Bahagian 105
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, berdekatan Sungai Fishing, Missouri, 22 Jun 1834. Dibawah pimpinan Nani, para Orang Suci dari Ohio dan kawasan lain berkawat ke Missouri dalam ekspedisi dikenali sebagai Perkhemahan Sion. Tujuan mereka adalah menemani para Orang Suci Missouri yang disingkir pulang ke tanah kediaman mereka di Jackson Country. Para Orang Missouri yang telah menganiaya Orang Suci takut tindakan balas dari Perkhemahan Sion dan beberapa serangan dahuluan para Orang Suci tinggal di Clay County, Missiouri. Setelah pentadbir Missiouri menarik kembali perjanjiannya untuk menyokong para Orang Suci, Jospeh Smith menerima wahyu ini.
1–5, Sion akan dibina menurut hukum selestial; 6–13, Penebusan Sion ditangguhkan untuk suatu tempoh masa yang singkat; 14–19, Tuhan akan bertempur Sion; 20–26, Para Orang Suci mesti bijak dan tidak bermegah tentang pekerjaan yang besar semasa mereka berkumpul; 27–30, Tanah di Jackson dan daerah-daerah yang bersebelahan haruslah dibeli; 31–34, Para penatua harus menerima anugerahan di dalam bait suci di Kirtland; 35–37, Para Orang Suci yang telah dipanggil dan dipilih akan dikuduskan; 38–41, Para Orang Suci harus mengangkat suatu panji perdamaian kepada dunia.
1 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu yang telah berhimpun bersama agar kamu boleh mengetahui kehendak-Ku mengenai penebusan umat-Ku yang sengsara—
2 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, jikalau bukan kerana pelanggaran umat-Ku, berfirman mengenai gereja dan bukan individu, mereka mungkin telah ditebus bahkan sekarang.
3 Tetapi lihatlah, mereka belum belajar untuk mematuhi apa yang telah Aku tuntutkan daripada tangan mereka, tetapi penuh dengan segala jenis kejahatan, dan tidak memberikan harta mereka, sebagai Orang Suci, kepada yang miskin dan sengsara di kalangan mereka;
4 Dan tidak bersatu menurut kesatuan yang dituntut oleh hukum kerajaan selestial;
5 Dan Sion hanya dapat dibina berdasarkan asas-asas hukum kerajaan selestial; jika tidak Aku tidak dapat menerimanya bagi diri-Ku.
6 Dan umat-Ku mesti perlu dihukum sehingga mereka belajar kepatuhan, jika perlu, melalui hal-hal yang menderitakan mereka.
7 Aku tidak berfirman mengenai mereka yang telah ditetapkan untuk memimpin umat-Ku, yang merupakan para penatua pertama gereja-Ku, kerana bukan semua mereka berada di dalam hukuman ini;
8 Tetapi Aku berfirman berkenaan jemaah-jemaah gereja-Ku di luar daerah—terdapat banyak yang akan berkata: Di manakah Tuhan mereka? Lihatlah, Dia akan membebaskan mereka pada waktu kesusahan, jika tidak kita tidak akan pergi ke Sion, dan akan menyimpan wang kita.
9 Oleh kerana itu, sebagai akibat dari pelanggaran umat-Ku, adalah arif menurut-Ku bahawa para penatua-Ku harus menunggu untuk suatu tempoh masa yang singkat untuk penebusan Sion—
10 Agar diri mereka boleh disediakan, dan agar umat-Ku boleh diajar dengan lebih sempurna, dan memperoleh pengalaman, dan mengetahui dengan lebih sempurna mengenai kewajipan mereka, dan apa yang Aku tuntut daripada tangan mereka.
11 Dan ini tidak dapat didatangkan sehingga para penatua-Ku telah dianugerahi dengan kuasa dari syurga.
12 Kerana lihatlah, Aku telah menyediakan sebuah anugerahan dan berkat yang besar untuk dicurahkan ke atas diri mereka, sejauh mereka setia dan berterusan dalam kerendahan hati di hadapan-Ku.
13 Oleh kerana itu adalah arif menurut-Ku bahawa para penatua-Ku harus menunggu untuk suatu tempoh masa yang singkat, untuk penebusan Sion.
14 Kerana lihatlah, Aku tidak menuntut dari tangan mereka untuk bertempur bagi Sion; kerana, seperti yang Aku firmankan dalam sebuah perintah yang terdahulu, demikian jugalah akan Aku genapi—Aku akan bertempur bagimu.
15 Lihatlah, si penghancur telah Aku utuskan untuk menghancurkan dan melenyapkan musuh-Ku; dan tidak sampai bertahun-tahun selepas ini mereka tidak akan tinggal untuk mencemarkan pusaka-Ku, dan untuk menista nama-Ku di atas tanah yang telah Aku baktikan untuk pengumpulan para orang suci-Ku bersama.
16 Lihatlah, Aku telah memerintahkan hamba-Ku Joseph Smith Jr. untuk mengatakan kepada kekuatan isi rumah-Ku, bahkan para pejuang-Ku, para pemuda-Ku, dan yang pertengahan umur, untuk berkumpul bersama untuk penebusan umat-Ku, dan merobohkan menara-menara musuh-Ku, dan mencerai-beraikan para pengawal mereka;
17 Tetapi kekuatan isi rumah-Ku belum mendengar firman-Ku.
18 Tetapi sejauh adanya mereka yang telah mendengarkan firman-Ku, Aku telah menyediakan suatu berkat dan anugerahan bagi mereka, jika mereka terus setia.
19 Aku telah mendengar doa-doa mereka, dan akan menerima persembahan mereka; dan adalah arif menurut-Ku bahawa mereka harus dibawa sejauh ini sebagai pencubaan iman mereka.
20 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, sebuah perintah Aku berikan kepadamu, bahawa sebanyak mana yang datang ke mari, yang dapat tinggal di wilayah sekitarnya, biarlah mereka tinggal;
21 Dan mereka yang tidak dapat tinggal, yang mempunyai keluarga di sebelah timur, biarlah mereka tinggal untuk suatu masa yang singkat, sejauh hamba-Ku Joseph akan tetapkan kepada mereka;
22 Kerana Aku akan menasihati dia mengenai hal ini, dan segala hal apa pun yang akan dia tetapkan kepada mereka akan digenapi.
23 Dan biarlah seluruh umat-Ku yang tinggal di wilayah-wilayah sekitarnya menjadi sangat setia, dan penuh doa, dan rendah hati di hadapan-Ku, dan tidak mendedahkan hal-hal yang telah Aku wahyukan kepada mereka, sehinggalah menjadi bijaksana di dalam Aku bahawa ianya harus didedahkan.
24 Janganlah bercakap tentang penghakiman, tidak juga bermegah tentang iman mahupun tentang pekerjaan yang besar, tetapi berkumpullah bersama dengan berhati-hati, sebanyak mana yang boleh di dalam sebuah wilayah, menurut perasaan orang-orang itu;
25 Dan lihatlah, Aku akan memberi kepadamu kemurahan hati dan rahmat di mata mereka, agar kamu boleh beristirahat dalam kedamaian dan keselamatan, semasa kamu mengatakan kepada orang-orang itu: Laksanakanlah penghakiman dan keadilan bagi kami menurut hukum, dan berilah kami ganti rugi di atas ketidakadilan terhadap kami.
26 Sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, dengan cara ini kamu boleh berkenan di mata orang-orang itu, sehingga tentera Israel menjadi sangat besar.
27 Dan Aku akan melembutkan hati orang-orang itu, seperti yang Aku lakukan kepada hati Firaun, dari semasa ke semasa, sehingga hamba-Ku Joseph Smith Jr. dan para penatua-Ku, yang telah Aku tetapkan, akan mempunyai masa untuk mengumpulkan kekuatan isi rumah-Ku,
28 Dan untuk mengutus para lelaki bijak, untuk menggenapi apa yang telah Aku perintahkan tentang pembelian semua tanah di Jackson County yang dapat dibeli, dan di wilayah-wilayah yang berdekatan di sekitarnya.
29 Kerana merupakan kehendak-Ku bahawa tanah-tanah ini harus dibeli; dan selepas ianya dibeli, para orang suci-Ku akan memilikinya menurut hukum-hukum pembaktian yang telah Aku berikan.
30 Dan selepas tanah-tanah ini dibeli, Aku akan menganggap bala tentera Israel tidak bersalah dalam mengambil tanah milik mereka sendiri, yang telah mereka beli sebelumnya dengan wang mereka, dan merobohkan menara-menara musuh-Ku yang mungkin berada pada diri mereka, dan mencerai-beraikan para pengawal mereka, dan menuntut bela bagi-Ku terhadap musuh-Ku sehingga generasi ketiga dan keempat mereka yang membenci-Ku.
31 Tetapi pertama sekali biarlah tentera-Ku menjadi sangat besar, dan biarlah ia dikuduskan di hadapan-Ku, agar ia boleh menjadi terang bagaikan matahari, dan jernih bagaikan bulan, dan agar panji-panjinya boleh menakutkan semua bangsa;
32 Agar kerajaan-kerajaan di dunia ini boleh didesak untuk mengakui bahawa kerajaan Sion adalah benar-benar kerajaan Tuhan kita dan Kristus-Nya; oleh kerana itu, marilah kita tunduk pada hukum-hukumnya.
33 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, adalah arif menurut-Ku bahawa para penatua pertama gereja-Ku harus menerima anugerahan mereka dari syurga di dalam rumah-Ku, yang telah Aku perintahkan untuk dibina demi nama-Ku di negeri Kirtland.
34 Dan biarlah perintah-perintah itu yang telah Aku berikan mengenai Sion dan hukumnya dilaksanakan dan dipenuhi, setelah penebusannya.
35 Telah ada masa pemanggilan, tetapi waktunya telah tiba untuk masa pemilihan; dan biarlah mereka yang layak itu dipilih.
36 Dan akan dinyatakan kepada hamba-Ku, melalui suara Roh, mereka yang terpilih; dan mereka akan dikuduskan;
37 Dan sejauh mereka mengikuti nasihat yang mereka terima, mereka akan memperoleh kuasa selepas banyak hari untuk menyelesaikan semua hal berkaitan dengan Sion.
38 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, isytiharkanlah kedamaian, bukan hanya kepada orang-orang yang telah menghentammu, tetapi juga kepada semua orang;
39 Dan angkatlah panji kedamaian, dan isytiharkanlah kedamaian pada hujung-hujung bumi;
40 Dan buatlah cadangan-cadangan untuk perdamaian kepada mereka yang telah menghentammu, menurut suara Roh yang ada dalam dirimu, dan segala hal akan bekerja bersama demi kebaikanmu.
41 Oleh kerana itu, setialah; dan lihatlah, dan tengoklah, Aku besertamu bahkan sehingga akhir. Demikianlah. Amin.