Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 38


Bahagian 38

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Fayette, New York, 2 Januari 1831. Kejadiannya adalah sebuah persidangan Gereja.

1–6, Kristus menciptakan segala sesuatu; 7–8, Dia berada di tengah-tengah para Orang Suci-Nya, yang tidak lama lagi akan melihat-Nya; 9–12, Semua daging mereput di hadapan-Nya; 13–22, Dia telah memperuntukkan negeri yang dijanjikan untuk para Orang Suci-Nya pada waktu ini dan dalam keabadian; 23–27, Para Orang Suci diperintahkan untuk menjadi satu dan menghormati satu sama lain sebagai saudara; 28–29, Peperangan diramalkan; 30–33, Para Orang Suci akan diberi kuasa dari syurga dan pergi ke kalangan semua bangsa; 34–42, Gereja diperintahkan untuk menjaga yang miskin dan memerlukan dan untuk mencari kekayaan abadi.

1 Demikianlah firman Tuhan Rajamu, bahkan Yesus Kristus, Aku Yang Agung, Alfa dan Omega, yang awal dan yang akhir, yang sama yang melihat bentangan keabadian yang luas, dan seluruh bala tentera serafim syurga, sebelum dunia diciptakan;

2 Yang sama yang mengetahui segala sesuatu, kerana segala sesuatu berada di hadapan mata-Ku;

3 Aku ialah yang sama yang berfirman, dan dunia diciptakan, dan segala sesuatu datang melalui-Ku.

4 Aku ialah yang sama yang telah mengambil Sion Henokh ke dada-Ku sendiri; dan sesungguhnya, Aku berfirman, bahkan seberapa banyak yang telah percaya dalam nama-Ku, kerana Aku ialah Kristus, dan dalam nama-Ku sendiri, berdasarkan kuasa darah yang telah Aku tumpahkan, Aku telah memohon di hadapan Bapa bagi mereka.

5 Tetapi lihatlah, sisa mereka yang jahat telah Aku tahan dalam rantai kegelapan sehingga penghakiman pada hari yang besar itu, yang akan datang pada akhir bumi;

6 Dan demikian pula Aku akan menyebabkan yang jahat ditahan, yang tidak mahu mendengar suara-Ku tetapi mengeraskan hati mereka, dan celaka, celaka, celaka, adalah ajal mereka.

7 Tetapi lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu bahawa mata-Ku adalah ke atas dirimu. Aku berada di tengah-tengahmu dan kamu tidak dapat melihat-Ku;

8 Tetapi harinya akan segera datang apabila kamu akan melihat-Ku, dan mengetahui bahawa Aku ada; kerana tirai kegelapan tidak lama lagi akan dikoyakkan, dan dia yang tidak disucikan tidak akan bertahan pada hari itu.

9 Kerana itu, persiapkan dirimu dan bersedialah. Lihatlah, kerajaan adalah milikmu, dan musuh tidak akan berkuasa.

10 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, kamu bersih, tetapi tidak keseluruhannya; dan tiada orang yang lain kepadanya Aku sangat berkenan;

11 Kerana semua daging mereput di hadapan-Ku; dan kuasa kegelapan berjaya di atas bumi, di kalangan anak-anak manusia, di hadapan seluruh bala tentera syurga—

12 Yang menyebabkan keheningan berkuasa, dan segala keabadian disakiti, dan para malaikat menunggu perintah yang besar itu untuk menuai bumi, untuk mengumpulkan lalang agar ia boleh dibakar; dan, lihatlah, musuh bergabung.

13 Dan sekarang, Aku memperlihatkan kepadamu suatu misteri, suatu hal yang ada di dalam bilik-bilik rahsia, untuk mendatangkan bahkan kehancuranmu dalam peredaran waktu, dan kamu tidak mengetahuinya;

14 Tetapi sekarang, Aku memberitahukannya kepadamu, dan kamu diberkati, bukan kerana kederhakaanmu, tidak juga hati ketidakpercayaanmu; kerana sesungguhnya segelintir daripada kamu bersalah di hadapan-Ku, tetapi Aku akan penuh belas kasihan pada kelemahan-kelemahanmu.

15 Oleh kerana itu, jadilah kamu kuat sejak dari sekarang; janganlah takut, kerana kerajaan adalah milikmu.

16 Dan untuk keselamatanmu Aku memberi kepadamu sebuah perintah, kerana Aku telah mendengar doa-doamu, dan yang miskin telah mengeluh di hadapan-Ku, dan yang kaya telah Aku jadikan, dan semua daging adalah milik-Ku, dan Aku bukanlah orang yang pilih kasih.

17 Dan Aku telah menjadikan bumi kaya, dan lihatlah itu adalah bangku kaki-Ku, kerana itu, Aku akan berdiri di atasnya lagi.

18 Dan Aku menawarkan dan sudi memberi kepadamu kekayaan yang lebih besar, bahkan sebuah negeri yang dijanjikan, sebuah tanah yang dilimpahi dengan susu dan madu, yang mana di atasnya tidak akan ada kutukan apabila Tuhan datang;

19 Dan Aku akan memberikannya kepadamu untuk negeri warisanmu, jika kamu mencarinya dengan segenap hatimu.

20 Dan ini akan menjadi perjanjian-Ku denganmu, kamu akan memilikinya untuk negeri warisanmu, dan untuk warisan anak-anakmu selamanya, sementara bumi masih bertahan, dan kamu akan memilikinya lagi dalam keabadian, tidak lagi akan berlalu.

21 Tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu bahawa tiba masanya kamu tidak akan mempunyai raja tidak juga pemerintah, kerana Aku akan menjadi rajamu dan menjagamu.

22 Kerana itu, dengarlah suara-Ku dan ikutlah Aku, dan kamu akan menjadi umat yang bebas, dan kamu tidak akan memiliki hukum-hukum selain hukum-Ku apabila Aku datang, kerana Aku adalah pemberi hukummu, dan apa yang dapat menahan tangan-Ku?

23 Tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, ajarlah satu sama lain menurut jabatan yang telah Aku lantikkan kepadamu;

24 Dan biarlah setiap orang menjunjung tinggi saudaranya seperti dirinya, dan menjalankan kebajikan dan kekudusan di hadapan-Ku.

25 Dan lagi aku berfirman kepadamu, biarlah setiap orang menghormati saudaranya seperti dirinya.

26 Kerana orang macam apakah di kalangan kamu yang mempunyai dua belas anak lelaki, dan tidak pilih kasih terhadap mereka, dan mereka melayaninya dengan patuh, dan dia berkata kepada yang seorang: Berpakaianlah engkau dengan jubah dan duduklah engkau di sini; dan kepada yang seorang lagi: Berpakaianlah engkau dengan pakaian compang-camping dan duduklah engkau di sana—dan melihat kepada anak-anak lelakinya dan berkata aku adil?

27 Lihatlah, ini Aku berikan kepadamu sebagai sebuah perumpamaan, dan ia bahkan seperti Aku adanya. Aku berfirman kepadamu, jadilah satu; dan jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-Ku.

28 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu bahawa musuh di dalam bilik-bilik rahsia mengancam nyawamu.

29 Kamu mendengar tentang peperangan di negeri-negeri yang jauh, dan kamu berkata bahawa tidak lama lagi akan ada peperangan besar di negeri-negeri yang jauh, tetapi kamu tidak mengenali hati orang-orang di negerimu sendiri.

30 Aku memberitahu kamu hal-hal ini kerana doa-doamu; kerana itu, simpanlah baik-baik kebijaksanaan di dalam dadamu, agar jangan kejahatan manusia mendedahkan hal-hal ini kepadamu melalui kejahatan mereka, dengan suatu cara yang akan berbicara di telingamu dengan suara yang lebih nyaring daripada apa yang akan mengegarkan tanah; tetapi jika kamu bersedia kamu tidak akan takut.

31 Dan agar kamu boleh terlepas daripada kuasa musuh, dan dikumpulkan kepada-Ku sebagai umat yang soleh, tanpa noda dan tanpa salah—

32 Kerana itu, kerana sebab ini Aku memberi kepadamu perintah agar kamu haruslah pergi ke Ohio; dan di sana Aku akan memberikan kepadamu hukum-Ku; dan di sana kamu akan dianugerahi dengan kuasa dari syurga;

33 Dan dari sana, barang siapa yang Aku kehendaki akan pergi ke kalangan segala bangsa, dan akan diberitahukan kepada mereka apa yang harus mereka lakukan; kerana Aku menyediakan suatu pekerjaan yang besar, kerana Israel akan diselamatkan, dan Aku akan menuntun mereka ke mana pun Aku kehendaki, dan tidak ada kuasa yang akan menahan tangan-Ku.

34 Dan sekarang, Aku memberikan kepada jemaah gereja di tempat-tempat ini sebuah perintah, agar orang-orang tertentu di antara mereka harus dilantik, dan mereka akan dilantik melalui suara gereja;

35 Dan mereka haruslah memerhatikan yang miskin dan yang memerlukan, dan membantu mereka agar mereka tidak menderita; dan menghantar mereka ke tempat yang telah Aku perintahkan kepada mereka;

36 Dan ini akan menjadi pekerjaan mereka, untuk mengurus urusan-urusan harta milik gereja ini.

37 Dan mereka yang memiliki tanah pertanian yang tidak dapat dijual, biarlah ia ditinggalkan atau disewakan seperti yang kelihatannya sesuai bagi mereka.

38 Pastikan bahawa segala sesuatu dipelihara; dan apabila orang-orang dianugerahi dengan kuasa dari syurga dan diutus, segala sesuatu ini akan dikumpulkan ke dada gereja.

39 Dan jika kamu mencari kekayaan yang merupakan kehendak Bapa untuk diberikan kepadamu, kamu akan menjadi yang paling kaya dari semua orang, kerana kamu akan memperoleh kekayaan keabadian; dan mestilah perlu bahawa kekayaan bumi adalah milik-Ku untuk diberikan; tetapi berhati-hatilah akan keangkuhan, agar jangan kamu menjadi seperti bangsa Nefi zaman dahulu.

40 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu sebuah perintah, agar setiap orang, baik penatua, imam, pengajar, mahupun juga anggota, pergi dengan dayanya, dengan kerja tangannya, untuk menyediakan dan menyelesaikan hal-hal yang telah Aku perintahkan.

41 Dan biarlah pengkhutbahanmu menjadi suara peringatan, setiap orang kepada sesamanya, dalam kelunakan hati dan dalam kelembutan hati.

42 Dan pergilah kamu keluar dari kalangan yang jahat. Selamatkanlah dirimu. Jadilah kamu bersih yang menyandang bejana Tuhan. Demikianlah. Amin.