Bahagian 10
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Harmony, Pennsylvania, mungkin pada sekitar April 1829, walaupun beberapa bahagiannya telah diterima seawal musim panas 1828. Di dalamnya Tuhan memberitahu Joseph tentang perubahan yang dibuat oleh orang-orang jahat pada 116 halaman naskah dari terjemahan kitab Lehi, dalam Kitab Mormon. Halaman-halaman naskah ini telah hilang daripada tangan Martin Harris, iaitu orang yang dipercayakan untuk menjaga lembaran-lembaran itu untuk sementara. (Lihat pengenalan untuk bahagian 3.) Rancangan jahat itu adalah untuk menunggu penterjemahan semula perkara yang termasuk dalam halaman-halaman yang dicuri itu dan kemudian untuk menimbulkan kesangsian terhadap penterjemah dengan menunjukkan percanggahan yang diakibatkan oleh perubahan itu. Tujuan jahat ini telah diwujudkan oleh si jahat dan diketahui oleh Tuhan bahkan semasa Mormon, sejarawan kuno bangsa Nefi, sedang membuat ringkasannya dari kumpulan kepingan-kepingan tersebut, ditunjukkan di dalam Kitab Mormon (lihat Kata-kata Mormon 1:3–7).
1–26, Setan menghasut orang-orang jahat untuk menentang pekerjaan Tuhan; 27–33, Dia berusaha menghancurkan jiwa manusia; 34–52, Injil akan pergi kepada bangsa Laman dan segala bangsa melalui Kitab Mormon; 53–63, Tuhan akan menubuhkan Gereja-Nya dan Injil-Nya di kalangan manusia; 64–70, Dia akan mengumpulkan yang bertaubat ke dalam Gereja-Nya dan akan menyelamatkan yang patuh.
1 Sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa kerana kamu menyerahkan tulisan-tulisan itu yang mana kamu telah diberikan kuasa untuk menterjemahkannya melalui sarana Urim dan Tumim, ke dalam tangan seorang yang jahat, kamu telah kehilangannya.
2 Dan kamu juga kehilangan kurniamu pada waktu yang sama, dan fikiranmu digelapkan.
3 Walaupun demikian, sekarang ia dipulihkan kepadamu semula; oleh kerana itu pastikanlah bahawa kamu setia dan meneruskan pekerjaan penterjemahan yang selebihnya sehingga selesai seperti yang telah kamu mulakan.
4 Janganlah berlari lebih cepat atau bekerja lebih daripada kekuatan yang kamu miliki dan sarana yang tersedia untuk membolehkanmu menterjemah; tetapi tekunlah sehingga akhir.
5 Berdoalah selalu, agar kamu boleh menjadi sebagai penakluk; ya, agar kamu boleh menakluki Setan, dan agar kamu boleh terlepas daripada tangan para hamba Setan yang menyokong pekerjaannya.
6 Lihatlah, mereka telah berusaha untuk menghancurkanmu; ya, bahkan juga orang yang kamu percayai telah berusaha untuk menghancurkanmu.
7 Dan disebabkan ini Aku berfirman bahawa dia ialah orang yang jahat, kerana dia telah berusaha untuk mengambil pergi benda-benda yang telah dipercayakan kepadamu; dan dia juga telah berusaha untuk menghancurkan kurniamu.
8 Dan kerana kamu telah menyerahkan tulisan-tulisan itu ke dalam tangannya, lihatlah, orang-orang jahat telah mengambilnya daripadamu.
9 Oleh kerana itu, kamu telah menyerahkannya, ya, yang adalah kudus, kepada kejahatan.
10 Dan, lihatlah, Setan telah meletakkannya ke dalam hati mereka untuk mengubah perkataan-perkataan yang telah kamu sebabkan untuk dituliskan, atau yang telah kamu terjemahkan, yang telah lenyap dari tanganmu.
11 Dan lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa kerana mereka telah mengubah perkataan-perkataan itu, kandungannya bertentangan dengan apa yang telah kamu terjemahkan dan sebabkan untuk dituliskan;
12 Dan, dengan cara ini, iblis telah berusaha untuk menghasilkan sebuah rancangan yang licik, agar dia boleh menghancurkan pekerjaan ini;
13 Kerana dia telah meletakkan ke dalam hati mereka untuk melakukan ini, agar dengan berdusta mereka boleh mengatakan mereka telah menangkapmu dalam perkataan yang kamu telah berpura-pura terjemahkan.
14 Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa Aku tidak akan membiarkan agar Setan akan menjayakan rancangan jahatnya dalam hal ini.
15 Kerana lihatlah, dia telah meletakkannya ke dalam hati mereka untuk membuatmu menguji Tuhan Rajamu, dengan meminta untuk menterjemahkannya lagi.
16 Dan kemudian, lihatlah, mereka berkata dan berfikir dalam hati mereka—Kita akan lihat jika Tuhan telah memberikannya kuasa untuk menterjemah; jika demikian, Dia juga akan memberikannya kuasa lagi;
17 Dan jika Tuhan memberikannya kuasa lagi, atau jika dia menterjemah semula, atau, dengan perkataan lain, jika dia menghasilkan perkataan-perkataan yang sama, lihatlah, kita memiliki yang sama bersama kita, dan kita telah mengubahnya;
18 Oleh kerana itu, ianya tidak akan sama, dan kita akan mengatakan bahawa dia telah berdusta dalam kata-katanya, dan bahawa dia tidak memiliki kurnia, dan bahawa dia tidak memiliki kuasa;
19 Oleh kerana itu kita akan menghancurkannya, dan juga pekerjaan itu; dan kita akan melakukan ini agar kita tidak diaibkan pada akhirnya, dan agar kita boleh memperoleh kemuliaan dunia.
20 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa Setan memiliki genggaman yang kuat ke atas hati mereka; dia menghasut mereka pada kederhakaan bertentangan dengan perkara yang baik;
21 Dan hati mereka busuk, dan penuh dengan kejahatan dan kekejian; dan mereka lebih mengasihi kegelapan daripada cahaya, kerana perbuatan mereka jahat; oleh kerana itu mereka tidak mahu meminta daripada-Ku.
22 Setan menghasut mereka, agar dia boleh menuntun jiwa mereka pada kehancuran.
23 Dan demikianlah dia telah menghasilkan sebuah rancangan yang licik, berfikir untuk menghancurkan pekerjaan Tuhan; tetapi Aku akan menuntut ini daripada tangan mereka, dan ia akan berpaling kepada keaiban dan penghukuman mereka pada hari penghakiman.
24 Ya, dia menghasut hati mereka pada kemarahan menentang pekerjaan ini.
25 Ya, dia berkata kepada mereka: Perdayakan dan tunggulah untuk memerangkap, agar kamu boleh menghancurkan; lihatlah, ini tidaklah salah. Dan demikianlah dia menyanjung-nyanjung mereka, dan memberitahu mereka bahawa ianya bukanlah dosa untuk berdusta supaya mereka boleh memerangkap seseorang dalam kedustaan, agar mereka boleh menghancurkannya.
26 Dan demikianlah dia menyanjung-nyanjung mereka, dan menuntun mereka terus sehingga dia menyeret jiwa mereka turun ke neraka; dan demikianlah dia menyebabkan mereka memerangkap diri mereka dalam jerat mereka sendiri.
27 Dan demikianlah dia naik dan turun, ke sana ke mari di bumi, berusaha untuk menghancurkan jiwa manusia.
28 Sesungguhnya-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, celakalah bagi dia yang berdusta untuk memperdaya kerana dia menganggap bahawa orang lain berdusta untuk memperdaya, kerana orang yang seperti itu tidak terlepas dari keadilan Tuhan.
29 Sekarang, lihatlah, mereka telah mengubah perkataan-perkataan ini, kerana Setan berkata kepada mereka: Dia telah memperdayamu—dan demikianlah dia menyanjung-nyanjung mereka untuk melakukan kederhakaan, untuk memujuk engkau menguji Tuhan Rajamu.
30 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu jangan menterjemahkan semula perkataan-perkataan yang telah hilang daripada tanganmu;
31 Kerana, lihatlah, mereka tidak akan menjayakan rancangan jahat mereka dengan berdusta menentang perkataan-perkataan itu. Kerana, lihatlah, jika kamu akan menunjukkan perkataan-perkataan yang sama mereka akan mengatakan bahawa kamu telah berdusta dan bahawa kamu berpura-pura menterjemah, tetapi kamu telah bercanggah dengan dirimu.
32 Dan, lihatlah, mereka akan memaklumkannya, dan Setan akan mengeraskan hati orang-orang itu untuk menghasut mereka pada kemarahan menentangmu, sehingga mereka tidak akan mempercayai firman-Ku.
33 Demikianlah Setan berfikir untuk mengalahkan kesaksianmu kepada generasi ini, agar pekerjaan ini tidak dapat datang kepada generasi ini.
34 Tetapi lihatlah, inilah kebijaksanaan, dan kerana Aku memperlihatkan kepadamu kebijaksanaan, dan memberimu perintah-perintah tentang hal-hal ini, apa yang kamu harus lakukan, janganlah memperlihatkannya kepada dunia sehingga kamu telah menyelesaikan pekerjaan penterjemahan.
35 Janganlah takjub bahawa Aku berfirman kepadamu: Inilah kebijaksanaan, janganlah memperlihatkannya kepada dunia—kerana Aku berfirman, janganlah memperlihatkannya kepada dunia, agar kamu akan dilindungi.
36 Lihatlah, Aku tidak berfirman bahawa kamu tidak harus memperlihatkannya kepada yang soleh;
37 Tetapi kerana kamu tidak selalu dapat menilai yang soleh, atau kerana kamu tidak selalu dapat membezakan yang jahat daripada yang soleh, oleh kerana itu Aku berfirman kepadamu, senyaplah kamu sehingga Aku melihat ianya sesuai untuk mendedahkan segala hal kepada dunia tentang hal ini.
38 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa sebuah laporan tentang hal-hal yang telah kamu tuliskan, yang telah hilang daripada tanganmu, diukir di atas kepingan-kepingan Nefi;
39 Ya, dan kamu ingat telah dikatakan dalam tulisan itu bahawa sebuah laporan yang lebih terperinci diberikan tentang hal-hal ini di atas kepingan-kepingan Nefi.
40 Dan sekarang, kerana laporan yang diukir di atas kepingan-kepingan Nefi lebih terperinci tentang hal-hal ini yang, di dalam kebijaksanaan-Ku, Aku akan bawa pada pengetahuan orang-orang dalam laporan ini—
41 Oleh kerana itu, kamu haruslah menterjemahkan ukiran yang ada di atas kepingan-kepingan Nefi, bahkan sehingga kamu sampai pada zaman pemerintahan Raja Benyamin, atau sehingga kamu sampai pada apa yang telah kamu terjemahkan, yang telah kamu simpankan;
42 Dan lihatlah, kamu haruslah menerbitkannya sebagai catatan Nefi; dan demikianlah Aku akan menundukkan mereka yang telah mengubah firman-Ku.
43 Aku tidak akan membiarkan bahawa mereka akan menghancurkan pekerjaan-Ku; ya, Aku akan memperlihatkan kepada mereka bahawa kebijaksanaan-Ku lebih besar daripada kelicikan iblis.
44 Lihatlah, mereka telah memiliki hanya sebahagian, atau sebuah ringkasan daripada laporan Nefi.
45 Lihatlah, ada banyak hal yang diukir di atas kepingan-kepingan Nefi yang memberikan pandangan yang lebih besar terhadap Injil-Ku; oleh kerana itu, adalah kebijaksanaan di dalam Aku agar kamu mesti menterjemahkan bahagian pertama dari ukiran Nefi ini, dan disebarkan dalam pekerjaan ini.
46 Dan, lihatlah, semua yang selebihnya dari pekerjaan ini mengandungi seluruh bahagian Injil-Ku itu yang mana para nabi suci-Ku, ya, dan juga para pengikut-Ku, hasratkan di dalam doa-doa mereka harus datang kepada orang-orang ini.
47 Dan Aku berfirman kepada mereka, bahawa akan dikabulkan kepada mereka menurut iman mereka dalam doa-doa mereka;
48 Ya, dan inilah iman mereka—bahawa Injil-Ku, yang Aku berikan kepada mereka supaya mereka boleh berkhutbah pada zaman mereka, boleh datang kepada saudara-saudara mereka bangsa Laman, dan juga semua yang telah menjadi bangsa Laman kerana pembelotan mereka.
49 Sekarang, ini belumlah kesemuanya—iman mereka dalam doa-doa mereka adalah bahawa Injil ini akan dikhabarkan juga, jika berkemungkinan bahawa bangsa-bangsa lain akan menguasai tanah ini;
50 Dan demikianlah mereka meninggalkan sebuah berkat ke atas tanah ini dalam doa-doa mereka, agar barang siapa yang akan percaya pada Injil ini di tanah ini boleh memperoleh kehidupan abadi;
51 Ya, agar ia bebas bagi semua negara, kaum, bahasa, atau bangsa apa pun.
52 Dan sekarang, lihatlah, menurut iman mereka dalam doa-doa mereka akan Aku bawa bahagian dari Injil-Ku ini pada pengetahuan umat-Ku. Lihatlah, Aku tidak membawanya untuk menghancurkan apa yang telah mereka terima, tetapi untuk membangunkannya.
53 Dan untuk tujuan ini Aku telah berfirman: Jika generasi ini tidak mengeraskan hati mereka, Aku akan menubuhkan gereja-Ku di kalangan mereka.
54 Sekarang, Aku tidak memfirmankan ini untuk menghancurkan gereja-Ku, tetapi Aku memfirmankan ini untuk membangunkan gereja-Ku.
55 Oleh kerana itu, barang siapa yang masuk dalam gereja-Ku tidak perlu takut, kerana orang yang seperti itu akan mewarisi kerajaan syurga.
56 Tetapi mereka yang tidak takut kepada-Ku, tidak juga mentaati perintah-perintah-Ku tetapi membangunkan gereja-gereja bagi diri mereka untuk memperoleh keuntungan, ya, dan mereka semua yang melakukan kejahatan dan membangunkan kerajaan iblis—ya, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa merekalah yang akan Aku sengsarakan, dan menyebabkan mereka menggeletar dan menggigil sehingga ke lubuk jiwanya.
57 Lihatlah, Aku ialah Yesus Kristus, Putera Tuhan. Aku datang kepada umat milik-Ku, dan umat milik-Ku tidak menerima-Ku.
58 Aku ialah cahaya yang bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan itu tidak memahaminya.
59 Aku ialah Dia yang berfirman—Domba-domba lain Aku miliki yang bukan dari kawanan ini—kepada para pengikut-Ku, dan ada banyak orang yang tidak memahami diri-Ku.
60 Dan Aku akan memperlihatkan kepada orang-orang ini bahawa Aku memiliki domba-domba lain, dan bahawa mereka ialah sebuah cabang dari bani Yakub;
61 Dan Aku akan membawa pada terang pekerjaan-pekerjaan mereka yang menakjubkan, yang mereka lakukan dalam nama-Ku;
62 Ya, dan Aku juga akan membawa pada terang Injil-Ku yang telah diajarkan kepada mereka, dan, lihatlah, mereka tidak akan menyangkal apa yang telah kamu terima, tetapi mereka akan membangunkannya, dan akan membawa pada terang pokok-pokok ajaran-Ku yang benar, ya, dan satu-satunya ajaran yang ada di dalam Aku.
63 Dan ini Aku lakukan agar Aku boleh menegakkan Injil-Ku, agar tidak ada begitu banyak pertikaian; ya, Setan menghasut hati orang-orang pada pertikaian mengenai pokok-pokok ajaran-Ku; dan dalam hal ini mereka keliru, kerana mereka memutarbelitkan tulisan suci dan tidak memahaminya.
64 Oleh kerana itu, Aku akan membukakan kepada mereka misteri besar ini;
65 Kerana, lihatlah, Aku akan mengumpulkan mereka bagaikan seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya, jika mereka tidak akan mengeraskan hati mereka;
66 Ya, jika mereka mahu datang, mereka boleh, dan minum air kehidupan dengan bebas.
67 Lihatlah, inilah ajaran-Ku—barang siapa bertaubat dan datang kepada-Ku, orang yang sama adalah gereja-Ku.
68 Barang siapa memaklumkan lebih atau kurang daripada ini, orang yang sama itu bukanlah daripada-Ku, tetapi menentang-Ku; oleh kerana itu dia bukanlah dari gereja-Ku.
69 Dan sekarang, lihatlah, barang siapa dari gereja-Ku, dan bertahan di gereja-Ku sampai akhir, dia akan Aku bangunkan di atas batu-Ku, dan pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawan mereka.
70 Dan sekarang, ingatlah firman Dia yang merupakan kehidupan dan cahaya dunia, Penebusmu, Tuhanmu dan Rajamu. Amin.