Berbelas Kasihanlah Pada Diri Sendiri
Anda ada akses segera kepada bantuan ilahi dan penyembuhan walaupun dengan kelemahan manusia anda.
Seorang guru sekolah pernah mengajar bahawa ikan paus—walaupun besar—tidak dapat menelan manusia kerana tekak ikan paus kecil. Seorang budak perempuan membantah, “Tetapi Yunus ditelan oleh ikan paus.” Guru itu menjawab, “Itu mustahil.” Masih tidak yakin, budak itu berkata, “Apabila saya sampai ke syurga, saya akan bertanya kepadanya.” Guru itu mengejek, “Bagaimana jika Yunus seorang yang berdosa dan tidak pergi ke syurga?” Budak itu menjawab, “Maka kamu boleh tanya dia.”
Kita ketawa, tetapi kita tidak harus terlepas kuasa yang kisah Yunus tawarkan kepada setiap “pencari kebahagiaan … yang rendah hati,” terutamanya yang bergelut.
Tuhan memerintahkan Yunus untuk “pergi ke Niniwe” untuk mengisytiharkan pertaubatan. Tetapi Niniwe adalah musuh kejam Israel purba—jadi Yunus segera pergi ke arah bertentangan, dengan perahu, ke Tarsis. Apabila dia belayar jauh daripada panggilannya, ribut badai terbentuk. Pastinya ketidakpatuhannya adalah puncanya, Yunus dengan rela dilemparkan ke laut. Ini menenangkan laut yang bergelora, yang menyelamatkan rakan sepelayarannya.
Ajaibnya, Yunus terlepas daripada kematian apabila “ikan besar” yang Tuhan “sediakan” menelannya. Tetapi dia merana dalam keadaan gelap dan menjijikan itu selama tiga hari, sehingga dia akhirnya dikeluarkan ke daratan. Kemudian dia menerima panggilannya ke Niniwe. Namun, ketika kota itu bertaubat dan terselamat daripada kehancuran, Yunus geram dengan belas kasihan ditunjukkan kepada musuhnya. Tuhan dengan sabar mengajar Yunus bahawa Dia mengasihi dan berusaha untuk menyelamatkan semua anak-Nya.
Tersandung lebih daripada sekali dalam tugasnya, Yunus memberikan kesaksian yang nyata bahawa dalam kefanaan, “semuanya terjatuh.” Kita tidak selalu bersaksi tentang Kejatuhan. Tetapi mempunyai pemahaman ajaran dan kesaksian rohani tentang mengapa setiap kita bergelut dengan cabaran moral, jasmani, dan situasi adalah satu berkat yang besar. Di bumi ini, hal buruk dan sukar pasti terjadi, dan semuanya tidak mencapai kemuliaan Tuhan. Tetapi keadaan fana ini—akibat pilihan yang dibuat oleh Adam dan Hawa—adalah sebab penting kita wujud: “agar [kita] boleh berbahagia”! Seperti ibu bapa pertama kita pelajari, hanya dengan merasai kepahitan dan kesakitan dunia yang terjatuh, kita akan dapat memahami, bahkan menikmati kebahagiaan yang sebenar.
Kesaksian tentang Kejatuhan bukan alasan untuk berbuat dosa atau lalai terhadap tanggungjawab hidup, yang sentiasa menuntun ketekunan, hemah, dan pertangggungjawaban. Namun, ia seharusnya meredakan kekecewaan kita apabila berlaku hal di luar jangkaan atau melihat kegagalan moral dalam ahli keluarga, rakan, atau pemimpin. Sering kali hal-hal seperti ini menyebabkan kita terlibat dalam kritikan pertikaian atau perasaan geram yang merompak iman kita. Tetapi kesaksian yang teguh tentang Kejatuhan dapat membantu kita menjadi lebih seperti Tuhan seperti yang digambarkan oleh Yunus, iaitu, “pengasih, sentiasa sabar, lemah lembut” kepada semua—termasuk diri kita—dalam keadaan kita yang tidak sempurna.
Lebih besar daripada sekadar menyatakan kesan Kejatuhan, cerita Yunus mengarahkan kita kepada Dia yang mampu membebaskan kita daripada kesan-kesan tersebut. Pengorbanan diri Yunus untuk menyelamatkan rakan sepelayarannya adalah sifat Kristus. Dan tiga kali Yesus ditekan untuk tanda mukjizat keilahian-Nya, Dia berkata bahawa “tidak satu pun akan diberi … kecuali mukjizat Nabi Yunus,“ mengisytiharkan “Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.” Sebagai lambang kematian pengorbanan dan Kebangkitan mulia Juruselamat, Yunus mungkin ada kekurangan. Namun, inilah yang menjadikan kesaksian peribadi dan komitmennya kepada Yesus Kristus, yang dipersembahkan dalam perut ikan paus, begitu memilukan dan mengilhamkan.
Tangisan Yunus adalah tangisan orang baik dalam krisis, yang sebahagian besarnya berpunca daripada dirinya sendiri. Bagi orang suci, apabila musibah berlaku akibat tabiat yang disesali, kata-kata, atau keputusan, walaupun disertai dengan niat baik dan usaha kesolehan, ia boleh menjadi sangat menghancurkan dan meninggalkan perasaan terabai. Tetapi apa pun sebab atau tahap musibah yang kita hadapi, sentiasa ada daratan untuk harapan, penyembuhan, dan kebahagiaan. Dengarkanlah Yunus:
“Dalam kesusahanku aku berseru kepada-Mu … ; dari (perut neraka) aku mohon pertolongan. …
“Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam, sampai ke dasar lautan; …
“[Dan] aku berfikir bahawa Engkau sudah menghalau aku dari hadirat-Mu, aku tidak akan melihat lagi rumah kediaman-Mu yang suci.
“Air laut naik sampai ke bibirku, samudera raya meliputi seluruh tubuhku, rumpai laut melilit kepalaku.
“Aku turun sampai ke dasar pergunungan; … Engkau telah menyelamatkan aku. …
“Ketika nyawaku hampir pergi … aku ingat akan Tuhan, lalu aku berseru kepada-Mu … di Rumah-Mu yang suci.
“Para penyembah berhala yang sia-sia, meninggalkan Engkau dan tidak lagi setia..
“Tetapi aku akan menyanyikan puji-pujian bagi-Mu dan aku akan mempersembahkan korban untuk-Mu. Aku akan menunaikan segala janjiku. Engkaulah Tuhan yang menyelamatkan.”
Walaupun ia sudah lama berlalu, saya boleh beritahu anda dengan tepat di mana saya duduk dan apa yang saya rasakan, ketika, berada dalam perut neraka peribadi, saya menemukan tulisan suci ini. Bagi sesiapa yang hari ini merasa seperti saya rasakan masa itu—bahawa anda dibuang, tenggelam di perairan dalam, rumpai laut melilit kepala dan gunung laut mengelilingi— rayuanku, yang diilhamkan oleh Yunus, adalah: Berbelas kasihanlah pada diri sendiri. Anda ada akses segera kepada bantuan ilahi dan penyembuhan walaupun dengan kelemahan manusia anda. Belas kasihan yang mengagumkan ini datang dan melalui Yesus Kristus. Kerana Dia mengenali dan mengasihi anda dengan sempurna, Dia menawarkannya kepada anda sebagai “milik anda,” yang disesuaikan dengan sempurna untuk anda, direka untuk melegakan kesakitan peribadi dan menyembuhkan kesakitan khusus anda. Oleh itu, demi syurga dan dirimu, janganlah berpaling daripada itu. Terimalah. Mulakan dengan tidak mendengarkan “[hal] yang sia-sia” daripada musuh yang menggoda anda untuk berfikir bahawa kelegaan boleh ditemui dengan lari daripada tanggungjawab rohani anda. Sebaliknya, ikuti pimpinan Yunus yang bertaubat. Berserulah kepada Tuhan. Berpaling ke bait suci. Pegang teguh pada perjanjian-perjanjian anda. Layani Tuhan, Gereja-Nya, dan orang lain dengan pengorbanan dan kesyukuran.
Melakukan hal-hal ini membawa kepada penglihatan tentang kasih perjanjian istimewa Tuhan untuk anda—apa yang Alkitab Ibrani panggil hesed. Anda akan melihat dan merasai kuasa Tuhan yang setia, tidak kenal lelah, berkesudahan, dan “belas kasihan … yang lembut” yang membuat anda “perkasa … hingga … pembebasan” daripada dosa atau halangan. Kepedihan awal dan hebat mungkin mengaburi penglihatan pada mulanya. Tetapi apabila anda terus “tunaikanlah janji[mu],” penglihatan seperti itu akan bersinar lebih cerah dan terang dalam jiwa anda. Dan dengan penglihatan itu anda bukan sahaja akan menemui harapan dan penyembuhan tetapi, yang mengagumkan, anda akan menemui kebahagiaan, walaupun di ketika ujian hebat anda. Presiden Russell M. Nelson ajarkan: “Apabila fokus kita berada pada rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus serta injil-Nya, kita boleh rasa kebahagiaan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita. Kebahagiaan datang dari Dia dan wujud kerana Dia.”
Sama ada kita menghadapi musibah yang besar, seperti Yunus, atau cabaran harian dalam dunia kita yang tidak sempurna, jemputannya tetap sama: Berbelas kasihanlah pada diri sendiri. Lihatlah kepada keajaiban Yunus, Kristus yang hidup, Dia yang bangkit dari kubur, menakluki semua—untuk anda. Berpaling kepada Tuhan. Percayalah kepada-Nya. Melayani-Nya. Senyum. Hanya dalam Dia sahaja, ada penyembuhan penuh dan bahagia daripada Kejatuhan, penyembuhan yang kita amat perlukan dan cari dengan rendah hati. Saya bersaksi ini benar. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin