Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 50


Bahagian 50

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 9 Mei 1831. Sejarah Joseph Smith menyatakan bahawa beberapa penatua tidak memahami pernyataan dari roh-roh yang berbeza yang tersebar luas di bumi dan bahawa wahyu ini diberikan sebagai balasan terhadap pertanyaannya yang khusus tentang hal itu. Yang disebut-sebut fenomena rohani ini bukanlah tidak lazim di kalangan para anggota, beberapa daripada mereka mengakui menerima penglihatan dan wahyu.

1–5, Banyak roh palsu tersebar luas di bumi; 6–9, Celakalah yang munafik dan mereka yang disingkirkan dari Gereja; 10–14, Para penatua mesti mengkhutbahkan Injil dengan Roh; 15–22, Kedua-dua pengkhutbah dan pendengar perlu diterangi oleh Roh; 23–25, Hal yang tidak meneguhkan bukanlah daripada Tuhan; 26–28, Mereka yang setia ialah pemilik segala sesuatu; 29–36, Doa dari orang-orang yang disucikan dijawab; 37–46, Kristus ialah Gembala Yang Baik dan Batu Israel.

1 Dengarkanlah, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, dan pasanglah telinga terhadap suara Tuhan yang hidup; dan perhatikanlah firman kebijaksanaan yang akan diberikan kepadamu, menurut yang telah kamu minta dan persetujui berkaitan dengan gereja, dan roh-roh yang telah tersebar luas di bumi.

2 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa ada banyak roh yang merupakan roh-roh palsu, yang telah berkeliaran di atas bumi, memperdayakan dunia.

3 Dan juga Setan telah berusaha untuk memperdayakanmu, agar dia boleh menumbangkanmu.

4 Lihatlah, Aku, Tuhan, telah memandangmu, dan telah melihat kekejian di dalam gereja yang mengakui nama-Ku.

5 Tetapi diberkatilah mereka yang setia dan bertahan, sama ada dalam kehidupan atau dalam kematian, kerana mereka akan mewarisi kehidupan abadi.

6 Tetapi celakalah mereka yang adalah penipu dan munafik, kerana, demikianlah firman Tuhan, Aku akan membawa mereka pada penghakiman.

7 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, ada orang-orang munafik di antara kamu, yang telah menipu segelintir orang, yang telah memberikan kuasa kepada musuh; tetapi lihatlah yang demikian akan dipulihkan kembali;

8 Tetapi yang munafik akan dikenalpasti dan akan disingkirkan, sama ada dalam kehidupan ataupun dalam kematian, bahkan seperti yang Aku kehendaki; dan celakalah mereka yang disingkirkan dari gereja-Ku, kerana merekalah yang dikuasai oleh dunia.

9 Kerana itu, biarlah setiap orang berhati-hati agar jangan dia melakukan apa pun yang tidak menurut kebenaran dan kesolehan di hadapan-Ku.

10 Dan sekarang, marilah, firman Tuhan, melalui Roh, kepada para penatua gereja-Nya, dan marilah kita berbincang bersama, agar kamu boleh memahami;

11 Marilah kita berbincang bahkan seperti seseorang yang saling berbincang dengan yang lain secara bersemuka.

12 Sekarang, apabila seseorang itu berbincang dia difahami oleh manusia, kerana dia berbincang sebagai seorang manusia; demikian juga Aku, Tuhan, akan berbincang denganmu agar kamu boleh memahami.

13 Kerana itu, Aku Tuhan menanyakan kepadamu soalan ini—kepada apakah kamu ditahbiskan?

14 Untuk mengkhutbahkan Injil-Ku melalui Roh, bahkan Penolong yang diutuskan untuk mengajarkan kebenaran.

15 Dan kemudian kamu menerima roh-roh yang tidak dapat kamu fahami, dan menerima mereka sebagai daripada Tuhan; dan dalam hal ini adakah kamu dipersolehkan?

16 Lihatlah kamu harus menjawab pertanyaan ini sendiri; walaupun demikian, Aku akan penuh belas kasihan kepadamu; dia yang lemah di kalangan kamu selepas ini akan dijadikan kuat.

17 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang ditahbiskan oleh-Ku dan diutuskan untuk mengkhutbahkan firman kebenaran melalui Penolong, di dalam Roh kebenaran, adakah dia mengkhutbahkannya melalui Roh kebenaran atau suatu cara yang lain?

18 Dan jika ia melalui suatu cara yang lain ia bukanlah daripada Tuhan.

19 Dan lagi, dia yang menerima firman kebenaran, adakah dia menerimanya melalui Roh kebenaran atau suatu cara yang lain?

20 Jika ia suatu cara yang lain ia bukanlah daripada Tuhan.

21 Oleh kerana itu, mengapakah kamu tidak dapat memahami dan mengetahui, bahawa dia yang menerima firman melalui Roh kebenaran menerimanya sebagaimana ia dikhutbahkan melalui Roh kebenaran?

22 Kerana itu, dia yang berkhutbah dan dia yang menerima, saling memahami, dan kedua-duanya diteguhkan dan bersukacita bersama.

23 Dan apa yang tidak meneguhkan bukanlah daripada Tuhan, dan merupakan kegelapan.

24 Apa yang daripada Tuhan adalah cahaya; dan dia yang menerima cahaya, dan meneruskan di dalam Tuhan, menerima lebih banyak cahaya; dan cahaya itu semakin bertambah terang dan benderang sehingga hari yang sempurna.

25 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dan Aku memfirmankannya agar kamu boleh mengetahui kebenaran, agar kamu boleh menghalau kegelapan dari kalangan kamu;

26 Dia yang ditahbiskan oleh Tuhan dan diutus, orang yang sama ditetapkan untuk menjadi yang terhebat, sekalipun dia ialah yang terendah dan orang suruhan semua orang.

27 Kerana itu, dia ialah pemilik segala sesuatu; kerana segala sesuatu tunduk kepadanya, baik di dalam syurga mahupun di atas bumi, kehidupan dan cahaya, Roh dan kuasa, dikirimkan oleh kehendak Bapa melalui Yesus Kristus, Putera-Nya.

28 Tetapi tidak seorang pun adalah pemilik segala sesuatu kecuali dia disucikan dan dibersihkan dari segala dosa.

29 Dan jika kamu disucikan dan dibersihkan dari segala dosa, kamu akan meminta apa pun yang kamu kehendaki dalam nama Yesus dan ia akan terjadi.

30 Tetapi ketahuilah ini, akan diberikan kepadamu apa pun yang akan kamu minta; dan kerana kamu ditetapkan menjadi ketua, roh-roh itu akan tunduk kepadamu.

31 Kerana itu, akan terjadi, bahawa jika kamu melihat suatu roh dinyatakan yang tidak dapat kamu fahami, dan kamu tidak menerima roh itu, kamu harus meminta kepada Bapa dalam nama Yesus; dan jika Dia tidak memberi kepadamu roh itu, maka kamu dapat mengetahui bahawa ia bukanlah daripada Tuhan.

32 Dan akan diberikan kepadamu, kuasa ke atas roh itu; dan kamu haruslah memaklumkan terhadap roh itu dengan suara nyaring bahawa ia bukanlah daripada Tuhan—

33 Bukan dengan tuduhan yang mencerca, agar kamu tidak dikuasai, tidak juga dengan bermegah-megah tidak juga bersukacita, agar jangan kamu dicengkam olehnya.

34 Dia yang menerima daripada Tuhan, biarlah dia menganggapnya daripada Tuhan; dan biarlah dia bersukacita bahawa dia dianggap oleh Tuhan layak untuk menerima.

35 Dan dengan mengendahkan dan melakukan hal-hal yang telah kamu terima ini, dan yang akan kamu terima selepas ini—dan kerajaan diberikan kepadamu oleh Bapa, dan kuasa untuk mengatasi segala sesuatu yang bukan ditahbiskan oleh-Nya—

36 Dan lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, diberkatilah kamu yang sekarang mendengar firman-Ku ini daripada mulut hamba-Ku, kerana dosa-dosamu diampunkan.

37 Biarlah hamba-Ku Joseph Wakefield, kepadanya Aku sangat berkenan, dan hamba-Ku Parley P. Pratt pergi ke kalangan jemaah-jemaah gereja dan menguatkan mereka dengan kata dorongan;

38 Dan juga hamba-Ku John Corrill, atau seberapa banyak daripada para hamba-Ku yang ditahbiskan pada jabatan ini, dan biarlah mereka bekerja di dalam ladang anggur; dan janganlah biarkan seorang pun menghalang mereka melakukan apa yang telah Aku tetapkan kepada mereka—

39 Kerana itu, dalam hal ini hamba-Ku Edward Partridge tidaklah dipersolehkan; walaupun demikian biarlah dia bertaubat dan dia akan diampuni.

40 Lihatlah, kamu ialah anak-anak kecil dan kamu tidak dapat menanggung segala hal sekarang; kamu mesti tumbuh dalam rahmat dan dalam pengetahuan tentang kebenaran.

41 Janganlah takut, anak-anak kecil, kerana kamu ialah milik-Ku, dan Aku telah mengatasi dunia, dan kamu ialah daripada mereka yang telah Bapa-Ku berikan kepada-Ku;

42 Dan tidak seorang pun daripada mereka yang telah Bapa-Ku berikan kepada-Ku akan hilang.

43 Dan Bapa dan Aku ialah satu. Aku di dalam Bapa dan Bapa di dalam Aku; dan sejauh kamu telah menerima-Ku, kamu di dalam Aku dan Aku di dalam kamu.

44 Kerana itu, Aku berada di tengah-tengahmu, dan Aku ialah gembala yang baik, dan batu Israel. Dia yang membangun di atas batu ini tidak akan pernah jatuh.

45 Dan masanya datang apabila kamu akan mendengar suara-Ku dan melihat-Ku, dan mengetahui bahawa Aku ada.

46 Berjagalah, oleh kerana itu, agar kamu boleh bersedia. Demikianlah. Amin.