Persidangan Umum
Resipi Berita Baik
Persidangan umum Oktober 2025


10:39

Resipi Berita Baik

Bagaimanakah rupanya untuk menambahkan lebih Yesus Kristus dalam hidup anda?

Jika anda pernah melawat negeri asal saya di Louisiana, anda mungkin biasa dengan banyak hidangan lazat kami—gumbo, jambalaya, étouffée, dan senarainya berterusan.

Dari masa ke masa, saya mendapati diri cukup berani untuk memasak salah satu resipi lazat itu. Langkah terakhir yang tidak dicatat selepas mencampurkan semua ramuan dan mengikuti arahan terperinci adalah untuk melakukan ujian rasa terakhir dan melihat sekiranya ada yang hilang. Pada ketika itu, saya dapat mendengar legenda memasak Creole yang berbisik di telinga saya, “Masukkan lebih Tony di dalamnya.” Tony ialah perasa Creole yang dibuat di kampung saya Opelousas, Louisiana. Ia sering digunakan sebagai “ramuan rahsia” untuk mengimbangi ketidaksempurnaan yang dibuat semasa mengikuti resipi.

Isteri saya, Michelle dan saya berbesar hati dapat melayani sebagai pemimpin misi di Louisiana. Kami mempunyai tradisi mengajar para misionari bagaimana untuk memasak resipi jambalaya istimewanya pada malam terakhir mereka di rumah misi sebelum mereka kembali kepada keluarga mereka. Sebagai tambahan kesaksian mereka tentang injil Yesus Kristus yang dipulihkan, para misionari kami meninggalkan misi dengan penghargaan untuk resipi.

Beberapa bulan lalu, saya melayari Church Media Library dan melihat pautan kepada koleksi video pendek yang dipanggil Restoration Conversations with President Russell M. Nelson [Perbualan Pemulihan dengan Presiden Russell M. Nelson]. Salah satu tajuk video pendek dalam senarai itu menarik perhatian serta membuat saya tersenyum. Ia dipanggil “Scriptures Are God’s Recipes for Happy Living [Tulisan Suci Adalah Resipi Tuhan untuk Kehidupan Gembira].” Saya segera klik video dua minit itu dan menonton Presiden Nelson mengajar satu pesanan yang mudah dan berkuasa kepada sekumpulan kanak-kanak Sekolah Primer tentang bagaimana untuk menjadi gembira. Dia mengajar: “Jika kamu membuat kek, kamu mengikut arahan itu, kan? Dan anda akan mendapat hasil yang baik setiap kali, kan?”

Dia teruskan, bercakap tentang usia 95 tahun tidak lama lagi: “Orang bertanya, ‘Apa yang anda makan? Apakah rahsia anda?’” Dia menjawab, “Rahsia itu dipanggil tulisan suci. Anda boleh membacanya dan mencubanya.”

Nah, itulah jawapannya. Rahsia mudah untuk kehidupan gembira adalah untuk mengikuti resipi Tuhan seperti dalam tulisan suci. Saya memanggilnya “Resipi Berita Baik.”

Apa yang anda lakukan jika berlaku kesilapan semasa mengikuti resipi itu? Tertanam dalam Resipi Berita Baik ialah “ramuan rahsia” untuk memastikan anda sentiasa mendapatkannya dengan betul pada akhirnya. Jawapannya sentiasa Yesus Kristus.

Saya fikir kita semua mempunyai detik-detik apabila kita merasakan bahan-bahan kita tidak cukup baik, atau bergelut untuk mengikut arahan, atau mungkin melakukan sesuatu yang tidak teratur, sesuatu berlaku di luar kawalan kita, dan sebagainya.

Apakah ubatnya? Tambahkanlah lebih banyak perkara yang menjemput Yesus Kristus ke dalam hidup anda.

Jadi, bagaimanakah rupanya untuk menambahkan lebih Yesus Kristus dalam hidup anda?

Semasa melayani sebagai presiden misi, saya bertemu secara peribadi dengan setiap misionari muda kami setiap enam minggu. Semasa pertemuan bersemuka, adalah biasa bagi para misionari mencari bimbingan tentang bagaimana untuk memperbaiki keberkesanan persahabatan mereka.

Pada satu masa, seorang misionari datang ke temu duga peribadinya dan duduk. Saya tahu dari bahasa tubuhnya bahawa sesuatu sedang membebani mindanya. Saya bertanya, “Elder, apakah yang anda ingin bincangkan hari ini?” Dia menerangkan beberapa cabaran yang dihadapinya dengan rakannya dan bagaimana ia mempengaruhi keupayaan mereka untuk melakukan pekerjaan misionari. Dengan linangan air mata, dia memandang saya dan bertanya, “Presiden, apakah yang harus saya lakukan?”

Dalam keadaan itu, saya tidak tahu bagaimana untuk membalas. Selepas seketika, saya bertanya kepadanya jika kami boleh berlutut dan doa bersama untuk bimbingan Roh. Dia bersetuju, dan kami berlutut bersama dan berdoa untuk ilham.

Selepas berdoa, kami terus berlutut sebentar lagi dan kemudian duduk di kerusi menghadapi satu sama lain. Saya bertanya jika kami boleh membaca tulisan suci bersama. Semasa kami membuka tulisan suci, saya berhenti sekejap dan memberitahu dia, “Elder, semasa kita membaca tulisan suci ini, sila tanya diri anda soalan berikut: Jika saya mengamalkan sifat-sifat ini, adakah ia akan memperbaiki persahabatan saya dan pekerjaan misi kami?”

Kemudian kami buka Moroni 7:45 dan membaca dengan bersuara: “Dan kasih ihsan itu kesabaran yang panjang, dan adalah baik hati, dan tidak dengki, dan tidak bongkak, tidak mementingkan dirinya sendiri, tidak mudah marah, tidak berfikiran jahat, dan tidak bergembira di dalam kederhakaan tetapi bergembira di dalam kebenaran, menanggung semua hal, mempercayai semua hal, mengharapkan semua hal, bertahan dalam segala hal.”

Kemudian elder itu melihat saya dengan penuh air mata dan berkata, “Ya, Presiden, tetapi itu sukar dilakukan.” Saya bersetuju dan mengingatkan dia bahawa dia ialah anak Tuhan dengan potensi ilahi untuk melakukannya bersama dengan Tuhan.

Kemudian kami berbincang secara ringkas tentang perumpamaan cerun yang diajar oleh Elder Clark G. Gilbert dari Tujuh Puluh, yang mengingatkan kita bahawa kita perlu bermula di mana kita berada dan, bersama dengan Tuhan, maju ke hadapan dan ke atas dalam arah yang positif. Saya tahu bahawa dia masih berasa terbeban dengan langkah-langkah seterusnya, jadi saya meminta dia untuk menjelaskan pemahamannya tentang tulisan suci “melalui hal-hal yang kecil dan sederhana hal-hal besar didatangkan.” Dia menjelaskan konsep bahawa dengan melakukan hal-hal yang kecil dan sederhana, hal-hal besar boleh berlaku. Saya meminta dia untuk mengambil satu minit dan mengenal pasti dua perkara kecil dan sederhana yang dia boleh lakukan untuk berbuat baik kepada rakannya.

Selepas beberapa ketika, dia berkongsi pendapatnya. Kemudian saya meminta dia untuk mengambil satu minit dan mengenal pasti dua perkara kecil dan sederhana yang dia boleh lakukan untuk bersabar dengan rakannya. Dia dengan segera berkongsi dua fikirannya. Jelasnya dia telah merenungkan ini sebelum pertemuan kami. Saya menjemput dia untuk membawa beberapa perkara itu kepada Tuhan dalam doa dan meminta pengesahan, arahan, dan ilham tentang cara melaksanakan rancangan-Nya dengan niat yang bersungguh-sungguh. Dia bersetuju. Sebelum mengakhiri temuduga itu, saya memintanya untuk memberikan laporan ringkas dalam surat mingguannya.

Beberapa minggu berikutnya berlalu, saya dapat melihat dalam surat mingguannya bahawa keadaan bertambah baik. Saya bukan sahaja dapat melihat peningkatan itu dalam surat mingguan dia, tetapi saya juga dapat melihatnya dalam surat mingguan rakannya. Semasa temu duga peribadi kami yang seterusnya, saya melihat perbezaan jelas pada wajah dan semangatnya. Saya bertanya kepadanya, “Jadi, Elder, adakah ia benar bahawa ‘kasih ihsan tidak pernah gagal?’” Dia menjawab dengan senyuman besar, “Ya, dan melalui hal-hal yang kecil dan sederhana hal-hal besar didatangkan.”

Apabila anda mengikuti Resipi Berita Baik untuk kehidupan gembira, ingatlah ajaran Presiden Nelson: “Semua soalan atau masalah yang anda ada, jawapannya sentiasa ada pada kehidupan dan ajaran Yesus Kristus. Belajarlah tentang Korban Tebusan-Nya, kasih, belas kasihan, ajaran, dan injil-Nya yang dipulihkan tentang penyembuhan dan perkembangan. Berpalinglah kepada Tuhan! Ikutlah Dia!”

Apabila anda perlu “dengarkanlah Dia” dan ketahui cara menjemput Yesus Kristus ke dalam hidup anda, pertimbangkan untuk mengikuti langkah-langkah yang Presiden Nelson ajarkan kita tentang wahyu peribadi:

“Carilah sebuah tempat sunyi di mana anda dapat pergi secara kerap. Rendahkan diri di hadapan Tuhan. Curahkan hati anda kepada Bapa Syurgawi. Berpaling kepada Dia untuk jawapan dan untuk ketenangan.

“Berdoa dalam nama Yesus Kristus tentang kerisauan anda, ketakutan anda, kelemahan-kelemahan anda—ya, hasrat benar-benar anda. Dan kemudian dengar! Tuliskan fikiran yang datang ke minda anda. Catatkan perasaan anda dan diikuti dengan tindakan-tindakan yang anda terilham untuk lakukan. Semasa anda ulangi proses ini hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, anda akan ‘bertumbuh ke dalam asas wahyu.’”

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dan Penebus kita. Dia telah “mencapai segala yang kita perlukan untuk kembali kepada Bapa Syurgawi [kita].” Dalam nama Yesus Kristus, amin.