Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 33


Bahagian 33

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Ezra Thayre dan Northrop Sweet, di Fayette, New York, Oktober 1830. Dalam pengenalan wahyu ini, sejarah Joseph Smith menegaskan bahawa “Tuhan … sentiasa bersedia untuk mengarahkan mereka yang tekun mencari dalam iman.”

1–4, Para pekerja dipanggil untuk memaklumkan Injil pada jam yang kesebelas; 5–6, Gereja ditubuhkan, dan orang-orang pilihan akan dikumpulkan; 7–10, Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga di depan mata; 11–15, Gereja dibangunkan di atas batu Injil; 16–18, Bersedialah untuk kedatangan Pengantin Lelaki.

1 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Ezra dan Northrop, bukalah telinga kamu dan dengarlah suara Tuhan Rajamu, yang mana firman-Nya hidup dan penuh kuasa, lebih tajam daripada sebilah pedang bermata dua, untuk pembelahan tulang sendi dan sumsum, jiwa dan roh; dan adalah yang mengetahui pemikiran dan maksud hati.

2 Kerana sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu bahawa kamu dipanggil untuk mengangkat suaramu bagaikan bunyi sangkakala, untuk memaklumkan Injil-Ku kepada suatu generasi yang berputar belit dan suka membantah.

3 Kerana lihatlah, ladang telah memutih sedia dituai; dan inilah jam yang kesebelas, dan masa yang terakhir Aku akan memanggil para pekerja ke dalam ladang anggur-Ku.

4 Dan ladang anggur-Ku telah menjadi rosak bahkan setiap bahagian yang kecil pun; dan tidak ada yang baik kecuali beberapa sahaja; dan mereka keliru dalam banyak hal kerana penipuan imam, semuanya memiliki fikiran yang rosak.

5 Dan sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa gereja ini telah Aku tubuhkan dan dikeluarkan dari padang belantara.

6 Dan demikian juga Aku akan mengumpulkan umat pilihan-Ku dari keempat-empat penjuru bumi, bahkan seberapa banyak yang akan percaya kepada-Ku, dan mendengar suara-Ku.

7 Ya, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa ladang telah memutih sedia dituai; kerana itu, hayunkanlah sabitmu, dan tuailah dengan segenap daya, fikiran, dan kekuatanmu.

8 Bukalah mulut-mulutmu dan ia akan dipenuhi, dan kamu akan menjadi bahkan seperti Nefi dahulu kala, yang melakukan perjalanan dari Yerusalem di padang belantara.

9 Ya, bukalah mulut-mulutmu dan janganlah menahan diri, dan kamu akan disarati dengan berkas-berkas gandum di belakangmu, kerana lihatlah, Aku bersamamu.

10 Ya, bukalah mulut-mulutmu dan ia akan dipenuhi, mengatakan: Bertaubatlah, bertaubatlah, dan kamu sediakanlah jalan Tuhan, dan jadikanlah jalan-Nya lurus; kerana kerajaan syurga di depan mata;

11 Ya, bertaubat dan dibaptiskanlah, setiap orang daripada kamu, untuk pengampunan dosa-dosamu; ya, dibaptiskanlah bahkan dengan air, dan kemudian datanglah pembaptisan dengan api dan dengan Roh Kudus.

12 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, inilah Injil-Ku; dan ingatlah bahawa mereka harus menunjukkan iman kepada-Ku atau mereka tidak akan sekali-kali dapat diselamatkan;

13 Dan di atas batu ini Aku akan membangunkan gereja-Ku; ya, di atas batu ini kamu dibangunkan, dan jika kamu meneruskan, pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawanmu.

14 Dan kamu haruslah mengingati fasal-fasal dan perjanjian gereja untuk mentaatinya.

15 Dan barang siapa menunjukkan iman kamu haruslah menetapkannya di dalam gereja-Ku, melalui perletakan tangan, dan Aku akan memberikan kurnia Roh Kudus ke atas diri mereka.

16 Dan Kitab Mormon dan tulisan suci yang kudus diberikan oleh-Ku untuk arahanmu; dan kuasa Roh-Ku menghidupkan segala sesuatu.

17 Kerana itu, setialah, berdoalah selalu, memastikan pelitamu yang dijaga dan menyala, dan minyak bersamamu, agar kamu boleh bersedia semasa kedatangan Pengantin Lelaki

18 Kerana lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa Aku datang dengan cepat. Demikianlah. Amin.