Persidangan Umum
Mereka Adalah Hakim Mereka Sendiri
Persidangan umum Oktober 2025


14:26

Mereka Adalah Hakim Mereka Sendiri

(Alma 41:7).

Jika kita telah beriman kepada Yesus Kristus, membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, dan bertaubat akan dosa-dosa kita, maka penghakiman akan menyenangkan.

Kitab Mormon berakhir dengan jemputan yang mengilhami untuk “datanglah kepada Kristus,” “disempurnakanlah di dalam Dia,” “jauhilah [diri kita] daripada segala kejahatan,” dan “mengasihi Tuhan dengan segala daya, fikiran dan kekuatan [kita].” Menariknya, ayat akhir dalam arahannya menjangkakan Kebangkitan dan Penghakiman Terakhir.

Dia berkata, “Aku tidak lama lagi pergi untuk beristirahat di dalam firdaus Tuhan, sehingga roh dan tubuhku akan bersatu kembali, dan aku dibawa dalam kemenangan melalui udara, untuk menemuimu di hadapan meja penghakiman Yehovah yang agung yang menyenangkan, Hakim yang Abadi ke atas yang hidup mahupun juga yang mati.”

Saya terpegun dengan Moroni menggunakan perkataan “menyenangkan” untuk menggambarkan Penghakiman Terakhir. Para nabi Kitab Mormon yang lain juga menggambarkan Penghakiman sebagai “hari cemerlang” dan yang kita harus “menanti-nantikan[nya] dengan mata iman.” Namun sering kali apabila kita menjangkakan Hari Penghakiman, ungkapan kenabian lain terlintas di minda, seperti “rasa malu dan rasa bersalah,” “rasa ngeri dan rasa takut,” dan “kegetiran tanpa akhir.”

Saya percaya perbezaan bahasa menunjukkan bahawa ajaran Kristus membolehkan Moroni dan para nabi lain untuk menjangkakan hari yang besar itu dengan harapan yang bersemangat bukannya amaran ketakutan yang diberi kepada mereka yang tidak bersedia secara rohani. Apakah yang Moroni fahami yang anda dan saya perlu pelajari?

Saya berdoa untuk bantuan Roh Kudus semasa kita mempertimbangkan rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi dan belas kasihan, peranan penebusan Juruselamat dalam rancangan Bapa, dan bagaimana kita “bertanggungjawab atas dosa-dosa [kita] sendiri pada hari penghakiman.”

Rancangan Kebahagiaan Bapa Syurgawi

Tujuan menyeluruh rancangan kebahagiaan besar Bapa adalah untuk menyediakan peluang kepada anak-anak roh-Nya untuk menerima tubuh fizikal, untuk belajar “baik dari jahat” melalui pengalaman fana, berkembang secara rohani, dan maju secara abadi.

“Hak pilihan moral” yang dirujuk dalam Ajaran dan Perjanjian adalah pusat dalam rancangan Tuhan untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi kepada para putera dan puteri-Nya. Asas penting ini juga digambarkan dalam tulisan suci sebagai hak pilihan dan kebebasan untuk memilih dan untuk bertindak.

Istilah “hak pilihan moral” adalah memberi pengajaran. Sinonim untuk perkataan “moral” merangkumi “baik,” “jujur,” dan “berakhlak mulia.” Sinonim untuk perkataan “hak pilihan” merangkumi “tindakan,” “aktiviti,” dan “kerja.” Oleh itu, “hak pilihan moral” boleh difahami sebagai kemampuan dan keistimewaan untuk memilih dan bertindak bagi diri sendiri dengan cara yang baik, jujur, berakhlak mulia, dan benar.

Ciptaan Tuhan merangkumi kedua-dua “makhluk yang bertindak mahupun makhluk yang kepadanya dikenakan tindakan.” Dan hak pilihan moral adalah “kuasa tindakan bebas” yang dicipta secara ilahi untuk memberi kuasa kepada anak-anak Tuhan menjadi wakil yang bertindak dan bukan objek yang dikenakan tindakan.

Bumi dicipta agar anak-anak Bapa Syurgawi boleh membuktikan diri untuk “melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja mereka akan perintahkan kepada mereka.” Tujuan utama Penciptaan dan kewujudan fana adalah untuk memberi kita peluang bertindak dan menjadi apa yang Tuhan ingin kita untuk menjadi.

Tuhan mengarahkan Henokh:

“Lihatlah para saudaramu ini; mereka ialah hasil kerja tangan-Ku sendiri, dan Aku memberikan kepada mereka pengetahuan mereka, pada hari Aku menciptakan mereka; dan di dalam Taman Eden, Aku memberikan kepada manusia hak pilihannya;

“Dan kepada para saudaramu telah Aku firmankan, dan juga berikan perintah, agar mereka harus saling mengasihi, dan agar mereka seharusnya memilih-Ku, Bapa mereka.”

Tujuan asas untuk menjalankan hak pilihan adalah untuk saling mengasihi dan memilih Tuhan. Dua tujuan ini selari dengan perintah utama dan kedua untuk mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa, dan minda kita, dan mengasihi sesama manusia seperti diri kita sendiri.

Pertimbangkan bahawa kita diperintahkan—bukan hanya ditegur atau dinasihati, tetapi diperintah—untuk menggunakan hak pilihan kita untuk saling mengasihi dan memilih Tuhan. Izinkan saya mencadangkan bahawa dalam tulisan suci, perkataan “moral” bukan sekadar satu adjektif tetapi ia mungkin satu arahan ilahi tentang bagaimana menggunakan hak pilihan.

Ada sebab lagu rohani terkenal “Yang Benar Pilihlah” bertajuk demikian. Kita tidak diberkati dengan hak pilihan moral untuk melakukan apa sahaja yang kita mahu bila-bila masa kita mahu. Sebaliknya, menurut rancangan Bapa, kita telah menerima hak pilihan moral untuk mencari dan bertindak menurut kebenaran abadi. Sebagai “wakil bagi diri [kita sendiri],” kita harus bersemangat terlibat dalam perkara baik, “melakukan banyak hal dari keinginan bebas [kita] sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran.”

Kepentingan abadi hak pilihan moral terserlah dalam kisah tulisan suci majlis pra-fana. Lusifer memberontak terhadap rancangan Bapa untuk anak-anak-Nya dan berusaha untuk memusnahkan kuasa tindakan bebas. Nyata sekali, keingkaran iblis tertumpu secara langsung pada asas hak pilihan moral.

Tuhan berfirman, “Kerana itu, disebabkan Setan memberontak melawan-Ku, dan berusaha untuk menghancurkan hak pilihan manusia, … Aku menyebabkan dia disingkirkan.”

Rancangan musuh adalah untuk menghalang anak-anak lelaki dan perempuan Tuhan daripada menjadi “wakil bagi diri mereka sendiri” yang boleh bertindak dalam kesolehan. Tujuannya adalah untuk mengabdikan anak-anak Bapa Syurgawi untuk menjadi objek yang hanya boleh diambil tindakan.

Melakukan dan Menjadi

Presiden Dallin H. Oaks telah menekankan bahawa injil Yesus Kristus menjemput kita untuk mengetahui sesuatu dan menjadi sesuatu melalui hak pilihan moral yang soleh. Dia berkata:

“Banyak Alkitab dan tulisan suci moden berbicara tentang penghakiman terakhir di mana semua orang akan diberi ganjaran menurut perbuatan, pekerjaan atau hasrat hati mereka. Tetapi ayat suci lain memperluas perkara ini dengan merujuk kepada kita dihakimi berdasarkan keadaan yang kita capai.

“Nabi Nefi menggambarkan Penghakiman Terakhir dari segi apa yang kita telah menjadi: ‘Dan jika kerja-kerja mereka adalah kekotoran, mereka mestilah kotor; dan jika mereka kotor, mestilah bahawa mereka tidak boleh hidup di dalam kerajaan Tuhan’ [1 Nefi 15:33; penekanan ditambah]. Moroni menyatakan, ‘Dia yang kotor akan tetap kotor; dan dia yang soleh akan tetap soleh’ [Mormon 9:14; penekanan ditambah].”

Presiden Oaks meneruskan: “Dari ajaran itu kita boleh merumuskan bahawa Penghakiman Terakhir bukan hanya satu jumlah penilaian perbuatan baik dan jahat—apa yang kita telah lakukan. Ia satu pengakuan kesan terakhir daripada tindakan dan fikiran kita—apa yang kita telah menjadi.”

Korban Tebusan Juruselamat

Kita tidak boleh diselamatkan hanya melalui tindakan dan keinginan kita. “Setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu,” kita diperdamaikan dengan Tuhan hanya melalui belas kasihan dan rahmat yang tersedia melalui korban tebusan Juruselamat yang tidak terhingga dan abadi.

Alma menyatakan, “Mulalah percaya kepada Putera Tuhan, bahawa Dia akan datang untuk menebus umat-Nya, dan bahawa Dia akan menderita dan mati untuk menebuskan dosa-dosa mereka; dan bahawa Dia akan bangkit lagi dari yang mati, yang akan mendatangkan kebangkitan, agar semua orang akan berdiri di hadapan-Nya, untuk dihakimi pada hari terakhir dan hari penghakiman menurut perbuatan mereka.”

“Kami percaya bahawa melalui Korban Tebusan Kristus, seluruh umat manusia boleh diselamatkan, melalui kepatuhan pada hukum-hukum dan tatacara-tatacara Injil.” Kita harus bersyukur bahawa dosa-dosa dan perbuatan jahat kita tidak akan menjadi kesaksian yang menentang kita jika kita benar-benar “dilahirkan kembali,” menjalankan iman kepada Penebus, bertaubat dengan “ketulusan hati” dan “maksud yang bersungguh-sungguh,” dan “bertahan sampai akhir.”

Ketakutan kepada Tuhan

Ramai di antara kita mungkin mengharapkan penampilan kita di hadapan Hakim Abadi akan seperti di mahkamah undang-undang duniawi. Seorang hakim akan memimpin. Bukti akan disampaikan. Satu keputusan akan diumumkan. Dan kita mungkin tidak pasti dan takut sehingga kita ketahui keputusannya. Tetapi saya percaya ciri-ciri sedemikian tidak tepat.

Ia berbeza tetapi berkaitan dengan ketakutan fana yang disebut di dalam tulisan suci sebagai “ketakutan kepada Tuhan” atau “hormat dan takut kepada Tuhan.” Tidak seperti ketakutan duniawi yang mencemaskan dan membimbangkan, takut kepada tuhan membawa kedamaian, kepastian, dan keyakinan dalam hidup kita.

Ketakutan yang soleh merangkumi perasaan takzim dan kagum terhadap Tuhan Yesus Kristus, kepatuhan kepada perintah-perintah-Nya, dan penuh harapan terhadap Penghakiman Akhir dan keadilan di tangan-Nya. Ketakutan kepada Tuhan datang melalui pemahaman betul tentang sifat ilahi dan misi Penebus, kerelaan untuk menyerah dan menerima kehendak-Nya, dan pengetahuan bahawa setiap orang akan bertanggungjawab terhadap keinginan, fikiran, kata-kata, dan tindakan fananya pada Hari Kehakiman.

Ketakutan kepada Tuhan bukanlah kebimbangan tentang kemasukan ke dalam hadirat-Nya untuk dihakimi. Sebaliknya, ia adalah pengakuan tentang diri kita tentang “hal-hal sebagaimana ianya wujud” dan “benar-benar akan terjadi.”

Setiap orang yang pernah hidup, yang masih hidup, dan yang akan hidup di bumi “akan dibawa untuk berdiri di hadapan susur penghakiman Tuhan, untuk dihakimi oleh-Nya menurut kerja-kerja mereka sama ada ia adalah baik atau sama ada ia adalah jahat.”

Jika kita berhasrat untuk kesolehan dan pekerjaan baik—maksudnya kita telah beriman kepada Yesus Kristus, membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, dan bertaubat akan dosa-dosa kita—maka penghakiman akan menyenangkan. Seperti yang diisytiharkan Enos, kita akan “berdiri di hadapan [Penebus]; pada waktu itu akanlah [kita] melihat muka-Nya dengan kegembiraan.” Dan pada hari terakhir kita akan “diberi pahala kesolehan.”

Namun demikian, jika kita telah mempunyai keinginan yang jahat dan telah berbuat jahat, susur penghakiman akan menyebabkan kita sangat ketakutan. Kita akan mempunyai “pengetahuan sempurna,” “ingatan kembali yang terang,” dan “kesedaran yang cergas akan kesalahan [kita] sendiri.” “Kita tidak akan berani memandang kepada Tuhan kita; dan kita akan jadi gembira jika kita dapat memerintahkan batu-batan dan gunung untuk jatuh ke atas diri kita untuk menyembunyikan kita daripada hadirat-Nya.” Dan pada hari terakhir kita akan “memperoleh imbalan [kita] akan kejahatan.”

Akhirnya, kemudian, kita adalah hakim kita sendiri. Tiada siapa yang perlu memberitahu kita ke mana untuk pergi. Di hadirat Tuhan, kita akan mengakui apa yang telah kita pilih untuk menjadi dalam kehidupan kefanaan dan mengetahui sendiri di mana kita harus berada dalam keabadian.

Janji dan Kesaksian

Memahami bahawa Penghakiman Terakhir boleh menyenangkan bukanlah satu berkat khas untuk Moroni.

Alma menggambarkan berkat-berkat yang dijanjikan tersedia untuk setiap pengikut Juruselamat yang setia. Dia berfirman:

“Erti perkataan pemulihan itu adalah membawa kembali yang jahat pada yang jahat, atau yang badaniah pada yang badaniah, atau yang seperti iblis pada yang seperti iblis—yang baik untuk apa yang baik; yang soleh pada yang soleh; yang adil untuk apa yang adil; yang penuh belas kasihan untuk apa yang penuh belas kasihan.

“… berurusanlah dengan adil, hakimilah dengan benar, dan lakukanlah kebaikan secara berterusan; dan jika kamu melakukan segala hal ini maka kamu akan menerima pahalamu; ya, belas kasihan akan dipulihkan kepadamu kembali; keadilan akan dipulihkan kepadamu kembali; penghakiman yang benar akan dipulihkan kepadamu kembali; dan kebaikan akan dipahalakan kepadamu kembali.”

Saya bersaksi dengan gembira bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat hidup kita. Janji Alma adalah benar dan berguna untuk anda dan saya—hari ini, esok, dan keabadian. Saya bersaksi dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.