Persidangan Umum
“Adakah Kamu Mengasihi Aku?”
Persidangan umum Oktober 2025


11:42

“Adakah Kamu Mengasihi Aku?”

Jika kita ingin menunjukkan kasih kepada Tuhan, kita harus memahami bagaimana Dia mengenali ungkapan kasih kita.

Dalam perumpamaan anak yang sesat, abangnya pada mulanya bergelut untuk meraikan kepulangan adik lelakinya selepas satu tempoh pilihan yang buruk dan “memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.” Keangkuhan dan kesombongan rohani mencegahnya dari menerima kebahagiaan kepulangan adiknya yang bertaubat. Kita juga mungkin melepaskan peluang tanpa memberitahu orang terkasih, kasih ikhlas kita terhadap mereka.

Terdapat banyak contoh yang berkuasa dalam tulisan suci tentang kasih ikhlas: Naomi dan Rut, Amon dan Raja Lamoni, anak yang sesat dan ayahnya, Juruselamat dan para pengikut-Nya.

Apabila kasih diberikan dengan bebas dan diterima dengan ikhlas, satu kitaran mulia bermula dengan peningkatan kasih di antara pemberi dan penerima.

Kasih Tuhan adalah sempurna, tidak terhingga, bertahan, dan “paling manis.” Ia memenuhi jiwa dengan “kebahagiaan yang tersangat besar.” Namun, ada kala sukar untuk kita mengenali kasih Tuhan dalam hidup kita. Tapi, Bapa Syurgawi kita yang sempurna menginginkan kita untuk mengalami kasih-Nya maka Dia “berfirman kepada [kita] menurut … pengertian [kita].” Dia akan menyatakan kasih-Nya kepada kita dalam cara kita, secara individu, boleh mengenali. Kita mungkin mengalami kasih Tuhan apabila kita memerhatikan keindahan alam semula jadi, atau menerima jawapan kepada doa, atau mempunyai fikiran datang ke minda kita pada saat yang memerlukan, atau mengalami kebahagiaan. Pernyataan terbesar kasih Bapa Syurgawi bagi kita adalah apabila Dia membenarkan Putera Terkasih-Nya untuk mempersembahkan diri-Nya sebagai penebusan.

Seperti abang kepada adik yang sesat, tumpuan kita sering berpusat pada diri kita. Kita sering terlalu sibuk mencari bukti kasih Tuhan terhadap kita, lalu kita berasa kecewa apabila tidak menemukannya. Tetapi paradoks yang indah adalah, semakin kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan, semakin mudah kita mengenali kasih-Nya untuk kita. Mungkin inilah sebab Juruselamat menjawab soalan “Perintah manakah yang paling utama?” dan menjemput: “Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dan dengan seluruh akalmu.”

Kadangkala cara kita menunjukkan kasih kepada orang tersayang bukanlah cara mereka mengenali kasih. Ini mungkin mengecewakan pemberi dan penerima. Ia mungkin berguna untuk menanya orang yang kita kasihi bagaimana mereka mengenali kasih yang diungkapkan. Sama juga, jika kita ingin menunjukkan kasih kepada Tuhan, kita harus memahami bagaimana Dia mengenali ungkapan kasih kita. Mujurlah, Dia menggariskan beberapa cara dalam tulisan suci untuk kita menunjukkan kasih kita kepada-Nya.

Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini Mengasihi Aku?

Dalam pertukaran pengajaran antara Petrus dan Tuhan yang dibangkitkan di Tasik Tiberias, kita belajar cara menunjukkan kasih kepada Tuhan.

“Yesus bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.’”

Soalan penting yang Tuhan bertanya “adakah kamu lebih mengasihi aku daripada semua?” Kita menunjukkan kasih kepada Tuhan apabila kita meletakkan-Nya melebihi “semua”, dan “semua” boleh menjadi sesiapa, aktiviti, atau perkara yang menggantikan-Nya daripada menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup kita.

Tiada masa yang akan pernah cukup untuk menyiapkan semua keinginan dan keperluan kita. Sebahagian daripada ujian kefanaan adalah penggunaan masa berharga untuk perkara yang penting untuk kebaikan abadi kita dan melepaskan perkara yang tidak.

Presiden Russell M. Nelson berkata: “Soalan untuk kita … adalah sama. … Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda? Adakah anda membenarkan firman-Nya, perintah-perintah-Nya, dan perjanjian-Nya mempengaruhi apa yang anda lakukan setiap hari? Adakah anda membenarkan suara-Nya menjadi keutamaan daripada yang lain? Adakah anda sudi membiarkan apa pun kehendak-Nya menjadi lebih penting daripada hasrat anda yang lain? Adakah anda sudi untuk membiarkan kehendak anda ditelan dalam kehendak-Nya?” Kita menunjukkan penganutan dan kasih kita kepada Tuhan apabila kita mengutamakan-Nya.

Berilah Makan Kepada Domba-domba-Ku

Dalam ayat seterusnya tentang perbincangan antara Petrus dan Juruselamat, kita belajar tentang cara lain Tuhan mengenali ungkapan kasih kita: “Untuk kali kedua [Yesus] bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.’ Yesus berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’”

Kita menunjukkan kasih kita kepada Bapa Syurgawi apabila kita mendengar, mengasihi, mengangkat, atau melayani anak-anak-Nya. Pelayanan itu mungkin semudah seperti melihat orang lain tanpa menghakimi. Dalam bahagian ke-76 Ajaran dan Perjanjian, kita lihat sifat mereka yang akan mewarisi kemuliaan selestial: “Mereka melihat sebagaimana mereka dilihat, dan mengetahui sebagaimana mereka diketahui.” Mereka melihat orang lain seperti Tuhan melihat mereka, dan Dia melihat mereka dengan potensi ilahi yang mulia.

Selepas pulang dari misi, saya mengambil alih perniagaan penjagaan halaman yang para abang dan saya mulakan semasa remaja. Saya juga sibuk dengan pengajian universiti saya. Pada satu minggu, hujan lebat dan peperiksaan akhir yang semakin hampir membuatkan saya sibuk dan ketinggalan dalam kerja halaman.

Dalam pertengahan minggu, langit mencerah dan saya bercadang untuk menyiapkan kerja selepas kelas. Tetapi apabila saya tiba di rumah, lori dan peralatan saya hilang. Ingin tahu, saya melawat halaman yang dijadualkan; setiap satu telah dipangkas dengan cantik. Di halaman terakhir, saya nampak adik lelaki saya sedang berjalan di belakang pemotong rumput. Dia nampak saya, tersenyum, dan melambai. Diliputi kesyukuran, saya memeluk dan berterima kasih kepadanya. Pelayanannya yang bermakna memperkukuhkan kasih dan kesetiaan saya kepadanya. Melayani satu sama lain adalah cara kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan dan Putera terkasih-Nya.

Mengakui Tangan-Nya dalam Segala Hal

Kita juga menyatakan kasih kita kepada Tuhan dengan memiliki hati yang bersyukur. Tuhan berfirman, “Tidak dalam apa pun manusia menyinggung Tuhan … kecuali mereka yang tidak mengakui tangan-Nya dalam segala hal.” Kita menunjukkan kasih kepada Tuhan dengan mengakui-Nya sebagai sumber setiap perkara baik dalam hidup kita.

Semasa mula melancarkan sebuah syarikat, saya dan rakan perniagaan akan ikhlas berdoa sebelum mesyuarat penting, meminta bantuan Bapa Syurgawi. Setiap masa, Tuhan menjawab doa-doa kami, dan mesyuarat berlangsung dengan baik. Selepas satu mesyuarat, rakan perniagaan saya perasan bahawa kami cepat meminta bantuan tetapi lambat mengucapkan kesyukuran. Sejak itu, kami sentiasa memberi doa kesyukuran yang ikhlas, mengenali tangan Tuhan dalam kejayaan kami. Kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan dengan “sikap kesyukuran.”

Jika Kamu Mengasihi Aku, Kamu Akan Mentaati Perintah-perintah-Ku

Satu lagi cara kita menunjukkan kasih kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya adalah dengan mematuhi Mereka. Juruselamat mengajar, “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.” Kepatuhan seperti ini bukanlah buta atau wajib tetapi merupakan ungkapan kasih yang ikhlas dan rela. Bapa di Syurga mahu kita untuk ingin menjadi patuh. Sister Tamara W. Runia memanggil ini “kepatuhan dengan penuh kasih.” Dia berkata, “Walaupun kita belum mempunyai kepatuhan yang sempurna sekarang, kita cuba kepatuhan dengan penuh kasih, memilih untuk kekal, berulang kali, kerana kita mengasihi Dia.”

Bapa Syurgawi memberi kita hak pilihan untuk mengilhami kita untuk ingin memilih-Nya. Pekerjaan dan kemuliaan-Nya bukan sahaja untuk mendatangkan kehidupan abadi tetapi juga termasuk harapan besar untuk kita ingin kembali kepada-Nya. Namun, Dia tidak akan memaksa kita untuk patuh. Dalam lagu rohani “Know This, That Every Soul Is Free,” kita menyanyi:

Dia akan memanggil, memujuk, mengarah tepat,

Dan memberkati dengan kebijaksanaan, kasih, dan cahaya,

Dengan cara yang tidak terungkap jadilah baik dan baik hati,

Tetapi jangan pernah memaksa minda manusia.

Sebagai pemimpin misi, saya dan isteri saya, Christina, telah diilhami oleh banyak misionari yang patuh bukan sekadar kerana peraturan tetapi kerana kasih mereka kepada Tuhan dan kerendahan hati dalam mewakili-Nya.

Elder Dale G. Renlund berkata: “Matlamat Bapa Syurgawi dalam keibubapaan bukanlah untuk anak-anak-Nya melakukan apa yang betul; ia adalah supaya anak-anak-Nya memilih untuk melakukan apa yang baik dan akhirnya menjadi seperti Dia. Jika Dia hanya inginkan kita untuk patuh, Dia akan menggunakan ganjaran dan hukuman yang segera untuk mempengaruhi tingkah laku kita.” Kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan apabila kita memilih untuk mematuhi dan mengikuti Dia.

Bapa Syurgawi dan Juruselamat kita mengenali ungkapan kasih kita kepada Mereka apabila kita mengutamakan Mereka, saling melayani, bersyukur atas berkat, serta mematuhi dan mengikuti ajaran Mereka.

Saya bersaksi bahawa setiap kita benar-benar anak Tuhan dan Dia mengasihi kita dengan sempurna. Saya bersaksi bahawa Dia inginkan kita untuk mengalami kasih-Nya dalam cara kita mengenali dan memahami. Dan paradoks yang indah ialah kita akan merasai kasih-Nya kepada kita dengan lebih mendalam apabila kita menunjukkan kasih kita kepada-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lukas 15:13.

  2. Lihat Roma 8:35–39; Dale G. Renlund, “Experience God’s Love” (pertemuan rohani Brigham Young University, 3 Dis, 2019), speeches.byu.edu; Russell M. Nelson, “Divine Love,” Liahona, Feb. 2023, 12–17.

  3. 1 Nefi 8:11.

  4. 1 Nefi 8:12.

  5. 2 Nefi 31:3.

  6. Lihat Yohanes 3:16.

  7. Lihat 1 Yohanes 4:19.

  8. Matius 22:36–37.

  9. Walaupun kita tidak memperoleh kasih Tuhan melalui tindakan kita, Dia ingin mengakui ungkapan kasih kita kepada-Nya dengan mendengar doa kita, memberkati kita, dan membantu kita mengalami kasih-Nya bagi kita.

  10. Yohanes 21:15.

  11. “Kita mesti meletakkan Tuhan di barisan hadapan segala-galanya dalam hidup kita. Dia mesti didahulukan. …

    “Apabila kita utamakan Tuhan, semua hal lain berada di tempat yang sepatutnya atau tercicir daripada kehidupan kita. Kasih kita kepada Tuhan akan mengawal tuntutan hasrat kita, masa kita, minat yang kita kejar, dan susunan keutamaan kita” (Teachings of Presidents of the Church: Ezra Taft Benson [2014], 40). Lihat juga Dallin H. Oaks, “Good, Better, Best,” Liahona, Nov. 2007, 104–8.

  12. Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 94.

  13. Yohanes 21:16.

  14. Lihat Mosia 2:17.

  15. Ajaran dan Perjanjian 76:94.

  16. Ajaran dan Perjanjian 59:21.

  17. Lihat Filemon 1:4–7.

  18. Thomas S. Monson, “An Attitude of Gratitude,” Ensign, Mei 1992, 54.

  19. Yohanes 14:15.

  20. Tamara W. Runia, “Pertaubatan Anda Tidak Membebankan Yesus Kristus; Ia Membawa Kebahagiaan Kepada-Nya,” Persidangan Umum, April 2025, 92.

  21. Lihat 2 Nefi 10:23–24; Helaman 14:30–31.

  22. Lihat Musa 1:39.

  23. “Know This, That Every Soul Is Free,” Hymns, no. 240.

  24. Lihat Mosia 5:2–5.

  25. Dale G. Renlund, “Tentulah Sekarang,” Liahona, Nov. 2018, 104.

  26. Lihat Patrick Kearon, “Terimalah Kurniaan-Nya,” Persidangan Umum, Mei 2025, 121–24.

  27. “Saudara dan saudari, perintah pertama yang besar untuk seluruh keabadian adalah untuk mengasihi Tuhan dengan seluruh hati, daya, minda, dan kekuatan kita —itulah perintah pertama yang besar. Tetapi kebenaran pertama yang besar untuk seluruh keabadian adalah bahawa Tuhan mengasihi kita dengan seluruh hati, daya, minda, dan kekuatan Dia” (Jeffrey R. Holland, “Tomorrow the Lord Will Do Wonders Among You,” Liahona, Mei 2016, 127).

  28. Hesed adalah kasih dan belas kasihan istimewa yang Tuhan rasakan dan berikan kepada mereka yang membuat perjanjian dengan-Nya. Dan kita membalas dengan hesed kepada-Nya.

    “Kerana Tuhan ada hesed kepada mereka yang telah berjanji dengan-Nya, Dia akan mengasihi mereka. Dia akan terus bekerja bersama dan menawarkan mereka peluang untuk berubah. Dia akan mengampuni mereka apabila mereka bertaubat. Dan jika mereka sesat, Dia akan membantu mereka mencari jalan kembali kepada-Nya.

    “Apabila anda dan saya membuat perjanjian dengan Tuhan, hubungan kita dengan Dia menjadi lebih dekat daripada sebelum perjanjian kita” (Russell M. Nelson, “The Everlasting Covenant,” Liahona, Okt. 2022, 6).