Persidangan Umum
Nama yang Dengannya Kamu Dipanggil
Persidangan umum Oktober 2025


11:1

Nama yang Dengannya Kamu Dipanggil

Apakah ertinya untuk dipanggil dengan nama Kristus?

Presiden Russell M. Nelson mengajarkan bahawa jika Tuhan berbicara dengan kita secara langsung, Dia akan memastikan kita faham identiti sejati kita: kita adalah anak-anak Tuhan, anak-anak perjanjian, dan pengikut Kristus. Gelaran lain akan mengecewakan kita.

Saya belajar ini apabila anak lelaki sulung saya menerima telefon bimbit pertamanya. Dengan penuh kegembiraan, dia mula memasukkan nama keluarga dan kawan-kawannya ke dalam kenalannya. Suatu hari saya perasan ibunya menelefon. Pada skrin muncul nama “Ibu.” Itu adalah pilihan yang masuk akal—dan tanda hormat kepada ibu bapa di rumah kita. Saya berasa ingin tahu. Apakah nama yang dia telah berikan kepada saya?

Saya mencari kenalannya, menganggap bahawa jika Wendi adalah “Ibu,” saya mestilah “Bapa.” Tidak jumpa. Saya mencari “Ayah.” Masih tiada apa-apa. Rasa ingin tahu saya menjadi kebimbangan. “Adakah dia memanggil saya ‘Corey’?” Tidak. Dalam usaha terakhir, saya berfikir, “Kami pemain bola sepak—mungkin dia panggil saya ‘Pelé.’” Angan-angan. Akhirnya, saya menelefon nombornya, dan dua perkataan muncul pada skrinnya: “Bukan Ibu”!

Saudara dan saudari, dengan nama manakah anda dipanggil?

Yesus memanggil para pengikut-Nya dengan banyak nama: Pengikut. Putera and puteri. Anak-anak para nabi. Domba. Rakan. Cahaya dunia. Para orang suci. Setiap nama ini mempunyai kepentingan abadi dan menekankan hubungan peribadi dengan Juruselamat.

Tetapi di antara nama-nama ini, satu nama melebihi yang lain—nama Kristus. Dalam Kitab Mormon, Raja Benyamin mengajar dengan berkuasa:

“Tidak ada nama lain diberikan yang melaluinya keselamatan datang; oleh kerana itu, aku menghendaki agar kamu patut mengambil ke atas dirimu nama Kristus. …

“Dan akan terjadi bahawa barang siapa melakukan ini akan didapati pada sisi kanan Tuhan, kerana dia akan mengetahui nama yang dengannya dia dipanggil; kerana dia akan dipanggil dengan nama Kristus.”

Mereka yang mengambil ke atas diri mereka nama Kristus menjadi pengikut dan saksi-Nya. Dalam kitab Kisah Rasul-Rasul, kita membaca bahawa selepas Kebangkitan Yesus Kristus, saksi-saksi Tuhan diperintahkan untuk bersaksi bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dibaptiskan, dan menerima Roh Kudus akan menerima pengampunan dosa-dosa. Mereka yang menerima tatacara kudus ini berkumpul di Gereja, menjadi pengikut, dan dipanggil orang Kristian. Kitab Mormon juga menggambarkan orang yang percaya kepada Kristus sebagai Kristian dan umat perjanjian sebagai “anak-anak Kristus, para putera-Nya, dan para puteri-Nya.”

Apakah ertinya untuk dipanggil dengan nama Kristus? Ia bermaksud membuat dan mentaati perjanjian, selalu mengingati-Nya, mematuhi perintah-perintah-Nya, dan menjadi “bersedia … untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal.” Ia bermaksud berdiri dengan para nabi dan rasul semasa mereka membawa pesanan Kristus—dengan ajaran, perjanjian, dan tatacara-tatacaranya—ke seluruh dunia. Ia juga bermaksud melayani untuk melegakan penderitaan, menjadi cahaya, dan membawa harapan dalam Kristus kepada semua orang. Sudah tentu, ini adalah usaha sepanjang hidup. Nabi Joseph Smith mengajar bahawa “ini merupakan suatu kedudukan di mana tidak seorang pun pernah tiba dengan sekejap.”

Kerana perjalanan penganutan mengambil masa dan usaha yang dibina “baris demi baris, ajaran demi ajaran,” ia mudah untuk terganggu dengan gelaran duniawi. Ini hanya memberi nilai sementara dan tidak akan menjadi cukup sendiri. Penebusan dan hal-hal keabadian hanya “datang dalam dan melalui Mesias Kudus.” Mengikuti nasihat nabi untuk menjadikan penganutan satu keutamaan adalah tepat pada masanya dan bijak, terutamanya dengan begitu banyak suara dan pengaruh yang bersaing. Ini adalah nasihat Raja Benyamin apabila dia berkata, “Aku menghendaki agar kamu patut ingat untuk mengekalkan nama [Kristus] tertulis selalu dalam hatimu, … agar kamu mendengar dan mengenal suara yang dengannya kamu akan dipanggil, dan juga, nama yang dengannya Dia akan memanggilmu.”

Martin Gassner

Saya telah melihat ini dalam keluarga saya sendiri. Datuk moyang saya Martin Gassner berubah untuk selamanya kerana seorang presiden cabang yang rendah hati menjawab panggilan Juruselamat. Di Jerman pada tahun 1909, masa adalah sukar, dan kewangan ketat. Martin bekerja sebagai tukang kimpal di kilang pembuatan paip. Mengikut pengakuannya sendiri, kebanyakan hari gaji keluar berakhir dengan minum, merokok, dan di pub. Isterinya akhirnya memberi amaran kepadanya bahawa jika dia tidak berubah, dia akan tinggalkannya.

Suatu hari, rakan sekerja Martin terjumpa dia dalam perjalanan ke pub dengan buku kecil dalam tangannya. Dia telah menemuinya di jalan dan beritahu Martin bahawa dia merasakan sesuatu yang berbeza selepas membaca buku kecil yang bertajuk Was wissen Sie von den Mormonen?, atau Apakah yang anda tahu tentang orang Mormon? Saya pasti tajuk itu telah berubah.

Terdapat alamat yang dicap di belakang, cukup jelas untuk mengetahui lokasi gereja itu. Ia agak jauh, tetapi mereka tersentuh oleh apa yang mereka baca dan memutuskan untuk menaiki kereta api pada hari Ahad itu untuk menyiasat. Apabila mereka tiba, mereka mendapati bahawa alamat itu bukan gereja yang mereka harapkan tetapi rumah pengebumian. Martin teragak-agak—kerana gereja di rumah pengebumian seakan-akan seperti satu pakej.

Tetapi di tingkat atas, dalam dewan yang disewa, mereka menemui kumpulan kecil Orang Suci. Seorang lelaki menjemput mereka untuk pertemuan kesaksian. Martin tersentuh oleh Roh dan sangat kagum dengan kesaksian yang sederhana dan bersungguh-sungguh sehingga dia memberi kesaksiannya. Dan di sana, di tempat yang paling tidak mungkin, bahawa dia berkata dia sudah tahu ia mestilah benar.

Selepas itu, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai presiden cabang dan bertanya jika mereka akan kembali. Martin menjelaskan bahawa dia tinggal terlalu jauh dan tidak mampu untuk perjalanan mingguan. Presiden cabang itu berkata, “Ikutlah saya.”

Mereka berjalan beberapa blok ke kilang berdekatan di mana kawan presiden cabang bekerja. Selepas perbualan singkat, Martin dan kawannya ditawarkan pekerjaan. Kemudian presiden cabang itu membawa mereka ke bangunan apartmen dan perumahan yang selamat untuk keluarga mereka.

Semua ini berlaku dalam masa dua jam. Keluarga Martin berpindah minggu berikutnya. Enam bulan kemudian mereka dibaptiskan. Lelaki yang pernah dikenali sebagai pemabuk tanpa harapan menjadi begitu bersemangat dalam iman baharunya sehingga orang-orang di kota mula memanggilnya, “imam.”

Bagi presiden cabang itu, saya tidak dapat memberitahu anda namanya—identitinya telah hilang. Tetapi saya memanggil dia seorang pengikut, duta, Kristian, seorang Samaria yang baik hati, dan kawan. Pengaruhnya masih dirasai 116 tahun kemudian, dan saya berdiri di atas bahu penganutannya.

Pasangan Gassner di bait suci

“Terdapat peribahasa yang berkata anda boleh hitung benih dalam sebiji epal, tetapi anda tidak boleh hitung bilangan epal yang datang dari sebiji benih.” Benih yang di tanam oleh presiden cabang telah menghasilkan banyak buah. Tidak mungkin dia tahu bahawa 48 tahun kemudian, beberapa generasi keluarga Martin di kedua-dua belah tirai akan dimeteraikan di Bait Suci Bern Switzerland.

Khutbah yang paling berkesan sering bukan kata-kata, tetapi teladan senyap dalam kehidupan orang biasa yang berusaha mencontohi Yesus dengan melakukan kebaikan. Apa yang presiden cabang ini lakukan bukan sebahagian daripada senarai semak. Dia hanya menjalani injil seperti yang digambarkan dalam kitab Alma: “Mereka tidak menyuruh pergi … yang lapar, atau yang dahaga, atau yang sakit, … mereka murah hati kepada semua orang, baik tua mahupun muda, … baik lelaki mahupun perempuan.” Dan, sesuatu yang kita tidak patut abaikan; mereka tidak menghantar pergi sesiapapun “sama ada di luar gereja ataupun di dalam gereja.”

Bagi yang mengambil ke atas diri mereka nama Kristus mengenali ajaran Nabi Joseph Smith “Manusia yang dipenuhi kasih Tuhan, tidak berpuas hati dengan memberkati keluarganya sahaja, tetapi ingin memberkati seluruh umat manusia.”

Inilah cara Yesus hidup. Sebenarnya, Dia melakukan begitu banyak sehingga para pengikut-Nya tidak dapat menuliskan semuanya. Nabi Yohanes berkata, “Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.”

Marilah kita berusaha untuk mengikuti teladan Kristus, melakukan kebaikan dan membuat penganutan keutamaan sepanjang hidup supaya setiap kali kita berinteraksi dengan orang lain, mereka akan merasakan kasih Tuhan dan kuasa penetapan Roh Kudus. Kemudian kita boleh menyertai datuk moyang saya dan berjuta-juta mereka yang telah mengisytiharkan, seperti pengikut Andreas, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias.”

Akhirnya, identiti kita tidak ditakrifkan oleh dunia. Penganutan kita ditentukan oleh tatacara, perjanjian, dan kasih yang kita tunjukkan kepada Tuhan dan yang lain melalui perbuatan baik. Seperti yang Presiden Nelson ajarkan, kita anak-anak Tuhan, anak-anak perjanjian, pengikut Yesus Kristus.

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup dan telah menebus kita. Dialah Yang berkata, “Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.