Persidangan Umum
Dihiasi dengan Sifat Kesederhanaan
Persidangan umum Oktober 2025


15:8

Dihiasi dengan Sifat Kesederhanaan

Saya memberi menjemput kepada kita semua untuk menghiasi minda dan hati dengan sifat kesederhanaan Kristus.

Pada Mei 2021, semasa melawat kerja pengubahsuaian Bait Suci Salt Lake, Presiden Russell M. Nelson kagum dengan usaha para perintis, dengan sumber terhad dan iman yang teguh, membina bangunan kudus, karya agung fizikal and rohani yang telah bertahan lama itu. Namun, dia juga melihat kesan hakisan, yang dari masa ke masa telah menyebabkan jurang dan ketidakstabilan pada batu asas asal bait suci, jelas menandakan perlunya pengukuhan struktur.

Presiden Nelson di luat Bait Suci Salt Lake

Nabi yang kita kasihi mengajar bahawa sebagaimana asas bait suci perlu diperkuat untuk bertahan menghadapi kuasa alam, kita juga perlu mengambil langkah luar biasa—mungkin langkah yang kita tidak pernah ambil sebelum ini—untuk menguatkan landasan rohani kita sendiri dalam Yesus Kristus. Dalam pesanan yang tak dilupakan, dia meninggalkan dua soalan mendalam untuk renungan peribadi: “Betapa teguhkah landasan anda? Dan pengukuhan apakah diperlukan untuk kesaksian dan pemahaman injil anda?”

Injil Yesus Kristus menyediakan cara yang diilhami secara ilahi dan berkesan untuk mencegah penghakisan rohani dalam jiwa kita, mengukuhkan landasan kita dengan sangat berkuasa dan bantu mengelakkan jurang dalam iman dan ketidakstabilan dalam kesaksian serta pemahaman kita tentang kebenaran kudus injil. Satu asas yang relevan untuk mencapai tujuan ini terdapat di bahagian 12 dalam Ajaran dan Perjanjian, wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Joseph Knight, seorang lelaki soleh yang berusaha untuk memahami kehendak Tuhan, bukan hanya untuk perubahan luaran tetapi berdiri teguh dalam penganutannya—teguh bagaikan tiang syurga.” Tuhan mengisytiharkan:

“Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, dan juga kepada mereka semua yang memiliki hasrat untuk mewujudkan dan menegakkan pekerjaan ini;

“Dan tiada seorang pun dapat membantu dalam pekerjaan ini kecuali dia akan merendahkan hati dan penuh kasih, memiliki iman, harapan, dan kasih ihsan, bersederhana dalam segala hal, apa pun yang akan dipercayakan pada pengurusannya.”

Bimbingan Juruselamat, dicatatkan dalam wahyu kudus ini, mengingatkan kita bahawa kesederhanaan adalah pengukuhan penting untuk landasan yang kukuh dalam Yesus Kristus. Ia adalah satu sifat yang sangat penting, bukan hanya untuk mereka yang dipanggil untuk juga melayani tetapi untuk semua yang telah membuat perjanjian kudus dan mengikuti Tuhan dengan setia. Kesederhanaan menyatukan dan menguatkan sifat-sifat seperti Kristus yang disebut dalam wahyu ini: kerendahan hati, iman, harapan, kasih ihsan, dan kasih suci yang mengalir daripada-Nya. Tambahan pula, memupuk kesederhanaan adalah cara yang bermakna untuk melindungi jiwa kita daripada penghakisan rohani yang berterusan akibat pengaruh duniawi yang boleh melemahkan landasan kita dalam Yesus Kristus.

Kesederhanaan menonjol sebagai sifat yang menghiasi pengikut Kristus sejati, serta satu bayangan Juruselamat Sendiri, buah Roh yang berharga, tersedia untuk semua yang menerima pengaruh ilahi. Ia adalah sifat yang membawa keharmonian kepada hati, membentuk keinginan dan emosi dengan kebijaksanaan dan kedamaian. Dalam tulisan suci, kesederhanaan adalah bahagian penting dalam kemajuan perjalanan rohani kita, yang memupuk kesabaran, kesolehan, dan rasa kasihan serta memurnikan perasaan, kata-kata, dan tindakan kita.

Para pengikut Kristus yang berusaha untuk memupuk sifat seperti Kristus ini menjadi semakin rendah hati dan penuh kasih. Satu kekuatan yang tenang timbul dalam diri mereka, menjadikan lebih mampu menahan kemarahan, memupuk kesabaran, dan melayani orang lain dengan toleransi, hormat, dan penuh maruah, bahkan semasa kesukaran. Mereka berusaha untuk tidak bertindak terburu-buru tetapi bertindak dengan kebijaksanaan rohani, dibimbing oleh kelembutan hati dan pengaruh halus Roh Kudus. Dengan ini, mereka akan kurang terdedah kepada penghakisan rohani, seperti rasul Paulus ajarkan, mereka tahu mereka boleh melakukan semua hal melalui Kristus, yang menguatkan mereka bahkan dalam percubaan yang boleh menggoncangkan kesaksian mereka tentang Dia.

Dalam Suratnya kepada Titus, Paulus memberi nasihat kudus mengenai kelayakan mereka yang ingin mewakili dan melakukan kehendak Juruselamat dengan iman dan dedikasi. Dia berkata mereka haruslah ramah, tenang, adil, dan kudus—sifat-sifat yang jelas mencerminkan pengaruh kesederhanaan.

Namun, Paulus memberi amaran untuk “tidak boleh sombong ataupun cepat marah, … [dan tidak] suka berkelahi.” Ciri-ciri tersebut bertentangan dengan minda Juruselamat dan menghalang perkembangan rohani yang sebenar. Dalam konteks tulisan suci, “tidak sombong” ialah seseorang yang enggan bertindak dengan keangkuhan; “tidak cepat marah” ialah seseorang yang menghindari keinginan untuk menjadi tidak sabar dan jengkel; dan “[tidak] suka berkelahi” merujuk kepada seseorang yang menolak pertikaian, agresif, dan kekerasan secara lisan, jasmani, dan emosi. Apabila kita berusaha untuk mengubah tingkah laku kita dengan iman dan kerendahan hati, kita boleh teguh disauhkan pada batu rahmat-Nya yang kukuh dan menjadi alat murni dan diasah dalam tangan kudus-Nya.

Hana dan Samuel

Dalam merenungkan keperluan untuk memupuk sifat kesederhanaan, saya teringat kata-kata Hana, ibu nabi Samuel—wanita yang beriman, mempersembahkan lagu kesyukuran kepada Tuhan walaupun selepas percubaan besar. Dia berkata, “Hentikanlah cakap besarmu, jangan keluarkan cakap angkuh. Oleh sebab Tuhan itu Tuhan Yang Maha Tahu, Dia menghakimi segala perbuatan orang.” Lagunya lebih daripada satu doa—ia adalah jemputan untuk diri sendiri agar bertindak dengan kerendahan hati, kawalan diri, dan kesederhanaan. Hana mengingatkan kita bahawa kekuatan rohani yang sebenar tidak ditunjuk dalam reaksi terburu-buru atau kata-kata angkuh tetapi dalam kesederhanaan dan selaras dengan kebijaksanaan Tuhan.

Sering kali, dunia sering memuliakan sifat agresif, angkuh, tidak sabar, dan berlebihan, dengan alasan tekanan kehidupan seharian dan keinginan untuk diterima dan populariti. Apabila kita mengabaikan sifat kesederhanaan dan pengaruh lembut dan sederhana daripada Roh Kudus dalam tindakan dan percakapan, kita mudah jatuh dalam perangkap musuh yang membawa kepada percakapan dan tindakan yang akan kita sesali, sama ada dalam hubungan sosial, keluarga, atau bahkan gereja. Injil Yesus Kristus menjemput kita mengamalkan sifat ini terutamanya dalam saat mencabar, kerana pada saat inilah sifat sebenar seorang individu terungkai. Martin Luther King Jr. pernah berkata, “Ukuran utama seseorang bukanlah di mana dia berdiri pada saat selesa dan mudah, tetapi pada masa cabaran dan kontroversi.”

Sebagai umat perjanjian, kita dipanggil untuk hidup dengan hati yang teguh dalam janji kudus yang telah dibuat dengan Tuhan, mengikuti pola yang Dia tubuhkan melalui teladan sempurna-Nya. Sebagai balasan, Dia berjanji, “Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa inilah ajaran-Ku, dan sesiapa yang membangun di atasnya membangun di atas batu-Ku, dan pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya menentang mereka.”

Juruselamat

Let Not Your Heart Be Troubled [Janganlah Kamu Risau], oleh Howard Lyon, ihsan oleh Havenlight

Pelayanan Juruselamat di bumi ditandakan dengan sifat kesederhanaan dalam semua aspek watak-Nya. Melalui teladan sempurna-Nya, Dia mengajar kita untuk “bersabarlah dalam kesengsaraan, janganlah mencaci maki mereka yang mencaci maki.” Sepertimana Dia ajarkan untuk tidak terbawa oleh kemarahan kerana perselisihan dan pertikaian, Dia berfirman: “Kamu mesti bertaubat, dan menjadi seperti anak kecil.” Dia juga mengajar bahawa semua yang ingin datang kepada-Nya dengan sepenuh hati harus terlebih dahulu berdamai dengan orang yang mereka marahi atau mempunyai tentangan terhadap mereka. Dengan bersikap sederhana dan penuh rasa kasihan, Dia menjamin bahawa apabila kita dilayan dengan kekasaran, tidak bertimbang rasa, tidak hormat, atau diabaikan, kebaikan-Nya tidak akan meninggalkan kita, dan perjanjian kedamaian-Nya tidak akan diambil daripada hidup kita.

Beberapa tahun yang lalu, saya dan isteri mempunyai hak istimewa kudus untuk bertemu dengan beberapa ahli Gereja yang beriman di Mexico City. Ramai di antara mereka, sama ada peribadi atau melalui orang tersayang, telah mengalami percubaan yang dasyat, termasuk penculikan, pembunuhan, dan tragedi yang lain.

Apabila kami memandang muka para Orang Suci itu, kami tidak melihat kemarahan, dendam, atau keinginan untuk membalas dendam. Sebaliknya, kami melihat kerendahan hati yang tenang. Wajah mereka, walaupun kelihatan sedih, memancarkan keinginan ikhlas untuk penyembuhan dan penghiburan. Walaupun hati mereka hancur akibat penderitaan, Orang Suci ini maju terus dengan iman kepada Yesus Kristus, memilih untuk tidak membiarkan kesengsaraan mereka menjadi jurang dalam iman mereka atau menyebabkan ketidakstabilan dalam kesaksian mereka tentang injil.

Pada penghujung pertemuan kudus itu, kami bersalaman dengan setiap mereka. Setiap jabat tangan, setiap pelukan menjadi kesaksian lembut bahawa dengan bantuan Tuhan, kita boleh memilih untuk bertindak dengan kesederhanaan terhadap kekecewaan dan cabaran kehidupan. Teladan mereka yang tenang menjadi jemputan lembut untuk berjalan di jalan Juruselamat dengan kesederhanaan dalam segala hal. Kami berasa seolah-olah berada di hadirat para malaikat.

Yesus Kristus, yang teragung, menderita bagi kita sehingga berdarah dari setiap liang roma, namun hati-Nya tidak pernah dikuasai kemarahan, tidak juga perkataan yang agresif, menyinggung, atau tidak sopan keluar diri dari bibir-Nya, bahkan semasa kesengsaraan. Dengan kesederhanaan dan kelembutan hati yang sempurna, Dia tidak memikirkan diri-Nya tetapi akan setiap anak Tuhan—masa lalu, kini, dan masa depan. Rasul Petrus bersaksi tentang sikap menakjubkan Kristus: “Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan. Pada waktu Dia menanggung penderitaan, Dia tidak mengancam orang, tetapi Dia mempercayakan diri kepada Tuhan, Hakim yang adil itu.” Bahkan ketika kesakitan-Nya yang paling perit, Juruselamat menunjukkan kesederhanaan yang sempurna dan ilahi. Dia berkata, “Walaupun demikian, kemuliaan kepada Bapa, dan Aku meminumnya dan menyelesaikan persediaan-Ku bagi anak-anak manusia.”

Saudara dan saudari terkasih, saya menjemput kita semua untuk menghiasi minda dan hati kita dengan sifat kesederhanaan seperti Kristus, sebagai jawapan kudus kepada panggilan nabi Presiden Russell M. Nelson. Apabila kita berusaha dengan iman dan ketekunan untuk memupuk kesederhanaan dalam tindakan dan kata-kata kita, saya bersaksi kita akan memperkuatkan dan menambat kehidupan kita dengan lebih kukuh pada landasan Penebus kita.

Saya bersaksi bahawa usaha berterusan untuk kesederhanaan menyucikan jiwa dan menguduskan hati kita di hadapan Juruselamat, mendekatkan kita kepada-Nya dengan lembut dan menyediakan kita, dengan harapan dan kedamaian, untuk hari yang mulia itu apabila kita akan bertemu dengan-Nya pada Kedatangan Kedua-Nya. Saya berkongsi kata-kata kudus ini dalam nama Juruselamat kita, Yesus Kristus, amin.