Persidangan Umum
Injil Yesus Kristus yang Berpusatkan Keluarga
Persidangan umum Oktober 2025


17:23

Injil Yesus Kristus yang Berpusatkan Keluarga

Ajaran dan kepercayaan kita kepada keluarga abadi memperkuatkan dan mengikat kita.

Saudara saudari yang ku kasihi, saya bersyukur ke atas doa kamu bagi pihak saya. Saya telah merasakan.

I.

Ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir berpusat pada keluarga. Bait suci adalah penting dalam ajaran kita tentang keluarga. Tatatcara-tatacara yang diterima disana membolehkan kita kembali sebagai keluarga abadi dalam hadirat Bapa Syurgawi kita.

Pada persidangan umum April 2025, Presiden Russell M. Nelson mengumumkan pembinaan 200 bait suci baharu. Dia sukacita mengumumkan bait suci baharu pada setiap penutupan persidangan umum, dan kita bersukacita bersama-nya. Walau bagaimanapun, dengan jumlah bait suci yang kini berada pada peringkat awal perancangan dan pembinaan yang begitu banyak, adalah wajar untuk kita memperlahankan pengumuman bait suci baharu. Oleh itu, dengan kebenaran Kuorum Dua Belas Rasul, kami tidak akan mengumumkan bait suci baharu pada persidangan ini. Kita akan teruskan dalam menyediakan tatacara-tatacara bait suci kepada para ahli Gereja di seluruh dunia, termasuk bila dan di mana untuk mengumuman pembinaan bait suci baharu.

Sebahagian daripada ucapan yang saya sampaikan telah dituliskan sejurus pemergian nabi kita yang dikasihi Russell M. Nelson. Yang berikutnya telah ditulis dan diluluskan beberapa minggu sebelum ini, tetapi ia masih mewakili ajaran saya, diilhamkan oleh Tuhan.

II.

Perisytiharan keluarga, yang diumumkan 30 tahun lalu, mengisytiharkan bahawa “keluarga ditahbiskan oleh Tuhan” dan “adalah utama di dalam rancangan Pencipta demi takdir ilahi yang abadi bagi anak-anak-Nya.” Ia juga mengisytiharkan “bahawa perintah Tuhan bagi anak-anak-Nya untuk beranak pinak dan bertambah di dunia masih berkuat kuasa.” Dan “seterusnya kami mengisytiharkan bahawa Tuhan telah memerintah bahawa kuasa memperanakkan yang kudus harus digunakan hanya di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang telah dikahwinkan menurut undang-undang negara sebagai suami dan isteri.” Pada ketika itu-Elder Russell M. Nelson mengajar para hadirin di Universiti Brigham Young bahawa keluarga adalah “penting dalam rancangan Tuhan. … Malah, satu tujuan rancangan ini adalah untuk memuliakan keluarga.”

Gereja Yesus Kristus kadang-kadang dikenali sebagai Gereja yang berpusatkan keluarga. Ini benar! Hubungan kita dengan Tuhan dan tujuan kehidupan fana kita dijelaskan daripada segi keluarga. Injil Yesus Kristus adalah rancangan Bapa Syurgawi untuk manfaat anak-anak roh-Nya. Kita boleh katakan bahawa rancangan injil pertama diajar kepada kita dalam majlis keluarga abadi, ia dilaksanakan melalui keluarga fana kita, dan takdirnya yang diniatkan adalah untuk memuliakan anak-anak Tuhan dalam keluarga abadi.

III.

Walaupun dengan konteks ajaran itu, terdapat pertentangan. Di Amerika Syarikat kita sedang mengalami kemerosotan dalam perkahwinan dan kelahiran anak. Selama hampir seratus tahun peratusan isi rumah yang diketuai oleh pasangan berkahwin telah menurun, begitu juga kadar kelahiran. Perkahwinan dan kadar kelahiran ahli Gereja kita lebih positif, tetapi ia juga telah menurun dengan ketara. Ia adalah penting untuk Orang Suci Zaman Akhir tidak hilang pemahaman mereka tentang tujuan perkahwinan dan nilai anak-anak. Itulah masa depan yang kita usahakan. “Permuliaan adalah urusan keluarga,” seperti yang diajarkan oleh Presiden Nelson kepada kita. “Hanya melalui tatacara-tatacara penyelamatan injil Yesus Kristus keluarga dapat dimuliakan.“

Kemerosotan nasional dalam perkahwinan dan kelahiran anak boleh difahami atas sebab-sebab sejarah, tetapi nilai dan amalan Orang Suci Zaman Akhir seharusnya bertambah baik—bukan mengikut—trend itu.

Pada zaman kanak-kanak saya 80 tahun yang lalu, saya tinggal di ladang datuk nenek saya dalam keadaan di mana hampir semua yang berlaku pada siang hari adalah di bawah arahan keluarga. Tiada televisyen atau elektronik lain untuk mengalih perhatian daripada aktiviti keluarga. Sebaliknya, dalam masyarakat bandar hari ini, hanya beberapa ahli mengalami aktiviti berpusatkan keluarga yang konsisten. Kehidupan bandar dan pengangkutan moden, hiburan yang teratur, dan komunikasi yang pantas membolehkan remaja menganggap rumah mereka sebagai rumah tumpangan di mana mereka tidur dan makan secara berkala, tetapi arahan ibu bapa terhadap aktiviti mereka jauh berkurang.

Pengaruh ibu bapa juga telah berkurang disebabkan kebanyakan ahli Gereja kini mencari rezeki. Pada masa lalu, salah satu pengaruh besar yang menyatukan keluarga adalah pengalaman berganding bahu dalam mengejar matlamat yang sama—seperti mengusahakan ladang atau mencari rezeki. Keluarga merupakan unit penghasilan ekonomi yang teratur dan terancang. Kini, kebanyakan keluarga adalah unit penggunaan ekonomi, yang tidak memerlukan tahap organisasi dan kerjasama keluarga yang tinggi.

IV.

Semasa pengaruh ibu bapa berkurangan, Orang Suci Zaman Akhir masih ada tanggungjawab yang Tuhan berikan untuk mengajar anak-anak mereka untuk bersedia demi takdir keluarga kita dalam keabadian (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25). Ramai di antara kita mesti lakukan ini walaupun ketika keluarga kita tidak semuanya tradisional. Perceraian, kematian, dan pemisahan adalah realiti. Saya mengalami itu dalam keluarga di mana saya dibesarkan.

Keluarga Oaks

Bapa saya meninggal dunia ketika saya berumur tujuh tahun, saya dan adik-beradik dibesarkan oleh seorang ibu yang balu. Dalam situasi yang paling susah, dia terus maju. Dia bersendirian dan hancur, tetapi dengan bantuan Tuhan, ajarannya yang berkuasa tentang ajaran Gereja yang dipulihkan membimbing kami. Dia berdoa untuk pertolongan syurgawi dalam membesarkan anak-anaknya, dan dia diberkati! Kami dibesarkan dalam sebuah keluarga bahagia di mana arwah bapa kami sentiasa menjadi kenyataan. Ibu kami mengajar bahawa kami ada seorang bapa dan dia ada suami dan kami akan sentiasa menjadi keluarga kerana perkahwinan bait suci mereka. Bapa kami hanya pergi sementara kerana Tuhan telah memanggilnya ke pekerjaan yang lain.

Saya tahu bahawa banyak keluarga lain tidak begitu bahagia, tetapi setiap ibu tunggal boleh mengajar tentang kasih seorang Bapa Syurgawi dan berkat-berkat perkahwinan bait suci. Anda juga boleh lakukan ini! Rancangan Bapa Syurgawi menjamin kemungkinan ini untuk semua orang. Kita semua bersyukur untuk perkahwinan bait suci dan untuk berkat yang bakal dimeteraikan sebagai keluarga abadi. Seperti ibu saya, kami suka petik janji Lehi kepada anak lelakinya Yakub bahawa Tuhan “akan membaktikan kesengsaraanmu demi keuntunganmu” (2 Nefi 2:2). Ini terpakai kepada setiap keluarga Orang Suci Zaman Akhir, lengkap atau tidak lengkap pada masa ini. Kita adalah gereja keluarga.

Ajaran dan kepercayaan kita kepada keluarga abadi menguatkan dan mengikat kita. Saya tidak akan lupa janji datuk daripada sebelah ibu saya, Harris apabila kami anak-anak tinggal di ladangnya dekat Payson, Utah. Dia memberi saya berita tragik yang ayah saya telah meninggal dunia di Denver, Colorado. Saya berlari ke bilik tidur dan berlutut di sebelah katil, menangis sekuat hati. Datuk mengikuti dan berlutut di sebelah saya dan berkata, “Saya akan menjadi bapamu.” Janji itu adalah contoh berkuasa tentang apa yang datuk nenek boleh lakukan untuk mengisi jurang apabila keluarga kehilangan seorang ahli.

Ibu bapa—yang tunggal atau berkahwin dan yang lain seperti datuk nenek yang mengambil peranan itu untuk anak-anak—adalah guru yang hebat. Pengajaran mereka yang paling berkesan adalah melalui teladan. Unit keluarga adalah tempat yang ideal untuk menunjukkan dan mempelajari nilai-nilai abadi seperti kepentingan perkahwinan dan anak-anak, tujuan kehidupan, dan sumber kebahagiaan yang sebenar. Ia juga merupakan tempat terbaik untuk mempelajari pengajaran kehidupan penting yang lain, seperti kebaikan hati, keampunan, kawalan diri, dan nilai pendidikan dan pekerjaan yang jujur.

Sudah tentu, ramai ahli Gereja ada ahli keluarga yang tidak ikut nilai dan jangkaan injil. Ahli-ahli sedemikian memerlukan kasih dan kesabaran kita. Berhubung dengan satu sama lain, kita harus ingat bahawa kesempurnaan yang kita cari tidak terhad kepada keadaan kefanaan yang tertekan. Ajaran hebat dalam Ajaran dan Perjanjian 138:57–59 menjaminkan kita bahawa pertaubatan dan perkembangan rohani boleh berterusan di dunia roh selepas kefanaan. Lebih pentingnya, semasa keluarga bersatu untuk menguatkan satu sama lain, kita semua harus ingat bahawa dosa-dosa dan kelemahan yang kita alami dalam kefanaan boleh diampuni melalui pertaubatan kerana Korban Tebusan Yesus Kristus yang mulia dan menyelamatkan.

V.

Juruselamat kita, Yesus Kristus, ialah teladan utama kita. Kita akan diberkati jika kita hidup mengikut ajaran dan pengorbanan diri-Nya. Mengikut Kristus dan melibatkan diri dalam pelayanan kepada satu sama lain adalah ubat yang terbaik untuk sifat mementingkan diri sendiri dan individualisme yang kini sering berlaku.

Ibu bapa juga mempunyai kewajipan untuk mengajar anak-anak mereka pengetahuan praktikal selain daripada asas-asas injil. Keluarga bersatu apabila mereka melakukan hal-hal yang bermakna bersama. Kebun keluarga membina hubungan keluarga. Pengalaman keluarga yang bahagia menguatkan hubungan keluarga. Berkhemah, aktiviti sukan, dan rekreasi lain sangat berharga untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Keluarga harus mengaturkan perjumpaan keluarga untuk mengingati nenek moyang, yang membawa ke bait suci.

Ibu bapa harus mengajar anak-anak dalam kemahiran asas kehidupan, termasuk bekerja di rumah. Pembelajaran bahasa adalah persediaan yang berguna untuk pelayanan misionari dan kehidupan moden. Pengajar bagi subjek ini boleh jadi ibu bapa atau datuk nenek atau ahli keluarga yang lain. Keluarga berkembang apabila mereka belajar secara berkumpulan dan berunding bersama tentang semua perkara yang membimbangkan ahli keluarga.

Ada yang mungkin berkata, “Tetapi kita tiada masa untuk semua itu.” Untuk meluangkan masa melakukan apa yang benar-benar bermakna, ramai ibu bapa akan mendapati bahawa mereka boleh menghidupkan keluarga mereka jika mereka semua mematikan teknologi mereka. Dan ibu bapa, ingatlah, apa yang anak-anak itu inginkan semasa makan malam adalah masa bersama anda.

Berkat-berkat besar datang kepada keluarga jika mereka berdoa bersama, berlutut malam dan pagi untuk berterima kasih atas berkat-berkat dan untuk berdoa tentang kebimbangan biasa. Keluarga juga diberkati semasa mereka menyembah bersama dalam pertemuan gereja dan pertemuan rohani lain. Ikatan keluarga juga diperkuatkan oleh cerita keluarga, mencipta tradisi keluarga, dan berkongsi pengalaman kudus. Presiden Spencer W. Kimball mengingatkan kita bahawa “kisah-kisah mengilhami daripada kehidupan kita sendiri dan daripada nenek moyang kita … adalah alat pengajaran yang berkuasa.“ Ia sering menjadi sumber ilham terbaik untuk kita dan keturunan kita.

Saya bersaksi tentang Tuhan Yesus Kristus, iaitu Putera Tunggal Tuhan, Bapa Abadi kita. Dia menjemput kita untuk mengikuti jalan perjanjian yang membawa kepada penyatuan semula keluarga syurgawi. Kuasa pemeteraian imamat, yang diarahkan oleh kunci-kunci yang dipulihkan di Bait Suci Kirtland, menyatukan keluarga bersama untuk keabadian (lihat Ajaran dan Perjanjian 110:13–16). Kunci-kunci kini sedang digunakan dalam bilangan bait suci Tuhan yang semakin berkembang di seluruh dunia. Ini adalah nyata. Marilah kita menjadi sebahagian daripadanya, saya berdoa, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Keluarga: Satu Perisytiharan Kepada Dunia,” Gospel Library.

  2. Russell M. Nelson, “Faith and Families” (pertemuan rohani Brigham Young University, 6 Feb, 2005), 3, speeches.byu.edu.

  3. Russell M. Nelson, “Open the Heavens Through Temple and Family History Work,” Liahona, Okt. 2017, 18.

  4. Spencer W. Kimball, “Therefore I Was Taught,Ensign, Jan. 1982, 4.