Tiada Siapa Yang Duduk Bersendirian
Menjalani injil Yesus Kristus termasuk menyediakan ruang bagi semua dalam Gereja-Nya yang dipulihkan.
I.
Selama 50 tahun, saya telah mengkaji budaya, termasuk budaya injil. Saya bermula dengan biskut nasib.
Di Chinatown San Francisco, makan malam keluarga Gong diakhiri dengan biskut nasib dan kata bijaksana seperti “Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.”
Sebagai belia, saya membuat biskut nasib. Memakai sarung tangan kapas putih, saya melipat dan membentuk biskut yang panas dari ketuhar.
Saya terkejut apabila mempelajari biskut nasib bukan sebahagian daripada budaya Cina. Untuk membezakan budaya biskut nasib Cina, Amerika, dan Eropah, saya mencari biskut nasib di beberapa benua—sebagaimana seseorang menggunakan pelbagai lokasi untuk menjejak tepat punca kebakaran hutan. Restoran-restoran Cina di San Francisco, Los Angeles, dan New York menghidangkan biskut nasib, tetapi bukan di Beijing, London atau Sydney. Hanya orang Amerika yang meraikan Hari Biskut Nasib Kebangsaan. Hanya iklan Cina yang menawarkan “Biskut Nasib Amerika Asli.”
Biskut nasib adalah contoh yang menyeronokkan, dan mudah. Tetapi asas yang sama untuk membandingkan amalan dalam keadaan kebudayaan yang berbeza dapat membantu kita membezakan budaya injil. Dan sekarang Tuhan sedang membuka peluang baharu untuk mempelajari budaya injil semasa perumpamaan Kitab Mormon dan nubuat perumpamaan Perjanjian Baru digenapi.
II.
Di mana-mana saja orang sedang berpindah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan 281 juta migran antarabangsa. Ini adalah 128 juta individu lebih daripada pada tahun 1990, dan tiga kali ganda lebih dari anggaran 1970. Di mana-mana saja, ramai penganut baharu sedang mencari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Setiap hari Sabat, ahli-ahli dan kawan-kawan dari 195 negara kelahiran dan wilayah berkumpul dalam 31,880 jemaah Gereja. Kita bercakap 125 bahasa.
Baru-baru ini, di Albania, Macedonia Utara, Kosovo, Switzerland, dan Jerman, saya menyaksikan ahli-ahli baharu memenuhi perumpamaan Kitab Mormon tentang pokok zaitun. Dalam Yakub 5, Tuan ladang anggur dan hambanya menguatkan akar dan dahan pokok zaitun dengan mengumpulkan dan mencantumkan mereka dari pelbagai lokasi. Hari ini anak-anak Tuhan berkumpul sebagai satu dalam Yesus Kristus; Tuhan menawarkan cara semula jadi yang luar biasa untuk mengembangkan kegenapan injil-Nya yang dipulihkan.
Menyediakan kita untuk kerajaan syurga, Yesus menceritakan perumpamaan jamuan besar dan jamuan perkahwinan. Dalam perumpamaan ini, tetamu yang dijemput membuat alasan untuk tidak datang. Tuan mengarahkan para hambanya untuk “cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota” dan “jalan raya dan semak” untuk “jemput” orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang. Bercakap secara rohani, itulah setiap kita.
Tulisan suci mengisytiharkan:
“Semua bangsa akan diundang” ke “jamuan malam Rumah Tuhan.”
“Sediakanlah kamu jalan Tuhan, … agar kerajaan-Nya boleh menyebar luas di atas bumi, agar para penduduknya boleh menerimanya, dan disediakan untuk masa yang akan datang.”
Hari ini mereka yang dijemput ke perjamuan Tuhan datang dari setiap tempat dan budaya. Tua dan muda, kaya dan miskin, tempatan dan global, kita menjadikan jemaah Gereja kita kelihatan seperti komuniti kita.
Sebagai ketua Rasul, Petrus melihat syurga membuka penglihatan tentang “kain lebar [yang] tergantung pada keempat-empat sudutnya, … di dalamnya terdapat segala macam … binatang.” Petrus mengajar: “Sekarang barulah saya sedar bahawa Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata. … Sesiapa yang menghormati Tuhan dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Tuhan, walau apa pun bangsanya.”
Dalam perumpamaan orang Samaria yang baik, Yesus menjemput kita untuk datang kepada satu sama lain dan kepada Dia di rumah tumpangan-Nya—Gereja-Nya. Dia menjemput kita menjadi jiran yang baik. Orang Samaria yang baik berjanji untuk kembali dan memberi ganjaran atas penjagaan mereka di rumah tumpangan-Nya. Menjalani injil Yesus Kristus termasuk menyediakan ruang bagi semua dalam Gereja-Nya yang dipulihkan.
Semangat “tempat untuk menumpang” termasuk “tiada sesiapa yang duduk bersendirian.” Apabila anda datang ke gereja, jika anda melihat seseorang bersendirian, adakah anda akan berkata hello dan duduk bersamanya? Ini mungkin bukan adat anda. Orang itu mungkin kelihatan atau bercakap berbeza daripada anda. Dan sudah tentu, seperti biskut nasib mungkin berkata, “Perjalanan persahabatan dan kasih injil bermula dengan hello pertama dan tiada seorang pun yang duduk bersendirian.”
“Tiada siapa yang duduk bersendirian” juga bermaksud tiada siapa yang duduk bersendirian secara emosi atau rohani. Saya pergi bersama seorang bapa yang patah hati untuk melawat anak lelakinya. Bertahun-tahun sebelumnya, anak lelaki itu teruja untuk menjadi seorang diaken baharu. Pada masa itu, keluarganya membelikannya sepasang kasut baharu yang pertama.
Tetapi di gereja, para diaken ketawakan dia. Kasutnya baharu, tetapi tidak bergaya. Malu dan terluka, diaken muda itu berkata dia tidak akan pergi ke gereja lagi. Hati saya masih hancur untuk dia dan keluarganya.
Di jalan berdebu ke Yerikho, setiap daripada kita telah ditertawakan, dimalukan dan disakiti, mungkin dicemuh atau didera. Dan dengan tahap niat yang berbeza-beza, setiap daripada kita juga telah mengabaikan, tidak melihat atau mendengar, mungkin dengan sengaja menyakiti orang lain. Ia adalah kerana kita pernah terluka dan telah menyakiti orang lain yang Yesus Kristus membawa kita semua ke rumah tumpangan-Nya. Dalam Gereja-Nya dan melalui tatacara dan perjanjian-Nya, kita datang kepada satu sama lain dan kepada Yesus Kristus. Kita mengasihi dan dikasihi, melayani dan dilayan, mengampuni dan diampuni. Sila ingat, “bumi tidak mempunyai kesedihan yang tidak dapat diubati oleh syurga”; beban bumi diringankan—kegembiraan Juruselamat kita adalah nyata.
Dalam 1 Nefi 19, kita baca: “Bahkan Tuhan Israel sendiri pun [mereka] pijakkan di bawah kaki mereka; … mereka menganggap-Nya tidak berharga. … Oleh kerana itu, mereka mencambukkan Dia, dan Dia membenarkannya; dan mereka memukul Dia, dan Dia membenarkannya. Ya, mereka meludah ke atas Dia, dan Dia membenarkannya.”
Rakan saya Profesor Terry Warner berkata penghakiman, pencambukan, pukulan, dan meludah bukanlah peristiwa sesekali yang berlaku hanya semasa kehidupan fana Kristus. Bagaimana kita melayan satu sama lain—terutamanya yang lapar, dahaga, yang ditinggalkan bersendirian—adalah cara kita melayani-Nya.
Dalam Gereja-Nya yang dipulihkan, kita semua lebih baik apabila tiada siapa yang duduk bersendirian. Janganlah kita hanya menampung atau berlengah-lengah. Marilah kita mengalu-alukan, mengakui, melayani, mengasihi. Semoga setiap rakan, saudari, saudara bukan pendatang atau orang asing tetapi seorang anak di rumah.
Hari ini ramai yang merasa kesunyian dan terasing. Media sosial dan kecerdasan buatan boleh membuat kita menginginkan kedekatan manusia dan sentuhan manusia. Kita mahu mendengar suara satu sama lain. Kita mahu kepunyaan dan kebaikan hati yang sahih.
Terdapat banyak sebab kita rasa kita tidak sesuai di gereja—bercakap secara kiasan, kita duduk bersendirian. Kita mungkin bimbang tentang loghat, pakaian, keadaan keluarga kita. Mungkin kita berasa tidak mencukupi, bau asap, mendambakan kebersihan moral, telah berpisah dengan seseorang dan berasa sakit hati dan malu, bimbang tentang polisi Gereja. Kita mungkin bujang, bercerai, balu. Anak-anak kita bising; kita tidak ada anak. Kita tidak melayani misi atau pulang ke rumah awal. Banyak lagi contohnya.
Mosia 18:21 menjemput kita untuk mengaitkan hati kita bersama dalam kasih. Saya menjemput kita untuk kurang bimbang, kurang menghakimi, kurang menuntut orang lain—dan, apabila perlu, kurang tegas terhadap diri kita sendiri. Kita tidak mencipta Sion dalam sehari. Tetapi setiap “hello,” setiap gerak isyarat yang hangat, membawa Sion lebih dekat. Marilah kita mempercayai Tuhan lebih dan memilih dengan gembira untuk mematuhi semua perintah-Nya.
III.
Secara ajaran, dalam keluarga iman dan persahabatan para Orang Suci, tiada siapa yang duduk bersendirian kerana perjanjian tergolong dalam Yesus Kristus.
Nabi Joseph Smith ajarkan: “Ia ditinggalkan bagi kita untuk melihat, turut serta dan membantu memajukan kemuliaan Zaman Akhir, ‘zaman keagamaan kegenapan zaman … ,’ apabila Para Orang Suci Tuhan akan dikumpulkan dalam satu dari setiap bangsa, dan kaum, dan bangsa.”
Tuhan “tidak melaksanakan apa-apa pun kecuali bagi manfaat dunia; … agar Dia boleh memimpin semua orang kepada-Nya. …
“… Dia menjemput mereka semua datang kepada Dia dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya; … dan semua adalah sama bagi Tuhan.”
Penukaran hati dalam Yesus Kristus memerlukan kita menanggalkan manusia alamiah dan budaya duniawi. Seperti yang Presiden Dallin H. Oaks ajarkan, kita harus menyerahkan apa-apa tradisi dan amalan kebudayaan yang bertentangan dengan perintah-perintah Tuhan dan untuk menjadi Orang Suci Zaman Akhir. Dia menjelaskan, “Terdapat budaya injil yang unik, satu set nilai dan jangkaan dan amalan yang biasa bagi semua ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.” Budaya injil termasuk kemurnian akhlak, kehadiran mingguan di gereja, menjauhkan diri dari alkohol, tembakau, teh, dan kopi. Ia termasuk kejujuran dan integriti, memahami bahawa kita bergerak ke hadapan bukan ke atas atau ke bawah, dalam jawatan Gereja.
Saya belajar daripada ahli-ahli dan kawan-kawan yang beriman dalam setiap negara dan budaya. Tulisan suci yang dikaji dalam pelbagai bahasa dan perspektif kebudayaan mendalamkan pemahaman injil. Ungkapan sifat-sifat seperti Kristus yang berbeza memperdalamkan kasih dan pemahaman saya tentang Juruselamat saya. Semua diberkati apabila kita mendefinisikan identiti kebudayaan kita, seperti Presiden Russell M. Nelson ajarkan, sebagai anak Tuhan, anak perjanjian, pengikut Yesus Kristus.
Kedamaian Yesus Kristus adalah untuk kita secara peribadi. Baru-baru ini, seorang lelaki muda bertanya, “Elder Gong, bolehkah saya pergi ke syurga?” Dia tertanya-tanya jika dia boleh diampuni. Saya meminta namanya, mendengar dengan teliti, menjemput dia untuk bercakap dengan uskupnya, memberinya pelukan besar. Dia pergi dengan harapan dalam Yesus Kristus.
Saya menyebut lelaki muda itu dalam situasi lain. Kemudian, saya menerima surat yang tidak ditandatangani yang bermula, “Elder Gong, isteri saya dan saya telah membesarkan sembilan anak … dan melayani dua misi.” Tetapi “saya selalu rasa saya tidak akan dibenarkan dalam kerajaan selestial … kerana dosa-dosa saya sebagai seorang remaja sangat buruk!”
Surat itu bersambung, “Elder Gong, apabila kamu beritahu tentang lelaki muda itu memperoleh harapan untuk keampunan, saya dipenuhi dengan kebahagiaan, mula sedar bahawa mungkin saya [boleh diampuni].” Surat itu menyimpulkan, “Saya bahkan suka diri saya sekarang!”
Rasa kekitaan dalam perjanjian semakin mendalam semasa kita datang kepada satu sama lain dan Tuhan di rumah tumpangan-Nya. Tuhan memberkati kita semua apabila tiada siapa yang duduk bersendirian. Dan siapa tahu? Mungkin orang yang duduk di sebelah kita boleh menjadi rakan biskut nasib kita yang terbaik. Semoga kita mencari dan menyediakan ruang untuk Dia dan bagi satu sama lain di jamuan malam Anak Domba, saya berdoa dengan rendah hati dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.