Persidangan Umum
Kitab Mormon—satu Harta Tak Ternilai dalam Perjalanan Kita
Persidangan umum Oktober 2025


9:47

Kitab Mormon—satu Harta Tak Ternilai dalam Perjalanan Kita

Semasa kita menjamu firman Kristus dalam Kitab Mormon, Roh akan membantu kita fahami kebenaran abadi.

Bolehkah anda ingat satu pengalaman ketika seseorang memberikan hadiah yang mengubah hidup anda? Oktober ini menandakan 40 tahun sejak saya menerima salah satu kurnia terbesar dalam hidup saya. Semasa di sekolah menengah, saya sedar salah seorang rakan sekelas kami mempunyai cahaya berbeza daripada kebanyakan remaja yang lain. Saya suka berada di dekatnya. Suatu hari, dia beritahu saya bahawa dia ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Kemudian dia memberi saya sebuah hadiah: satu salinan Kitab Mormon. Dia menjemput saya untuk membacanya dan bertemu dengan dua rakan yang boleh menjawab persoalan saya. Rakan itu adalah para misionari.

Apabila bertemu dengan para misionari, mereka mengajar saya ajaran Kristus dan menjemput saya untuk mengikuti jemputan nabi Moroni: “Dan apabila kamu akan menerima hal-hal ini, aku hendak mendorongmu agar kamu akan bertanya kepada Tuhan, Bapa Yang Abadi, dalam nama Kristus, jikalau hal-hal ini tidak benar; dan jika kamu akan bertanya dengan hati yang tulus, dengan niat yang bersungguh-sungguh, beriman kepada Kristus, Dia akan menyatakan kebenarannya kepadamu, melalui kuasa Roh Kudus.” (Moroni 10:4).

Saya membaca beberapa halaman Kitab Mormon dan berdoa. Walaupun saya belum memahami secara mendalam semua perkara yang diajar para misionari, saya merasakan bahawa apa yang saya baca adalah baik dan datang daripada Tuhan. Saya menerima pengesahan akan janji Moroni: “Dan melalui kuasa Roh Kudus kamu dapat mengetahui kebenaran tentang semua hal.” (Moroni 10:5).

Selepas saya dibaptiskan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, beberapa rakan cuba meyakinkan bahawa keputusan saya salah. Tetapi setiap kali saya ragu atau ada pertentangan, saya menerima pengesahan melalui kajian tulisan suci dan berdoa untuk kekal setia kepada perjanjian saya dengan Tuhan. Semenjak itu, Kitab Mormon telah menjadi teman saya dan menjadi satu harta tak ternilai dalam perjalanan fana saya.

Kitab Mormon bukan hanya sekadar sebuah buku. Ia adalah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus, ditulis oleh banyak nabi zaman purba melalui roh nubuat dan wahyu.

Peristiwa yang paling penting yang dicatatkan dalam Kitab Mormon adalah pelayanan peribadi Tuhan Yesus Kristus di kalangan bangsa Nefi tidak lama selepas Kebangkitan-Nya. Kitab Mormon “menerangkan ajaran-ajaran Injil, menggariskan rencana keselamatan, dan memberitahu manusia apa yang mesti mereka lakukan untuk memperoleh kedamaian dalam kehidupan ini dan keselamatan abadi dalam kehidupan yang akan datang” (pengenalan Kitab Mormon).

Edisi pertama Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus diterbitkan di sebuah kota kecil di New York pada Mac 1830. Nabi Joseph Smith hanya berusia 23 tahun ketika dia menyelesaikan penterjemahan kitab itu pada tahun 1829. Dia menterjemahkan hampir keseluruhan buku itu dalam kurang daripada 75 hari, dan proses pencetakan mengambil masa tujuh bulan.

Hari ini, kira-kira 80,000 misionari sepenuh masa di lebih 150 negara melayani sebagai sukarelawan, membaktikan kehidupan mereka untuk bersaksi bahawa Kitab Mormon adalah benar dan ia bersaksi tentang Yesus Kristus.

Di seminar pada bulan Jun baru-baru ini untuk pemimpin misi baharu, Presiden Russell M. Nelson berkongsi kesaksiannya tentang Kitab Mormon: “Kitab Mormon adalah …firman Tuhan. Ia mengajar ajaran Kristus dan menerangkan lebih lanjut tentang Korban Tebusan Juruselamat [lebih] daripada kitab lain.”

Saya ingin memberi tiga cadangan yang dapat membantu memperdalam penukaran hati kita kepada Yesus Kristus melalui kajian Kitab Mormon:

1. Tekun dan Konsisten dalam Pengkajian Harian Anda.

Seperti Alma dan para putera Mosia, kita mesti “menyelidik tulisan suci dengan tekun, agar [kita] boleh mengetahui firman Tuhan” dan diperkuatkan dalam kebenaran (Alma 17:2).

Semasa melayani sebagai pemimpin misi di Misi Georgia Atlanta, saya dan isteri saya mengalakkan setiap misionari mengkaji Kitab Mormon sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Komitmen itu meningkatkan iman kita dan membantu kita mencari dan mengharapkan keajaiban.

Selepas misi, kita mungkin tidak mempunyai masa yang sama untuk mengkaji tulisan suci, tetapi saya berjanji bahawa jika anda ikhlas mengutamakan pengkajian Kitab Mormon dengan penuh doa setiap hari, anda akan menemui kekuatan rohani dan keyakinan yang lebih besar terhadap Tuhan dan janji-janji-Nya.

2. Jadikan Kajian Anda Lebih Bermakna dengan Menjamu Firman Kristus.

Nefi mengajar, “Jamuilah diri dengan firman Kristus; kerana lihatlah, firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan” (2 Nefi 32.3).

Menjamu bukan sekadar membaca—ia bermaksud menghayati, merenung, and mengamalkannya. Semasa anda mengkaji Kitab Mormon, pertimbangkan cara untuk menjadikan pengkajian tulisan suci anda lebih bermakna. Contohnya:

  • Gunakan bantuan kajian yang tersedia di aplikasi Gospel Library.

  • Kenal pasti kebenaran abadi yang membantu kita memahami rancangan Tuhan dan membimbing kita untuk membuat dan mentaati perjanjian dengan Bapa Syurgawi kita.

  • Tandakan frasa penting dan catatkan tanggapan anda untuk mengekalkan apa yang telah dipelajari semasa pengkajian.

Kitab Mormon mempunyai kuasa untuk menjawab persoalan jiwa kita. Seperti Nefi katakan, kita harus“mengibaratkan semua tulisan suci kepada kami, agar ia boleh menjadi keuntungan dan pembelajaran kepada kami” (1 Nefi 19:23).

Semasa menjamu firman Kristus, ia akan membuka pintu kepada wahyu dan menunjukkan kita apa yang perlu dilakukan di dalam hidup kita untuk mendekati-Nya.

3. Bersaksi tentang Kebenaran Kitab Mormon.

Seperti hasrat Lehi untuk berkongsi buah pokok kehidupan dengan keluarganya (lihat 1 Nefi 8:12), apabila kita memperoleh kesaksian tentang Kitab Mormon, kita mengembangkan keinginan untuk berkongsi kebahagiaan yang datang daripada mengetahui injil Yesus Kristus.

Sister Benson dengan Kitab Mormon

Salah seorang misionari kami, Sister Benson, yang menghadiri sesi ini bersama kami, berkongsi keinginannya untuk membantu abangnya. Pada masa itu, abangnya sedang bersedia untuk menghadiri kolej dan tidak pasti sama ada ingin melayani misi. Saya terdorong untuk menjemput Sister Benson membaca Kitab Mormon sepanjang empat bulan pertama misinya, menandakan rangkap kegemarannya, dan kemudian untuk menghantarkan salinan itu kepada abangnya.

Sister Benson menghantar salinan Kitab Mormon yang ditanda dan menjemput abangnya untuk membacanya setiap malam. Dia kemudian berkongsi dengan saya: “Sebelum misi saya, abang saya tidak pasti jika dia ingin melayani misi sepenuh masa. Perlahan-lahan, setelah membaca Kitab Mormon, dia menemukan kebahagiaan yang meningkat dalam hidupnya dan mula mempertimbangkan untuk melayani misi.”

Elder Benson

Dua minggu sebelum misi Sister Benson tamat, abangnya menerima panggilan misinya. Dia kini sedang melayani Misi Mexico Tuxtla Gutiérrez. Melalui Kitab Mormon, Elder Benson dapat melihat kehidupannya dengan kepastian rohani, yang membawanya untuk melayani Tuhan dan percaya semua akan berjalan dengan baik. Keputusan itu satu mukjizat—dipengaruhi oleh kuasa firman Kristus.

Saudara dan saudari yang saya kasihi, saya galakkan setiap anda memperdalam pengkajian Kitab Mormon. Saya tahu semasa kita menjamu firman Kristus dalam Kitab Mormon, Roh akan membantu kita fahami kebenaran abadi dan dengan yakin berkongsi kesaksian kita dengan mereka yang Tuhan telah sediakan untuk mendengar pesanan-Nya. Tuhan berkata, “Umat pilihan-Ku mendengar suara-Ku dan tidak mengeraskan hati mereka” (Ajaran dan Perjanjian 29:7). Saya bersaksi bahawa mereka yang bertanya kepada Tuhan dengan iman akan memperoleh kesaksian tentang kebenaran dan keilahian Kitab Mormon melalui kuasa Roh Kudus. Tentang hal ini saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Russell M. Nelson, “Sacrament Meeting”ucapan disampaikan di seminar untuk presiden misi baharu, Jun 23, 2015).