Tuhan Melihat Hati
Semua yang Tuhan perlukan untuk mencapai tujuan-Nya dan membantu kita menjadi seperti yang Dia inginkan adalah dengan memalingkan sepenuhnya hati kita kepada-Nya.
Apabila diperintahkan untuk memilih raja baharu Israel daripada kalangan putera-putera Isai, nabi Samuel, melihat anak sulung Isai, Eliab, berseru dengan semangat, “Orang yang berdiri di hadapan Tuhan ini tentulah orang yang dipilih-Nya.” Tetapi Eliab bukan hamba Tuhan yang terpilih. Juruselamat mengingatkan Samuel: “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”
Daud mungkin tidak pernah menjadi yang paling kuat atau mahir daripada abang-abangnya secara fizikal, namun hatinya kuat di mata Tuhan. Dia mengasihi Tuhan dengan sepenuh hatinya dan mempunyai keinginan mendalam untuk mematuhi-Nya. Dia ada iman yang teguh dalam kasih, kuasa, dan berkat-berkat yang dijanjikan Tuhan, yang kemudiannya ditunjukkan ketika dia berperang tanpa gentar dan mengalahkan Goliat dengan bantuan Tuhan.
Cerita ini mengajar kita bahawa semua yang Tuhan perlukan untuk mencapai tujuan-Nya dan membantu kita menjadi seperti yang Dia inginkan adalah dengan memalingkan sepenuhnya hati kita kepada-Nya. Kepada hakim, Dia perintahkan, “Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu.” Kepada Nabi Joseph Smith, Dia berkata, “Lihatlah, Tuhan menuntut hati dan suatu fikiran yang rela.” Dan kepada bangsa Nefi, Juruselamat yang dibangkitkan memberi jemputan ini: “Kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal.”
Mengapakah begitu? Juruselamat mengajar bahawa jika kita memalingkan hati sepenuhnya kepada Dia, kerana korban tebusan-Nya, kita mendapat kekuatan dan kurnia rohani yang diperlukan untuk menghadapi cabaran fana kita, menahan godaan, menerima bimbingan, dan pemahaman serta merasakan kebahagiaan dan kedamaian dalam hidup. “Dan dari hal-hal yang kecil bermulalah hal yang besar.” Dia berkata Dia boleh “menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat” dan memberkati kita dengan segala yang kita perlukan untuk berjaya dalam kehidupan fana ini dan menerima kehidupan abadi. “Berbahagialah orang yang murni hati,” Dia berkata, “mereka akan mengenal Tuhan.”
Saya percaya ini adalah salah satu sebabnya, Yesus Kristus sering membetulkan guru Taurat dan orang Farisi semasa pelayanan fana-Nya. Walaupun tekun dalam mematuhi hukum-Nya, mereka berbuat demikian untuk sebab-sebab yang salah. Dia menegur mereka, dengan mengatakan, “Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku.”
Ini adalah peringatan kepada semua pengikut-Nya bahawa ia bukan hanya tentang apa yang kita lakukan—kata-kata dan tindakan kita—tetapi juga mengapa kita melakukan apa yang Yesus Kristus minta kita lakukan—hasrat dan motif kita. Dia berkata, “Kerana Aku, Tuhan, akan menghakimi semua orang menurut pekerjaan mereka, menurut hasrat hati mereka.” Bapa Syurgawi kita inginkan lebih daripada tindakan kepatuhan dan pelayanan daripada anak-anak-Nya. Dia mahu kita melakukan perkara itu dengan niat yang bersungguh-sungguh, kerana kita mengasihi-Nya dengan sepenuh hati kita. Dia mahu kita berhasrat untuk menjadi seperti Dia.
Sekarang, jika kesihatan rohani hati kita adalah kebimbangan utama Juruselamat—apa yang Dia cari dalam seorang pengikut yang sebenar—bagaimanakah kita dapat memeriksa hati kita dan tahu jika ia benar di mata Tuhan?
Baru-baru ini, semasa isteri saya dan saya pulang dari misi kami di Portugal, kami menjalankan satu siri ujian kesihatan untuk menilai keadaan fizikal kami. Beberapa ujian tersebut memberi tumpuan kepada kesihatan jantung kami—seperti ujian darah, ekokardiogram, dan ujian tekanan. Saya percaya Juruselamat juga telah sediakan kita satu set ujian rohani yang boleh digunakan untuk menilai keadaan hati rohani kita. Izinkan saya berkongsi beberapa dengan anda.
Menilai Hati Anda dengan Ujian Kerohanian
Pertama, Tumpuan, Keutamaan, dan Motif Kita
“Kerana di mana hartamu berada, di sanalah juga hatimu akan berada,” Yesus mengajar. Harta adalah sesuatu yang berharga bagi kita, sesuatu yang kita dedikasikan usaha dan perhatian. Tempat yang kita pilih untuk luangkan masa, perhatian kita, dan dorongan di sebalik tindakan kita, mencerminkan banyak tentang hati kita. Juruselamat mengingatkan bahawa ramai yang dipanggil oleh-Nya, sedikit yang dipilih “kerana hati mereka diletakkan begitu banyak pada hal-hal dari dunia ini, dan [mereka] menginginkan kehormatan manusia.” Adakah saya menjadikan Juruselamat satu keutamaan dalam hidup saya? Adakah mata saya tertumpu pada kemuliaan-Nya dalam segala yang saya lakukan?
Kedua, Kesediaan Kita untuk Mematuhi Perintah-perintah Tuhan
Di seluruh tulisan suci, Tuhan dan para nabi-Nya mengaitkan keangkuhan dan ketidakpatuhan dengan memiliki hati yang keras. Nefi menasihati abang-abangnya, mengatakan: “Bagaimanakah mungkin bahawa engkau tidak mematuhi perintah-perintah Tuhan? Bagaimanakah mungkin bahawa engkau akan binasa, kerana kekerasan hatimu?” Kepada Orang Suci di Missouri, Tuhan memberi amaran, “Tetapi dia yang tidak melakukan apa pun sehinggalah dia diperintahkan, dan menerima perintah itu dengan hati yang penuh keraguan, dan mentaatinya dengan kemalasan, orang yang sama itu dilaknat.” Walaupun Juruselamat tidak mengharapkan kesempurnaan dalam mematuhi perintah-perintah-Nya, Dia meminta agar kita berhasrat dan berusaha untuk mematuhinya dengan sepenuh hati kita.
Ketiga, Ketekunan Kita dalam Mengkaji Tulisan Suci dan Mencari Wahyu
Tuhan menegur Oliver Cowdery untuk “simpanlah baik-baik firman ini dalam hatimu.” Kita dijemput untuk menyelidiki tulisan suci dengan tekun dan, melalui kuasa Roh Kudus, berusaha mendapatkan pemahaman dan kesaksian akan kebenaran injil dalam hati kita.
Nabi Abinadi menegur para imam Raja Nuh yang jahat kerana tidak melakukan itu, mengatakan, “Kamu telah tidak menumpukan hatimu pada pengertian; oleh kerana itu, kamu telah tidak bijak.” Adakah saya berusaha dengan ikhlas untuk mengkaji tulisan suci setiap hari dan menumpukan hati saya untuk memahaminya melalui doa?
Keempat, Fikiran dan Kata-kata Kita
Juruselamat mengajar bahawa “dari hatilah timbul fikiran jahat” dan bahawa “orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati.” Kualiti fikiran dan kata-kata kita adalah petunjuk yang baik tentang kesucian hati kita. Adakah saya banyak berfikiran negatif tentang tindakan atau motif orang lain, atau tentang diri saya? Adakah saya terlalu cepat untuk menghakimi dan menghukum orang lain? Adakah saya mencari alasan untuk kesilapan saya? Dan bagaimana pula dengan kata-kata saya? Adakah ia memberi semangat dan mengilhami orang di sekeliling saya? Atau adakah ia sering mencipta konflik dan kemarahan?
Selepas ujian fizikal saya selesai, doktor memberi tahu secara keseluruhannya, jantung saya sihat—tetapi terdapat beberapa kebimbangan yang perlu ditangani sekarang, sebelum ia nya menjadi serius. Dia kemudiannya menetapkan beberapa perubahan gaya hidup. Begitu juga, semasa anda melakukan penilaian rohani terhadap hati anda dan melihat beberapa gejala negatif mula menjalar, jangan panik! Juruselamat telah sediakan ubat dan rawatan rohani yang cemerlang untuk membantu anda. Dia juga telah berjanji untuk memberi anda hati yang baharu! Berikut adalah beberapa tindakan yang boleh memperbaiki kekuatan rohani hati anda.
Meningkatkan Kesihatan Rohani Hati Anda
Pertama, Kuatkan Hubungan Anda dengan Kristus
Apabila kita mendedikasikan masa setiap hari untuk mendekati Kristus, hati kita diubah. Pengkajian tulisan suci setiap hari, disertai dengan doa ikhlas dan puasa yang tetap, akan meningkatkan kasih anda kepada Juruselamat, menguatkan iman, keinginan anda untuk bertaubat dan menyerahkan hati anda kepada Tuhan dengan rendah hati. Pertimbangkan contoh ini daripada Nefi: “Oleh kerana itu, aku berseru kepada Tuhan; dan lihatlah Dia mengunjungiku, dan melunakkan hatiku sehingga aku mempercayai segala perkataan yang telah diucapkan oleh bapaku.”
Semasa kita terus memelihara benih iman melalui hasrat dan tindakan soleh kita, kita akan mengalami pengudusan hati yang sama seperti bangsa Nefi: “Mereka sering berpuasa dan berdoa, dan menjadi semakin kuat dan kuat dalam kerendahan hati mereka, dan semakin teguh dan teguh dalam iman kepada Kristus, sehingga memenuhkan jiwa mereka dengan kebahagiaan dan kesenangan hati, ya, bahkan kepada pemurnian dan pengudusan hati mereka, yang mana pengudusan itu datang kerana penyerahan hati mereka kepada Tuhan.”
Kedua, Selaraskan Kehendak Anda dengan Kehendak-Nya
Juruselamat mengajar, “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.” Dia menjemput kita untuk menunjukkan kasih kita dengan membuat dan mentaati perjanjian dengan-Nya. Apabila kita berusaha setiap hari untuk mematuhi perintah-perintah-Nya, bertaubat dengan ikhlas dari dosa-dosa kita, dan tekun dalam mengambil nama-Nya ke atas diri kita dan menyelaraskan kehendak kita dengan kehendak-Nya, kita boleh diberkati dengan penemanan berterusan Roh Kudus.
Nefi bersaksi, “Aku tahu bahawa jika kamu akan mengikuti Putera, dengan maksud hati yang sepenuhnya, bertindak tanpa kemunafikan dan tanpa penipuan di hadapan Tuhan, tetapi dengan maksud yang bersungguh-sungguh, bertaubat atas dosa-dosamu, bersaksi kepada Bapa bahawa kamu bersedia untuk mengambil ke atas dirimu nama Kristus, melalui pembaptisan … , kemudian akanlah kamu menerima Roh Kudus.” Roh Kudus akan membimbing anda dan membantu anda mengetahui kehendak Tuhan dan membuat pilihan yang baik.
Yang Terakhir, Melayani Tuhan dan Orang Lain dengan Sepenuh Hati Anda
Juruselamat menjemput semua untuk “melayani-Nya dengan sepenuh hati.” Apabila kita memilih melakukan semua yang Tuhan minta—seperti mematuhi perintah, mengambil sakramen, menyembah di bait suci, dan melayani orang lain—dengan hati tulus dan niat yang bersungguh-sungguh, setiap pelayanan dan penyembahan menjadi pengalaman rohani yang berkuasa, menguatkan iman, kesaksian serta memenuhi hati dengan kebahagiaan dan kasih kepada Tuhan dan sesama.
Pertanyaan nabi Alma masih bergema hari ini: “Adakah kamu secara rohani telah dilahirkan daripada Tuhan? Adakah kamu telah menerima rupa-Nya pada air mukamu? Adakah kamu telah mengalami perubahan yang hebat ini dalam hatimu?”
Saudara dan saudari, saya menjemput anda untuk memberi sepenuh hati kepada Juruselamat hari ini. Biarlah setiap tindakan penyembahan dan pelayanan adalah ikhlas dan berniat. Ketepikan gangguan dunia dan berusaha untuk mempunyai masa yang bermakna bagi Tuhan setiap hari dalam hidup anda. Bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan sepenuh hati anda, dan Dia akan mengampuni dan mengelilingi anda dalam lengan kasih-Nya. Janganlah mencari hal-hal daripada dunia ini, tetapi pilih untuk memandang pada kemuliaan-Nya dan mencari hal-hal yang lebih baik. Dia tahu fikiran dan hasrat hati anda, dan apabila anda datang kepada-Nya, Dia akan memberkati anda dengan kekuatan, keyakinan, kedamaian, dan kegembiraan dalam kehidupan ini dan satu tempat dalam kerajaan selestial-Nya untuk keabadian.
Saya tahu Yesus Kristus hidup. Dia Penebus kita. Dan Dia mengasihi anda dan saya dengan sepenuh hati-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.