Kasih Penebusan Yesus Kristus
Penyembuhan dan pengampunan mencapai kegenapannya dalam kasih penebusan Yesus Kristus.
Saya menyatakan kasih saya kepada Presiden Russell M. Nelson dan kesyukuran saya kepada pengaruh hebatnya terhadap setiap kita. Dan kepada semua kita, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana memelihara dan mengembangkan kehidupan mulia Presiden Dallin H. Oaks.
Tahun demi tahun, saya rasakan kasih yang besar kepada Juruselamat, Yesus Kristus dan untuk Korban Tebusan-Nya. Pengorbanan agung dan kemenangan-Nya atas kematian dan dosa, adalah sumbangan yang paling penting dalam sejarah manusia. Memahami kurnia ilahi-Nya bagi saya adalah pengajaran syurgawi yang akan berterusan selepas kematian.
Rasa kasihan Juruselamat yang berkuasa dalam mengampuni dosa dan menyembuhkan luka akibat dosa orang lain adalah pernyataan kasih Tuhan yang menakjubkan.
Hasrat saya adalah untuk membawa harapan kepada mereka yang mencari pengampunan bagi dosa besar, menghibur mereka yang mencari penyembuhan luka yang memedihkan akibat dosa besar orang lain.
Penyembuhan dan pengampunan mencapai kegenapannya dalam kasih penebusan Yesus Kristus.
Iman kepada Yesus Kristus
Jika anda telah melakukan dosa besar dan dalam proses pertaubatan atau ingin untuk bertaubat sepenuhnya dan merasakan kebahagiaan pengampunan yang tidak terkata, ketahuilah, mukjizat ini sedang menunggu anda. Juruselamat terus memanggil, “Marilah kepada-Ku.”
Memperkuatkan iman anda dalam Juruselamat kita, Yesus Kristus, akan membangkitkan keinginan jiwa untuk mengenali, percaya, dan menyerahkan hati anda kepada-Nya. Enos bertanya tentang pengampunannya: “Tuhan, bagaimana itu terjadi?” Tuhan berfirman, “Kerana imanmu kepada Kristus, yang sebelum ini tidak pernah engkau dengar atau lihat.”
Dan Moroni menambah, “Jika kamu akan menjauhi dirimu daripada segala kejahatan, dan mengasihi Tuhan dengan segala daya, fikiran dan kekuatanmu, maka rahmat-Nya adalah mencukupi bagimu.”
Berpaling dari dosa, memandang kepada Tuhan, dan menguatkan iman anda kepada Yesus Kristus adalah permulaan yang indah. Serahkan kehendak anda kepada Tuhan dengan rendah hati termasuk mengakui dosa besar kepada uskup atau presiden cabang anda, tetapi pengampunan penuh datang daripada Juruselamat. Pengampunan adalah kurnia ilahi yang diberikan melalui rahmat Yesus Kristus.
Kejujuran
Keinginan untuk kembali kepada Tuhan disertai dengan tekad untuk jujur sepenuhnya dengan Bapa Syurgawi, diri sendiri, dengan mereka yang telah disakiti, dan dengan pemimpin imamat anda. Bapa Syurgawi anda bersukacita dalam kesungguhan anda untuk datang kepada-Nya dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal. Memiliki jiwa menyesal adalah dengan rendah hati mempercayai Tuhan; mempunyai hati yang hancur seperti Rasul Paulus gambarkan sebagai “kesedihan ilahi,” keinginan mendalam untuk kembali kepada-Nya walau apapun keadaannya.
Memulihkan Apa yang Telah Hancur
Keinginan anda membawa kemahuan untuk membaiki apa yang telah anda hancurkan. Namun, menyedari ada hal yang tidak dapat anda baiki, dan anda berdoa dengan tekun agar rahmat Tuhan akan membantu menyembuhkan mereka yang tersakiti akibat tindakan anda.
Kesan atas dosa besar pada orang lain sering kali sukar diatasi. Adakah anda mencontohi putera-putera Mosia, yang “bersemangat berjuang untuk memperbaiki segala kerosakan yang telah mereka lakukan”? Bercakap dengan mereka yang anda hormati tentang apa yang anda mungkin tidak nampak.
Semasa menyediakan ucapan ini, saya menerima e-mel yang tidak dijangka daripada seseorang yang sedang bertaubat dan ingin kembali ke Gereja. Bekas isterinya masih menderita atas kehilangan “perkahwinan abadi [mereka], [kesukaran dengan anak-anak], ketidakstabilan kewangan, … tidak [ada] cukup untuk perbelanjaan, [dan] perasaan dikhianati yang mendalam.”
Dia berkongsi bagaimana pemimpin imamatnya “terdorong untuk [meminta dia] mempertimbangkan dengan penuh doa apa yang [dia boleh lakukan untuk bekas isteri dan anak-anaknya].” Dengan kebenaran, saya berkongsi sebahagian e-melnya:
“Saya berfikir [wang] yang saya berikan semasa perintah perceraian sudah memadai, tetapi presiden cabang galakkan saya untuk berpuasa dan berdoa tentangnya. …
“Pada mulanya, saya bergelut dengan idea pemulihan selanjutnya. Kerana dosa saya bukanlah kewangan, saya tertanya-tanya apakah satu ‘pemulihan sewajarnya’ dimaksudkan. …[tetapi] segera saya sedari ia bukan berkaitan wang.
“Pemimpin imamat saya bertemu dengan [bekas isteri] dan anak-anak saya dan sedar bahawa mereka masih bergelut dan belum sembuh. …
“Matlamat baharu saya adalah untuk maju ke hadapan dengan iman. … Saya menyatakan keinginan saya untuk membantu tanpa balasan. … Saya memutuskan untuk [memberi bekas isteri sejumlah wang] setiap kali gaji, sebahagian besar daripada gaji bersih saya. Sebelum membuat bayaran pertama, Tuhan [sedarkan saya bahawa saya perlu] membayar [dua kali ganda jumlah itu].
“Saya belajar bahawa pemulihan bukan hanya tentang wang. Ia tentang menyerahkan hidup saya kepada Tuhan dengan rendah hati. … Wang itu adalah untuk menebus apa yang saya ambil daripada keluarga saya kerana pilihan buruk saya. Ia tentang membuat dan menunaikan janji tanpa mengharapkan balasan, serta membantu dia agar tidak risau tentang perbelanjaan supaya Roh boleh bersamanya.”
Usaha anda untuk pulihkan apa yang anda telah hancurkan mungkin tiada kaitan dengan wang, tetapi bila anda rendah hati berunding dengan Tuhan, anda mungkin temui ada banyak yang anda boleh lakukan.
Kelulusan Ilahi Secara Berperingkat
Apabila anda mencari pengampunan Tuhan, bersabarlah semasa menunggu kelulusan penuh-Nya. Pertimbangkan tulisan suci ini:
“Mereka … merendahkan hati mereka … di kedalaman kerendahan hati; dan … berseru dengan amat kuat kepada Tuhan; ya, bahkan sepanjang hari. … [Namun], Tuhan lambat mendengar seruan mereka kerana kederhakaan mereka.”
“Walaupun demikian Tuhan mendengar seruan mereka, dan mula … meringankan beban mereka; … dan … mereka mula makmur secara beransur-ansur.”
Bersabarlah semasa Tuhan memberi anda berkat dan kelulusan-Nya secara beransur-ansur.
Dalam waktu Tuhan, anda akan dengar suara-Nya memberitahu anda, “Tidak membiarkan hal-hal ini menyusahkanmu lagi.” Suatu hari, semasa anda terus berpaling kepada Juruselamat, Bapa Syurgawi akan mengambil “kesalahan daripada [hati anda], melalui jasa Putera-Nya.”
Luka dan Penderitaan
Kepada anda yang secara tidak adil dilukai oleh dosa berat orang lain, ingin saya kongsikan kasih dan rasa kasihan Juruselamat, penghiburan dan kedamaian-Nya.
Kesedihan yang anda telah rasa, hati yang hancur, kehilangan, pengkhianatan, perubahan drastik dalam kehidupan anda—Saya memberi anda keyakinan yang mutlak, Juruselamat mengenali dan mengasihi anda. Datanglah kepada-Nya. Dialah penghibur dan kekuatan anda; Dia akan menghantar para malaikat-Nya untuk menyokong anda. Bilakah kesakitan, kesedihan, memori yang tidak diingini akan hilang? Saya tidak tahu. Tetapi ini saya tahu: Dia ada kemampuan untuk menjadikan penderitaan anda indah.
Saudara dan saudari terkasih kita di Grand Blanc, Michigan, dengan iman mereka yang teguh kepada Yesus Kristus, serta keberanian dan sifat tidak mementingkan diri, telah menerima dan akan terus menerima, dalam minggu dan bulan yang akan datang, kasih dan rahmat Juruselamat yang tak terhingga dan melimpah ruah.
Apabila anda terus percaya kepada-Nya, awan kegelapan dan tangisan pilu anda di waktu malam akan bertukar menjadi deraian air mata kegembiraan dan ketenangan saat cahaya pagi menyinari. “Kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. … kegembiraan [kamu] tidak dapat diambil oleh sesiapa pun.” Masa itu akan datang. Saya bersaksi bahawa ia akan datang.
Kasih penebusan Yesus Kristus boleh ada pada situasi yang paling sukar, tetapi kita sentiasa perlukan rahmat penebusan Juruselamat kita. Presiden Dallin H. Oaks ajarkan: “Kerana pengalaman penebusan-Nya dalam kefanaan, Juruselamat kita dapat menghibur, menyembuh, dan memberi kekuatan kepada semua lelaki dan wanita di mana-mana pun, tetapi saya percaya Dia akan melakukan begitu hanya untuk orang yang mencari Dia dan minta pertolongan Dia. Rasul Yakobus mengajar: ‘Rendahkanlah dirimu di hadapan Tuhan, dan Ia akan meninggikan kamu’ (Yakobus 4:10 ). Kita layak untuk berkat itu bila kita percaya dalam Dia dan berdoa minta pertolongan-Nya.”
Elder Robert E. Wells
Saya menerima kebenaran daripada kawan saya dan Penguasa Umum Tujuh Puluh emeritus, Elder Robert E. Wells, kini berumur 97 tahun, untuk berkongsi pengalamannya lebih dari 60 tahun yang lalu:
Semasa tinggal di Paraguay tahun 1960 dan bekerja sebagai jurubank antarabangsa, Robert Wells, yang berusia 32 tahun, dan isterinya, Meryl, masing-masing juruterbang dalam dua pesawat yang berbeza, terbang pulang dari Uruguay ke Paraguay. Menghadapi awan tebal, Robert dan Meryl kehilangan hubungan visual dan radio dengan satu sama lain. Robert mendarat segera, di mana dia ketahui pesawat isterinya telah terhempas. Baik isterinya mahupun dua kawannya yang turut terbang bersamanya, tiada yang selamat. Anak-anaknya, di rumah di Asunción, berumur tujuh, lima, dan dua tahun.
Elder Wells meluahkan kesedihannya:
“Kata-kata tidak akan pernah cukup untuk menyatakan kesakitan yang membuak dalam diri saya, yang menguasai emosi dan melumpuhkan deria saya. Air mata kesedihan tidak berhenti mengalir. Lebih teruk lagi, semasa menangani perihal kematian isteri saya, saya mengalami rasa bersalah yang besar kerana merasakan saya bertanggungjawab ke atas kemalangan itu.”
Robert menyalahkan dirinya kerana tidak memeriksa pesawat itu dengan lebih teliti dan tidak memberi isterinya arahan yang lebih baik tentang penerbangan. Dia rasa bersalah kerana kelalaian.
Robert berkata:
“Fikiran saya terasa gelap. … Saya hidup —[demi anak-anak,] tak lebih dari tu.”
“Saya … hilang keinginan untuk teruskan.”
Pada masa itu, Robert diberkati dengan pengalaman rohani yang mendalam. Dia mengisahkan kembali:
“Satu petang, kira-kira setahun kemudian, semasa berlutut berdoa, satu mukjizat berlaku. Semasa berdoa dan merayu kepada Bapa Syurgawi, saya rasa seolah-olah Juruselamat mendekati saya dan saya dengar suara mengucapkan kata-kata ini kepada jiwa dan telinga saya: ‘Robert, korban tebusan-Ku dibayar untuk dosa-dosa dan kesilapanmu. Isterimu mengampunimu. Kawan-kawanmu mengampunimu. Aku akan mengangkat bebanmu. …’
“Sejak saat itu, beban perasaan bersalah [dan putus asa] saya diringankan. Saya telah diselamatkan! Saya segera memahami kuasa Korban Tebusan Juruselamat dan … itulah yang terjadi kepada saya. … Saya … mengalami cahaya dan kebahagiaan seperti yang saya tidak pernah tahu sebelum ini. … Saya telah diberikan kurnia yang tidak diusahakan—kurnia rahmat Tuhan. … Saya tidak layak—saya tidak melakukan apa-apa, tetapi Dia tetap memberikannya kepada saya.”
Saudara dan saudari, semoga setiap kita “dikuduskan di dalam Kristus dengan rahmat Tuhan, melalui penumpahan darah Kristus, … [menjadi] kudus, tanpa noda.”
Saya bersaksi tentang kasih, belas kasihan dan rahmat Juruselamat dan Penebus kita. Dia hidup. Kita adalah milik-Nya; kita anak-anak perjanjian. Pabila kita percaya pada-Nya, ikuti Dia, dan yakin pada Dia, Dia akan mengangkat kita daripada kesedihan dan dosa kita. Kemudian, melebihi kehidupan fana, di rumah Bapa kita, kita akan hidup dengan-Nya selama-lamanya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.