas yang melakukan perjalanan;
128 iaitu Dua Belas yang memegang kunci-kunci untuk membuka wewenang kerajaan-Ku ke empat penjuru bumi, dan setelah itu untuk mengutuskan firman-Ku kepada setiap makhluk.
129 Mereka ialah Heber C. Kimball, Parley P. Pratt, Orson Pratt, Orson Hyde, William Smith, John Taylor, John E. Page, Wilford Woodruff, Willard Richards, George A. Smith;
130 David Patten telah Aku ambil bagi diri-Ku; lihatlah, tiada seorang pun mengambil imamatnya daripadanya; tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, orang lain boleh ditetapkan pada panggilan yang sama itu.
131 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu sebuah majlis tinggi, untuk batu penjuru Sion—
132 Iaitu, Samuel Bent, Henry G. Sherwood, George W. Harris, Charles C. Rich, Thomas Grover, Newel Knight, David Dort, Dunbar Wilson—Seymour Brunson telah Aku ambil bagi diri-Ku; tiada seorang pun mengambil imamatnya, tetapi orang lain boleh ditetapkan pada imamat yang sama sebagai penggantinya; dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Aaron Johnson ditahbiskan pada panggilan ini sebagai penggantinya—David Fullmer, Alpheus Cutler, William Huntington.
133 Dan lagi, Aku memberi kepadamu Don C. Smith untuk menjadi presiden ke atas kuorum imam tinggi;
134 Yang mana tatacara itu diadakan untuk tujuan melayakkan mereka yang akan ditetapkan sebagai presiden tetap atau hamba ke atas pancang-pancang yang berlainan di merata tempat di luar daerah;
135 Dan mereka juga boleh melakukan perjalanan jika mereka pilih, tetapi sebaliknya ditahbiskan sebagai presiden tetap; inilah panggilan jawatan mereka, firman Tuhan Rajamu.
136 Aku memberikan kepadanya Amasa Lyman dan Noah Packard sebagai penasihat, agar mereka boleh mengetuai kuorum imam tinggi gereja-Ku, firman Tuhan.
137 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu John A. Hicks, Samuel Williams, dan Jesse Baker, yang mana imamatnya adalah untuk mengetuai kuorum penatua, yang mana kuorum itu dibentuk untuk para pelayan rohani tetap; walaupun demikian mereka boleh melakukan perjalanan, namun mereka ditahbiskan untuk menjadi pelayan rohani tetap bagi gereja-Ku, firman Tuhan.
138 Dan lagi, Aku memberi kepadamu Joseph Young, Josiah Butterfield, Daniel Miles, Henry Herriman, Zera Pulsipher, Levi Hancock, James Foster, untuk mengetuai kuorum tujuh puluh;
139 Yang mana kuorum itu dibentuk bagi para penatua yang melakukan perjalanan untuk memberikan kesaksian tentang nama-Ku di seluruh dunia, ke mana pun majlis tinggi yang melakukan perjalanan, para rasul-Ku, akan mengutus mereka untuk menyediakan sebuah jalan di hadapan muka-Ku.
140 Perbezaan di antara kuorum ini dan kuorum penatua adalah yang satu mesti melakukan perjalanan secara berterusan, dan yang lain mengetuai jemaah gereja dari masa ke semasa; yang satu memiliki tanggungjawab mengetuai dari masa ke semasa, dan yang satu lagi tiada tanggung jawab mengetuai, firman Tuhan Rajamu.
141 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu Vinson Knight, Samuel H. Smith, dan Shadrach Roundy, jika dia mahu menerimanya, untuk mengetuai lembaga uskup; suatu pengetahuan tentang lembaga uskup tersebut diberikan kepadamu dalam kitab Ajaran dan Perjanjian.
142 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Samuel Rolfe dan penasihatnya untuk imam, dan presiden pengajar dan penasihatnya, dan juga presiden diaken dan penasihatnya, dan juga presiden pancang dan penasihatnya.
143 Jawatan-jawatan di atas telah Aku berikan kepadamu, dan kunci-kuncinya, untuk pertolongan dan untuk pengurusan, untuk pekerjaan pelayanan dan penyempurnaan para orang suci-Ku.
144 Dan sebuah perintah Aku berikan kepadamu, bahawa kamu harus mengisi semua jawatan ini dan meluluskan nama-nama yang telah Aku sebutkan itu, atau tolaklah kelulusan mereka di persidangan umum-Ku;
145 Dan kamu harus menyediakan ruang untuk semua jawatan ini di dalam rumah-Ku semasa kamu membinanya demi nama-Ku, firman Tuhan Rajamu. Demikianlah. Amin.