Kitab Suci
Pengenalan


Pengenalan

Ajaran dan Perjanjian adalah sebuah koleksi wahyu ilahi serta pengisytiharan yang diilhami, diberi untuk penubuhan dan peraturan kerajaan Tuhan di atas bumi ini pada hari terakhir. Meskipun kebanyakan bahagian-bahagian diarahkan kepada anggota Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, pesanan, amaran, dorongan adalah untuk manfaat seluruh umat manusia dan mengandungi undangan kepada semua orang di mana-mana mendengar suara Tuhan Yesus Kristus, berfirman kepada mereka untuk kesejahteraan duniawi serta keselamatan abadi mereka.

Sebahagian besar wahyu-wahyu dalam penyusunan ini diterima melalui Joseph Smith Jr. sebagai nabi dan presiden pertama Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Wahyu yang lain dikeluarkan melalui beberapa penggantinya dalam Presidensi (lihat pengenalan untuk A&P 135, 136, dan 138, dan Pengisytiharan Rasmi 1 dan 2).

Ajaran dan Perjanjian merupakan salah satu kitab standard Gereja bersama-sama dengan Alkitab, Kitab Mormon, dan Mutiara yang Sangat Berharga. Walau bagaimanapun, Ajaran dan Perjanjian adalah unik kerana ia bukan sebuah penterjemahan dari dokumen kuno, tetapi ia berasal moden dan diberikan oleh Tuhan melalui nabi terpilih untuk memulih pekerjaan kudus-Nya serta pada penubuhan kerajaan Tuhan di bumi pada zaman ini. Dalam wahyu-wahyu ini, seorang mendengar suara Tuhan Yesus Kristus yang tegas tetapi lembut, berfirman semula dalam kegenapan zaman keagamaan; dan kerja yang dimulakan ini adalah persediaan Kedatangan Kedua-Nya, untuk menggenapi dan menyatukan perkataan semua nabi kudus sejak permulaan dunia.

Joseph Smith Jr. dilahirkan pada 23 Disember, 1805, di Sharon, Windsor County, Vermont. Semasa hidupnya pada waktu kecil, dia pindah dengan keluarganya ke Manchester masa kini, di New York Barat. Ketika dia tinggal di situ pada musim bunga 1820, dia berumur empat belas tahun, dia mengalami penglihatan pertamanya, yang dia sendiri di kunjungi oleh Tuhan, Bapa Abadi, dan Putera-Nya Yesus Kristus. Dalam penglihatan ini, dia diberitahu bahawa Gereja Yesus Kristus yang telah ditubuhkan pada waktu Perjanjian Baru, dan telah diberi kegenapan Injil yang tidak lagi berada di bumi. Pernyataan ilahi yang lain menyusul di mana dia telah diajar oleh para malaikat; Ini diberikan kepadanya bahawa Tuhan ada sebuah pekerjaan istimewa untuk dia lakukan di bumi dan melalui dia, Gereja Yesus Kristus telah dipulihkan ke bumi.

Dalam perjalanan masa, Joseph Smith dibenarkan melalui bantuan ilahi menterjemah dan menerbit Kitab Mormon. Sambil itu, dia dan Oliver Cowdery ditahbiskan Imamat Harun oleh Yohanes Pembaptis pada Mei 1829 (lihat A&P 13), dan tidak lama selepas itu, ditahbiskan Imamat Melkisedek oleh para Rasul zaman dahulu Petrus, Yakobus dan Yohanes (lihat A&P 27:12). Penahbisan lain menyusul di mana kunci-kunci imamat dianugerahkan oleh Musa, Elia, Elias dan para nabi kuno (lihat A&P 110; 128:18, 21). Penahbisan ini, ternyata, merupakan satu pemulihan wewenang ilahi kepada manusia di atas bumi. Pada 6 April 1830, dibawah arahan syurgawi, Nabi Joseph Smith telah mengorganisasi Gereja, dan demikianlah Gereja Yesus Kristus yang benar sekali lagi berkuat kuasa sebagai institusi di kalangan manusia, dengan wewenang mengajarkan Injil dan melaksanakan perjanjian keselamatan. (Lihat A&P 20 dan Mutiara yang Sangat Berharga, Joseph Smith—Sejarah 1.)

Wahyu kudus ini diterima sebagai jawapan terhadap doa, dalam waktu keperluan, dan wujud daripada situasi kehidupan orang sebenar. Nabi Joseph Smith Jr. serta teman-teman sejawat mencari bimbingan ilahi, dan wahyu ini mengesahkan bahawa mereka telah menerimanya. Dalam wahyu-wahyu ini, seorang melihat pemulihan serta pembukaan Injil Yesus Kristus serta mendatangkan kegenapan zaman keagamaan. Pergerakan ke barat Gereja dari New York dan Pennsylvania ke Ohio, ke Missouri, ke Illinois, dan akhirnya ke Lembagan Besar Amerika barat dan susah payah yang besar oleh Orang Suci cuba membangunkan Sion di atas bumi pada zaman moden ditunjukkan dalam wahyu-wahyu tersebut.

Beberapa bahagian awal melibatkan perkara berkenaan penterjemahan dan penerbitan Kitab Mormon (lihat bahagian 3, 5, 10, 17, dan 19). Beberapa bahagian kemudian mencerminkan pekerjaan Nabi Joseph Smith dalam membuat sebuah penterjemahan ilahi Alkitab, sepanjang penerimaan bahagian ajaran besar (lihat, contohnya, bahagian 37, 45, 73, 76, 77, 86, 91, dan 132, setiap mempunyai beberapa hubungan langsung kepada penterjemahan Alkitab).

Dalam wahyu, ajaran Injil dinyatakan dengan penjelasan tentang perkara yang sangat penting seperti sifat Ketuhanan, asal usul manusia, kenyataan Setan, tujuan kefanaan, keperluan untuk kepatuhan, perlunya pengampunan, pekerjaan Roh Kudus, penahbisan dan pelaksanaan yang berkaitan dengan keselamatan, takdir bumi, keadaan masa hadapan manusia setelah Kebangkitan dan Penghakiman, keabadian perhubungan perkahwinan dan sifat abadi keluarga. Sedemikian juga, pembukaan struktur pelaksanaan Gereja yang beransur-ansur ditunjukkan dengan panggilan uskup, Presidensi Utama, Majlis Dua Belas, dan Tujuh Puluh serta penubuhan ketua jawatan dan kuorum lain. Akhirnya, kesaksian yang diberikan tentang Yesus Kristus—keilahian-Nya, keagungan-Nya, kasih-Nya, dan kuasa tebusan-Nya—menjadikan kitab ini sangat bernilai kepada keluarga manusia dan “berharga kepada Gereja daripada kekayaan seluruh Bumi” (lihat pengenalan bahagian di A&P 70).

Wahyu-wahyu ini pada asalnya dicatat oleh jurutulis Joseph Smith, dan ahli Gereja dengan penuh minat membahagikan salinan antara satu sama lain. Untuk mencipta sebuah catatan yang tetap, jurutulis tidak lama kemudiannya menyalin wahyu-wahyu ini ke dalam naskah buku catatan, di mana para peminpin Gereja gunakan untuk persediaan mencetak wahyu-wahyu itu. Pandangan Joseph dan Orang Suci awal terhadap wahyu-wahyu ini sama dengan Gereja: hidup, dinamik, dan dapat diperbaiki dengan wahyu tambahan. Mereka juga akui bahawa ralat yang tidak sengaja mungkin telah berlaku melalui proses penyalinan dan persediaan untuk diterbitkan. Maka, sebuah persidangan Gereja meminta Joseph Smith pada 1831 untuk “membetulkan ralat atau kesalahan yang dia dapat menemukan melalui Roh Kudus.”

Setelah wahyu-wahyu tersebut telah dikaji dan dibetulkan, ahli Gereja di Missouri mula mencetak sebuah kitab berjudul A Book of Commandments for the Government of the Church of Christ (Kitab Perintah-perintah bagi Pentadbiran Gereja Kristus), yang mengandungi banyak wahyu awal Nabi. Percubaan penerbitan pertama wahyu-wahyu ini berakhir, apabila sekumpulan perusuh memusnahkan pejabat pencetakan Orang Suci di Jackson County pada 20 Julai 1833.

Apabila mendengar kemusnahan pejabat pencetakan Missouri, Joseph Smith dan pemimpin Gereja lain memulakan persediaan untuk menerbitkan wahyu-wahyu ini di Kirtland, Ohio. Sekali lagi membetulkan ralat, menjelaskan susunan kata, dan menerima perkembangan dalam ajaran dan organisasi Gereja, Joseph Smith menyelia suntingan perkataan beberapa wahyu untuk menyediakan penerbitan pada 1835 sebagai Doctrine and Covenants of the Church of the Latter Day Saints (Ajaran dan Perjanjian Gereja Orang Suci Zaman Akhir). Joseph Smith telah mewenangkan edisi Ajaran dan Perjanjian lain, yang diterbitkan hanya beberapa bulan selepas kesyahidan Nabi pada 1844.

Orang Suci awal menghargai wahyu-wahyu ini dan menerimanya sebagai pesanan daripada Tuhan. Pada satu peristiwa lewat 1831, beberapa penatua Gereja memberikan kesaksian khusyuk bahawa Tuhan telah bersaksi kepada jiwa mereka akan kebenaran wahyu-wahyu ini. Kesaksian ini diterbit dalam Ajaran dan Perjanjian edisi 1835 sebagai kesaksian bertulis daripada Dua Belas Rasul:

Kesaksian
Dua Belas Rasul pada Kebenaran
Kitab Ajaran dan Perjanjian

Kesaksian Saksi-saksi Buku Perintah Tuhan yang Dia berikan kepada Gereja-Nya melalui Joseph Smith Jr. yang telah ditetapkan oleh suara Gereja untuk tujuan ini:

Kami dengan itu, bersedia memberi kesaksian kepada semua manusia di dunia, kepada setiap mahkluk di atas permukaan bumi, bahawa Tuhan telah bersaksi kepada jiwa kami, dicurahkan ke atas diri kami melalui Roh Kudus, bahawa perintah-perintah ini telah diberi dengan ilham Tuhan, serta bermanfaat untuk semua manusia dan sesungguhnya adalah benar.

Kami memberikan kesaksian kepada dunia, Tuhan sebagai pembantu kami; dan melalui rahmat Tuhan Bapa, dan Putera-Nya, Yesus Kristus, kami diizinkan memiliki hak istimewa ini untuk memberi kesaksian kepada dunia, di mana kami sangat bersukacita, berdoa kepada Tuhan selalu agar anak-anak manusia boleh dimanfaatkan olehnya.

Nama-nama Dua Belas itu:

  • Thomas B. Marsh

  • David W. Patten

  • Brigham Young

  • Heber C. Kimball

  • Orson Hyde

  • William E. McLellin

  • Parley P. Pratt

  • Luke S. Johnson

  • William Smith

  • Orson Pratt

  • John F. Boynton

  • Lyman E. Johnson

Dalam edisi-edisi Ajaran dan Perjanjian yang berikutnya, wahyu tambahan atau pengumuman lain telah ditambah, yang diterima oleh perhimpunan yang cekap atau persidangan Gereja. Di edisi 1876, disedia oleh Elder Orson Pratt dibawah arahan Brigham Young, menyusun wahyu-wahyu menurut kronologi dan memberi pengenalan bahagian baharu bersama pengenalan bersejarah.

Bermula dengan edisi 1835, sebuah siri tujuh pelajaran teologi juga telah dimasukkan; ia berjudul Lectures on Faith. Ini disediakan untuk kegunaan Sekolah Para Nabi di Kirtland, Ohio, dari 1834 ke 1835. Walaupun bermanfaat untuk ajaran dan arahan, syarahan ini dikeluarkan dari Ajaran dan Perjanjian sejak edisi 1921 kerana ia tidak diberikan atau disampaikan sebagai wahyu kepada seluruh Gereja.

Dalam Ajaran dan Perjanjian edisi Bahasa Inggeris 1981, tiga dokumen telah ditambahkan pada kali pertama. Ini adalah bahagian 137 dan 138, menyatakan perkara yang sangat penting tentang keselamatan bagi orang mati; dan Pengisytiharan Rasmi 2, memaklumkan bahawa semua ahli Gereja lelaki yang layak dapat ditahbiskan imamat tidak mengira bangsa atau warna kulit.

Setiap edisi Ajaran dan Perjanjian baru telah membetulkan kesilapan-kesilapan dahulu dan maklumat baru ditambah, terutamanya bahagian sejarah dalam pengenalan bahagian. Edisi yang terkini lebih menambahbaikkan tarikh, nama tempat dan pembetulan lain. Perubahan ini telah dilakukan untuk membawa bahan-bahan ini selaras dengan maklumat sejarah yang tepat. Ciri-ciri istimewa lain dari edisi terkini termasuk peta yang diubah menunjukkan lokasi geografi utama dimana wahyu-wahyu diterima, serta memperbaiki foto-foto kawasan Gereja yang bersejarah, rujukan silang, pengenalan bahagian, dan isi-isi ringkasan, semua dirancang bagi membantu pembaca memahami dan bersukacita dalam pesanan Tuhan yang diberikan dalam Ajaran dan Perjanjian. Maklumat bagi pengenalan bahagian telah dipetik dari Naskah Sejarah Gereja dan History of the Church (Sejarah Gereja) yang telah diterbitkan (secara kolektif dikenali dalam pengenalan sebagai sejarah Joseph Smith) dan Joseph Smith Papers (Kertas Joseph Smith).