Muka Tersenyum dan Hati yang Bersyukur
Kehebatan Orang Suci kita di Afrika menjadi lebih jelas apabila mereka hadapi cabaran hidup dan keperluan Gereja yang berkembang.
Lebih setahun yang lalu, saya dilepaskan dari tugasan saya dalam Presidensi Tujuh Puluh, satu perubahan yang diumumkan di persidangan umum. Kerana nama saya dibaca berdekatan dengan Penguasa Umum yang menjadi emeritus, ramai yang mengandaikan masa pelayanan saya tamat. Selepas persidangan itu, saya terima banyak pesanan kesyukuran dan ucapan selamat untuk fasa seterusnya dalam hidup saya. Ada juga yang menawarkan untuk beli rumah saya di Salt Lake Utara. Amat menyenangkan untuk tahu bahawa saya akan dirindui dan kami tidak akan ada masalah untuk jual rumah bila saya selesai. Tetapi saya belum lagi tamat melayani.
Tugas baharu saya membawa Monica dan saya ke Afrika yang indah, di mana Gereja sedang berkembang. Ia adalah berkat untuk melayani di kalangan Orang Suci yang beriman di Kawasan Selatan Afrika dan menyaksikan kasih Tuhan kepada mereka. Ia mengilhamkan untuk lihat keluarga berbilang generasi dari semua latar belakang, termasuk ramai ahli Gereja yang berjaya dan berpengetahuan, membaktikan masa dan bakat mereka untuk melayani orang lain.
Pada masa yang sama, memandangkan demografi rantau ini, ramai orang yang berpendapatan sederhana menyertai Gereja dan mengubah kehidupan mereka melalui berkat-berkat kesetiaan persepuluhan dan peluang pendidikan yang ditawarkan oleh Gereja. Program seperti Succeed in School, EnglishConnect, BYU–Pathway Worldwide, dan Tabung Pendidikan Berterusan memberkati kehidupan ramai orang, terutamanya generasi muda.
Presiden James E. Faust pernah menyatakan, “Ia telah dikatakan bahawa gereja ini tidak semestinya menarik orang yang hebat tetapi lebih sering menjadikan orang biasa hebat.”
Kehebatan Orang Suci kita di Afrika menjadi lebih jelas apabila mereka hadapi cabaran hidup dan keperluan Gereja yang berkembang. Mereka sentiasa mendekatinya dengan sikap yang positif. Mereka mengikut ajaran terkenal daripada Presiden Russell M. Nelson:
“Kebahagiaan yang kita rasai tidak berkait dengan situasi hidup kita tetapi berkait dengan fokus hidup kita.
“Apabila tumpuan hidup kita berdasarkan rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus dan injil-Nya, kita akan dapat merasa kegembiraan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita.”
Mereka menemui kebahagiaan walaupun menghadapi cabaran. Mereka belajar bahawa hubungan kita dengan Juruselamat membolehkan kita menghadapi kesukaran dengan muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Izinkan saya berkongsi beberapa pengalaman saya dengan para Orang Suci beriman ini yang menggambarkan asas ini, bermula dengan Mozambique.
Mozambique
Beberapa bulan lalu, saya memimpin satu persidangan pancang untuk pancang berumur satu tahun yang sudah ada 10 unit. Lebih daripada 2,000 orang memenuhi gereja kecil dan tiga khemah yang diletakkan di luar. Presiden pancang berumur 31 tahun, isterinya berumur 26 tahun, dan mereka mempunyai dua anak kecil. Dia memimpin pancang yang berkembang dan mencabar ini tanpa aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Dalam temu duga dengan bapa bangsa, saya mendapati isterinya sakit teruk, dan dia bergelut untuk sediakan penjagaannya. Selepas menangani isu itu dengan presiden pancang, kami memberinya berkat imamat. Saya bertanya kepada bapa bangsa berapa banyak berkat bapa bangsa yang dia berikan secara purata.
“Lapan ke sepuluh,” dia berkata.
Saya bertanya, “Setiap bulan?”
Dia membalas, “Setiap minggu!” Saya menasihati dia bahawa melakukan sebanyak itu pada setiap hujung minggu adalah tidak bijak.
“Elder Godoy,” dia berkata, “mereka terus datang setiap minggu, termasuk ahli-ahli baharu dan banyak remaja.” Sekali lagi, tiada aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Selepas sesi petang hari Sabtu persidangan pancang, dalam perjalanan saya ke hotel, saya lihat orang ramai beli makanan di sepanjang jalan pada lewat malam. Saya bertanya kepada pemandu mengapa mereka beli makanan apabila ia sangat gelap dan bukannya pada siang hari. Dia jawab bahawa mereka kerja pada siang hari untuk mempunyai wang untuk beli makanan kemudian.
“Oh, mereka bekerja hari ini untuk makan esok,” saya berkata.
Tetapi dia membetulkan saya: “Tidak, mereka kerja pada siang hari untuk makan malam ini.” Saya harap ahli-ahli kita mungkin berada dalam situasi yang lebih baik, tetapi pemandu itu mengesahkan bahawa ramai yang menghadapi cabaran yang sama di bahagian negara itu. Keesokan paginya, semasa sesi hari Ahad kami dan baru menyedari keadaan mereka, saya lebih tersentuh hati oleh muka mereka yang tersenyum dan hati mereka yang bersyukur.
Zambia
Dalam perjalanan ke pertemuan hari Ahad, presiden pancang dan saya lihat pasangan berjalan di sepanjang jalan bersama seorang bayi dan dua anak kecil. Kami berhenti untuk menumpangkan mereka. Mereka terkejut dan gembira. Apabila saya tanya sejauh mana mereka perlu berjalan ke gereja, bapa itu jawab ia boleh mengambil masa 45 minit hingga sejam, bergantung kepada kelajuan kanak-kanak. Mereka hadapi perjalanan ini berulang-ulang, setiap hari Ahad, tanpa sebarang aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Malawi
Pada satu hari Ahad sebelum persidangan pancang, saya lawat dua cabang yang menggunakan sekolah awam sebagai bangunan pertemuan. Saya terkejut dengan keadaan bangunan yang rendah hati dan sederhana, yang kekurangan kemudahan asas. Semasa bertemu dengan beberapa ahli di sana, saya bersedia untuk minta maaf atas kekurangan bangunan pertemuan mereka, tetapi mereka gembira mempunyai tempat berdekatan untuk berkumpul, mengelakkan perjalanan yang panjang. Sekali lagi, tidak ada aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Zimbabwe
Selepas latihan kepimpinan hari Sabtu, presiden pancang bawa saya ke pertemuan hari Ahad yang diadakan di rumah sewa. Terdapat 240 orang yang hadir. Kemudian uskup memperkenalkan 10 ahli baharu yang dibaptiskan minggu itu. Jemaah berada di dua bilik kecil, dengan beberapa ahli juga duduk di luar bangunan itu, menonton pertemuan melalui tingkap dan pintu. Sekali lagi, tidak ada aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Lesotho
Saya lawat negara kecil yang indah ini, juga dikenali sebagai “kerajaan gunung,” untuk melihat daerah Gereja bersedia untuk menjadi pancang. Selepas satu hari Sabtu pertemuan, saya hadiri pertemuan hari Ahad di salah satu cabang mereka di rumah sewa. Bilik sakramen dipenuhi orang ramai, dengan orang berdiri di luar pintu untuk mengambil bahagian. Saya beritahu presiden cabang bahawa dia perlukan rumah yang lebih besar. Saya terkejut apabila dia beritahu bahawa ini hanya setengah daripada ahli-ahlinya. Setengah yang lain akan menghadiri pertemuan sakramen kedua selepas jam kedua. Sekali lagi, tidak ada aduan—hanya muka tersenyum dan hati yang bersyukur.
Saya pulang ke Lesotho kemudian akibat kemalangan jalan raya maut yang melibatkan beberapa remaja kita, yang sudah disebut oleh Elder D. Todd Christofferson sebelum ini. Apabila saya lawat keluarga dan pemimpin, saya harapkan suasana yang suram. Sebaliknya, saya bertemu dengan Orang Suci yang kuat dan berdaya tahan yang menghadapi situasi itu dengan cara yang mengangkat dan mengilhamkan.
Mpho Aniciah Nku, 14 tahun, mangsa kemalangan yang masih hidup dalam gambar ini, menggambarkannya dalam kata-katanya sendiri: “Percaya kepada Yesus dan selalu melihat kepada-Nya, kerana melalui Dia anda akan menemui kedamaian, dan Dia akan membantu anda dalam proses penyembuhan.”
Ini hanya beberapa contoh di mana kita lihat sikap positif mereka kerana mereka pusatkan kehidupan mereka dalam injil Yesus Kristus. Mereka tahu di mana untuk cari bantuan dan harapan.
Kuasa Penyembuhan Juruselamat
Mengapa Juruselamat boleh menyokong mereka dan kita dalam apa jua keadaan hidup kita? Jawapannya boleh didapati dalam tulisan suci:
“Dan Dia akan pergi, menderita kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis. …
“… Dan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kelemahan mereka, agar sanubari-Nya boleh dipenuhi dengan belas kasihan … agar Dia boleh mengetahui … bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka.”
Seperti yang Elder David A. Bednar ajarkan, tidak ada kesakitan jasmani, kedukaan, atau kelemahan yang kita alami yang Juruselamat tidak tahu. “Anda dan saya dalam masa kelemahan mungkin berseru, ‘Tidak ada yang fahami [apa yang saya alami]. …’ Mungkin tiada seorang manusia pun yang tahu. Tetapi Putera Tuhan mengetahui dan memahami dengan sempurna.” Dan mengapa? Kerana “Dia merasakan dan menanggung beban kita sebelum kita pernah merasakannya.”
Saya mengakhiri dengan kesaksian saya tentang firman Kristus yang terdapat dalam Matius 11:
“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.
“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.
“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”
Sama seperti Orang Suci di Afrika, saya tahu janji ini benar. Ia benar di sana, dan ia benar di mana-mana. Semua ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.