Saling Memberi Semangat
Hanya Tuhan tahu sepenuhnya batasan dan keupayaan individu kita, dan kerana itu, Dialah satu-satunya yang layak sepenuhnya untuk menghakimi prestasi kita.
Baru-baru ini saya membaca pengalaman yang sangat menyentuh hati. Ia berlaku di USA Masters Track and Field National Championship—pertandingan untuk warga emas.
Salah seorang peserta dalam acara 1,500 meter itu ialah Orville Rogers yang berusia 100 tahun. Pengarang menulis:
“Apabila pistol permulaan ditembak, para pelari mula berlari, dan Orville terus berada di tempat terakhir sepanjang perlumbaan, berlari dengan perlahan-lahan. [Apabila] pelari terakhir selain Orville tamat, Orville masih mempunyai dua setengah pusingan. Hampir 3,000 penonton duduk dengan tenang menyaksikan dia perlahan-lahan mengelilingi trek—benar-benar dalam kesunyian bersendirian.
“[Tetapi] apabila dia di pusingan terakhir, penonton bangkit, bersorak dan bertepuk tangan. Apabila dia sampai ke penghujung perlumbaan, orang ramai bersorak kuat. Dengan galakan ribuan penonton, Orville menggunakan segala tenaganya. Penonton bersorak gembira apabila dia melintasi garisan penamat dan dipeluk oleh para pesaingnya. Orville dengan rendah hati dan bersyukur melambai kepada penonton dan berjalan di trek bersama kawan-kawan barunya.”
Ini adalah perlumbaan kelima Orlville dalam pertandingan itu, dan dalam setiap acara sebelumnya, dia juga berada di tempat terakhir. Ada yang mungkin tergoda untuk menghakimi Orville, berfikir bahawa dia tidak sepatutnya bertanding pada usianya dan tidak layak berada di trek kerana dia memanjangkan setiap acara bagi orang lain.
Tetapi walaupun dia selalu di tempat terakhir, Orville memecahkan lima rekod dunia pada hari itu. Tidak seorang pun yang menonton perlumbaannya akan mempercayainya, tetapi bukan penonton atau pesaingnya yang menjadi hakim. Orville tidak melanggar sebarang peraturan, dan pegawai tidak menurunkan sebarang standard. Dia berlari dalam perlumbaan yang sama dan memenuhi syarat-syarat yang sama seperti pesaing-pesaing yang lain. Tetapi tahap kesukarannya—dalam kes ini, umurnya dan keupayaan fizikal yang terhad—telah diambil kira dengan menempatkan dia dalam bahagian umur 100 ke atas. Dalam bahagian itu dia telah memecahkan lima rekod dunia.
Seperti Orville memerlukan keberanian besar untuk berlari di trek, begitu juga sesetengah saudara-saudari kita memerlukan keberanian besar menghadapi hidup setiap hari mengetahui bahawa mereka boleh dihakimi secara tidak adil walaupun mereka melakukan yang terbaik untuk mengikuti Juruselamat dan menghormati perjanjian mereka dengan-Nya.
Tidak kira di mana kita tinggal di dunia, tidak kira umur kita, ia adalah keperluan asas manusia bagi kita semua untuk merasa tergolong, untuk merasakan bahawa kita diingini, diperlukan dan kehidupan kita mempunyai tujuan dan makna, tidak kira keadaan atau batasan kita.
Pada pusingan terakhir perlumbaan, penonton kuat bersorak untuk Orville, memberinya kekuatan untuk terus maju. Tidak kira dia yang terakhir tamat. Bagi peserta dan penonton, ini adalah lebih daripada satu pertandingan. Dalam banyak cara, ini adalah contoh kasih Juruselamat yang indah. Apabila Orville selesai, mereka semua bersukacita bersama.
Seperti Masters Championship, jemaah dan keluarga kita boleh menjadi tempat perkumpulan di mana kita saling memberi semangat—komuniti perjanjian yang digalakkan oleh kasih Kristus untuk satu sama lain—membantu mengatasi cabaran yang kita hadapi, memberi kekuatan dan galakan tanpa menghakimi satu sama lain. Kita perlukan satu sama lain. Kekuatan ilahi datang dari kesatuan, dan itulah sebabnya Setan berniat untuk membahagikan kita.
Malangnya, bagi sesetengah daripada kita, menghadiri gereja kadangkala susah atas pelbagai sebab. Mungkin seseorang bergelut dengan soalan iman, mempunyai kebimbangan sosial atau kemurungan. Mungkin seseorang dari berbeza negara, atau bangsa atau seseorang yang mempunyai pengalaman hidup atau cara pandang yang berbeza yang mungkin merasa diri mereka berbeza dengan orang lain. Ia mungkin ibu bapa yang kurang tidur dan tertekan menjaga bayi dan anak kecil, atau seseorang yang bujang dalam jemaah yang penuh dengan pasangan dan keluarga. Ia juga mungkin seseorang perlukan keberanian untuk kembali selepas bertahun-tahun tidak menghadiri atau seseorang dengan perasaan keras bahawa mereka tidak akan tergolong.
Presiden Russell M. Nelson berkata: “Jika pasangan dalam bahagian anda bercerai, atau misionari muda habis misi awal, atau seorang remaja meragui kesaksiannya, mereka tidak memerlukan penghakiman anda. Mereka perlu alami kasih suci Yesus Kristus yang dicerminkan dalam kata-kata dan tindakan anda.”
Pengalaman kita di gereja adalah untuk menyediakan hubungan penting dengan Tuhan dan satu sama lain yang diperlukan untuk kesejahteraan rohani dan emosi kita. Dalam perjanjian kita dengan Tuhan, bermula dari pembaptisan, tanggungjawab kita ialah mengasihi dan menjaga satu sama lain sebagai keluarga Tuhan dan tubuh Kristus, bukan sekadar untuk menanda kotak dalam senarai hal yang kita dijangka lakukan.
Kasih dan penjagaan seperti Kristus lebih tinggi dan lebih kudus. Kasih suci Kristus adalah kasih ihsan. Seperti Presiden Nelson ajarkan, “Kasih ihsan menggerakkan kita ‘untuk menanggung beban satu sama lain’[Mosia 18:8] daripada menimbun beban kepada satu sama lain.”
Juruselamat berkata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.” Dan Presiden Nelson menambah: “Kasih ihsan ialah ciri utama seorang pengikut sejati Yesus Kristus.” “Pesanan Juruselamat adalah jelas: Para pengikut-Nya yang sejati membina, mengangkat, menggalak, memujuk, dan mengilhami. … Bagaimana kita bercakap dengan dan tentang orang lain … benar-benar penting.”
Ajaran Juruselamat tentang ini sangat mudah. Ia diringkaskan dengan asas ini: Lakukanlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu. Letakkan diri anda di tempat orang itu dan layani mereka dengan cara yang anda mahu dilayani jika anda berada di tempat mereka itu.
Melayani orang lain dengan cara seperti Kristus melangkaui keluarga dan jemaah kita. Ia termasuk saudari dan saudara kita dari agama lain atau tidak ada kepercayaan sekalipun. Ia termasuk saudara dan saudari kita dari negara dan budaya lain, serta mereka yang mempunyai pandangan politik yang berbeza. Kita semua sebahagian daripada keluarga Tuhan, dan Dia mengasihi semua anak-Nya. Dia berhasrat agar anak-anak-Nya mengasihi Dia dan juga satu sama lain.
Kehidupan Juruselamat adalah teladan mengasihi, mengumpul, dan mengangkat bahkan mereka yang dihakimi oleh masyarakat sebagai orang yang terbuang dan tidak bersih. Dia adalah teladan yang diperintahkan kepada kita untuk diikuti. Kita berada di sini untuk mengembangkan sifat-sifat seperti Kristus dan akhirnya menjadi seperti-Nya. Injil-Nya bukanlah injil senarai semak; ia adalah injil untuk menjadi—menjadi seperti Dia dan mengasihi seperti Dia lakukan. Dia mahu kita menjadi orang Sion.
Ketika saya berumur lewat 20-an, saya mengalami satu tempoh kemurungan yang mendalam, dan pada masa itu, ia seolah-oleh realiti bahawa Tuhan wujud tiba-tiba hilang. Saya tidak dapat menjelaskan sepenuhnya perasaan selain daripada mengatakan saya berasa sesat sepenuhnya. Sejak saya masih kecil, saya sentiasa tahu Bapa di Syurga berada di sana dan saya boleh bercakap dengan-Nya. Tapi pada masa itu, saya tidak lagi tahu jika ada Tuhan. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, dan ia rasa seperti seluruh landasan saya telah rosak.
Ia menjadi susah bagi saya untuk menghadiri gereja. Saya pergi, tetapi sebahagiannya kerana saya takut dilabel “tidak aktif” atau “kurang beriman,” dan saya takut untuk menjadi tugasan seseorang. Pada masa itu saya perlu merasa kasih, pemahaman, dan sokongan yang tulen dari orang di sekeliling saya, bukan penghakiman.
Beberapa andaian yang saya takut orang akan buat tentang saya, saya sendiri telah buat tentang orang lain apabila mereka tidak menghadiri gereja dengan kerap. Pengalaman menyakitkan itu mengajar saya tentang mengapa kita telah diperintahkan untuk tidak menghakimi satu sama lain dengan tidak soleh.
Adakah sesiapa di antara kita yang menderita dalam kesunyian, takut mendedahkan pergolakan dalaman kerana bimbang reaksi orang lain?
Hanya Tuhan mengetahui sepenuhnya tahap kesukaran yang mana setiap kita sedang menjalankan perlumbaan kehidupan kita—beban, cabaran, dan halangan yang sering kita hadapi yang sering tidak dapat dilihat oleh orang lain. Hanya Dia memahami sepenuhnya luka yang mengubah hidup dan trauma yang mungkin dialami pada masa lalu yang masih mempengaruhi kita pada masa kini.
Sering kali, kita bahkan menghakimi diri kita dengan keras, berfikir kita harus lebih jauh di trek. Hanya Tuhan tahu sepenuhnya batasan dan keupayaan individu kita, dan kerana itu, Dialah satu-satunya yang layak sepenuhnya untuk menghakimi prestasi kita.
Saudara dan saudari, marilah kita menjadi seperti penonton dalam cerita tadi dan saling memberi semangat dalam perjalanan penganutan kita tidak kira keadaan kita! Itu tidak memerlukan kita untuk melanggar peraturan atau merendahkan standard. Ia adalah perintah kedua utama—untuk kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Dan seperti Juruselamat kita telah berkata, “Manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang … kamu telah melakukannya untuk-Ku,” untuk kebaikan atau keburukan. Dia juga memberitahu kita, “Jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-Ku.”
Akan ada masa dalam setiap kehidupan kita apabila kita akan menjadi orang yang memerlukan bantuan dan galakan. Marilah kita bertekad sekarang untuk sentiasa melakukannya untuk satu sama lain. Apabila kita berbuat demikian, kita mewujudkan lebih banyak kesatuan dan membuka ruang bagi Juruselamat melakukan kerja menyembuhkan serta mengubah kita
Kepada setiap anda yang mungkin rasa anda telah ketinggalan jauh dalam perjalanan kefanaan ini, sila teruskan. Hanya Juruselamat boleh menghakimi sepenuhnya di mana anda harus berada pada ketika ini, dan Dia berbelas kasihan dan adil. Dia ialah Hakim Agung perlumbaan kehidupan dan hanya Dia sepenuhnya memahami sepenuhnya tahap kesukaran yang anda jalani. Dia akan mengambil kira batasan anda, keupayaan anda, pengalaman hidup anda, dan beban tersembunyi yang anda bawa, dan juga hasrat hati anda. Anda mungkin memecahkan rekod dunia simbolik juga. Tolong jangan hilang harapan. Tolong teruskan! Sila kekal! Anda memang tergolong! Tuhan perlukan anda, dan kita perlukan anda!
Di mana pun anda tinggal di dunia, tidak kira betapa jauhnya, sentiasa ingat bahawa Bapa Syurgawi dan Juruselamat anda mengenali anda sepenuhnya dan mengasihi anda dengan sempurna. Anda tidak pernah dilupakan oleh Mereka. Mereka mahu membawa anda pulang.
Berfokus kepada Juruselamat. Dia adalah batang besi anda. Jangan lepaskan Dia. Saya bersaksi bahawa Dia hidup dan anda boleh mempercayai-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Dia sedang bersorak untuk anda.
Semoga kita semua mengikuti teladan Juruselamat dan saling bersorak untuk satu sama lain adalah doa saya dalam nama Yesus Kristus, amin.