Persidangan Umum
Kurnia Kesaksian yang Abadi
Persidangan umum Oktober 2025


12:17

Kurnia Kesaksian yang Abadi

Setiap putera atau puteri Tuhan boleh memperoleh pengetahuan lebih mendalam, lebih teguh, dan lebih pasti untuk diri mereka sendiri.

Saudara dan saudari yang dikasihi, baru-baru ini saya telah merenungkan tiga kebenaran berkuasa dari Pemulihan. Kebenaran-kebenaran ini telah memberkati hidup saya dengan mendalam. Hari ini, saya ingin berkongsi bagaimana kebenaran ini telah membimbing perjalanan saya menuju kesaksian yang pasti tentang injil Yesus Kristus.

1. Tuhan Ialah Bapa Syurgawi Kita Yang Penyayang

Dia maha mengetahui dan maha berkuasa. Melalui Cahaya Kristus dan pelayanan Roh Kudus, pengaruh-Nya berada di merata tempat. Adalah dalam sifat-Nya untuk memberkati kita.

Dia melihat masa lalu, kini, dan takdir abadi kita. Tiada apa pun yang boleh disembunyikan daripada-Nya.

Jemputan Presiden Russell M. Nelson untuk “berfikiran selestial” menggalakkan kita untuk mengikuti penglihatan dan sifat Bapa Syurgawi kita.

Kerana sifat-sifat ilahi-Nya, Bapa Syurgawi memberikan setiap kurnia yang baik, masing-masing dengan perspektif dan penglihatan abadi-Nya.

2. Hak Pilihan Ialah Kurnia untuk Memilih dan Bertindak Untuk Diri Sendiri

Ia juga tanggungjawab untuk memilih dengan baik.

Yesus Kristus membayar harga muktamad untuk hak istimewa itu dengan darah berharga-Nya.

Kadangkala kita mungkin percaya bahawa hak pilihan bermaksud melakukan apa sahaja. Tetapi hakikat bahawa harga telah dibayar bermakna hak pilihan adalah satu kurnia kudus.

Kita adalah pelaku, dan pelaku bertanggungjawab untuk sesuatu. Dalam hal ini, kita bertanggungjawab untuk pilihan yang dibuat berdasarkan pengetahuan yang ada dan kurnia-kurnia yang diberikan. Kita tidak boleh membuat pilihan tanpa bertanggungjawab atas akibatnya.

Mengapakah kita mempunyai hak pilihan?

Untuk memilih yang baik.

Untuk memilih Kristus.

Untuk memilih kehidupan abadi—berulang kali.

3. Kesaksian Kita Datang Melalui Kuasa Roh Kudus

Kesaksian daripada Roh Kudus adalah lebih besar daripada penglihatan. Dia ialah saksi terunggul Bapa dan Putera. Presiden Nelson mengajar, “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus.”

Saudara dan saudari, inilah sebab kita semua memerlukan kuasa Roh Kudus hari ini.

Kesaksian melalui Roh Kudus boleh datang dalam pelbagai cara. Seperti mentol lampu dalam bilik gelap, ia boleh datang secara dramatik dan tiba-tiba. Ia boleh datang seperti matahari terbit, secara beransur-ansur dan mengambil masa. Ia boleh datang seperti sinaran cahaya, pendedahan secara berkala kepada kecerdasan tulen. Tidak kira apa, ia datang melalui Roh Kudus.

Mencari Kesaksian di Jamaica

Saya membesar di Jamaica; ia menyeronokkan dan indah. Namun, apabila sekolah menengah bermula, beberapa daripada rakan sekelas dan rakan-rakan yang tidak memahami keputusan saya untuk menjadi ahli Gereja Yesus Kristus. “Bagaimanakah kamu boleh menyertai gereja itu?” mereka bertanya. “Bagaimanakah kamu boleh percaya cerita itu?”—merujuk kepada Penglihatan Pertama. “Bagaimanakah kamu boleh membaca buku itu?”—merujuk kepada Kitab Mormon. “Adakah kamu benar-benar mempercayai semua itu?” Dan “Mengapakah kamu membazir masa hidup kamu?”

Bait Suci Salt Lake
Sacred Grove
Kitab Mormon

Ia menyedihkan, terutamanya daripada orang yang saya kasihi.

Tetapi mereka tidak tahu bahawa: Saya mempunyai pengalaman dengan Roh Kudus. Apabila kesaksian mengisi hatiku, ia mengusir duka, dan “sejenak syurga [terungkap], di depan mataku.”

Mungkin anda telah ditanya soalan-soalan ini. Mungkin, bahkan sekarang kamu diserang seperti saya.

Kurnia dan kesaksian Roh Kudus tersedia untuk semua orang.

Jamaica bagi saya bagaikan Palmyra bagi Joseph Smith. Ia adalah Sacred Grove saya. Saya tidak tahu tempat yang tepat di mana Joseph berlutut untuk berdoa di Sacred Grove, tetapi saya tahu di mana saya berada ketika Sacred Grove saya menjadi kenyataan. Ia berlaku di Four Grove Road, Mandeville, Jamaica, dalam bilik mandi saya, pukul 6:00 pagi hari rabu tiga tahun selepas pembaptisan saya. Pengalaman kudus ini berlaku kerana dua minggu sebelumnya seorang saudari misionari menjemput saya untuk membaca Kitab Mormon. Sister Audrey Krauss menghadiri persidangan ini bersama keluarganya hari ini, dan saya mengasihi dia selamanya.

Elder Brown muda dengan misionari saudari

Pengalaman itu mengubah saya.

Saudara dan saudari, kesaksian tidak diberikan untuk kegunaan sementara. Kurnia daripada Bapa Syurgawi kita yang penyayang ini bererti untuk menjadi abadi kerana si pemberi adalah abadi. Kesaksian tidak seharusnya mempunyai tarikh luput. Ia tidak harus berkurangan kerana sesuatu dalam hidup saya telah berubah atau sesuatu di dunia telah berubah. Ia harus menjadi lebih kuat kerana, seperti hamba dalam perumpamaan kepingan wang emas, kesaksian peribadi saya adalah kurnia untuk digandakan—bukanlah untuk dikurangkan.

Melihat kembali hari-hari sukar ujian dan penganiayaan yang saya lalui sebagai seorang kanak-kanak telah membantu saya sampai ke tempat di mana saya sekarang tahu untuk diri saya sendiri. Saya bukan sahaja percaya dan berharap, walaupun ini adalah bahagian penting iman dalam jalan menuju kesaksian yang pasti. Saya memuji anda kerana anda mencari kesaksian anda sendiri dengan bertanya, mengkaji, berdoa, berpuasa dan merenung. Sila jangan berhenti. Setiap usaha untuk mengejar kesaksian tidak sia-sia. Siapa atau apa yang anda akan benarkan untuk mengambilnya? “Apakah kesaksian yang lebih besar yang dapat kamu peroleh daripada Tuhan?”

Setiap putera atau puteri Tuhan boleh memperoleh pengetahuan lebih mendalam, lebih teguh, dan lebih pasti untuk diri mereka sendiri. Seperti Joseph Smith menegaskan kesaksiannya walaupun ada pertentangan, kita boleh berkata dengan berani, “aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya, dan aku tidak dapat menyangkalnya, tidak juga aku berani melakukannya.”

Saudara dan saudari yang dikasihi, biarlah anak benih kecil kesaksian bekerja dalam diri anda sehingga ia tumbuh ke pengetahuan mulia yang pasti.

Bagi anda yang dibaptiskan dan ditetapkan sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir tetapi masih bergelut dengan, “Saya tidak pasti jika saya tahu,” sila ingat janji ini dalam doa sakramen: “Agar mereka boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka.” Kerana janji ini, setiap kita boleh mengejar jalan menuju kesaksian dan pengetahuan yang pasti.

Bertanggungjawab Atas Kesaksian Anda

Sekarang, inilah kebenaran yang besar: Dalam apa jua cara kesaksian diberikan—sama ada secara beransur-ansur seperti matahari terbit atau datang dalam penglihatan yang mulia—ia masih memerlukan pilihan untuk menerima kurnia berharga ini.

Mengatakan “saya memilih untuk percaya” memudahkannya untuk menerima kesaksian daripada Tuhan. Jika kesaksian kita semakin lemah, ingatlah bahawa pilihan kita yang mengurangkan kuasa kesaksian. Tetapi kesaksian itu tidak pergi ke mana-mana pun. Kita hanya perlu memilih untuk berhubung semula dengannya.

Memilih untuk percaya adalah cara yang bijak dan berkuasa untuk menggunakan hak pilihan kita.

Saya tahu tiada cara yang lebih baik untuk menggunakan hak pilihan daripada mempertahankan kesaksian saya.

Presiden Nelson mengajar “Saya memohon kepada anda untuk bertanggungjawab atas kesaksian anda. Berusahalah untuk ia. Bertanggungjawablah untuk ia. Jagalah ia. Peliharalah ia supaya ia boleh berkembang. Isikan ia dengan kebenaran.”

Bagi saya perkataan bertanggungjawab, bekerja, menjaga, memiliki, memelihara, dan mengisi kedengaran seperti wakil diberi tanggungjawab untuk sesuatu yang berharga dan penting

Dalam Gereja awal, Parley P. Pratt berasa tidak puas hati dengan Nabi Joseph Smith dan memilih untuk mengkritik dia dan Gereja. Apabila John Taylor yang Parley ajarkan tentang injil datang ke bandar, Parley memberi amaran kepadanya untuk tidak mengikuti Joseph. John Taylor berkata kepada Parley:

“Sebelum kamu meninggalkan Kanada, kamu bersaksi dengan kuat bahawa Joseph Smith adalah nabi Tuhan, dan kamu tahu hal-hal ini melalui wahyu dan kurnia Roh Kudus.

“… Saya kini mempunyai kesaksian yang sama yang kamu sukai ketika itu. Jika pekerjaan itu benar enam bulan lalu, ia benar hari ini. Jika Joseph Smith dahulunya seorang nabi, dia juga seorang nabi hari ini.”

Saya bersaksi bahawa Joseph Smith ialah seorang nabi Tuhan dan hak kuasa dan tanggungjawab yang dia terima berterusan ke hari ini. Yesus Kristus mengarahkan pekerjaan ini.

Saya menjemput anda untuk berfikir tentang jalan kesaksian yang pasti anda tentang Yesus Kristus dan injil-Nya. Bertanggungjawab atas kesaksian anda; gunakan hak pilihan anda dengan bijak dan mengakui si pemberi dan semua sifat mulia-Nya. Saya bersaksi bahawa kuasa ada dalam diri anda. Tiada siapa yang boleh memilih untuk anda. Tiada siapa yang boleh mengambil kurnia ini daripada anda. Anda boleh memilih untuk percaya.

Saya berjanji apabila anda melakukan ini, kesaksian anda akan menjadi “perigi air yang hidup, memancut pada kehidupan yang kekal.” Ia akan menjadi sauh dan pendorong, dan ia akan menyokong anda melalui masa yang sukar. Ia akan membolehkan anda untuk mengembangkan kurnia-kurnia rohani. Ia akan membantu anda dalam pelayanan peribadi anda. Ia akan menjadi senjata melawan Setan dan para musuh anda. Kesaksian anda akan menjadi kebahagiaan apabila ia direplikasi dalam anak-anak, cucu-cucu, dan cicit-cicit anda serta orang yang anda kasihi dan layani. Ia akan menjadi berkuasa apabila anda berkongsi dan menggunakannya untuk bersaksi.

Jika anda tahu, anda tahu. Saya tahu bahawa saya tahu. Kita memerlukan lebih banyak kesaksian yang pasti tentang Yesus Kristus dan injil-Nya. Dapatkanlah! Carilah! Ia sangat penting! Inilah zaman keagamaan terakhir—kegenapan zaman keagamaan.

Yesus Kristus mengisytiharkan kebenaran ini: “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”

Saudara dan saudari, kesaksian tentang Yesus Kristus tidak sepatutnya menjadi kurnia sementara. Ia tidak bersifat sementara—bukan si pemberi, bukan kurnia itu sendiri, bukan si penghantar kurnia, bukan tentang siapa kurnia itu. Semoga kesaksian anda digambarkan dengan cara yang sama. Walaupun “langit dan bumi akan lenyap,” kesaksian anda tentang injil Yesus Kristus kekal selama-lamanya. Sekarang adalah masa untuk berpegang pada kurnia berharga ini. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. “Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, dan kita adalah anak-anak-Nya. Dia mencipta kita menurut rupa-Nya. Dia memiliki ‘tubuh daging dan tulang senyata manusia’ yang mulia dan sempurna (Ajaran dan Perjanjian 130:22).

    “Tuhan mengenali kita secara peribadi, dan Dia mengasihi kita lebih daripada yang kita tahu. Dia memahami cubaan, kesedihan, dan kelemahan kita, dan Dia menawarkan sokongan untuk kita melaluinya. Dia bersukacita dalam kemajuan kita dan akan membantu kita membuat pilihan yang betul. Dia ingin berkomunikasi dengan kita, dan kita boleh berkomunikasi dengan-Nya melalui doa” (Preach My Gospel: A Guide to Sharing the Gospel of Jesus Christ [2023], 33).

  2. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:46–47; 88:12–13.

  3. “Hanya kerana Tuhan ialah Tuhan, hanya kerana Kristus ialah Kristus, mereka tidak dapat melakukan selain daripada menjaga kita dan memberkati kita dan membantu kita jika kita akan datang kepada mereka, mendekati takhta rahmat mereka dalam kelembutan hati dan kerendahan hati. Mereka pasti akan memberkati kita. Mereka perlu berbuat sedemikian. Ini adalah sifat mereka” (Jeffrey R. Holland, “Come unto Me” [pertemuan rohani Brigham Young University, 2 Mac, 1997], 4, speeches.byu.edu).

  4. Lihat Lukas 12:2; Moroni 7:22; Abraham 2:8.

  5. “Saya menjemput anda untuk mengamalkan amalan ‘berfikiran selestial’! Berfikiran selestial bermaksud berfikiran rohani. Kita belajar daripada nabi Yakub dalam Kitab Mormon bahawa “berfikiran rohani adalah kehidupan abadi’” (Russell M. Nelson, “Berfikiran Selestial!,” Persidangan Umum, Okt. 2023, 117).

  6. Lihat Topics and Questions, “Agency and Accountability,” Gospel Library; lihat juga 2 Nefi 2:11, 16.

  7. Lihat 1 Petrus 1:18–20; Abraham 3:22–28.

  8. Lihat 1 Korintus 6:20.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 101:78.

  10. “Injil Yesus Kristus ialah satu rancangan yang menunjukkan kita bagaimana untuk menjadi orang yang Bapa Syurgawi berhasrat untuk kita jadi. …

    “… Keadaan yang bersih dan sempurna ini akan terhasil daripada rangkaian perjanjian, tatacara, dan tindakan yang berterusan, pengumpulan pilihan yang betul, dan daripada pertaubatan yang berterusan” (Dallin H. Oaks, “The Challenge to Become,” Liahona, Jan. 2001, 40, 41; penekanan ditambah); lihat juga Musa 7:33.

  11. Lihat Moroni 10:4–5.

  12. “Roh tidak perlu terhad kepada kata-kata; Dia boleh berkomunikasi dari Roh kepada roh dengan bahasa yang tidak dapat diucapkan kerana ia tidak ada perkataan. Ia adalah komunikasi pengetahuan dan kecerdasan tulen daripada Roh, dan saya telah mengetahui bahawa ia benar-benar adalah cara terbaik untuk memperoleh pengetahuan. Ia lebih kuat dan bertahan lebih lama daripada menyentuh atau melihat; kita boleh meragui deria jasmani, tetapi kita tidak boleh ragu apabila Roh Kudus berbicara kepada kita. Ia adalah kesaksian yang paling tepat. Kerana ini, dosa yang tidak dapat diampuni adalah untuk menafikan Roh Kudus atau kesaksian Roh Kudus” (D. Todd Christofferson, “Strong Impressions of the Spirit,” Liahona, Jun 2013, 49).

  13. Lihat Yohanes 5:32; 2 Nefi 31:18; 3 Nefi 11:36.

  14. Russell M. Nelson, “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96. Dalam ucapan yang sama dia berkata:

    “Saya menggesa anda untuk memperluaskan keupayaan anda sekarang untuk menerima wahyu peribadi. …

    “Ya, terdapat lebih banyak yang Bapa Syurgawi ingin anda ketahui. Seperti yang Elder Neal A. Maxwell ajarkan, ‘Kepada sesiapa yang memiliki mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar, ia jelas bahawa Bapa dan Putera sedang mengungkapkan rahsia-rahsia alam semesta!’ …

    “… Pilihlah untuk melakukan pekerjaan rohani yang diperlukan untuk menikmati kurnia Roh Kudus dan mendengar suara Roh dengan lebih kerap dan lebih jelas” (95, 96).

  15. Lihat David A. Bednar, “Roh Wahyu,” Persidangan Umum, April 2011; Alexander Dushku, “Tiang dan Sinar,” Persidangan Umum, April 2024.

  16. “Kesaksian,” Nyanyian Rohani, no. 54.

  17. Lihat Bilangan 11:29; Yakobus 1:5.

  18. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:28; Musa 1:3.

  19. Lihat Matius 25:14–30. “Kesaksian rohani yang saya peroleh dari Roh Kudus … tidak pernah lenyap. Malah, ia telah berkembang lebih kuat. Hal-hal yang saya pelajari semasa muda tentang asas-asas injil Yesus Kristus telah menjadi landasan yang kukuh sepanjang hidup saya” (Dieter F. Uchtdorf, “Pelihara Akar, dan Cabang Akan Tumbuh,” Persidangan Umum, Okt. 2024).

  20. Ajaran dan Perjanjian 6:23.

  21. Joseph Smith—Sejarah 1:25.

  22. Lihat Alma 32:27, 30, 37–38, 41.

  23. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:77.

  24. Lihat Ajaran dan Perjanjian 88:33.

    “Dan kemudian, mungkin bahagian yang paling penting, adalah penerimaan hadiah. … Untuk benar-benar menerima hadiah, kita hargainya untuk diri kita, gunakan sepenuhnya dalam hidup kita, dan kemudian mengingati si pemberi dengan penuh rasa syukur.

    “Menerima hadiah bukan pasif tetapi proses yang disengajakan dan bermakna yang jauh melangkaui sekadar membuka bungkusan. Menerima adalah untuk menghargai dan berhubung dengan hadiah dan hati si pemberi dengan cara yang menguatkan ikatan antara si pemberi dan si penerima” (Patrick Kearon, “Terimalah Kurniaan-Nya,” Persidangan Umum, April 2025).

  25. Russell M. Nelson, “Pilihan untuk Keabadian.”” (pertemuan rohani belia sedunia, 15 Mei 2022), Gospel Library.

  26. Lihat Ajaran dan Perjanjian 70:3–4.

  27. Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, vol. 1, The Standard of Truth, 1815–1846 (2018), 280–81.

  28. Lihat Mosia 4:9–12.

  29. Ajaran dan Perjanjian 63:23; penekanan ditambah.

  30. Lihat Alma 5:46–48. Joseph Smith mengajar bahawa “keselamatan tidak dapat datang tanpa wahyu. Sia-sia sahaja untuk melayani tanpanya. … Tiada seorang pun yang melayani Yesus Kristus tanpa menjadi nabi. Tidak seorang pun dapat menjadi pelayan bagi Yesus Kristus kecuali dia memiliki kesaksian tentang Yesus, dan inilah roh nubuat” (The Joseph Smith Papers, History, 1838–1856, volume C-1 [2 November 1838–31 Julai 1842] [addenda], 12, josephsmithpapers.org; ejaan, penggunaan huruf besar, dan tanda baca dimodenkan).

  31. “Kita berdiri di atas kemuncak zaman, kagum dengan perasaan sejarah yang hebat dan khusyuk. Inilah zaman keagamaan terakhir yang mana semua pada masa lalu telah tunjukkan, “At the Summit of the Ages,” Liahona, Jan. 2000, 90).

  32. Matius 24:35.

  33. Lihat Moroni 10:30.