Bahagian 19
Wahyu yang diberikan melalui Joseph Smith, di Manchester, New York, mungkin pada musim panas 1829. Dalam sejarahnya, Nabi memperkenalkannya sebagai “sebuah perintah daripada Tuhan dan bukan daripada manusia, kepada Martin Harris, diberikan oleh Dia yang adalah Abadi.”
1–3, Kristus memiliki segala kuasa; 4–5, Semua orang mesti bertaubat atau menderita; 6–12, Hukuman abadi adalah hukuman Tuhan; 13–20, Kristus menderita bagi semua orang, agar mereka tidak menderita jika mereka mahu bertaubat; 21–28, Khutbahkanlah Injil pertaubatan; 29–41, Maklumkanlah khabar gembira.
1 Aku ialah Alfa dan Omega, Kristus Tuhan; ya, bahkan Aku adalah Dia, awal dan akhir, Penebus dunia.
2 Aku, setelah melaksanakan dan menyelesaikan kehendak-Nya yang memiliki-Ku, bahkan Bapa, tentang Aku—telah melakukan ini agar Aku boleh menundukkan semua hal kepada diri-Ku—
3 Menyimpan segala kuasa, bahkan untuk penghancuran Setan dan pekerjaannya pada akhir dunia, dan hari penghakiman besar yang terakhir, yang akan Aku jatuhkan ke atas para penduduknya, menghakimi setiap orang menurut pekerjaannya dan perbuatan yang telah dia lakukan.
4 Dan pastinya setiap orang mesti bertaubat atau menderita, kerana Aku, Tuhan, adalah tanpa akhir.
5 Kerana itu, Aku tidak membatalkan penghakiman yang akan Aku jatuhkan, tetapi kecelakaan akan menyebar luas, tangisan, ratapan dan kertakan gigi, ya, kepada mereka yang didapati pada sisi tangan kiri-Ku.
6 Walaupun demikian, tidaklah tertulis bahawa tidak akan ada pengakhiran terhadap seksaan ini, tetapi ianya tertulis seksaan tanpa akhir.
7 Lagi, ianya tertulis kelaknatan abadi; kerana itu ia lebih jelas daripada tulisan suci yang lain, agar ia dapat bekerja pada hati anak-anak manusia, kesemuanya demi kemuliaan nama-Ku.
8 Kerana itu, Aku akan menjelaskan kepadamu misteri ini, kerana wajarlah bagimu untuk mengetahui bahkan sebagai para rasul-Ku.
9 Aku berfirman kepadamu yang terpilih dalam hal ini, bahkan bagaikan satu, agar kamu boleh masuk ke dalam peristirahatan-Ku.
10 Kerana, lihatlah, misteri ketuhanan, betapa besarnya ia! Kerana, lihatlah, Aku adalah tanpa akhir, dan hukuman yang diberikan daripada tangan-Ku adalah hukuman tanpa akhir, kerana Tanpa Akhir adalah nama-Ku. Kerana itu—
11 Hukuman abadi adalah hukuman Tuhan.
12 Hukuman tanpa akhir adalah hukuman Tuhan.
13 Kerana itu, Aku memerintahkanmu untuk bertaubat, dan mentaati perintah-perintah yang telah kamu terima melalui tangan hamba-Ku Joseph Smith Jr., dalam nama-Ku;
14 Dan ianya melalui kekuatan maha kuasa-Ku bahawa kamu telah menerimanya;
15 Oleh kerana itu Aku memerintahkanmu untuk bertaubat—bertaubatlah, agar jangan Aku menghentammu dengan tongkat mulut-Ku, dan dengan kemurkaan-Ku, dan dengan kemarahan-Ku, dan penderitaanmu menjadi parah—betapa parahnya kamu tidak tahu, betapa hebatnya kamu tidak tahu, ya, betapa sukarnya untuk ditanggung kamu tidak tahu.
16 Kerana lihatlah, Aku, Tuhan, telah menderita hal-hal ini bagi semua orang, agar mereka boleh tidak menderita jika mereka akan bertaubat;
17 Tetapi jika mereka tidak akan bertaubat mereka mesti menderita bahkan seperti Aku;
18 Yang mana penderitaan itu menyebabkan diri-Ku, bahkan Tuhan, yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma, dan menderita baik tubuh mahupun roh—dan menginginkan agar Aku boleh tidak meminum cawan yang pahit itu, dan menarik diri—
19 Walaupun demikian, kemuliaan kepada Bapa, dan Aku meminumnya dan menyelesaikan persediaan-Ku bagi anak-anak manusia.
20 Kerana itu, Aku memerintahkanmu lagi untuk bertaubat, agar jangan Aku merendahkan hatimu dengan kekuatan maha kuasa-Ku; dan agar kamu mengakui dosa-dosamu, agar jangan kamu menderita hukuman ini yang telah Aku firmankan, yang mana dalam kadar terkecil, ya, bahkan kamu telah merasakan sedikit daripadanya sewaktu Aku menarik Roh-Ku.
21 Dan Aku memerintahkanmu bahawa kamu janganlah mengkhutbahkan apa pun selain pertaubatan, dan janganlah memperlihatkan hal-hal ini kepada dunia sehinggalah ianya bijaksana di dalam Aku.
22 Kerana mereka tidak dapat menerima daging sekarang, tetapi susu mestilah mereka terima; kerana itu, mereka mestilah tidak mengetahui hal-hal ini, agar jangan mereka binasa.
23 Belajarlah daripada-Ku, dan dengarkanlah firman-Ku; berjalanlah dalam kelembutan hati Roh-Ku, dan kamu akan merasakan kedamaian di dalam Aku.
24 Aku ialah Yesus Kristus; Aku datang melalui kehendak Bapa, dan Aku melakukan kehendak-Nya.
25 Dan lagi, Aku memerintahkan engkau bahawa janganlah engkau mendambakan isteri sesamamu; tidak juga mengancam nyawa sesamamu.
26 Dan lagi, Aku memerintahkan engkau bahawa janganlah engkau mendambakan harta milikmu sendiri, tetapi memberikannya dengan murah hati untuk pencetakan Kitab Mormon, yang mengandungi kebenaran dan firman Tuhan—
27 Yang merupakan firman-Ku kepada bangsa bukan Israel, agar ia boleh disebarkan kepada bangsa Yahudi dengan segera, merekalah keturunan bangsa Laman yang selebihnya, agar mereka boleh mempercayai Injil, dan tidak mengharapkan seorang Mesias untuk datang yang telah pun datang.
28 Dan lagi, Aku memerintahkan engkau agar engkau haruslah berdoa dengan bersuara seperti juga dalam hatimu; ya, di hadapan dunia dan juga secara tersembunyi, di hadapan umum dan juga secara peribadi.
29 Dan engkau haruslah memaklumkan khabar gembira, ya, memberitakannya di atas gunung-ganang, dan di atas setiap tempat yang tinggi, dan di kalangan setiap bangsa yang engkau akan diizinkan untuk bertemu.
30 Dan engkau haruslah melakukannya dengan segenap kerendahan hati, percaya kepada-Ku, janganlah mencaci terhadap para pencaci.
31 Dan tentang ajaran yang mendalam janganlah engkau bicarakan, tetapi engkau harus memaklumkan pertaubatan dan iman terhadap Juruselamat, dan pengampunan dosa-dosa melalui pembaptisan, dan melalui api, ya, bahkan Roh Kudus.
32 Lihatlah, inilah sebuah perintah yang besar dan terakhir yang akan Aku berikan kepadamu tentang hal ini; kerana ini akan mencukupi bagi perjalananmu setiap hari, bahkan sehingga ke akhir hidupmu.
33 Dan kegetiran akan engkau terima jika engkau akan mengabaikan nasihat-nasihat ini, ya, bahkan juga kehancuran dirimu dan harta benda milikmu.
34 Berikanlah sebahagian dari harta benda milikmu, ya, bahkan sebahagian dari tanah-tanahmu dan segalanya kecuali tanggungan untuk keluargamu.
35 Bayarlah hutang yang telah engkau persetujui dengan pencetak. Bebaskanlah dirimu dari belenggu.
36 Tinggalkanlah rumah dan kediamanmu, kecuali apabila engkau akan berhasrat untuk mengunjungi keluargamu;
37 Dan berbicaralah dengan bebas kepada semua orang; ya, khutbahkanlah, doronglah, maklumkanlah kebenaran, bahkan dengan suara yang kuat, dengan suara kesukacitaan, menyerukan—Hosana, hosana, terpujilah nama Tuhan Raja!
38 Berdoalah selalu, dan Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas dirimu, dan akan besarlah berkatmu—ya, bahkan lebih daripada sekiranya kamu mendapatkan harta dari bumi dan kereputan yang setimpal dengannya.
39 Lihatlah, dapatkah engkau membaca ini tanpa bersukacita dan mengangkat hatimu kerana kegembiraan?
40 Atau dapatkah engkau berkeliaran ke sana ke mari dengan lama sebagai pembimbing yang buta?
41 Atau dapatkah engkau rendah hati dan lembut hati, dan membawa diri dengan bijak di hadapan-Ku? Ya, datanglah kepada-Ku Juruselamatmu. Amin.