Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 20


Bahagian 20

Wahyu tentang organisasi dan pengaturan Gereja, diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di atau berdekatan Fayette, New York. Bahagian dari wahyu ini mungkin diberikan seawal musim panas 1829. Wahyu yang penuh pada masa itu dikenali sebagai Fasal dan Perjanjian, mungkin telah dicatat sejurus selepas 6 April 1930 (hari Gereja ditubuhkan). Nabi telah menuliskan, “Kami mendapatkan daripada Dia [Yesus Kristus] yang berikut, melalui roh nubuat dan wahyu; yang bukan hanya memberi kami banyak maklumat, tetapi juga menunjukkan kepada kami hari yang tepat di mana, menurut kehendak dan perintah-Nya, kami harus mula untuk mengorganisasikan Gereja-Nya sekali lagi di sini di atas bumi.”

1–16, Kitab Mormon membuktikan keilahian pekerjaan zaman akhir; 17–28, Ajaran tentang penciptaan, kejatuhan, korban tebusan, dan pembaptisan ditegakkan; 29–37, Hukum-hukum yang mengatur pertaubatan, pemakluman soleh, pengudusan, dan pembaptisan dinyatakan; 38–67, Kewajipan para penatua, imam, pengajar, dan diaken diringkaskan; 68–74, Kewajipan para anggota, pemberkatan anak, dan cara pembaptisan didedahkan; 75–84, Doa sakramen dan peraturan yang mengatur keanggotaan Gereja diberikan.

1 Kebangkitan Gereja Kristus pada zaman akhir ini, yang adalah seribu lapan ratus tiga puluh tahun sejak kedatangan Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus dalam keadaan dagingnya, yang secara rasmi diorganisasikan dan ditubuhkan menurut undang-undang negara kita, menurut kehendak dan perintah Tuhan, dalam bulan keempat, dan pada hari keenam dalam bulan yang disebut April—

2 Yang mana perintah-perintah itu diberikan kepada Joseph Smith Jr., yang dipanggil oleh Tuhan, dan ditahbiskan sebagai rasul Yesus Kristus, untuk menjadi penatua pertama gereja ini;

3 Dan kepada Oliver Cowdery, yang juga dipanggil oleh Tuhan, sebagai rasul Yesus Kristus, untuk menjadi penatua kedua gereja ini, dan ditahbiskan di bawah tangannya;

4 Dan ini menurut rahmat Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus, kepada-Nya ada segala kemuliaan, sekarang mahupun selamanya. Amin.

5 Setelah benar-benar dinyatakan kepada penatua pertama ini bahawa dia telah menerima pengampunan dosa-dosanya, dia terlibat lagi dalam kesombongan dunia;

6 Tetapi setelah bertaubat, dan merendahkan hatinya dengan tulus, melalui iman, Tuhan melayaninya melalui seorang malaikat kudus, wajahnya bagaikan kilat, dan pakaiannya suci dan putih melebihi keputihan yang lain;

7 Dan memberikan kepadanya perintah-perintah yang mengilhaminya;

8 Dan memberikannya kuasa dari syurga, melalui sarana yang sebelumnya disediakan, untuk menterjemahkan Kitab Mormon;

9 Yang mengandungi sebuah catatan tentang bangsa yang terjatuh, dan kegenapan Injil Yesus Kristus kepada bangsa bukan Israel dan kepada bangsa Yahudi juga;

10 Yang telah diberikan melalui ilham, dan disahkan kepada yang lain melalui pelayanan para malaikat, dan dimaklumkan kepada dunia melalui mereka—

11 Membuktikan kepada dunia bahawa tulisan-tulisan suci yang kudus adalah benar, dan bahawa Tuhan mengilhami manusia dan memanggil mereka pada pekerjaan kudus-Nya dalam zaman dan generasi ini, seperti juga pada generasi-generasi zaman dahulu;

12 Dengan demikian memperlihatkan bahawa Dia ialah Tuhan yang sama kelmarin, hari ini, dan selamanya. Amin.

13 Oleh kerana itu, dengan mempunyai begitu banyak saksi, melalui mereka dunia akan dihakimi, bahkan sebanyak mana selepas ini akan datang pada pengetahuan tentang pekerjaan ini.

14 Dan mereka yang menerimanya dalam iman, dan mengerjakan kesolehan, akan menerima mahkota kehidupan abadi;

15 Tetapi mereka yang mengeraskan hati mereka dalam ketidakpercayaan, dan menolaknya, ia akan berpaling untuk penghukuman mereka sendiri—

16 Kerana Tuhan Raja telah memfirmankannya; dan kami, para penatua gereja, telah mendengar dan memberikan kesaksian tentang firman Yang Maha Mulia di syurga, kepada-Nya ada kemuliaan selama-lamanya. Amin.

17 Melalui hal-hal ini kita mengetahui bahawa ada seorang Tuhan di dalam syurga, yang tak terbatas dan abadi, dari keabadian ke keabadian Tuhan yang tidak berubah yang sama, pembentuk langit dan bumi, dan segala yang ada di dalamnya;

18 Dan bahawa Dia menciptakan manusia, lelaki dan perempuan, menurut rupa-Nya sendiri dan menurut kemiripan-Nya sendiri, Dia telah menciptakan mereka;

19 Dan memberikan kepada mereka perintah-perintah agar mereka haruslah mengasihi dan melayani-Nya, satu-satunya Tuhan yang hidup dan benar, dan bahawa Dialah satu-satunya Makhluk yang harus mereka sembah.

20 Tetapi melalui pelanggaran terhadap hukum-hukum kudus ini manusia menjadi berhawa nafsu dan seperti iblis, dan menjadi manusia yang terjatuh.

21 Kerana itu, Tuhan Yang Maha Kuasa memberikan Putera Tunggal-Nya, seperti yang tertulis dalam tulisan suci itu yang telah diberikan tentang Dia.

22 Dia menderita godaan tetapi tidak mengendahkannya.

23 Dia disalibkan, mati, dan bangkit lagi pada hari ketiga;

24 Dan naik ke syurga, untuk duduk di sisi kanan Bapa, untuk memerintah dengan kekuatan maha kuasa menurut kehendak Bapa;

25 Agar sebanyak mana yang akan percaya dan dibaptiskan dalam nama kudus-Nya dan bertahan dalam iman sampai akhir, akan diselamatkan—

26 Bukan sahaja mereka yang percaya setelah Dia datang pada pertengahan zaman, dalam keadaan daging, tetapi mereka semua yang sejak dari awal, bahkan sebanyak mana yang ada sebelum Dia datang, yang percaya pada perkataan para nabi kudus, yang berbicara sebagaimana mereka diilhami oleh kurnia Roh Kudus, yang benar-benar bersaksi tentang Dia dalam segala hal, akan memperoleh kehidupan abadi,

27 Seperti juga mereka yang akan datang selepas itu, yang akan percaya pada kurniaan dan pemanggilan daripada Tuhan melalui Roh Kudus, yang memberikan kesaksian tentang Bapa dan Putera;

28 Yang mana Bapa, Putera, dan Roh Kudus itu adalah satu Tuhan, tak terbatas dan abadi, tanpa akhir. Amin.

29 Dan kami tahu bahawa semua orang mesti bertaubat dan percaya pada nama Yesus Kristus, dan menyembah Bapa dalam nama-Nya, dan bertahan dalam iman pada nama-Nya sampai akhir, atau mereka tidak dapat diselamatkan di dalam kerajaan Tuhan.

30 Dan kami mengetahui bahawa pemakluman soleh melalui rahmat Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus adalah adil dan benar;

31 Dan kami juga tahu, bahawa pengudusan melalui rahmat Tuhan dan Juruselamat kita Yesus Kristus adalah adil dan benar, kepada mereka semua yang mengasihi dan melayani Tuhan dengan sepenuh daya, fikiran, dan kekuatan mereka.

32 Tetapi ada suatu kemungkinan bahawa manusia boleh jatuh daripada rahmat dan meninggalkan Tuhan yang hidup;

33 Oleh kerana itu biarlah gereja mengendahkan dan berdoa selalu, agar jangan mereka jatuh ke dalam godaan;

34 Ya, dan bahkan biarlah mereka yang dikuduskan mengendahkannya juga.

35 Dan kami tahu bahawa hal-hal ini adalah benar dan menurut wahyu Yohanes, tidak juga menambah, tidak juga mengurangkan nubuat kitabnya, tulisan suci yang kudus, atau wahyu-wahyu Tuhan yang akan datang selepas ini melalui kurnia dan kuasa Roh Kudus, suara Tuhan, atau pelayanan para malaikat.

36 Dan Tuhan Raja telah memfirmankannya; dan kehormatan, kuasa dan kemuliaan diberikan pada nama kudus-Nya, baik sekarang mahupun selamanya. Amin.

37 Dan lagi, dengan cara perintah kepada gereja tentang cara pembaptisan—Mereka semua yang merendahkan hati mereka di hadapan Tuhan, dan berhasrat untuk dibaptiskan, dan datang dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal, dan bersaksi di hadapan gereja bahawa mereka telah benar-benar bertaubat dari semua dosa mereka, dan bersedia mengambil ke atas diri mereka nama Yesus Kristus, menunjukkan suatu keazaman untuk melayani-Nya sampai akhir, dan benar-benar menyatakan melalui pekerjaan mereka bahawa mereka telah menerima Roh Kristus bagi pengampunan dosa-dosa mereka, akan diterima melalui pembaptisan ke dalam gereja-Nya.

38 Kewajipan para penatua, imam, pengajar, diaken, dan anggota gereja KristusRasul ialah seorang penatua, dan adalah panggilannya untuk membaptis;

39 Dan untuk mentahbiskan para penatua lain, imam, pengajar, dan diaken;

40 Dan untuk memberkati roti dan wain—lambang daging dan darah Kristus—

41 Dan untuk menetapkan mereka yang telah dibaptiskan ke dalam gereja, melalui perletakan tangan untuk pembaptisan api dan Roh Kudus, menurut tulisan suci;

42 Dan untuk mengajar, menghuraikan, mendorong, membaptis, dan mengawasi gereja;

43 Dan untuk menetapkan gereja melalui perletakan tangan, dan pemberian Roh Kudus;

44 Dan untuk mengetuai semua pertemuan.

45 Para penatua mesti mengacarakan pertemuan-pertemuan sebagaimana mereka dituntun oleh Roh Kudus, menurut perintah dan wahyu Tuhan.

46 Kewajipan imam adalah untuk berkhutbah, mengajar, menghuraikan, mendorong, dan membaptis, dan memberkati sakramen,

47 Dan mengunjungi rumah setiap anggota, dan mendorong mereka untuk berdoa dengan bersuara dan secara tersembunyi dan melaksanakan segala kewajipan keluarga.

48 Dan dia juga boleh mentahbiskan para imam lain, pengajar, dan diaken.

49 Dan dia akan mengetuai pertemuan-pertemuan apabila tidak ada penatua yang hadir;

50 Tetapi apabila ada penatua yang hadir, dia hanya berkhutbah, mengajar, menghuraikan, mendorong, dan membaptis,

51 Dan mengunjungi rumah setiap anggota, mendorong mereka untuk berdoa dengan bersuara dan secara peribadi dan melaksanakan segala kewajipan keluarga.

52 Dalam semua kewajipan ini imam akan membantu penatua jika keadaan memerlukan.

53 Kewajipan pengajar adalah untuk mengawasi gereja selalu, dan berada bersama dan menguatkan mereka;

54 Dan memastikan bahawa tidak ada kederhakaan di dalam gereja, tiada juga kelakuan kasar antara satu sama lain, tiada juga pendustaan, pemfitnahan, tiada juga percakapan yang jahat;

55 Dan memastikan bahawa gereja sering bertemu bersama, dan juga memastikan bahawa semua anggota melakukan kewajipan mereka.

56 Dan dia akan mengetuai pertemuan-pertemuan semasa ketidakhadiran penatua atau imam—

57 Dan selalu mesti dibantu, dalam semua kewajipannya di dalam gereja, oleh para diaken, jika keadaan memerlukan.

58 Tetapi tiada pengajar atau diaken memiliki wewenang untuk membaptis, memberkati sakramen, atau meletakkan tangan;

59 Mereka, walau bagaimanapun, memperingatkan, menghuraikan, mendorong dan mengajar, dan mengajak semua orang untuk datang kepada Kristus.

60 Setiap penatua, imam, pengajar, atau diaken mesti ditahbiskan menurut kurniaan dan pemanggilan daripada Tuhan kepadanya; dan dia mesti ditahbiskan melalui kuasa Roh Kudus, yang ada pada orang yang mentahbiskannya.

61 Beberapa penatua yang membentuk gereja Kristus ini mesti bertemu dalam persidangan sekali dalam tiga bulan, atau dari semasa ke semasa sebagaimana persidangan-persidangan tersebut akan arahkan atau tetapkan;

62 Dan persidangan-persidangan tersebut mesti melakukan apa pun urusan gereja yang perlu dilakukan pada waktu itu.

63 Para penatua akan menerima surat kuasa mereka daripada penatua lain, melalui pungutan suara gereja yang mereka anggotai itu, atau dari persidangan-persidangan tersebut.

64 Setiap imam, pengajar, atau diaken, yang ditahbiskan oleh seorang imam, boleh mengambil sekeping sijil daripadanya pada waktu itu, iaitu sijil, apabila ditunjukkan kepada seorang penatua, akan memberinya sekeping surat kuasa, yang akan mewenangkan dia untuk melaksanakan kewajipan panggilannya, atau dia boleh menerimanya dari sebuah persidangan.

65 Tidak seorang pun ditahbiskan pada jabatan apa pun di dalam gereja ini, di mana terdapatnya sebuah cabang yang sudah diorganisasikan secara rasmi yang sama, tanpa pungutan suara dari jemaah gereja itu;

66 Tetapi para penatua yang mengetuai, para uskup yang mengunjungi, para anggota majlis tinggi, para imam tinggi, dan para penatua, boleh memperoleh hak istimewa untuk mentahbiskan, di mana tidak ada cabang gereja untuk mengadakan pungutan suara.

67 Setiap presiden imamat tinggi (atau penatua yang mengetuai), uskup, anggota majlis tinggi, dan imam tinggi, mesti ditahbiskan melalui arahan daripada majlis tinggi atau persidangan umum.

68 Kewajipan para anggota setelah mereka diterima melalui pembaptisan—Para penatua atau imam mesti mempunyai masa yang cukup untuk menghuraikan semua hal tentang gereja Kristus untuk pemahaman mereka, sebelum mereka mengambil sakramen dan ditetapkan melalui perletakan tangan para penatua, supaya semuanya dilakukan dengan teratur.

69 Dan para anggota harus menyatakan di hadapan gereja, dan juga di hadapan para penatua, melalui gaya hidup dan percakapan yang soleh, bahawa mereka layak untuk itu, agar boleh ada pekerjaan dan iman yang menurut tulisan suci yang kudus—berjalan dalam kekudusan di hadapan Tuhan.

70 Setiap anggota gereja Kristus yang mempunyai anak mesti membawa mereka kepada para penatua di hadapan gereja, yang akan meletakkan tangan mereka ke atas diri mereka dalam nama Yesus Kristus, dan memberkati mereka dalam nama-Nya.

71 Tidak seorang pun dapat diterima ke dalam gereja Kristus kecuali dia telah mencapai umur pertanggungjawaban di hadapan Tuhan, dan mampu untuk bertaubat.

72 Pembaptisan mesti dilaksanakan dengan cara yang berikut kepada mereka semua yang bertaubat—

73 Orang yang dipanggil oleh Tuhan dan memiliki wewenang daripada Yesus Kristus untuk membaptis, akan turun ke dalam air bersama orang yang telah mempersembahkan dirinya, lelaki atau perempuan untuk pembaptisan, dan akan berkata, memanggil lelaki atau perempuan itu menurut nama mereka: Dengan wewenang daripada Yesus Kristus, aku membaptis kamu dalam nama Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus. Amin.

74 Kemudian dia akan mencelupkan lelaki atau perempuan itu ke dalam air, dan keluar dari air itu.

75 Adalah perlu bahawa gereja sering bertemu bersama untuk mengambil roti dan wain dalam peringatan akan Tuhan Yesus;

76 Dan penatua atau imam akan memberkatinya; dan menurut cara ini dia akan memberkatinya—dia akan berlutut bersama gereja dan meminta kepada Bapa dalam doa yang khusyuk, mengatakan:

77 Ya Tuhan, Bapa Yang Abadi, kami mohon kepada-Mu dalam nama Putera-Mu, Yesus Kristus, untuk memberkati dan menguduskan roti ini bagi jiwa mereka semua yang mengambilnya, agar mereka boleh makan sebagai peringatan akan tubuh Putera-Mu, dan bersaksi kepada-Mu, Ya Tuhan, Bapa Yang Abadi, bahawa mereka bersedia mengambil ke atas diri mereka nama Putera-Mu, dan selalu mengingati-Nya, dan taat kepada perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada mereka, agar mereka boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka. Amin.

78 Cara memberkati wain—dia akan mengambil cawan juga, dan mengatakan:

79 Ya Tuhan, Bapa Yang Abadi, kami mohon kepada-Mu, dalam nama Putera-Mu, Yesus Kristus, untuk memberkati dan menguduskan wain ini bagi jiwa mereka semua yang meminumnya, agar mereka boleh melakukannya sebagai peringatan akan darah Putera-Mu, yang ditumpahkan untuk mereka; agar mereka boleh bersaksi kepada-Mu, Ya Tuhan, Bapa Yang Abadi, bahawa mereka selalu mengingati-Nya, agar mereka boleh memiliki Roh-Nya bersama mereka. Amin.

80 Sesiapa pun anggota gereja Kristus yang melanggar, atau yang didapati bersalah, akan diuruskan seperti yang diarahkan oleh tulisan suci.

81 Akan menjadi kewajipan beberapa jemaah gereja, yang membentuk gereja Kristus, untuk menghantar seorang atau lebih daripada para pengajar mereka untuk menghadiri beberapa persidangan yang diadakan oleh para penatua gereja,

82 Dengan sebuah senarai nama beberapa anggota yang menggabungkan diri mereka dengan gereja sejak persidangan yang terakhir; atau dikirim melalui tangan seorang imam; supaya sebuah senarai tentang semua nama seluruh gereja akan disimpan dalam sebuah buku oleh salah seorang penatua, sesiapa pun yang dilantik oleh para penatua yang lain dari semasa ke semasa;

83 Dan juga, jika ada orang yang telah dikeluarkan dari gereja, supaya nama mereka boleh disingkirkan dari catatan nama gereja yang umum.

84 Semua anggota yang berpindah dari jemaah gereja di mana mereka tinggal, jika pergi ke sebuah jemaah gereja di mana mereka tidak dikenali, boleh membawa sepucuk surat yang mengesahkan bahawa mereka adalah anggota rasmi dan dalam kedudukan yang baik, yang mana sijil itu boleh ditandatangani oleh mana-mana penatua atau imam pun jika anggota yang menerima surat itu mengenali penatua atau imam itu secara peribadi, atau ia boleh ditandatangani oleh pengajar atau diaken dari jemaah gereja itu.