Pergi dan Berbuatlah Demikian
Saya ingin bercakap tentang para misionari yang dipanggil untuk tugasan pelayanan. Mereka adalah contoh teladan kepada kita.
Ketika Juruselamat melintasi Betsaida, beberapa individu membawa lelaki buta kepada-Nya. Mungkin mereka berharap untuk melihat mukjizat secara langsung. Juruselamat “memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu” untuk menyembuhkannya secara peribadi. Pada mulanya, penyembuhan kelihatan kurang berkesan. Lelaki itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.” Yesus, dengan rasa kasihan, “meletakkan tangan-Nya pada matanya. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya.” Dengan sentuhan tambahan tangan Juruselamat, lelaki buta sekarang “melihat … dengan jelas sekali.”
Ini hanyalah satu contoh bagaimana kehidupan Juruselamat dicirikan oleh tindakan pelayanan yang rendah hati. Dia mengingatkan kita bahawa Dia “tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani” dan kemudian menjemput kita untuk mencontohi-Nya, memberi kepada mereka yang meminta, dan mengasihi sesama manusia. Apabila ditanya, “Siapakah sesama saya?” Kristus berkongsi perumpamaan orang Samaria yang baik hati dengan perintah untuk “pergilah dan berbuatlah demikian.”
Para misionari dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah contoh moden orang Samaria yang baik hati, seperti yang Kristus jemput untuk kita teladani. Saya ingin menekankan tentang para misionari yang dipanggil untuk tugasan pelayanan. Mereka ialah contoh kepada kita tentang bagaimana pelayanan (1) membuka hati kepada injil Yesus Kristus, (2) membenarkan kita melayani tanpa mengira keadaan kita, dan (3) membawa kuasa Kristus ke dalam hidup kita.
Pertama, Pelayanan Membuka Hati kepada Injil Yesus Kristus
Kira-kira 91 SM, Amon, misionari dalam Kitab Mormon, perkenalkan diri kepada Raja Lamoni dengan berkata, “Aku berhasrat untuk hidup di kalangan rakyat ini untuk suatu jangka masa; … [dan] aku akan menjadi orang suruhan tuan.” Kerana pelayanannya kepada raja, Amon diberi peluang untuk “berbicara dengan berani, …dan memberitahu [Raja Lamoni] … dengan kekuatan apa” dia melaksanakan pelayanannya. Sebagai balasan, raja berjanji bahawa “apa pun yang [Amon] hasratkan … [raja akan] berikannya.” Satu-satunya permintaan Amon adalah bahawa raja mendengar pesanan injil Yesus Kristus. Pelayanan Amon membawa kepada “ribuan jiwa [dibawa kepada] pertaubatan.”
Pada zaman kita, pelayanan terus membawa orang lain kepada injil. Sister Bevan melayani sebagai misionari pengajar apabila dia mula mengalami masalah kesihatan memerlukan dia pulang ke rumah untuk rawatan. Dia tidak dilepaskan, sebaliknya terus melayani sebagai misionari pelayanan dari rumah.
Semasa mengunjungi sebuah taman, Sister Bevan dan kawannya didorong untuk bercakap dengan seorang ibu bersama empat anak muda, tetapi meraka ragu-ragu dan keluarga itu pun berlalu pergi. Keesokan harinya, mereka kembali ke taman itu, berdoa agar keluarga ini akan berada di sana. Ajaibnya, ibu itu duduk di tempat yang sama seperti hari sebelumnya. Kali ini Sister Bevan dan kawannya mendekati ibu itu, mengenalinya, dan mendapati bahawa dia sangat memerlukan bantuan. Mereka membantunya dan kemudian menjemputnya untuk belajar tentang injil.
Kerana pelayanan dan jemputan itu, ibu dan anak sulungnya dibaptiskan, diikuti dengan anak kedua setahun kemudian. Mereka kekal sebagai ahli yang aktif hari ini. Sister Bevan tahu pengalaman ini diilhami dan ia “terbukti bahawa [dia] berada di mana Tuhan perlukan [dia] untuk berada.”
Seperti Amon dan Sister Bevan, semasa kita melayani orang lain, kita “memperlihatkan contoh yang baik kepada mereka” dan mereka berhasrat untuk mengetahui “jawapan kepada harapan … yang [kita] miliki.”
Yesus menjemput kita untuk “pergilah dan berbuatlah demikian.”
Kedua, Pelayanan Membenarkan Kita Semua Melayani Tanpa Mengira Keadaan Kita
Presiden Russell M. Nelson memanggil “setiap lelaki muda yang layak untuk bersedia dan melayani misi” dan bagi setiap wanita muda yang mampu untuk berdoa “untuk tahu jika Tuhan mahu [dia] melayani misi.” Dia berjanji bahawa “keputusan untuk melayani misi, misi mengajar atau berkhidmat, akan memberkati anda dan banyak lagi.” Misi pelayanan mengubah definisi perkataan mampu. Sekarang setiap remaja putera dan puteri yang layak yang ingin melayani misi sepenuh masa untuk Tuhan boleh berbuat demikian, dengan sedikit pengecualian.
Elder Holgado ialah satu teladan untuk melayani tanpa mengira keadaan peribadi. Dia dilahirkan dengan gangguan genetik yang jarang berlaku yang menghalangnya daripada melayani misi pengajar. Elder Holgado dipanggil sebagai misionari pelayanan dalam gudang simpanan uskup, di mana dia membantu orang lain mendapatkan bantuan yang diperlukan. Dia mengisi rak, membungkus sayur-sayuran, dan mengemas kotak kadbod.
Semasa Elder Holgado berucap dalam pertemuan sakramen selepas misinya, dia berkongsi bahawa “Tuhan memerlukan misionari pelayanan. Dia memerlukan orang untuk mengasihi dan melayani orang lain. Misionari ini menyimpan stok tisu tandas, membungkus brokoli, membina perabot, dan berbuat baik kepada orang.”
Anda tidak perlu ada tugas pelayanan atau memakai tag nama untuk berbuat baik. Setiap tindakan pelayanan diakui oleh Juruselamat. Kita semua dapat membantu orang lain datang kepada Kristus dengan penuh kasih melayani. Kita semua boleh melayani orang lain dalam nama Kristus melalui kuasa Roh Kudus dan hidup sebagai teladan iman kepada Yesus Kristus. Pelayanan membolehkan kita mempersembahkan diri kita sebagai korban hidup yang boleh diterima oleh Tuhan.
Yesus menjemput kita untuk “pergilah dan berbuatlah demikian.”
Ketiga, Pelayanan Membawa Kuasa Kristus ke dalam Hidup Kita
Seorang misionari muda yang dipindahkan daripada tugas pengajaran ke tugas pelayanan bergelut dengan cabaran peribadi yang menyebabkannya memerlukan kuasa penyembuhan Kristus. Pelayanan yang dibaktikan membawa kuasa itu ke dalam hidupnya. Dia berkata, “Ketika saya bergelut, saya boleh rasa Kristus mengangkat saya. Ada sesuatu yang istimewa tentang melihat Dia memberkati orang melalui pantri makanan, di bait suci, dan melalui injil-Nya.”
Elder ini mula merasakan kebahagiaan yang lebih mendalam, dan semangat baharunya memberkati dia dan seluruh keluarganya. Roh memenuhi rumah mereka, mereka menghadiri bait suci dengan lebih kerap, dan Kristus menjadi fokus yang lebih besar dalam keluarga mereka. Misionari ini percaya bahawa Kristus menyelamatkan nyawanya dan memberkati keluarganya melalui pelayanan.
Presiden Nelson mengajar, “Kesediaan untuk melayani dan menguatkan orang lain adalah lambang kesediaan seseorang untuk disembuhkan” oleh kuasa penebusan Juruselamat.
Yesus menjemput kita untuk “pergilah dan berbuatlah demikian.”
Misionari Pelayanan Adalah Contoh Pengikut Yesus Kristus yang Dibaktikan.
Apabila anda atau ahli keluarga diberkati dengan panggilan sebagai misionari pelayanan, itu adalah saat untuk diraikan. Keluarga anda sekarang akan ada wakil Tuhan Yesus Kristus yang ditetapkan tinggal di rumah anda. Itu akan mengubah anda semua menjadi lebih baik. Tidak harus ada kekecewaan dalam panggilan untuk melayani. Kita menyanyi, “aku ‘kan pergi kemana Engkau inginkan” dan “‘Ku siap jadi hamba-Mu.” Ini adalah peluang untuk menunjukkan bahawa kita benar-benar melakukan apa yang kita katakan!
Kepada anda semua yang melayani, terutamanya kepada lebih 4,000 misionari pelayanan muda, kami mengasihi anda! Jika para misionari pengajar ialah mulut Tuhan, maka anda, misionari pelayanan ialah tangan Tuhan, dan anda bukan misionari kelas kedua. Setiap daripada anda penting untuk pengumpulan Israel. Presiden Nelson telah mengajar bahawa “bila-bila masa kita lakukan apa-apa saja yang membantu seseorang … untuk membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, kita sedang membantu mengumpulkan Israel.”
Anda misionari pelayanan mengumpulkan Israel setiap hari dalam pelbagai cara, dan pelayanan anda mengubah kehidupan. Seringkali anda tidak tahu siapakah pewaris pelayanan anda, tetapi Tuhan tahu. Ingatlah bahawa “manakala kamu [melayani] salah seorang daripada saudara-Ku, … kamu telah [melayani-Nya].” Kami dengar suara anda ketika menjadi sukarelawan di pusat panggilan Gereja; kami lihat senyuman anda ketika membantu dalam organisasi komuniti; dan kami rasakan cahaya anda ketika melayani di bait suci. Kamu memberi makan kepada yang lapar, mengenakan pakaian, dan air kepada yang memerlukan.
Kita semua perlu pergilah, dan berbuatlah demikian.
Pelayanan Adalah Nadi bagi Para Pengikut Kristus
Pelayanan berkuasa membuka hati kepada injil dan membenarkan kita memberikan seluruh jiwa kita kepada Kristus. Ia mengubah hati kita untuk menjadi lebih seperti-Nya, dan dalam proses itu, kita mengangkat orang lain. Presiden Nelson pernah bertanya, “Di dunia yang penuh dengan pereputan rohani, bolehkah individu … membuat perbezaan?” Jawapannya: “Ya! … ‘Umat perjanjian Tuhan, … dilengkapi … kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung’ … boleh mengangkat kehidupan semua manusia.” Melalui pelayanan kita mengubah hati—dan dunia.
Kristus “pergi ke serata dunia untuk berbuat baik.” Dia menyembuhkan yang sakit, memberi penglihatan kepada yang buta, dan membangkitkan yang mati. Dia memasak, membantu dalam jamuan perkahwinan, dan memberi makan kepada beribu-ribu yang lapar. Apabila kita melayani dalam nama Kristus, kita menjadi semakin kudus dan layak untuk kurnia kehidupan abadi. Yesus Kristus hidup. Dia adalah Juruselamat saya dan anda. Dia adalah Penebus kita. Dialah teladan hebat kita dalam pelayanan. Saya menjemput setiap daripada kita untuk pergilah dan berbuatlah demikian. Dalam nama Yesus Kristus, amin.