Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 103


Bahagian 103

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 24 Februari 1834. Wahyu ini diterima setelah tibanya di Kirtland, Ohio, Parley P. Pratt dan Lyman Wight, yang telah datang dari Missouri untuk berunding dengan Nabi berkaitan dengan pertolongan dan pemulihan para Orang Suci ke tanah mereka di Jackson County.

1–4, Mengapa Tuhan mengizinkan para Orang Suci di Jackson County dianiaya; 5–10, Para Orang Suci akan berjaya jika mereka mentaati perintah-perintah; 11–20, Penebusan Sion akan datang melalui kuasa, dan Tuhan akan pergi di hadapan para umat-Nya; 21–28, Para Orang Suci mesti berkumpul di Sion, dan mereka yang menyerahkan nyawa mereka akan mendapatkannya kembali; 29–40, Berbagai saudara dipanggil untuk membentuk Perkhemahan Sion dan pergi ke Sion; mereka dijanjikan kemenangan jika mereka setia.

1 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, lihatlah, Aku akan memberi kepadamu sebuah wahyu dan perintah, agar kamu boleh mengetahui bagaimana bertindak dalam menunaikan kewajipanmu berkenaan keselamatan dan penebusan saudara-saudaramu, yang telah dicerai-beraikan di atas negeri Sion;

2 Dihalau dan dihentam oleh tangan musuh-Ku, kepada mereka akan Ku curahkan kemurkaan-Ku tanpa batas pada waktu-Ku sendiri.

3 Kerana Aku telah membiarkan mereka sejauh ini, agar mereka boleh memenuhi ukuran kederhakaan mereka, agar cawan mereka boleh penuh;

4 Dan agar mereka yang memanggil diri mereka menurut nama-Ku boleh dihukum untuk suatu tempoh yang singkat dengan hukuman yang parah dan memilukan, kerana mereka tidak mendengar sepenuhnya ajaran dan perintah yang telah Aku berikan kepada mereka.

5 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa Aku telah menetapkan suatu perintah yang umat-Ku akan jalankan, sejauh mereka mendengar sejak dari waktu ini nasihat yang akan Aku, Tuhan Raja mereka, berikan kepada mereka.

6 Lihatlah mereka akan, kerana Aku telah menetapkannya, mula berjaya melawan musuh-Ku sejak dari waktu ini.

7 Dan dengan mendengar untuk mematuhi semua firman yang akan Aku, Tuhan Raja mereka, firmankan kepada mereka, mereka tidak sekali-kali akan berhenti berjaya sehingga kerajaan-kerajaan dunia telah ditundukkan di bawah kaki-Ku, dan bumi diberikan kepada para orang suci, untuk memilikinya selama-lamanya.

8 Tetapi sejauh mereka tidak mentaati perintah-perintah-Ku, dan tidak mendengar untuk mematuhi semua firman-Ku, kerajaan-kerajaan dunia akan berjaya melawan mereka.

9 Kerana mereka ditentukan untuk menjadi suatu cahaya bagi dunia, dan untuk menjadi penyelamat manusia;

10 Dan sejauh mereka bukan penyelamat manusia, mereka bagaikan garam yang telah kehilangan rasanya, dan sejak itu tak berguna untuk apa pun tetapi dibuang dan dipijak-pijak di bawah kaki manusia.

11 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku telah menetapkan bahawa saudara-saudaramu yang telah dicerai-beraikan harus kembali ke tanah-tanah warisan mereka, dan harus membangunkan tempat-tempat yang tandus di Sion.

12 Kerana setelah banyak kesengsaraan, seperti yang telah Aku firmankan kepadamu dalam sebuah perintah yang sebelumnya, akan datanglah berkat.

13 Lihatlah, inilah berkat yang telah Aku janjikan setelah kesengsaraanmu, dan kesengsaraan saudara-saudaramu—penebusanmu, dan penebusan saudara-saudaramu, bahkan pemulihan mereka ke negeri Sion, untuk dibangunkan, tidak lagi akan dihancurkan.

14 Walaupun demikian, jika mereka mencemari harta warisan mereka, mereka akan dihancurkan; kerana Aku tidak akan menyelamatkan mereka jika mereka mencemari harta warisan mereka.

15 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, penebusan Sion mestilah perlu datang dengan kuasa;

16 Oleh kerana itu, Aku akan membangkitkan bagi umat-Ku seorang lelaki, yang akan memimpin mereka seperti Musa memimpin anak-anak Israel.

17 Kerana kamu ialah anak-anak Israel, dan keturunan Abraham, dan kamu mestilah perlu dipimpin keluar dari belenggu dengan kuasa, dan dengan lengan yang terbentang.

18 Dan seperti nenek moyangmu yang telah dipimpin pada mulanya, demikian jugalah penebusan Sion.

19 Oleh kerana itu, janganlah biarkan hatimu lemah, kerana Aku tidak berfirman kepadamu seperti Aku berfirman kepada nenek moyangmu: Malaikat-Ku akan pergi di hadapanmu, tetapi bukan kehadiran-Ku.

20 Tetapi Aku berfirman kepadamu: Para malaikat-Ku akan pergi di hadapanmu, dan juga kehadiran-Ku, dan lama-kelamaan kamu akan memiliki tanah yang baik itu.

21 Sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa hamba-Ku Joseph Smith Jr. ialah lelaki yang Aku persamakan kepada hamba yang Tuan ladang anggur itu berbicara kepadanya di dalam perumpamaan yang telah Aku berikan kepadamu.

22 Oleh kerana itu biarlah hamba-Ku Joseph Smith Jr. berkata kepada kekuatan isi rumah-Ku, para pemuda-Ku dan yang pertengahan umur—Berkumpullah kamu bersama ke negeri Sion, di atas tanah yang telah Aku beli dengan wang yang telah dibaktikan bagi-Ku.

23 Dan biarlah seluruh jemaah gereja mengutuskan para lelaki yang bijak dengan wang mereka, dan membeli tanah bahkan seperti yang telah Aku perintahkan kepada mereka.

24 Dan sejauh musuh-Ku datang melawanmu untuk menghalaumu dari tanah-Ku yang baik, yang telah Aku baktikan untuk menjadi negeri Sion, bahkan dari tanah-tanahmu sendiri selepas kesaksian ini, yang telah kamu bawakan di hadapan-Ku terhadap mereka, kamu akan mengutuk mereka;

25 Dan sesiapa pun yang kamu kutuki, akan Aku kutuki, dan kamu harus menuntut bela bagi-Ku terhadap musuh-Ku.

26 Dan kehadiran-Ku akan berada bersamamu bahkan dalam menuntut bela bagi-Ku terhadap musuh-Ku, sehingga pada generasi ketiga dan keempat mereka yang membenci-Ku.

27 Janganlah membiarkan seorang pun takut untuk menyerahkan nyawanya demi kepentingan-Ku; kerana barang siapa menyerahkan nyawanya demi kepentingan-Ku akan mendapatkannya kembali.

28 Dan barang siapa tidak bersedia untuk menyerahkan nyawanya demi kepentingan-Ku bukanlah pengikut-Ku.

29 Adalah kehendak-Ku bahawa hamba-Ku Sidney Rigdon harus mengangkat suaranya di dalam jemaah gereja di negeri-negeri sebelah timur, dalam menyediakan jemaah gereja untuk mentaati perintah-perintah yang telah Aku berikan kepada mereka berkenaan pemulihan dan penebusan Sion.

30 Adalah kehendak-Ku bahawa hamba-Ku Parley P. Pratt dan hamba-Ku Lyman Wight tidak harus kembali ke tanah saudara-saudara mereka, sehingga mereka telah mengumpulkan rombongan-rombongan yang akan pergi ke negeri Sion, dalm jumlah sepuluh, atau dua puluh, atau lima puluh, atau seratus, sehingga mereka telah mencapai jumlah lima ratus daripada kekuatan isi rumah-Ku.

31 Lihatlah inilah kehendak-Ku; mintalah dan kamu akan menerima; tetapi manusia tidak selalu melakukan kehendak-Ku.

32 Oleh kerana itu, jika kamu tidak dapat mengumpulkan lima ratus, carilah dengan tekun agar barangkali kamu boleh mengumpulkan tiga ratus.

33 Dan jika kamu tidak dapat mengumpulkan tiga ratus, berupayalah dengan tekun agar mudah-mudahan kamu boleh mengumpulkan seratus.

34 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, sebuah perintah Aku berikan kepadamu, agar kamu tidak harus pergi ke negeri Sion sehingga kamu telah mengumpulkan seratus daripada kekuatan isi rumah-Ku, yang akan pergi bersamamu ke negeri Sion.

35 Oleh kerana itu, seperti yang Aku firmankan kepadamu, mintalah dan kamu akan menerima; berdoalah dengan bersungguh-sungguh agar mudah-mudahan hamba-Ku Joseph Smith Jr. boleh pergi bersamamu, dan mengetuai di tengah-tengah umat-Ku, dan menubuhkan kerajaan-Ku di atas tanah yang telah dibaktikan, dan menegakkan anak-anak Sion di atas hukum dan perintah yang telah dan yang akan diberikan kepadamu.

36 Semua kemenangan dan kemuliaan dibawakan kepadamu melalui ketekunan, kesetiaan dan doa-doamu dengan iman.

37 Biarlah hamba-Ku Parley P. Pratt melakukan perjalanan bersama hamba-Ku Joseph Smith Jr.

38 Biarlah hamba-Ku Lyman Wight melakukan perjalanan bersama hamba-Ku Sidney Rigdon.

39 Biarlah hamba-Ku Hyrum Smith melakukan perjalanan bersama hamba-Ku Frederick G. Williams.

40 Biarlah hamba-Ku Orson Hyde melakukan perjalanan bersama hamba-Ku Orson Pratt, ke mana pun hamba-Ku Joseph Smith Jr. akan mengarahkan mereka, untuk mendapatkan penggenapan perintah-perintah ini yang telah Aku berikan kepadamu, dan tinggalkan yang selebihnya dalam tangan-Ku. Demikianlah. Amin.