Persidangan Umum
Para Nabi Tuhan
Persidangan umum Oktober 2025


11:8

Para Nabi Tuhan

Untuk dengar dan patuh suara nabi adalah sangat penting untuk berpegang pada setiap hal yang baik sehingga Kedatangan Kedua.

Para remaja, betapa indahnya sesi persidangan yang kita ada! Kita sudah mendengar tiga Rasul Yesus Kristus yang hidup. Betapa indahnya berkat itu! Dan kita akan mendengar satu lagi, Elder Henry B. Eyring. Jamuan rohani berterusan!

Ucapan saya tahun lepas, kita belajar bagaimana untuk menghadapi dunia ini melalui pengalaman Daud dengan Goliat. Ingat lima batu itu? Hari ini saya berkongsi cerita Perjanjian Lama yang saya baca pada usia anda yang membuatkan saya ingin menjadi seperti watak utamanya. Alkitab tidak memberitahu kita namanya, jadi kita akan memanggilnya wanita Sunem kerana ini adalah nama kotanya.

Wanita membuat roti untuk nabi

Suatu hari, nabi Elisa pergi ke kota Sunem, dan kita baca bahawa “ada seorang perempuan kaya. Perempuan itu menjemput Elisa makan di rumahnya. Sejak itu setiap kali Elisa pergi ke Sunem, dia makan di rumah perempuan kaya itu.” Saya bayangkan nabi Elisa sangat gembira dengan jemputan untuk makan di rumahnya! Setelah dia pergi beberapa kali, suatu hari wanita itu berkata kepada suaminya, “Aku yakin bahawa orang yang selalu datang ke mari itu sungguh-sungguh hamba Tuhan.”

Wanita itu berkata, “Sekarang, aku yakin.” Nampaknya dia menjemput Elisa ke rumahnya tanpa tahu bahawa dia ialah seorang nabi; dia menerima kesaksiannya melalui Roh Kudus dan mendengar dengan tekun apa yang Elisa kata dan ajarkan. (Ingat, tiada gambar pada masa itu! Jadi ia susah untuk mengenali nabi hanya melalui mukanya.)

Wanita menyediakan bilik untuk nabi

Tetapi cerita ini tidak berakhir di situ. Suatu hari, wanita itu berkata kepada suaminya, “Marilah kita bina sebuah bilik kecil, … dan melengkapinya dengan sebuah tempat tidur, sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah pelita supaya dia dapat menginap di situ manakala dia datang ke mari.”

Wanita yang beriman ini sanggup membina sebuah bilik di rumahnya supaya nabi, ketika melalui bandar, mempunyai tempat untuk bermalam!

Hari ini kita boleh belajar satu pengajaran yang berkuasa dari pengalaman ini.

Tuhan bersaksi kepada wanita Sunem bahawa Elisa ialah seorang nabi Tuhan, dan dia bertindak dengan membuka rumahnya untuk menerima dia.

Kita juga boleh menerima kesaksian peribadi tentang nabi Tuhan hari ini dan buka hati dan minda kita—rumah kita—kepada pesanan yang Bapa Syurgawi ada untuk kita pada zaman akhir ini.

Para remaja, saya menjemput anda untuk menanyakan diri anda soalan ini: “Adakah saya mempunyai kesaksian peribadi tentang nabi Tuhan yang hidup?”

Mari kita bermula dari awal.

Apakah itu nabi? Nabi ialah seorang lelaki yang telah dipanggil oleh Tuhan untuk berbicara bagi pihak-Nya. Kini terdapat para nabi di bumi, sama seperti pada zaman dahulu.

Para nabi ialah pelihat dan pewahyu. Ini bermaksud mereka dapat melihat apa yang orang lain tidak dapat lihat, dan mereka boleh bernubuat tentang peristiwa masa depan. Mereka juga dapat mempersiapkan kita untuk menghadapi malapetaka. Para nabi menerima perintah dan wahyu daripada Tuhan. Fasal-Fasal Kepercayaan kesembilan berbicara tentang wahyu yang berterusan pada zaman akhir ini. Ia berkata, “Kami percaya segala yang Tuhan telah wahyukan, segala yang Dia wahyukan sekarang, dan kami percaya bahawa Dia akan mewahyukan hal-hal yang besar dan penting berkaitan dengan Kerajaan Tuhan.”

Elder Gary E. Stevenson berkata, “Tuhan terus mengungkapkan perintah dan kehendak-Nya kepada para nabi-Nya hari ini kerana Dia mahu memimpin kita kepada kebahagiaan dalam kehidupan ini dan kemuliaan selestial dalam kehidupan yang akan datang.”

Para nabi juga mengisytiharkan injil dan merupakan pengajar serta utusan Tuhan yang diilhami untuk semua orang di bumi.

Setiap ahli Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul ialah seorang nabi, pelihat, dan pewahyu. Melayani sebagai satu majlis di bawah arahan Tuhan, mereka ada wewenang untuk isytihar dan tafsir ajaran dan menubuhkan dasar untuk Gereja-Nya. Mereka berdoa dan berbincang dengan penuh teliti, kerana keputusan kuorum-kuorum ini mesti dicapai secara sebulat suara. Dengan cara ini, Tuhan meyakinkan kita bahawa kehendak-Nya akan dilaksanakan.

Para nabi bersaksi tentang Kristus—Kewujudan-Nya, pelayanan-Nya, dan keilahian-Nya.

Marilah kita membaca beberapa kesaksian para nabi dalam Kitab Mormon.

Abinadi mengisytiharkan:

“Tuhan sendiri akan turun ke kalangan anak-anak manusia, dan akan menebus umat-Nya.

“Dan kerana Dia berdiam dalam daging Dia akan dipanggil Putera Tuhan.”

Samuel si bangsa Laman juga bersaksi bahawa Yesus Kristus “Putera Tuhan, Bapa segala langit dan bumi, Pencipta segala sesuatu sejak dari permulaan.”

Dan nabi Moroni berkata, “Aku telah melihat Yesus, dan … Dia telah bercakap denganku dari muka ke muka.”

Apabila Kristus melawat bangsa Nefi, salah satu perkara pertama yang Dia lakukan ialah memanggil dua belas Rasul. Dan Dia berfirman kepada orang ramai, “Diberkatilah kamu jika kamu akan mendengarkan perkataan daripada dua belas orang ini yang telah Aku pilih.”

Sekarang, biarkan saya berkongsi beberapa kata untuk ibu bapa atau ahli keluarga lain yang sedang membesarkan anak-anak. Tuhan sendiri mengajar Adam dan Hawa kebenaran rancangan keselamatan. Dan kemudian Dia berfirman kepada mereka, “Aku memberi kepadamu sebuah perintah, untuk mengajarkan hal-hal ini dengan bebas kepada anak-anakmu.”

Apakah maksudnya untuk mengajarkan hal-hal dengan bebas? Ia adalah belajar kebenaran injil, mempunyai kesaksian peribadi tentangnya, dan berkongsi pengetahuan itu dengan anak-anak kita. Ia adalah menggalakkan masa pengajaran formal dan tidak formal. Ia adalah hidup menurut pengetahuan dan kesaksian itu.

Kitab Mormon menggambarkan 2,060 pahlawan teruna sebagai “lelaki yang bersifat benar dan sungguh, kerana mereka telah diajar untuk mentaati perintah-perintah Tuhan dan untuk berjalan dengan lurus di hadapan-Nya.” Para pemuda ini dengan setia mematuhi Helaman, yang pada waktu itu adalah pemimpin tentera dan juga nabi mereka, dan mereka sedar bahawa ibu-ibu mereka telah memenuhi hati mereka dengan kebenaran dan iman.

Para ibu bapa, dunia ini terdapat banyak suara dan kadangkala kegelapan, Tuhan sendiri telah memerintahkan kita untuk membesarkan anak-anak kita dalam cahaya dan kebenaran. Dia mengamanahkan tanggungjawab untuk mengajar anak-anak kita kebenaran-kebenaran penyelamatan injil. Jika kita gagal berbuat demikian, dunia tidak akan melakukannya.

Para rakan muda yang dikasihi, saya ada jemputan untuk anda: Pada hari-hari yang akan datang, saya menjemput anda untuk berlutut, membuka hati anda, dan berdoa dengan iman kepada Bapa Syurgawi, meminta-Nya untuk mengesahkan kepada anda bahawa nabi dan rasul-Nya adalah suara-Nya di bumi hari ini.

Wanita Sunem mengajar bahawa kita boleh memiliki kesaksian itu melalui Roh Kudus. Saya berjanji bahawa apabila kita tahu mereka ialah orang yang terpilih oleh Tuhan, hidup kita akan menjadi lebih mudah walaupun menghadapi cabaran yang berterusan, kerana kita akan taati suara mereka dengan penuh kepercayaan, iman, dan harapan. Untuk dengar dan patuh suara nabi adalah sangat penting untuk berpegang pada setiap hal yang baik sehingga Kedatangan Kedua Juruselamat kita.

Kejahatan dunia sedang berkembang, tetapi Gereja Yesus Kristus dan kerajaan-Nya lebih kuat daripada sebelumnya. Sion memakai pakaian kebesarannya, dan takhta Kristus tidak akan jatuh. Tuhan mengharapkan kita untuk menjadi kuat dalam kesaksian kita, dipenuhi dengan iman, dan bertaubat setiap hari. Juruselamat kita, Yesus Kristus, mengharapkan setiap daripada kita untuk meneruskan pekerjaan-Nya.

Nabi Joseph Smith pernah berkata, “Para saudara, adakah kita tidak akan meneruskan dalam tujuan yang sedemikian besar?” Walau bagaimanapun, disebabkan pesanan saya khas untuk anda, para remaja, saya ingin menggunakan perkataan remaja dan bukan saudara. Sedia?

“[Para remaja], adakah kita tidak akan meneruskan dalam tujuan yang sedemikian besar? Majulah dan janganlah mundur. Beranilah, [para remaja]; dan maju, majulah menuju kemenangan! Biarlah hatimu bersukacita dan menjadi amat gembira.

Saya bersyukur atas bimbingan dan usaha suci para nabi yang hidup. Saya bersaksi dengan khusyuk bahawa mereka dipanggil oleh Tuhan untuk membawa, menegakkan, dan memimpin kerajaan-Nya di bumi hari ini. Dan ia akan sentiasa begitu. Tuhanlah yang akan sentiasa memilih hamba-hamba-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Terjemahan bahasa Sepanyol bagi frasa ini menyampaikan maksud “menjemput dengan bersungguh-sungguh.”

  2. 2 Raja-Raja 4:8.

  3. 2 Raja-raja 4:9; penekanan ditambah.

  4. 2 Raja-Raja 4:10.

  5. Lihat Amos 3:7.

  6. “Di bawah arahan Tuhan, [Presiden Gereja] mengetuai Gereja dan adalah satu-satunya orang di bumi yang diberi kuasa untuk menggunakan semua kunci imamat. … Dia memiliki wewenang untuk menerima wahyu dan mengisytiharkan kehendak Tuhan bagi seluruh Gereja” (General Handbook: Serving in The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 5.1.1.1, Gospel Library).

  7. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:38.

  8. Gary E. Stevenson, “The Gospel of Jesus Christ: A Cheering Sound,” For the Strength of Youth, Julai 2025, 5.

  9. Lihat Matius 28:19–20; Ajaran dan Perjanjian 21:1,4–5; 107:35.

  10. “Setiap Rasul memegang semua kunci kerajaan dan menggunakan kunci-kunci itu di bawah arahan Presiden Gereja” (General Handbook, 5.1.1.1).

  11. Lihat General Handbook, 5.1.1.1.

  12. Lihat Ajaran dan Perjanjian 107:27–31.

  13. “Dua Belas Rasul adalah ‘saksi istimewa’ nama Yesus Kristus. … Mereka bersaksi kepada seluruh dunia tentang keilahian-Nya dan realiti Kebangkitan-Nya” (General Handbook, 5.1.1.1).

  14. Mosia 15:1–2.

  15. Helaman 14:12.

  16. Eter 12:39.

  17. Berbicara tentang Kitab Mormon, Nabi Joseph Smith mengajarkan: “Kitab ini juga beritahu kita bahawa Juruselamat kita ,muncul di atas benua ini selepas kebangkitan-Nya, bahawa Dia membawa injil ke sini dalam segala kegenapan, dan kekayaan, dan kuasa, dan berkat; bahawa mereka mempunyai para rasul, nabi, gembala, pengajar dan evangelis; tarekat yang sama, imamat yang sama, tatacara, kurnia, kuasa, dan berkat yang sama seperti yang dinikmati di Benua Timur” (History, 1838–1856, volume C-1 [2 November 1838–31 Julai 1842], 1282, josephsmithpapers.org).

  18. 3 Nefi 12:1; penekanan ditambah.

  19. Musa 6:58; penekanan ditambah.

  20. Lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25–28.

  21. “Kita harus mengambil setiap peluang untuk berkongsi ajaran Yesus Kristus dengan kanak-kanak. Detik-detik pengajaran ini adalah berharga dan jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan usaha tanpa henti daripada musuh. Untuk setiap jam yang dihabiskan untuk menerapkan ajaran ke dalam hidup kanak-kanak, terdapat berjam-jam tentangan yang dipenuhi dengan mesej dan gambar yang mencabar atau mengabaikan kebenaran yang menyelamatkan ini.

    “Sebahagian anda mungkin tertanya-tanya sama ada lebih baik rapat dengan anak-anak anda melalui keseronokan, atau anda mungkin rasa anak itu mula terbeban dengan ajaran anda. Sebaliknya, kita harus mempertimbangkan, ‘Dengan masa dan peluang yang begitu sedikit, apakah ajaran yang saya boleh kongsi yang akan menguatkan mereka melawan cabaran iman mereka?’ Kata-kata yang anda kongsi hari ini boleh menjadi kata-kata yang mereka simpan, dan hari ini akan segera berlalu” (Henry B. Eyring, “Ajaran Yesus Kristus Adalah Sederhana,” Persidangan Umum, Okt. 2024).

  22. Setiap remaja adalah penting! (lihat Alma 57:6, 20).

  23. Alma 53:21; penekanan ditambah.

  24. Lihat Alma 56:44–48; 57:21.

  25. Lihat Ajaran dan Perjanjian 93:40.

  26. Kita juga mempunyai teladan ibu bapa Enos, yang membesarkan dia “dalam asuhan dan nasihat Tuhan” (Enos 1:1) dan mengajarnya tentang “kehidupan abadi, dan sukacita para orang suci” (Enos 1:3). Enos tahu watak Tuhan (lihat Enos 1:6, 15, 17).

  27. Lihat Ajaran dan Perjanjian 21:1–2; 4–6. “Walaupun dunia menegaskan bahawa kuasa, harta milik, populariti dan keseronokan manusia bawa kebahagiaan, ia tidak boleh! Ia tidak berupaya! Apa yang ia hasilkan hanyalah pengganti kosong untuk “keadaan diberkati dan bahagia bagi [mereka] yang mentaati perintah-perintah Tuhan.” [Mosia 2:41].

    “Kebenarannya adalah ia lebih memenatkan untuk cari kebahagiaan di mana anda tidak akan temuinya! Walau bagaimanapun, apabila anda bersandar kepada Yesus Kristus dan lakukan pekerjaan rohani yang diperlukan untuk mengatasi dunia, Dialah yang memiliki kuasa untuk mengangkat anda dari tarikan dunia ini.

    “Sekarang, bagaimana mengatasi dunia memberkati kehidupan kita? Jawapannya jelas: Memasuki hubungan perjanjian dengan Tuhan mengikat kita kepada-Nya dengan cara yang membuat semua tentang kehidupan lebih senang. Sila jangan salah faham saya: Saya tidak berkata bahawa membuat perjanjian menjadikan hidup lebih senang. Malah, ia adalah sebaliknya, kerana musuh tidak mahu anda temui kuasa Yesus Kristus. Tetapi mengikat diri dengan Juruselamat bermakna anda dapat mengakses kekuatan dan kuasa penebusan- Nya. (Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” Persidangan Umum, Okt. 2022).

  28. Lihat Eter 8:26; Moroni 7:19–25.

  29. Lihat Yesaya 52:1.

  30. Lihat Mazmur 125:1; Yesaya 28:16.

  31. Ajaran dan Perjanjian 128:22; penekanan ditambah.

  32. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:30.

  33. Lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:5.