Bahagian 128
Sepucuk surat daripada Nabi Joseph Smith kepada Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, mengandungi arahan yang lebih lanjut tentang pembaptisan bagi orang mati, bertarikh di Nauvoo, Illinois, 6Â September 1842.
1–5, Para jurucatat tempatan dan umum mesti mengesahkan fakta pembaptisan bagi orang mati; 6–9, Catatan mereka berkuatkuasa dan dicatatkan di atas bumi dan di dalam syurga; 10–14, Kolam pembaptisan adalah suatu persamaan dengan kubur; 15–17, Elia memulihkan kuasa yang berkaitan dengan pembaptisan bagi orang mati; 18–21, Semua kunci, kuasa, dan wewenang pada zaman-zaman keagamaan yang lalu telah dipulihkan; 22–25, Khabar gembira dan mulia dimaklumkan bagi yang hidup dan yang mati.
1 Seperti yang aku nyatakan kepadamu dalam suratku sebelum aku meninggalkan tempatku, bahawa aku akan menulis kepadamu dari semasa ke semasa dan memberimu maklumat berkaitan dengan banyak subjek, aku sekarang menyambung semula subjek tentang pembaptisan bagi orang mati, kerana subjek itu nampaknya menguasai fikiranku, dan sangat kuat mempengaruhi perasaanku, sejak aku diburu oleh musuh-musuhku.
2 Aku menuliskan beberapa patah perkataan wahyu kepadamu tentang seorang jurucatat. Aku telah mendapatkan beberapa pandangan tambahan berkaitan dengan hal ini, yang aku sahkan sekarang. Iaitu, dimaklumkan dalam suratku yang terdahulu bahawa haruslah ada seorang pencatat, yang akan menjadi saksi mata, dan juga untuk mendengar dengan telinganya, agar dia boleh membuat sebuah catatan kebenaran di hadapan Tuhan.
3 Sekarang, berkaitan dengan hal ini, ia akan menjadi sangat sukar bagi seorang jurucatat untuk hadir sepanjang waktu, dan untuk melakukan semua urusan. Untuk mengelakkan kesukaran ini, seorang jurucatat boleh ditetapkan di setiap bahagian di kota, yang berkelayakan baik untuk membuat minit mesyuarat yang tepat; dan biarlah dia sangat terperinci dan tepat dalam menuliskan seluruh tindakan, mengesahkan dalam catatannya bahawa dia melihat dengan matanya, dan mendengar dengan telinganya, memberikan tarikh, dan nama, dan seterusnya, dan sejarah seluruh tindakan; menyebutkan juga tiga individu yang hadir, jika ada sesiapa yang hadir, yang boleh pada bila-bila masa pun apabila dipanggil, mengesahkan hal yang sama, agar melalui mulut dua atau tiga orang saksi setiap perkataan boleh ditegakkan.
4 Kemudian, biarlah adanya seorang jurucatat umum, kepadanya catatan-catatan yang lain ini dapat diserahkan, disertai sijil-sijil dengan tandatangan mereka sendiri, mengesahkan bahawa catatan yang telah mereka buat adalah benar. Kemudian jurucatat umum gereja boleh memasukkan catatan ini ke dalam buku umum gereja, bersama sijil dan semua saksi yang hadir, bersama pernyataannya sendiri bahawa dia sesungguhnya percaya pernyataan dan catatan di atas adalah benar, dari pengetahuannya tentang perwatakan umum dan penetapan orang-orang tersebut oleh gereja. Dan apabila ini dilakukan pada buku umum gereja, catatan ini juga adalah kudus, dan akan mengesahkan tatacara itu sama seperti dia telah melihat dengan matanya dan mendengar dengan telinganya, dan membuat sebuah catatan tentang yang sama pada buku umum gereja.
5 Kamu boleh memikirkan aturan bagi hal-hal ini sangatlah teliti; tetapi biarlah aku memberitahu kamu bahawa ia adalah hanya untuk menggenapi kehendak Tuhan, dengan mematuhi tatacara dan persediaan yang Tuhan telah tetapkan dan sediakan sebelum pengasasan dunia, demi keselamatan orang mati yang akan mati tanpa sebarang pengetahuan tentang Injil.
6 Dan selanjutnya, aku ingin kamu ingat bahawa Yohanes Pewahyu pernah merenungkan subjek yang sama ini berkaitan dengan orang mati, semasa dia memaklumkan, seperti yang kamu akan temui tercatat di dalam Wahyu 20:12—Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka. Dan sebuah kitab lain juga dibuka, iaitu Kitab Orang Hidup; Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu.
7 Kamu akan mendapati dalam petikan ini bahawa kitab-kitab dibuka; dan sebuah kitab yang lain dibuka, yang merupakan kitab kehidupan; tetapi orang mati dihakimi dari hal-hal yang tertulis dalam kitab-kitab itu, menurut pekerjaan mereka; sebagai akibatnya, kitab-kitab yang disebutkan mestilah kitab-kitab yang mengandungi catatan pekerjaan mereka, dan merujuk pada catatan-catatan yang disimpan di atas bumi. Dan kitab yang merupakan kitab kehidupan adalah catatan yang disimpan di dalam syurga; iaitu asas yang dengan tepat selaras dengan ajaran yang diperintahkan kepadamu dalam wahyu yang terkandung di dalam surat yang aku tulis kepadamu sebelum berangkat meninggalkan tempatku—agar dalam semua catatanmu itu dapat dicatatkan di dalam syurga.
8 Sekarang, sifat tatacara ini terdapat dalam kuasa imamat, melalui wahyu daripada Yesus Kristus, dimana ianya dikabulkan bahawa apa pun yang kamu ikat di atas bumi akan terikat di dalam syurga, dan apa pun yang kamu lepaskan di atas bumi akan dilepaskan di dalam syurga. Atau, dengan perkataan lain, mengambil suatu pandangan berbeza tentang terjemahan itu, apa pun yang kamu catat di atas bumi akan tercatat di dalam syurga, dan apa pun yang kamu tidak catatkan di atas bumi tidak akan tercatat di dalam syurga; kerana dari kitab-kitab itu orang-orangmu yang telah mati akan dihakimi, menurut pekerjaan mereka sendiri, sekiranya mereka sendiri telah melaksanakan tatacara-tatacara secara peribadi, atau melalui wakil mereka sendiri, menurut tatacara yang Tuhan sediakan demi keselamatan mereka sejak sebelum pengasasan dunia, menurut catatan yang telah mereka simpan mengenai orang-orang mereka yang telah mati.
9 Ianya boleh dilihat bagi segelintir orang sebagai suatu ajaran berani yang kita bincangkan—suatu kuasa yang mencatat atau mengikat di atas bumi dan mengikat di dalam syurga. Walaupun demikian, dalam semua zaman dunia, apabila Tuhan telah memberikan zaman keagamaan imamat kepada mana-mana lelaki pun melalui wahyu yang benar, atau mana-mana kumpulan lelaki pun, kuasa ini sentiasa diberikan. Oleh sebab itu, apa pun yang orang-orang itu lakukan dalam wewenang, dalam nama Tuhan, dan melakukannya dengan benar dan beriman, dan menyimpan sebuah catatan yang tepat dan pasti tentangnya itu, ia menjadi suatu hukum di atas bumi dan di dalam syurga, dan tidak dapat dibatalkan, menurut ketetapan Yehova yang agung. Ini adalah perkataan yang pasti. Siapakah yang dapat mendengarnya?
10 Dan lagi, sebagai contohnya, Matius 16:18, 19: Dan Aku pun berkata kepadamu: Engkau adalah Petrus dan di atas batu ini Aku akan mendirikan jemaah-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya. Kepadamu akan Kuberikan kunci Kerajaan Syurga. Apa yang kau ikat di dunia ini akan terikat di syurga dan apa yang kau lepaskan di dunia ini akan terlepas di syurga.
11 Sekarang rahsia yang besar dan utama tentang seluruh hal ini, dan untuk yang paling baik bagi keseluruhan subjek yang berada di hadapan kita, terkandung dalam mendapatkan kuasa Imamat Kudus. Bagi dia yang telah diberikan kunci-kunci ini kepadanya tidak sukar untuk mendapatkan pengetahuan tentang fakta yang berkaitan dengan keselamatan anak-anak manusia, baik bagi yang mati mahupun yang hidup.
12 Di dalam inilah adanya kemuliaan dan kehormatan, dan kebaqaan dan kehidupan abadi—Tatacara pembaptisan dengan air, dicelupkan ke dalamnya supaya menyerupai lambang kematian, agar satu asas dapat dikaitkan dengan asas yang lain; dicelupkan ke dalam air dan keluar dari air menyerupai lambang kebangkitan orang mati apabila keluar dari kubur mereka; oleh sebab itu, tatacara ini dimulakan untuk membentuk suatu hubung kait dengan tatacara pembaptisan bagi yang mati, yang menyerupai lambang kematian.
13 Sebagai akibatnya, kolam pembaptisan diperkenalkan sebagai suatu persamaan dengan kubur, dan diperintahkan untuk berada di bawah suatu tempat di mana yang hidup biasanya berkumpul, untuk memperlihatkan yang hidup dan yang mati, dan agar semua hal boleh mempunyai lambangnya, dan agar mereka boleh saling berkaitan—hal yang adalah duniawi menuruti hal yang adalah syurgawi, sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Paulus, 1 Korintus 15:46, 47, dan 48:
14 Walau bagaimanapun yang mula-mula datang bukanlah yang rohaniah, tetapi yang alamiah; kemudian barulah datang yang rohaniah. Manusia pertama berasal dari debu tanah dan bersifat jasmani, manusia kedua berasal dari syurga. Makhluk-makhluk alamiah sama dengan dia yang berasal dari debu tanah dan makhluk-makhluk syurgawi sama dengan Dia yang berasal dari syurga. Dan sebagaimana adanya catatan di atas bumi berkaitan dengan orang-orang mu yang telah mati, yang telah dibuat dengan benar, begitu jugalah dengan catatan di dalam syurga. Ini, dengan itu, adalah kuasa pemeteraian dan pengikatan, dan, dalam satu makna kata, kunci-kunci kerajaan, yang terdapat dalam kunci pengetahuan.
15 Dan sekarang, saudara dan saudariku yang dikasihi, biarlah aku meyakinkan kamu bahawa ini adalah asas-asas yang berkaitan dengan yang mati dan yang hidup yang tidak boleh dianggap remeh, yang berkaitan dengan keselamatan kita. Kerana keselamatan mereka adalah perlu dan penting demi keselamatan kita, sebagaimana yang dikatakan Paulus mengenai nenek moyang—bahawa mereka tanpa kita tidak dapat dijadikan sempurna—begitu juga kita tanpa orang-orang kita yang telah mati tidak dapat dijadikan sempurna.
16 Dan sekarang, berkaitan dengan pembaptisan bagi yang telah mati, aku akan memberimu satu lagi petikan yang lain dari Paulus, 1Â Korintus 15:29: Jika tidak demikian, apakah faedahnya perbuatan orang-orang yang dibaptis bagi orang mati? Kalau orang mati sama sekali tidak dibangkitkan, mengapa mereka mahu dibaptis bagi orang-orang yang telah meninggal?
17 Dan lagi, berkaitan dengan petikan ini aku akan memberimu sebuah petikan dari salah seorang nabi, yang telah menumpukan matanya pada pemulihan imamat, kemuliaan yang akan didedahkan pada zaman akhir, dan dengan suatu cara istimewa subjek yang paling mulia dari semua subjek yang termasuk dalam Injil abadi ini, iaitu, pembaptisan bagi yang mati; kerana Maleakhi berkata, bab terakhir, ayat ke-5 dan ke-6: Sesungguhnya Aku akan mengutuskan nabi Elia kepadamu menjelang datangnya hari Tuhan yang besar dan mengerikan itu. Maka ia akan membuat hati bapa-bapa berbalik kepada anak-anaknya dan hati anak-anak kepada bapa-bapanya supaya jangan Aku datang memukul bumi sehingga musnah.
18 Aku boleh memberikan suatu terjemahan yang lebih jelas tentang ini, tetapi ianya sudah cukup jelas untuk disesuaikan dengan tujuanku seperti sedia adanya. Adalah memadai untuk mengetahui, dalam hal ini, bahawa bumi akan dihentam dengan kutukan kecuali terdapatnya suatu ikatan yang kuat atau yang lain di antara para bapa dan anak, pada suatu subjek atau yang lain—dan lihatlah apakah subjek itu? Ia adalah pembaptisan bagi yang mati. Kerana kita tanpa mereka tidak dapat dijadikan sempurna; begitu juga dengan mereka tanpa kita tidak dapat dijadikan sempurna. Tidak juga mereka atau kita dapat dijadikan sempurna tanpa mereka yang telah mati dalam Injil juga; kerana ia adalah perlu dalam mendatangkan kegenapan zaman, yang mana zaman itu sekarang sudah mula datang, bahawa suatu kesatuan yang menyeluruh dan lengkap dan sempurna, dan gabungan zaman-zaman keagamaan, dan kunci, dan kuasa, dan kemuliaan akan terjadi, dan didedahkan dari zaman Adam bahkan sehingga sekarang. Dan bukan sahaja ini, tetapi hal-hal yang tidak pernah didedahkan sejak pengasasan dunia, tetapi yang telah disembunyikan daripada yang bijak dan pandai, akan didedahkan kepada bayi dan anak yang menyusu pada waktu ini, kegenapan zaman.
19 Sekarang, apakah yang telah kita dengar dalam Injil yang telah kita terima? Suatu suara kegembiraan! Suara belas kasihan dari syurga; dan suara kebenaran dari bumi; khabar gembira bagi yang mati; suara kegembiraan bagi yang hidup dan yang mati; khabar gembira tentang kebahagiaan besar. Betapa indahnya di atas gunung-ganang kaki mereka yang membawa khabar gembira tentang yang baik, dan yang berkata kepada Sion: Lihatlah, Tuhanmu berkuasa! Bagaikan embun di Karmel, demikianlah pengetahuan tentang Tuhan akan turun ke atas diri mereka!
20 Dan lagi, apa yang kita dengar? Khabar gembira dari Kumora! Moroni, seorang malaikat dari syurga, memaklumkan penggenapan para nabi—kitab yang akan didedahkan. Suara Tuhan di padang belantara Fayette, Seneca County, memaklumkan tiga saksi untuk memberikan kesaksian tentang kitab itu! Suara Mikhael di tepi Sungai Susquehanna, mengenali iblis semasa dia menampakkan diri sebagai malaikat cahaya! Suara Petrus, Yakobus, dan Yohanes di padang belantara di antara Harmony, Susquehanna County, dan Colesville, Broome County, di Sungai Susquehanna, memaklumkan diri mereka sebagai orang yang memiliki kunci-kunci kerajaan, dan kegenapan zaman!
21 Dan lagi, suara Tuhan di dalam bilik Bapa Whitmer yang tua, di Fayette, Seneca County, dan pada pelbagai waktu, dan di pelbagai tempat melalui segala perjalanan dan kesengsaraan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ini! Dan suara Mikhael, malaikat agung; suara Gabriel, dan Rafael, dan pelbagai malaikat, dari Mikhael atau Adam hingga ke waktu sekarang, semua memaklumkan zaman keagamaan mereka, hak-hak mereka, kunci-kunci mereka, kehormatan mereka, keagungan dan kemuliaan mereka, dan kuasa imamat mereka; memberikan baris demi baris, ajaran demi ajaran; di sini sedikit, dan di sana sedikit; memberikan kita ketenangan dengan memaklumkan apa yang akan datang, mengukuhkan harapan kita!
22 Para saudara, adakah kita tidak akan meneruskan dalam tujuan yang sedemikian besar? Majulah dan janganlah mundur. Beranilah, saudara-saudara; dan maju, majulah menuju kemenangan! Biarlah hatimu bersukacita, dan menjadi amat gembira. Biarlah bumi bersorak-sorai dalam nyanyian. Biarlah yang mati menyuarakan lagu pujian kekal kepada Raja Imanuel, yang telah menetapkan, sebelum adanya dunia, apa yang akan membolehkan kita untuk menebus mereka keluar dari tahanan mereka; kerana para tahanan akan pergi bebas.
23 Biarlah gunung-ganang bersorak kerana bahagia, dan kamu semua lembah berseru nyaring; dan kamu semua lautan dan tanah kering memberitahukan keajaiban Raja Kekalmu! Dan kamu sungai, dan sungai kecil, dan anak sungai, mengalir turun dengan kegembiraan. Biarlah hutan dan semua pokok di ladang memuji Tuhan; dan kamu batu yang keras menangis kerana gembira! Dan biarlah matahari, bulan, dan bintang-bintang fajar bernyanyi bersama, dan biarlah semua anak Tuhan bersorak kerana bahagia! Dan biarlah ciptaan kekal memaklumkan nama-Nya selama-lamanya! Dan lagi aku berkata, betapa mulianya suara yang kita dengar dari syurga, memaklumkan dalam telinga kita, kemuliaan, dan keselamatan, dan kehormatan, dan kebaqaan, dan kehidupan kekal; kerajaan, pemerintahan, dan kuasa!
24 Lihatlah, hari Tuhan yang besar di depan mata; dan siapakah yang dapat berada pada hari kedatangan-Nya, dan siapakah yang dapat bertahan semasa Dia menunjukkan diri? Kerana Dia bagaikan api penyempurna, dan bagaikan sabun tukang cuci; dan Dia akan duduk sebagai seorang penyempurna dan penyuci perak, dan Dia akan memurnikan anak-anak lelaki Lewi, dan memurnikan mereka bagaikan emas dan perak, agar mereka boleh mempersembahkan kepada Tuhan suatu persembahan dalam kesolehan. Marilah kita, oleh kerana itu, sebagai sebuah gereja dan suatu umat, dan sebagai para Orang Suci Zaman Akhir, mempersembahkan bagi Tuhan suatu persembahan dalam kesolehan; dan marilah kita mempersembahkan di dalam bait suci-Nya yang kudus, apabila ianya selesai, sebuah kitab yang mengandungi catatan tentang orang-orang kita yang sudah mati, yang akan layak untuk semua penerimaan.
25 Para saudara, aku memiliki banyak hal untuk dikatakan kepadamu tentang subjek ini; tetapi sekarang akan berhenti buat masa ini, dan menyambung subjek ini pada masa lain. Aku ialah, sentiasa, hambamu yang rendah hati dan teman yang tidak pernah menyimpang,
Joseph Smith.