Bahagian 93
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 6Â Mei 1833.
1–5, Semua yang setia akan melihat Tuhan; 6–18, Yohanes memberikan kesaksian bahawa Putera Tuhan berkembang dari rahmat ke rahmat sehingga Dia menerima kegenapan kemuliaan Bapa; 19–20, Orang-orang yang setia, berkembang dari rahmat ke rahmat, juga akan menerima kegenapan-Nya; 21–22, Mereka yang dilahirkan melalui Kristus adalah Gereja Putera Sulung; 23–28, Kristus menerima kegenapan segala kebenaran, dan manusia melalui kepatuhan boleh melakukan yang sedemikian juga; 29–32, Manusia pada mulanya berada bersama Tuhan; 33–35, Unsur-unsur adalah abadi, dan manusia dapat menerima kegenapan kebahagiaan dalam Kebangkitan; 36–37, Kemuliaan Tuhan adalah kecerdasan; 38–40, Anak-anak adalah tidak berdosa di hadapan Tuhan kerana penebusan Kristus; 41–53, Saudara-saudara yang memimpin diperintahkan untuk mengaturkan keluarga mereka.
1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan: Akan terjadilah bahawa setiap jiwa yang meninggalkan dosa-dosanya dan datang kepada-Ku, dan memanggil nama-Ku, dan mematuhi suara-Ku, dan mentaati perintah-perintah-Ku, akan melihat muka-Ku dan mengetahui bahawa Aku ada;
2 Dan bahawa Aku adalah cahaya sejati yang menerangi setiap orang yang datang ke dunia;
3 Dan bahawa Aku berada di dalam Bapa, dan Bapa di dalam Aku, dan Bapa dan Aku adalah satu—
4 Bapa kerana Dia memberi-Ku kegenapan-Nya, dan Putera kerana Aku telah berada di dunia dan menjadikan tubuh-Ku dalam daging, dan tinggal di kalangan anak-anak manusia.
5 Aku telah berada di dunia dan menerima daripada Bapa-Ku, dan pekerjaan-Nya dinyatakan dengan jelas.
6 Dan Yohanes telah melihat dan memberikan kesaksian tentang kegenapan kemuliaan-Ku, dan kegenapan catatan Yohanes akan diwahyukan selepas ini.
7 Dan dia memberikan kesaksian, mengatakan: Aku melihat kemuliaan-Nya, bahawa Dia ada pada permulaan, sebelum dunia ada;
8 Oleh kerana itu, pada mulanya Firman telah ada, kerana Dia adalah Firman itu, bahkan utusan keselamatan—
9 Cahaya dan Penebus dunia; Roh kebenaran, yang datang ke dunia, kerana dunia telah diciptakan oleh-Nya, dan di dalam Dia adalah kehidupan manusia dan cahaya manusia.
10 Dunia-dunia diciptakan oleh-Nya; manusia telah diciptakan oleh-Nya; segalanya telah diciptakan oleh-Nya, dan melalui-Nya, dan daripada-Nya.
11 Dan aku, Yohanes, memberikan kesaksian bahawa aku melihat kemuliaan-Nya, sebagai kemuliaan Anak Tunggal Bapa, penuh kerahmatan dan kebenaran, bahkan Roh kebenaran, yang datang dan tinggal dalam keadaan daging, dan tinggal di kalangan kita.
12 Dan aku, Yohanes, melihat bahawa Dia tidak menerima kegenapan pada mulanya, tetapi menerimanya rahmat demi rahmat;
13 Dan Dia tidak menerima kegenapan pada mulanya, tetapi secara berterusan dari rahmat ke rahmat, sehingga dia menerima suatu kegenapan;
14 Dan demikianlah Dia disebut Putera Tuhan, kerana Dia tidak menerima kegenapan pada mulanya.
15 Dan aku, Yohanes, memberikan kesaksian, dan tengoklah, langit terbuka, dan Roh Kudus turun ke atas-Nya dalam bentuk seekor burung merpati, dan hinggap di atas-Nya, dan datanglah suara dari syurga memfirmankan: Inilah Putera-Ku yang Kukasihi.
16 Dan aku, Yohanes, memberikan kesaksian bahawa Dia menerima kegenapan kemuliaan Bapa;
17 Dan Dia menerima segala kuasa, baik di dalam syurga mahupun di atas bumi, dan kemuliaan Bapa ada bersama-Nya, kerana Dia berada di dalam Dia.
18 Dan akan terjadilah, bahawa jika kamu setia kamu akan menerima kegenapan catatan Yohanes.
19 Aku memberi kepadamu firman ini agar kamu boleh memahami dan mengetahui bagaimana menyembah, dan mengetahui apa yang kamu sembah, agar kamu boleh datang kepada Bapa dalam nama-Ku, dan pada waktu yang tepat menerima kegenapan-Nya.
20 Kerana jika kamu mentaati perintah-perintah-Ku kamu akan menerima kegenapan-Nya, dan dimuliakan di dalam Aku seperti Aku di dalam Bapa; oleh kerana itu, Aku berfirman kepadamu, kamu akan menerima rahmat demi rahmat.
21 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku pada mulanya berada bersama Bapa, dan merupakan Putera Sulung;
22 Dan mereka semua yang dilahirkan melalui Aku adalah pengambil bahagian kemuliaan yang sama, dan merupakan gereja Putera Sulung.
23 Kamu juga pada mulanya berada bersama Bapa; yang merupakan Roh, bahkan Roh kebenaran;
24 Dan kebenaran adalah pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang;
25 Dan apa pun yang lebih atau kurang daripada ini adalah dari roh yang jahat itu yang merupakan pendusta sejak permulaan.
26 Roh kebenaran adalah daripada Tuhan. Aku adalah Roh kebenaran, dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Aku, mengatakan: Dia telah menerima kegenapan kebenaran, ya, bahkan segala kebenaran;
27 Dan tiada seorang pun menerima kegenapan kecuali dia mentaati perintah-perintah-Nya.
28 Dia yang mentaati perintah-perintah-Nya menerima kebenaran dan cahaya, sehingga dia dimuliakan dalam kebenaran dan mengetahui segala hal.
29 Manusia juga pada awalnya berada bersama Tuhan. Kecerdasan, atau cahaya kebenaran, bukanlah diciptakan atau dibuat, tidak juga ianya boleh terjadi.
30 Segala kebenaran adalah tersendiri di dalam lingkungan itu yang Tuhan telah tempatkan ia di dalamnya, untuk bertindak bagi dirinya sendiri, seperti semua kecerdasan juga; jika tidak tidak adalah kewujudan.
31 Lihatlah, inilah hak pilihan manusia, dan inilah penghukuman manusia; kerana apa yang ada sejak permulaan dengan jelasnya dinyatakan kepada mereka, dan mereka tidak menerima cahaya itu.
32 Dan setiap orang yang rohnya tidak menerima cahaya itu berada di bawah penghukuman.
33 Kerana manusia adalah roh. Unsur-unsur adalah abadi, dan roh dan unsur, berkait rapat, menerima kegenapan kebahagiaan;
34 Dan apabila dipisahkan, manusia tidak dapat menerima kegenapan kebahagiaan.
35 Unsur-unsur adalah khemah suci Tuhan; ya, manusia adalah khemah suci Tuhan, bahkan bait suci; dan apa pun bait suci yang ternoda; Tuhan akan menghancurkan bait suci itu.
36 Kemuliaan Tuhan adalah kecerdasan, atau, dengan perkataan lain, cahaya dan kebenaran.
37 Cahaya dan kebenaran meninggalkan si jahat itu.
38 Setiap roh manusia tidak berdosa pada mulanya; dan Tuhan setelah menebus manusia dari kejatuhan, manusia sekali lagi menjadi, dalam keadaan bayi mereka, tidak berdosa di hadapan Tuhan.
39 Dan yang jahat itu datang dan mengambil cahaya dan kebenaran, melalui ketidakpatuhan, daripada anak-anak manusia, dan kerana adat resam nenek moyang mereka.
40 Tetapi Aku telah memerintahkanmu untuk membesarkan anak-anakmu dalam cahaya dan kebenaran.
41 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Frederick G. Williams, kamu telah meneruskan di bawah penghukuman ini;
42 Kamu belum mengajar anak-anakmu cahaya dan kebenaran, menurut perintah-perintah itu; dan yang jahat itu memiliki kuasa, pada masa ini, ke atas kamu, dan inilah penyebab kesengsaraanmu.
43 Dan sekarang sebuah perintah Aku berikan kepadamu—jika kamu ingin dibebaskan kamu haruslah mengatur rumahmu sendiri, kerana ada banyak hal yang tidak benar di dalam rumahmu.
44 Sesungguhnya, Aku berfirman kepada hamba-Ku Sidney Rigdon, bahawa dalam beberapa perkara dia belum mentaati perintah mengenai anak-anaknya; oleh kerana itu, terlebih dahulu tetapkanlah aturan rumahmu.
45 Sesungguhnya, Aku berfirman kepada hamba-Ku Joseph Smith Jr., atau dengan perkataan lain, Aku akan memanggilmu teman, kerana kamu adalah teman-teman-Ku, dan kamu akan memperoleh warisan bersama-Ku—
46 Aku memanggilmu para hamba demi kepentingan dunia, dan kamu adalah para hamba mereka demi kepentingan-Ku—
47 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepada Joseph Smith Jr.—Kamu belum mentaati perintah-perintah, dan mestilah perlu berdiri ditegur di hadapan Tuhan;
48 Keluargamu mestilah perlu bertaubat dan meninggalkan beberapa perkara, dan lebih bersungguh-sungguh mengendahkan perkataanmu, atau dikeluarkan dari tempat mereka.
49 Apa yang Aku firmankan kepada yang satu Aku firmankan kepada semua; berdoalah selalu agar jangan yang jahat itu memiliki kuasa dalam dirimu, dan mengeluarkanmu dari tempatmu.
50 Hamba-Ku Newel K. Whitney juga, uskup gereja-Ku, perlu dihukum, dan menetapkan aturan keluarganya, dan memastikan bahawa mereka lebih tekun dan mengambil berat di rumah, dan berdoa selalu, atau mereka akan dikeluarkan dari tempat mereka.
51 Sekarang, Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, biarlah hamba-Ku Sidney Rigdon pergi melakukan perjalanannya, dengan segera, dan juga memaklumkan masa Tuhan memberkati umatnya, dan Injil keselamatan, sebagaimana Aku akan memberinya pertuturan; dan melalui doamu dengan iman dengan satu persetujuan Aku akan menyokongnya.
52 Dan biarlah hamba-Ku Joseph Smith Jr. dan Frederick G. Williams juga pergi dengan segera, dan akan diberikan kepada mereka bahkan menurut doa dengan iman; dan sejauh kamu mentaati firman-Ku kamu tidak akan dibinasakan di dunia ini, tidak juga di dunia yang akan datang.
53 Dan, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa adalah menjadi kehendak-Ku bahawa kamu harus segera untuk menterjemahkan tulisan suci-Ku, dan untuk mendapatkan suatu pengetahuan sejarah, dan negara, dan kerajaan, hokum-hukum Tuhan dan manusia, dan semua ini demi keselamatan Sion. Amin.