Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 6


Bahagian 6

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith dan Oliver Cowdery, di Harmony, Pennsylvania, April 1829. Oliver Cowdery memulakan kerjanya sebagai jurutulis dalam penterjemahan Kitab Mormon, 7 April 1829. Dia telah menerima suatu pernyataan ilahi akan kebenaran kesaksian Nabi berkenaan kepingan-kepingan yang di atasnya terukir catatan Kitab Mormon. Nabi bertanya kepada Tuhan melalui Urim dan Tumim dan menerima jawapan ini.

1–6, Para pekerja di ladang Tuhan memperoleh keselamatan; 7–13, Tidak ada kurnia yang lebih besar daripada kurnia keselamatan; 14–27, Suatu kesaksian tentang kebenaran datang melalui kuasa Roh; 28–37, Pandanglah kepada Kristus, dan lakukanlah kebaikan secara berterusan.

1 Sebuah pekerjaan yang menakjubkan dan agung hampir tiba kepada anak-anak manusia.

2 Lihatlah, Aku ialah Tuhan; endahkanlah firman-Ku, yang hidup dan penuh kuasa, lebih tajam daripada sebilah pedang bermata dua, untuk pembelahan baik tulang sendi mahupun sumsum; oleh kerana itu endahkanlah firman-Ku.

3 Lihatlah, ladang telah memutih sedia dituai; oleh kerana itu, barang siapa berhasrat untuk menuai, biarlah dia menghayunkan sabitnya dengan dayanya, dan menuai sementara hari masih ada, agar dia boleh menyimpan bagi jiwanya keselamatan abadi di dalam kerajaan Tuhan.

4 Ya, barang siapa akan menghayunkan sabitnya dan menuai, orang yang sama dipanggil oleh Tuhan.

5 Oleh kerana itu, jika kamu akan meminta daripada-Ku kamu akan menerima; jika kamu akan mengetuk akan dibukakan bagimu.

6 Sekarang, kerana kamu telah meminta, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, taatilah perintah-perintah-Ku, dan usahakanlah untuk mendatangkan dan menegakkan tujuan Sion;

7 Janganlah mencari kekayaan tetapi kebijaksanaan, dan lihatlah, misteri-misteri Tuhan akan dibukakan kepadamu, dan kemudian kamu akan dijadikan kaya. Lihatlah, dia yang memperoleh kehidupan abadi adalah kaya.

8 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahkan seperti kamu menghasratkan daripada-Ku demikianlah akan terjadi kepadamu; dan jika kamu menghasratkannya, kamu akan menjadi sarana untuk melakukan banyak kebaikan dalam generasi ini.

9 Janganlah mengatakan apa pun selain pertaubatan kepada generasi ini; taatilah perintah-perintah-Ku, dan bantulah untuk mendatangkan pekerjaan-Ku, menurut perintah-perintah-Ku, dan kamu akan diberkati.

10 Lihatlah engkau memiliki sebuah kurnia, dan diberkatilah engkau kerana kurniamu. Ingatlah ia adalah kudus dan datang dari atas—

11 Dan jika engkau akan bertanya, engkau akan mengetahui misteri-misteri yang besar dan menakjubkan; oleh kerana itu engkau hendaknya menjalankan kurniamu, agar engkau boleh menemui misteri-misteri, agar engkau boleh membawa banyak orang kepada pengetahuan tentang kebenaran, ya, meyakinkan mereka tentang kesesatan jalan mereka.

12 Janganlah mendedahkan kurniamu kepada sesiapa pun kecuali mereka yang dari kepercayaanmu. Janganlah mempermainkan perkara yang kudus.

13 Jika engkau akan melakukan kebaikan, ya, dan setia bertahan sampai akhir, engkau akan diselamatkan di dalam kerajaan Tuhan, iaitu yang terbesar daripada semua kurnia Tuhan; kerana tidak ada kurnia yang lebih besar daripada kurnia keselamatan.

14 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, diberkatilah engkau untuk perkara yang telah engkau lakukan; kerana engkau telah bertanya kepada-Ku, dan lihatlah, sesering engkau bertanya engkau telah menerima petunjuk Roh-Ku. Jika tidak demikian halnya, engkau tidak akan datang ke tempat di mana engkau berada pada waktu ini.

15 Lihatlah, engkau mengetahui bahawa engkau telah bertanya kepada-Ku dan Aku telah menerangi fikiranmu; dan sekarang Aku memberitahu engkau hal-hal ini agar engkau boleh mengetahui bahawa engkau telah diterangi dengan Roh kebenaran;

16 Ya, Aku memberitahu engkau, agar engkau boleh mengetahui bahawa tiada seorang pun melainkan Tuhan yang mengetahui pemikiran dan niat hatimu.

17 Aku memberitahu engkau hal-hal ini sebagai sebuah kesaksian kepadamu—bahawa firman atau pekerjaan yang telah engkau tuliskan adalah benar.

18 Oleh kerana itu tekunlah; berdirilah di sisi hamba-Ku Joseph, dengan setia, dalam apa pun keadaan yang sukar yang mungkin dia alami demi firman itu.

19 Tegurlah dia dalam kesalahannya, dan juga terimalah teguran daripadanya. Bersabarlah; bersungguh-sungguhlah; bertenanglah; milikilah kesabaran, iman, harapan dan kasih ihsan.

20 Lihatlah, engkau adalah Oliver, dan Aku telah berfirman kepadamu kerana hasratmu; oleh kerana itu simpanlah baik-baik firman ini dalam hatimu. Setia dan tekunlah dalam mentaati perintah-perintah Tuhan, dan Aku akan mengelilingi engkau dalam lengan kasih-Ku.

21 Lihatlah, Aku ialah Yesus Kristus, Putera Tuhan. Akulah yang sama yang datang kepada umat milik-Ku, dan umat milik-Ku tidak menerima-Ku. Akulah cahaya yang bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan itu tidak memahaminya.

22 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, jika kamu menghasratkan sebuah kesaksian yang lebih lanjut, arahkanlah fikiranmu pada malam hari ketika kamu berseru kepada-Ku dalam hatimu, agar kamu boleh mengetahui kebenaran tentang hal-hal ini.

23 Tidakkah Aku memfirmankan kedamaian pada fikiranmu tentang hal ini? Apakah kesaksian yang lebih besar yang dapat kamu peroleh daripada Tuhan?

24 Dan sekarang, lihatlah, kamu telah menerima sebuah kesaksian; kerana jika Aku telah memberitahu kamu perkara yang tidak seorang pun tahu bukankah kamu telah menerima sebuah kesaksian?

25 Dan, lihatlah, Aku memberi kepadamu sebuah kurnia, jika kamu menghasratkan daripada-Ku, untuk menterjemah, bahkan seperti hamba-Ku Joseph.

26 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa ada catatan-catatan yang mengandungi banyak Injil-Ku, yang telah ditahan kerana kejahatan manusia;

27 Dan sekarang, Aku memerintahkanmu, bahawa jika kamu memiliki hasrat yang baik—suatu hasrat untuk menyimpan harta bagi dirimu di dalam syurga—maka kamu akan membantu dalam membawa pada terang, dengan kurniamu, bahagian-bahagian dari tulisan suci-Ku yang telah disembunyikan kerana kederhakaan.

28 Dan sekarang, lihatlah, Aku memberi kepadamu, dan juga kepada hamba-Ku Joseph, kunci-kunci kurnia ini, yang akan membawa pada terang pelayanan ini; dan melalui mulut dua atau tiga saksi setiap perkataan akan ditegakkan.

29 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, jika mereka menolak firman-Ku, dan bahagian dari Injil dan pelayanan-Ku ini, diberkatilah kamu, kerana mereka tidak dapat melakukan apa pun lagi kepadamu daripada kepada-Ku.

30 Dan bahkan jika mereka melakukan kepadamu bahkan seperti yang telah mereka lakukan kepada-Ku, diberkatilah kamu, kerana kamu akan tinggal bersama-Ku dalam kemuliaan.

31 Tetapi jika mereka tidak menolak firman-Ku, yang akan ditegakkan oleh kesaksian yang akan diberikan, diberkatilah mereka, dan pada waktu itu kamu akan merasakan sukacita dalam buah hasil pekerjaanmu.

32 Sesungguhnya-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, seperti yang Aku firmankan kepada para murid-Ku, di mana dua atau tiga orang berkumpul bersama dalam nama-Ku, menyentuh sesuatu hal, lihatlah, di sana Aku akan berada di tengah-tengah mereka—seperti Aku berada di tengah-tengahmu.

33 Janganlah takut melakukan yang baik, anak-anak-Ku, kerana apa pun yang kamu tabur, itu juga yang akan kamu tuai; oleh kerana itu, jika kamu menabur yang baik kamu akan juga menuai yang baik sebagai ganjaranmu.

34 Oleh kerana itu, janganlah takut, kawanan kecil; lakukanlah kebaikan; biarlah bumi dan neraka bergabung menentangmu, kerana jika kamu dibangunkan di atas batu-Ku, mereka tidak dapat berjaya.

35 Lihatlah, Aku tidak menghukummu; pergilah pada jalanmu dan janganlah berdosa lagi; laksanakanlah dengan kesungguhan pekerjaan yang telah Aku perintahkan kepadamu.

36 Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.

37 Lihatlah luka-luka yang menusuk sisi tubuh-Ku, dan juga bekas paku di tangan dan kaki-Ku; setialah, taatilah perintah-perintah-Ku, dan kamu akan mewarisi kerajaan syurga. Amin.