Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 109


Bahagian 109

Doa yang dipersembahkan pada pembaktian bait suci di Kirtland, Ohio, 27 Mac 1836. Menurut pernyataan tertulis Nabi, doa ini diberikan kepadanya melalui wahyu.

1–5, Bait Suci Kirtland telah dibina sebagai sebuah tempat bagi kunjungan Putera Manusia untuk berkunjung; 6–21, Ia menjadi sebuah rumah untuk doa, puasa, iman, pembelajaran, kemuliaan, dan ketertiban, dan sebuah rumah Tuhan; 22–33, Semoga yang tidak bertaubat yang menentang umat Tuhan ditundukkan; 34–42, Semoga para Orang Suci pergi dengan kuasa untuk mengumpulkan yang soleh ke Sion; 43–53, Semoga para Orang Suci dibebaskan dari segala yang dahsyat yang akan dicurahkan ke atas yang jahat pada zaman akhir; 54–58, Semoga bangsa dan manusia serta gereja disediakan untuk Injil; 59–67, Semoga bangsa Yahudi, bangsa Laman, dan seluruh Israel ditebus; 68–80, Semoga para Orang Suci dimahkotai dengan kemuliaan dan kehormatan dan memperoleh keselamatan abadi.

1 Terima kasih pada nama-Mu, Ya Tuhan Raja Israel, yang memegang perjanjian dan menunjukkan belas kasihan kepada para hamba-Mu yang berjalan lurus di hadapan-Mu, dengan segenap hati mereka—

2 Engkau yang telah memerintahkan para hamba-Mu untuk membina sebuah rumah demi nama-Mu di tempat ini [Kirtland].

3 Dan sekarang Engkau melihat, Ya Tuhan, bahawa para hamba-Mu telah melakukannya menurut perintah-Mu.

4 Dan sekarang, kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, dalam nama Yesus Kristus, Putera daripada dada-Mu, iaitu hanya dalam nama-Nya sahaja keselamatan dapat dilaksanakan kepada anak-anak manusia, kami memohon kepada-Mu, Ya Tuhan, untuk menerima rumah ini, hasil kerja tangan kami, para hamba-Mu, yang telah Engkau perintahkan kami untuk membinanya.

5 Kerana Engkau tahu bahawa kami telah melakukan pekerjaan ini melalui kesengsaraan yang besar; dan dari kemiskinan kami, kami telah berikan harta benda kami untuk membina sebuah rumah bagi nama-Mu, agar ada tempat di mana Putera Manusia boleh menyatakan diri-Nya kepada umat-Nya.

6 Dan seperti yang telah Engkau firmankan di dalam sebuah wahyu, yang diberikan kepada kami, yang memanggil kami teman-teman-Mu, memfirmankan—Adakanlah perhimpunan khusyukmu, seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu;

7 Dan kerana semua tidak beriman, carilah kamu dengan tekun dan saling mengajarkan kata-kata kebijaksanaan; ya, carilah kamu dari buku-buku terbaik kata-kata kebijaksanaan, carilah pelajaran bahkan melalui pembelajaran dan juga melalui iman;

8 Aturlah dirimu; sediakanlah segala yang diperlukan, dan binalah sebuah rumah, bahkan sebuah rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah pembelajaran, rumah kemuliaan, rumah ketertiban, rumah Tuhan;

9 Agar kemasukanmu adalah dalam nama Tuhan, agar keluarmu adalah dalam nama Tuhan, agar semua salammu adalah dalam nama Tuhan, dengan tangan yang diangkat kepada Yang Maha Tinggi—

10 Dan sekarang, Bapa Yang Kudus, kami memohon kepada-Mu untuk membantu kami, umat-Mu, dengan rahmat-Mu, dalam mengadakan perhimpunan khusyuk kami, agar ia dilakukan bagi kehormatan-Mu dan bagi penerimaan ilahi-Mu;

11 Dan dengan suatu cara agar kami boleh didapati layak, pada mata-Mu, untuk memperoleh penggenapan janji-janji yang telah Engkau buat kepada kami, umat-Mu, di dalam wahyu-wahyu yang diberikan kepada kami;

12 Agar kemuliaan-Mu boleh turun kepada umat-Mu, dan di atas rumah-Mu ini, yang sekarang kami dedikasikan kepada-Mu, agar ia boleh disucikan dan dibaktikan untuk menjadi kudus, dan agar kehadiran-Mu yang kudus boleh terus berada di dalam rumah ini;

13 Dan agar semua orang yang akan masuk ke ambang pintu rumah Tuhan boleh merasakan kuasa-Mu, dan merasa akur untuk mengakui bahawa Engkau telah menguduskannya, dan bahawa ianya adalah rumah-Mu, sebuah tempat kekudusan-Mu.

14 Dan Engkau kabulkanlah, Bapa Yang Kudus, agar mereka semua yang akan menyembah di dalam rumah ini boleh diajarkan kata-kata kebijaksanaan dari buku-buku terbaik, dan agar mereka boleh mencari pelajaran bahkan melalui pembelajaran, dan juga melalui iman, seperti yang telah Engkau firmankan;

15 Dan agar mereka boleh berkembang di dalam Engkau, dan menerima kegenapan Roh Kudus, dan diatur menurut hukum-hukum-Mu, dan disediakan untuk mendapatkan setiap hal yang diperlukan;

16 Dan agar rumah ini boleh menjadi sebuah rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah kemuliaan dan Tuhan, bahkan rumah-Mu;

17 Agar semua kemasukan umat-Mu, ke dalam rumah ini, adalah dalam nama Tuhan;

18 Agar mereka semua yang keluar dari rumah ini adalah dalam nama Tuhan;

19 Dan agar semua salam mereka adalah dalam nama Tuhan, dengan tangan-tangan kudus, yang diangkat kepada Yang Maha Tinggi;

20 Dan agar tidak ada sesuatu yang tidak bersih akan diizinkan untuk datang ke dalam rumah-Mu untuk mencemarinya;

21 Dan apabila umat-Mu melanggar, sesiapa pun daripada mereka, mereka boleh dengan segeranya bertaubat dan kembali kepada-Mu, dan berkenan pada pandangan-Mu, dan dipulihkan kepada berkat-berkat yang telah Engkau tetapkan untuk dicurahkan kepada mereka yang akan menghormatimu di dalam rumah-Mu.

22 Dan kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, agar para hamba-Mu boleh pergi dari rumah ini bersenjatakan kuasa-Mu, dan agar nama-Mu boleh berada pada diri mereka, dan kemuliaan-Mu di sekeliling mereka, dan para malaikat-Mu menjaga mereka;

23 Dan dari tempat ini mereka boleh menyampaikan khabar yang besar dan mulia, dalam kebenaran, ke hujung-hujung bumi, agar mereka boleh mengetahui bahawa inilah pekerjaan-Mu, dan bahawa Engkau telah menghulurkan tangan-Mu, untuk menggenapi apa yang telah Engkau firmankan melalui mulut para nabi, tentang zaman akhir.

24 Kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, untuk menegakkan umat yang akan menyembah, dan dengan hormat memegang suatu nama dan kedudukan di dalam rumah-Mu ini, kepada semua generasi dan bagi keabadian;

25 Agar tidak ada senjata yang dicipta untuk menentang mereka akan berjaya; agar dia yang menggali sebuah lubang bagi mereka akan jatuh sendiri ke dalam yang sama itu;

26 Agar tidak ada komplot kejahatan akan berkuasa untuk bangkit dan berjaya menentang umat-Mu, yang kepadanya nama-Mu akan diletakkan di dalam rumah ini;

27 Dan jika mana-mana orang pun akan bangkit menentang umat ini, kemarahan-Mu akan menyala terhadap mereka;

28 Dan jika mereka akan menghentam umat ini Engkau akan menghentam mereka; Engkau akan berperang bagi umat-Mu seperti yang Engkau lakukan pada hari pertempuran, agar mereka boleh dibebaskan dari tangan semua musuh mereka.

29 Kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, untuk menundukkan, dan mencengangkan, dan untuk membawa keaiban dan kekeliruan, kepada mereka semua yang telah menyebarkan laporan-laporan palsu ke luar daerah, ke seluruh dunia, menentang hamba atau para hamba-Mu, jika mereka tidak mahu bertaubat, apabila Injil abadi akan dimaklumkan ke dalam telinga mereka;

30 Dan agar segala pekerjaan mereka boleh dijadikan sia-sia, dan disapu bersih oleh hujan batu, dan oleh penghakiman yang akan Engkau kirimkan ke atas diri mereka dalam kemarahan-Mu, agar adanya suatu penamat terhadap penipuan dan fitnah terhadap umat-Mu.

31 Kerana Engkau tahu, Ya Tuhan, bahawa para hamba-Mu sentiasa tidak bersalah di hadapan-Mu dalam memberikan kesaksian tentang nama-Mu, yang mana kerananyalah mereka telah menderitai hal-hal ini.

32 Oleh kerana itu kami memohon di hadapan-Mu untuk pembebasan penuh dan lengkap dari kuk ini;

33 Patahkanlah ia, Ya Tuhan; patahkanlah ia dari leher para hamba-Mu, dengan kuasa-Mu, agar kami boleh bangkit di tengah-tengah generasi ini dan melakukan pekerjaan-Mu.

34 Ya Yehova, berbelas kasihanlah terhadap umat ini, dan kerana semua orang berdosa ampunilah pelanggaran umat-Mu, dan biarlah ia dihapuskan selamanya.

35 Biarlah penetapan para pelayan rohani-Mu dimeteraikan ke atas diri mereka dengan kuasa dari syurga.

36 Biarlah ianya digenapi bagi mereka, seperti bagi mereka pada hari Pentakosta; biarlah kurnia bahasa dicurahkan ke atas umat-Mu, bahkan bagai lidah-lidah bercabang seperti nyala api, dan tafsirannya.

37 Dan biarlah rumah-Mu dipenuhi, bagaikan dengan angin kuat yang menderu, dengan kemuliaan-Mu.

38 Letaklah ke atas para hamba-Mu kesaksian pada perjanjian ini, agar apabila mereka keluar dan memaklumkan firman-Mu mereka boleh memeteraikan hukum itu, dan menyediakan hati para orang suci-Mu untuk semua penghakiman yang Engkau akan kirimkan tidak lama lagi, dalam kemurkaan-Mu, ke atas para penduduk bumi, disebabkan pelanggaran mereka, agar umat-Mu tidak akan berputus asa pada hari kesusahan itu.

39 Dan di mana pun kota yang akan dimasuki oleh para hamba-Mu, dan orang-orang dari kota itu menerima kesaksian mereka, biarlah kedamaian-Mu dan keselamatan-Mu berada pada kota itu; agar mereka boleh mengumpulkan yang soleh dari kota itu, agar mereka boleh datang ke Sion, atau ke pancang-pancangnya, tempat-tempat yang ditetapkan oleh-Mu, dengan nyanyian kebahagiaan yang kekal;

40 Dan sehinggalah ini dilaksanakan, janganlah membiarkan penghakiman-Mu jatuh ke atas kota itu.

41 Dan di mana pun kota yang akan dimasuki oleh para hamba-Mu, dan orang-orang di kota itu tidak menerima kesaksian para hamba-Mu, dan para hamba-Mu mengingatkan mereka untuk menyelamatkan diri mereka dari generasi yang nahas ini, biarlah terjadi ke atas kota itu menurut apa yang telah Engkau firmankan melalui mulut para nabi-Mu.

42 Tetapi Engkau bebaskanlah, Ya Yehova, kami memohon kepada-Mu, para hamba-Mu daripada tangan mereka, dan bersihkanlah mereka dari darah mereka.

43 Ya Tuhan, kami tidak gembira dengan kehancuran sesama kami; jiwa mereka berharga di hadapan-Mu;

44 Tetapi firman-Mu mesti digenapi. Tolonglah para hamba-Mu untuk mengatakan, dengan rahmat-Mu membantu mereka; Jadilah kehendak-Mu, Ya Tuhan, dan bukanlah kehendak kami.

45 Kami tahu bahawa Engkau telah memfirmankan melalui mulut para nabi-Mu hal-hal yang dahsyat tentang yang jahat, dalam zaman akhir ini—bahawa Engkau akan mencurahkan penghakiman-Mu, tanpa batas;

46 Oleh kerana itu, Ya Tuhan, bebaskanlah umat-Mu dari malapetaka orang jahat; izinkanlah para hamba-Mu untuk memeteraikan hukum ini, dan mengikat kesaksian ini, agar mereka boleh disediakan untuk menghadapi hari pembakaran.

47 Kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, untuk mengingati mereka yang telah dihalau oleh para penduduk Jackson County, Missouri, dari tanah-tanah warisan mereka, dan patahkanlah, Ya Tuhan, kuk kesengsaraan ini yang telah diletakkan ke atas diri mereka.

48 Engkau tahu, Ya Tuhan, bahawa mereka telah ditindas dan disengsarakan dengan kejam oleh orang-orang jahat; dan hati kami meluap dengan kedukaan kerana beban mereka yang memilukan.

49 Ya Tuhan, berapa lamakah Engkau akan membiarkan umat ini untuk menanggung kesengsaraan ini, dan tangisan orang-orang mereka yang tidak berdosa untuk naik ke telinga-Mu, dan darah mereka datang sebagai kesaksian di hadapan-Mu, dan tidak menunjukkan kesaksian-Mu bagi pihak mereka?

50 Berbelas kasihanlah, Ya Tuhan, terhadap kumpulan perusuh yang jahat itu, yang telah menghalau umat-Mu, agar mereka boleh berhenti merampas, agar mereka boleh bertaubat dari dosa-dosa mereka sekiranya pertaubatan masih boleh ditemukan;

51 Tetapi jika mereka tidak mahu, dedahkanlah lengan-Mu, Ya Tuhan, dan tebuslah apa yang telah Engkau tetapkan sebagai sebuah Sion bagi umat-Mu.

52 Dan jika yang sebaliknya itu tidak dapat dilakukan, agar perjuangan umat-Mu tidak akan gagal di hadapan-Mu semoga kemurkaan-Mu ternyala, dan kemarahan-Mu jatuh ke atas diri mereka, agar mereka boleh dilenyapkan, baik akar mahupun cabang, dari kolong langit;

53 Tetapi sejauh mereka mahu bertaubat, Engkau penyayang dan penuh belas kasihan, dan akan memalingkan kemurkaan-Mu apabila Engkau memandang wajah Yang Terpilih.

54 Berbelas kasihanlah, Ya Tuhan, terhadap seluruh bangsa di bumi; berbelas kasihanlah terhadap para pemerintah negara kami; semoga prinsip-prinsip itu, yang begitu dipertahankan dengan kehormatan dan kemuliaan, iaitu, Perlembagaan negara kami, oleh nenek moyang kami, ditegakkan untuk selamanya.

55 Ingatlah para raja, para putera, yang mulia, dan yang agung di bumi, dan semua orang, dan gereja-gereja, semua yang miskin, yang memerlukan, dan yang sengsara di bumi;

56 Agar hati mereka boleh dilembutkan apabila para hamba-Mu akan keluar dari rumah-Mu, Ya Yehova, untuk memberikan kesaksian tentang nama-Mu; agar prasangka mereka boleh hilang di hadapan kebenaran, dan umat-Mu boleh berkenan di dalam pandangan semua orang;

57 Agar segenap hujung bumi boleh mengetahui bahawa kami, para hamba-Mu, telah mendengar suara-Mu, dan bahawa Engkau telah mengutuskan kami;

58 Agar dari antara semua ini, para hamba-Mu, anak-anak Yakub, boleh mengumpulkan yang soleh untuk membangunkan sebuah kota yang kudus demi nama-Mu, seperti yang telah Engkau perintahkan kepada mereka.

59 Kami memohon kepada-Mu untuk menetapkan bagi Sion pancang-pancang selain daripada pancang ini yang telah Engkau tetapkan, agar pengumpulan umat-Mu boleh berterusan dengan kuasa dan keagungan yang hebat, agar pekerjaan-Mu boleh dipersingkatkan dalam kebenaran.

60 Sekarang perkataan ini, Ya Tuhan, kami telah katakan di hadapan-Mu, mengenai wahyu-wahyu dan perintah yang telah Engkau berikan kepada kami, yang digolongkan sebagai bangsa bukan Israel.

61 Tetapi Engkau tahu bahawa Engkau memiliki kasih yang besar kepada anak-anak Yakub, yang telah dicerai-beraikan di atas gunung-ganang untuk waktu yang lama, pada suatu hari yang berawan dan gelap.

62 Kami dengan itu memohon kepada-Mu untuk berbelas kasihan terhadap anak-anak Yakub, agar Yerusalem, dari saat ini, boleh mula ditebus;

63 Dan kuk penawanan boleh mula dipatahkan dari bani Daud;

64 Dan anak-anak Yehuda boleh mula kembali ke tanah-tanah yang telah Engkau berikan kepada Abraham, bapa mereka.

65 Dan menyebabkan bani Yakub yang selebihnya, yang telah dikutuk dan dihentam kerana pelanggaran mereka, bertukar hati dari keadaan mereka yang liar dan ganas pada kegenapan Injil abadi;

66 Agar mereka boleh meletakkan senjata penumpahan darah mereka, dan menghentikan pemberontakan mereka.

67 Dan semoga seluruh lebihan keturunan Israel yang tercerai-berai, yang telah dihalau ke hujung-hujung bumi, sampai pada suatu pengetahuan tentang kebenaran, percaya kepada Mesias, dan ditebus dari penindasan, dan bergembira di hadapan-Mu.

68 Ya Tuhan, ingatlah hamba-Mu, Joseph Smith Jr., dan segala kesengsaraan dan penganiayaannya—bagaimana dia telah berjanji dengan Yehova, dan berikrar kepada-Mu, Ya Tuhan Yakub yang Perkasa—dan perintah-perintah yang telah Engkau berikan kepadanya, dan bahawa dia telah berusaha dengan tulus untuk melakukan kehendak-Mu.

69 Berbelas kasihanlah, Ya Tuhan, terhadap isteri dan anak-anaknya, agar mereka boleh dipermuliakan dalam hadirat-Mu, dan dipelihara oleh tangan peliharaan-Mu.

70 Berbelas kasihanlah terhadap semua saudara-mara mereka, agar prasangka mereka boleh dihapuskan dan disapu bersih bagaikan dengan air bah; agar mereka boleh bertukar hati dan ditebus bersama Israel, dan mengetahui bahawa Engkau ialah Tuhan.

71 Ingatlah, Ya Tuhan, para presiden, bahkan semua presiden gereja-Mu, agar tangan kanan-Mu boleh mempermuliakan mereka, bersama seluruh keluarga mereka, dan saudara-mara mereka, agar nama mereka boleh diabadikan dan disimpan sebagai kenangan abadi dari generasi ke generasi.

72 Ingatlah seluruh gereja-Mu, Ya Tuhan, bersama seluruh keluarga mereka, dan seluruh saudara mara mereka, bersama semua orang mereka yang sakit dan sengsara, bersama semua orang yang miskin dan lembut hati di bumi; agar kerajaan itu, yang telah Engkau dirikan tanpa tangan, boleh menjadi sebuah gunung yang besar dan memenuhi seluruh bumi;

73 Agar gereja-Mu boleh datang dari padang belantara kegelapan, dan bersinar cerah bagaikan bulan, jernih bagaikan matahari, dan dahsyat bagaikan sepasukan tentera dengan bendera;

74 Dan dihiasi bagaikan seorang pengantin perempuan untuk hari itu apabila Engkau akan membuka tirai syurga, dan menyebabkan gunung-ganang mengalir turun pada kehadiran-Mu, dan lembah-lembah ditinggikan, tempat-tempat kasar dijadikan halus; agar kemuliaan-Mu boleh memenuhi bumi;

75 Agar apabila sangkakala akan berbunyi bagi yang telah mati, kami akan diangkat ke awan untuk menemui-Mu, agar kami dapat sentiasa bersama Tuhan;

76 Agar pakaian kami boleh menjadi murni, agar kami boleh mengenakan jubah kebenaran, dengan daun palma di tangan kami, dan mahkota kemuliaan di atas kepala kami, dan menuai kebahagiaan abadi untuk segala penderitaan kami.

77 Ya Tuhan Raja Yang Perkasa, dengarlah kami dalam permohonan kami ini, dan jawablah kami dari syurga, kediaman-Mu yang kudus, di mana Engkau duduk bertakhta, dengan kemuliaan, kehormatan, kuasa, keagungan, daya, kekuasaan, kebenaran, keadilan, penghakiman, belas kasihan, dan suatu kegenapan yang tidak terbatas, dari kekekalan ke kekekalan.

78 Ya dengarlah, Ya dengarlah, Ya dengarlah kami, Ya Tuhan! Dan jawablah permohonan ini, dan terimalah pembaktian rumah ini bagi-Mu, hasil pekerjaan tangan kami, yang kami telah bangunkan demi nama-Mu;

79 Dan juga gereja ini, untuk meletakkan ke atasnya nama-Mu. Dan tolonglah kami melalui kuasa Roh-Mu, agar kami boleh menyatukan suara kami dengan para serafim yang cemerlang, yang bersinar di sekeliling takhta-Mu, dengan sambutan pujian, menyanyikan Hosana kepada Tuhan dan Anak Domba!

80 Dan biarlah mereka ini, yang Engkau tetapkan, diselubungi dengan keselamatan, dan para orang suci-Mu bersorak dengan kuat kerana kebahagiaan. Amin, dan Amin.