Persidangan Umum
Ketahui Siapa Anda Sebenarnya
Persidangan umum Oktober 2025


10:46

Ketahui Siapa Anda Sebenarnya

Tidak kira di mana kita berada di jalan penganutan, kehidupan kita pada dasarnya akan berubah jika kita lebih memahami siapa diri kita.

Beberapa tahun yang lalu anak perempuan kami ada pengalaman yang mendalam dalam misinya. Dengan persetujuannya, saya berkongsi satu kutipan tentang apa yang dia tulis kepada kami minggu itu:

“Semalam seorang ahli yang kembali meminta kami untuk mengunjungi rumahnya secepat mungkin. Apabila kami tiba, kami menemuinya di lantai, menangis teresak-esak. Kami mengetahui bahawa dia telah kehilangan pekerjaannya, akan diusir dari pangsapurinya, dan sekali lagi menjadi gelandangan.”

Anak perempuan kami berkata: “Saya mula menyelidiki tulisan suci saya, cuba mencari sesuatu—apa-apa pun—untuk membantu dia. Semasa saya mencari ayat yang sempurna, saya berfikir, Apakah yang saya sedang lakukan? Ini bukan apa yang Kristus akan lakukan. Ini bukan masalah yang saya boleh selesaikan, tetapi ini adalah anak perempuan Tuhan yang memerlukan bantuan saya.’ Jadi saya menutup kitab suci, berlutut di sisinya, dan memeluknya sementara kami menangis bersama, sehingga dia bersedia untuk bangun dan menghadapi ujian ini.”

Selepas wanita ini ditenangkan, anak perempuan kami kemudian menggunakan tulisan suci untuk membantunya memahami realiti nilai ilahinya dan mengajar dia satu kebenaran yang paling asas tentang kewujudan kita—bahawa kita adalah putera dan puteri Tuhan yang dikasihi, Tuhan yang merasa belas kasihan yang sempurna bagi kita apabila kita menderita dan sedia untuk membantu kita bangkit semula.

Ia adalah bermakna bahawa ajaran pertama yang diajar oleh para misionari kita adalah bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita yang pengasih. Setiap kebenaran yang berikutnya dibina di atas pemahaman asas tentang siapa diri sebenar kita.

Susan H. Porter, Presiden Umum Sekolah Primer, mengajar: “Apabila anda tahu dan faham betapa anda dikasihi sebagai anak Tuhan, ia mengubah segalanya. Ia mengubah tanggapan tentang diri anda apabila anda membuat kesilapan. Ia mengubah perasaan anda apabila perkara-perkara sukar berlaku. Ia mengubah pandangan anda tentang perintah-perintah Tuhan. Ia mengubah pandangan anda tentang orang lain dan keupayaan anda untuk melakukan perubahan.”

Perubahan ini digambarkan semasa kita membaca tentang pengalaman yang Musa alami ketika bercakap dengan Tuhan secara bersemuka. Semasa perbualan itu, Tuhan berulang kali mengajar Musa tentang warisan ilahinya, mengatakan “Musa, … engkaulah anak-Ku.” Tuhan menjelaskan bahawa Musa memiliki suatu kemiripan dengan Anak Tunggal-Nya. Musa memahami dengan jelas siapa dia, bahawa dia mempunyai pekerjaan untuk dilakukan, dan bahawa dia mempunyai seorang Bapa Syurgawi yang pengasih.

Selepas pengalaman ini, musuh datang menggodanya dan segera berucap kepadanya dengan berkata, “Musa, anak manusia.” Ini adalah alat yang biasa dan berbahaya dalam senjata musuh. Walaupun Bapa Syurgawi kita secara konsisten dan dengan penuh kasih mengingatkan kita bahawa kita adalah anak-anak-Nya, musuh akan sentiasa melabelkan kita dengan kelemahan kita. Tetapi Musa telah belajar bahawa dia lebih daripada “anak manusia.” Dia mengisytiharkan kepada Setan: “Siapakah engkau? Kerana lihatlah, aku ialah seorang anak Tuhan,” Begitu juga, apabila kita menghadapi cabaran kefanaan atau apabila kita merasa seseorang cuba melabelkan kita dengan kelemahan, kita perlu berdiri teguh dalam pengetahuan tentang siapa kita sebenarnya. Kita mesti mendapatkan pengesahan daripada Tuhan, bukan daripada orang lain. Dan apabila kita melakukannya, kita juga boleh mengisytiharkan dengan berani, “Aku ialah seorang anak Tuhan,”

Dalam pertemuan rohani sedunia untuk belia, Presiden Russell M. Nelson yang kita kasihi mengajar: “Jadi siapakah anda? Pertama sekali, anda ialah anak Tuhan, anak perjanjian, dan pengikut Yesus Kristus. Sewaktu anda menerima kebenaran ini, Bapa Syurgawi akan membantu anda mencapai matlamat utama untuk hidup abadi di hadirat kudus-Nya.”

Ia bukan kebetulan bahawa dalam tulisan suci yang paling berulang, Tuhan mengingatkan kita tentang hubungan kita dengan-Nya. Daripada semua nama yang Dia boleh dikenal pasti dalam doa sakramen, Dia telah meminta untuk dipanggil “Tuhan, Bapa yang Abadi.”

Apabila kita ketahui siapa diri kita, kita akan lebih percaya bahawa Bapa Syurgawi kita yang pengasih telah sediakan rancangan untuk kita kembali hidup bersama-Nya lagi. Elder Patrick Kearon mengajar: “Rancangan-Nya yang ‘hebat’, direka untuk membawa anda pulang, bukan untuk menghalang anda. … Tuhan sentiasa mengejar anda tanpa henti.” Fikirkan tentang itu seketika—Bapa kita yang maha kuasa dan pengasih “mengejar anda tanpa henti.”

Tidak kira di mana kita berada di jalan penganutan, kehidupan kita pada dasarnya akan berubah jika kita lebih memahami siapa diri kita. Saya mencadangkan dua cara kita boleh memperdalam pemahaman ini.

Pertama, Doa

Semasa Juruselamat memulakan pelayanan fana-Nya, dia dibawa ke padang belantara untuk “bersama dengan Tuhan.” Mungkin kita harus mengalihkan fikiran kita daripada hanya mengucapkan doa kita kepada mengambil masa yang mencukupi untuk benar-benar berbicara dan “bersama dengan Tuhan” setiap hari.

Saya mendapati bahawa kualiti doa saya bertambah baik apabila saya mengambil masa beberapa minit untuk bersedia bercakap dengan Bapa saya. Tulisan suci menunjukkan kepada kita bahawa ini adalah pola yang berfungsi. Sama ada ia Joseph Smith; Nefi, anak lelaki Helaman; atau Enos, semuanya ada bentuk renungan dan pemikiran terlebih dahulu sebelum komunikasi mereka dengan Tuhan direkodkan. Enos berkata bahawa jiwanya lapar ketika mendengar kata-kata bapanya meresap jauh ke dalam hatinya. Setiap contoh ini mengajar kita keperluan untuk bersedia secara rohani untuk masa kita setiap hari untuk “bersama dengan Tuhan.”

Kepada bangsa Nefi, Juruselamat mengarahkan, “Apabila engkau berdoa, masuklah ke dalam bilikmu, dan apabila engkau telah menutup pintumu, berdoalah kepada Bapamu.”

Sama ada di ruang tertutup atau di bilik tidur, asasnya adalah untuk mencari tempat di mana anda boleh berdoa secara bersendirian, menenangkan jiwa, dan merasai dorongan “suara yang lembut.” Kita boleh bersedia dengan merenungkan hal-hal yang kita syukuri dan soalan atau kebimbangan yang kita ingin bawa kepada Bapa kita. Kita harus berusaha agar doa kita tidak dilakukan secara berulang-ulang tanpa makna tetapi untuk bercakap dengan Bapa kita, dengan lantang jika boleh.

Saya sedar bahawa dalam kekalutan hidup, sama ada ketika melayan kerenah anak kecil atau sibuk dengan mesyuarat, kita mungkin tidak selalu ada ruang yang tenang atau masa untuk membuat persediaan yang rapi.—tetapi doa yang senyap, cepat, dan penting menjadi lebih bermakna apabila kita telah berusaha untuk “bersama dengan Tuhan” pada awal hari.

Mungkin ada di antara kita yang sudah lama tidak berdoa, atau yang merasa doanya tidak didengari. Saya berjanji kepada anda bahawa Bapa Syurgawi mengenali anda, mengasihi anda, dan ingin mendengar daripada anda. Dia ingin berkomunikasi dengan anda. Dia mahu anda ingat siapa anda.

Elder Jeffrey R. Holland baru-baru ini mengajar: “Sebanyak mana pun anda berdoa, perbanyakkan berdoa. Sekuat manapun anda berdoa, perbanyakkan berdoa.”

Selain daripada meningkatkan kekerapan dan kesungguhan doa kita, mengkaji Kitab Mormon setiap hari dan menyembah di bait suci membantu mempersiapkan fikiran kita untuk wahyu. Apabila kita berusaha untuk memperbaiki komunikasi dengan Bapa Syurgawi kita, Dia akan memberkati kita untuk merasa lebih mendalam bahawa kita adalah anak-anak-Nya.

Kedua, Ketahuilah Yesus Ialah Kristus

Pernyataan terbesar kasih Bapa Syurgawi kepada kita, anak-anak-Nya adalah realiti bahawa Dia menghantar Putera-Nya, Juruselamat peribadi kita sendiri, untuk bantu kita pulang ke rumah. Oleh itu, kita perlu mengenali-Nya.

Bertahun-tahun yang lalu, semasa melayani sebagai presiden pancang, saya menghantar satu perakuan bagi seorang saudara untuk melayani sebagai pekerja tatacara di bait suci. Selepas menerangkan betapa luar biasanya dia akan menjadi sebagai pekerja tatacara, saya tanpa sengaja menekan “Tidak menyokong” lalu perakuan itu dihantar. Selepas tidak berjaya mengambil balik pesanan itu, saya hubungi presiden bait suci dan berkata, “Saya telah membuat kesilapan yang teruk.” Tanpa ragu, presiden bait suci ini berkata, “Presiden Eyre, tiada apa yang telah kamu lakukan yang tidak boleh diampuni dan akhirnya diperbetulkan.” Betapa hebatnya kebenaran itu. Sesungguhnya, Yesus Kristus adalah “perkasa untuk menyelamatkan.”

Pada tahun 2019 terdapat perubahan dalam soalan kad rekomen bait suci. Sebelum ini, satu soalan ditanya jika anda ada kesaksian tentang peranan Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita. Sekarang iantanyakan jika anda ada kesaksian tentang peranan-Nya sebagai Juruselamat dan Penebus anda. Korban Tebusan Yesus Kristus bukan sahaja berfungsi untuk orang lain; ia berfungsi untuk anda dan untuk saya. Dia ialah Juruselamat saya. Dia ialah Juruselamat anda. Secara individu. Hanya melalui Dia, anda dan saya boleh kembali untuk bersama Bapa kita.

Jadi, saudara dan saudari, marilah kita mencari-Nya. Marilah kita mengkaji hubungan ilahi-Nya dengan Bapa dan dengan kita. Marilah kita mengalami nyanyian kasih penebusan yang datang secara peribadi kepada setiap kita melalui Penebus apabila kita bertaubat. Apabila kita mengenali “Dia yang perkasa untuk menyelamatkan,” kita akan faham bahawa kita, sebagai anak-anak Tuhan, adalah kebahagiaan-Nya—fokus-Nya yang paling penting—dan sesungguhnya setiap kita layak untuk diselamatkan.

Saya bersaksi bahawa kita mempunyai Bapa Syurgawi yang pengasih. Apabila kita tahu kebenaran abadi ini melalui doa yang hebat, wahyu peribadi, dan datang kepada Yesus Kristus, kita boleh mengisytiharkan sekarang dan sentiasa, “Aku anak Tuhan.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.