2010–2019
Bersatu Dalam Kristus
Oktober 2018


Bersatu Dalam Kristus

Rakan-rakan terkasih dalam pekerjaan Tuhan, saya percaya kita boleh dan perlu melakukan dengan lebih baik dalam mengalu-alukan kawan-kawan baru ke dalam Gereja.

Selamat petang, para saudara dan saudari yang dikasihi. Dalam bahasa Portugis Brasil asal saya, kami berkata, “Boa tarde!” Saya berasa diberkati untuk berkumpul bersama dalam persidangan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ini di bawah bimbingan nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson. Saya kagum atas peluang besar bagi setiap kita mendengar firman Tuhan melalui hamba-hamba-Nya di bumi dalam zaman akhir kita ini.

Imej
Sungai Amazon
Imej
Sungai Amazon dibentuk oleh dua sungai yang bertemu

Negara asal saya, Brasil sangat kaya dengan sumber-sumber semula jadi. Salah satu daripada mereka adalah Sungai Amazon yang terkenal, salah satu sungai yang paling besar dan paling panjang di dunia. Ia terbentuk oleh dua sungai yang berlainan, Solimões dan Negro. Mereka mengalir bersama-sama untuk beberapa kilometer sebelum air bercampur, kerana kedua-dua sungai mempunyai asal usul, kelajuan, suhu, dan komposisi kimia yang sangat berbeza. Setelah beberapa kilometer, air akhirnya bercampur bersama, menjadi sungai yang berbeza daripada bahagian individunya. Hanya selepas bahagian-bahagian ini bergabung, Sungai Amazon menjadi sangat berkuasa sehingga apabila ia sampai ke Lautan Atlantik, ia menolak kembali air laut supaya air tawar masih dapat dijumpai selama beberapa batu keluar ke lautan.

Imej
Pertemuan perairan Sungai Amazon

Dalam cara yang sama Sungai Solimões dan Sungai Negro mengalir bersama untuk menjadikan Sungai Amazon yang hebat, anak-anak Tuhan datang bersama dalam Gereja Yesus Kristus dari latar belakang, tradisi, dan budaya yang berbeza, dan membentuk komuniti Orang Suci dalam Kristus yang hebat ini. Apabila kita menggalakkan, menyokong, dan mengasihi satu sama lain, kita bergabung untuk membentuk satu kekuatan besar untuk kebaikan di dunia. Sebagai pengikut Yesus Kristus, mengalir sebagai satu dalam sungai kebaikan ini, kita boleh menyediakan “air tawar” Injil kepada dunia yang dahaga.

Imej
Ahli-ahli baru datang bersama dengan anak-anak Tuhan yang lain
Imej
Sebuah komuniti Orang Suci dibentuk

Tuhan telah mengilhamkan para nabi-Nya untuk mengajar kita bagaimana kita boleh menyokong dan mengasihi satu sama lain supaya kita boleh bersatu dalam iman dan tujuan dalam mengikuti Yesus Kristus. Seperti dikatakan Rasul Perjanjian Baru, Paulus, mereka yang “telah dibaptiskan dengan Kristus [dan] sudah menerima sifat-sifat Kristus … : kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus.1

Apabila kita berjanji di pembaptisan untuk mengikuti Juruselamat, kita bersaksi di hadapan Bapa bahawa kita bersedia mengambil ke atas diri kita nama Kristus.2 Apabila kita berusaha untuk memperoleh sifat-sifat ilahi-Nya dalam hidup kita, kita menjadi berbeza daripada sebelumnya, melalui korban tebusan Tuhan Kristus, dan kasih kita untuk semua orang akan meningkat secara semula jadi.3 Kita merasakan keprihatinan yang ikhlas untuk kebajikan dan kegembiraan semua orang. Kita melihat satu sama lain sebagai saudara dan saudari, sebagai anak-anak Tuhan dengan asal, sifat-sifat, dan potensi ilahi. Kita berhasrat untuk menjaga dan menanggung beban satu sama lain.4

Ini adalah gambaran kasih ihsan oleh Paulus.5 Mormon, seorang nabi Kitab Mormon, menggambarkannya sebagai “kasih suci Kristus,”6 yang merupakan bentuk cinta yang paling mulia, paling kuat, dan paling tinggi. Nabi kita sekarang, Presiden Russell M. Nelson, baru ini menggambarkan satu manifestasi tentang kasih suci Kristus ini sebagai pelayanan, yang adalah satu pendekatan yang lebih berfokus dan suci untuk mengasihi dan menjaga individu-individu lain seperti Juruselamat.7

Mari kita mempertimbangkan prinsip kasih dan penjagaan ini, seperti dilakukan oleh Juruselamat, dalam konteks menggalakkan, membantu, dan menyokong mereka yang adalah penganut baru, dan mereka yang mula menunjukkan minat dalam menghadiri Gereja kita.

Apabila kawan-kawan baru ini keluar dari dunia dan memeluk Injil Yesus Kristus, menyertai Gereja-Nya, mereka menjadi pengikut-Nya, dilahirkan kembali melalui Tuhan.8 Mereka meninggalkan dunia yang mereka tahu dengan baik dan memilih untuk mengikut Yesus Kristus, dengan tujuan penuh hati, menyertai “sungai” yang baru seperti Sungai Amazon yang hebat—satu sungai yang kuat dengan kebaikan dan kesolehan yang mengalir kepada hadirat Tuhan. Rasul Petrus menggambarkannya sebagai “bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri.”9 Apabila kawan-kawan baru ini bergabung dengan sungai baru dan tidak biasa ini, mereka mungkin rasa sedikit sesat pada mulanya. Kawan-kawan baru ini mendapati mereka sedang bergabung dengan sungai yang mempunyai asal usul, suhu, dan komposisi kimia unik—satu sungai yang mempunyai tradisi, budaya, dan kosa kata mereka sendiri. Kehidupan baru dalam Kristus ini mungkin kelihatan terlalu besar untuk mereka. Fikir seketika bagaimana mereka mungkin rasa apabila mereka mendengar ungkapan seperti “Malam Keluarga,” “Komiti Lembaga Uskup Remaja”, “puasa Ahad,” “pembaptisan untuk orang mati,” “kombinasi 3 dalam 1,” dan seterusnya.

Ia senang dilihat mengapa mereka mungkin rasa tidak tergolong. Dalam situasi seperti ini, mereka mungkin bertanya diri, “Adakah terdapat tempat untuk saya di sini? Adakah saya sesuai berada dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir? Adakah Gereja memerlukan saya? Adakah saya akan mencari kawan-kawan baru yang rela membantu dan menyokong saya?”

Kawan-kawan terkasih, dalam masa seperti ini, kita yang berada dalam perjalanan penganutan yang panjang mesti memanjangkan tangan persahabatan kepada kawan-kawan baru kita, menerima mereka di mana mereka berada, dan membantu, mengasihi, dan memasukkan mereka ke dalam hidup kita. Semua kawan-kawan baru ini adalah anak-anak lelaki dan perempuan berharga Tuhan.10 Kita tidak mampu kehilangan bahkan satu daripada mereka kerana, seperti Sungai Amazon yang bergantung kepada anak-anak sungai yang mengalir kepadanya, kita memerlukan mereka sama seperti mereka memerlukan kita, untuk menjadi kekuatan besar untuk kebaikan di dunia.

Kawan-kawan baru kita membawa bakat-bakat diberi Tuhan, kegembiraan, dan kebaikan di dalam mereka. Semangat mereka untuk Injil boleh berjangkit, dengan itu membantu kita menghidupkan kesaksian kita sendiri. Mereka juga membawa pandangan baru kepada pemahaman kita tentang kehidupan dan Injil.

Kita telah diajar berulang kali bagaimana membantu kawan-kawan baru kita berasa dialu-alukan dan dikasihi dalam Gereja Yesus Kristus dipulihkan. Mereka memerlukan tiga perkara supaya mereka boleh kekal kuat dan beriman di sepanjang hidup mereka:

Pertama, mereka memerlukan para saudara dan saudari dalam Gereja yang ikhlas dalam mengenali mereka, kawan-kawan benar dan setia yang mereka boleh bergantung kepada, menyokong, dan menjawab soalan-soalan mereka. Sebagai ahli, kita perlu sentiasa memberi perhatian dan mencari muka-muka baru apabila kita menghadiri aktiviti dan pertemuan Gereja, tidak kira tanggungjawab, tugasan, atau kebimbangan yang kita ada. Kita boleh melakukan perkara mudah untuk membantu kawan-kawan baru kita berasa diterima dan dialu-alukan dalam Gereja, seperti memberi salam, senyum dengan ikhlas, duduk bersama untuk menyanyi dan menyembah, memperkenalkan mereka kepada ahli-ahli lain, dan sebagainya. Apabila kita membuka hati kita kepada kawan-kawan baru dalam beberapa cara ini, kita sedang bertindak dalam roh pelayanan. Apabila kita melayan mereka seperti Juruselamat, mereka tidak akan berasa seperti “orang asing di dalam Gereja kita.” Mereka akan rasa mereka boleh bergaul dan membuat kawan-kawan baru, dan paling pentingnya, mereka akan merasai kasih Juruselamat melalui penjagaan ikhlas anda.

Kedua, kawan-kawan baru memerlukan tugasan—satu peluang untuk melayan orang lain. Pelayanan adalah salah satu aspek gemilang Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Ia adalah satu proses di mana iman kita boleh bertambah kuat. Setiap kawan baru memerlukan peluang itu. Sementara uskup dan majlis bahagian mempunyai tanggungjawab untuk memberi tugasan selepas pembaptisan mereka, kita sebagai ahli Gereja boleh menjemput kawan-kawan baru kita untuk membantu kita melayan orang lain secara tidak formal atau melalui projek pelayanan.

Ketiga, kawan-kawan baru mesti “dipelihara oleh firman Tuhan yang baik.”11 Kita boleh membantu mereka mengasihi dan menjadi akrab dengan tulisan suci apabila kita membaca dan membincang pengajaran dengan mereka, menyediakan hubungan cerita-cerita dan menjelaskan kata-kata yang sukar. Kita juga boleh mengajar mereka bagaimana menerima dorongan peribadi melalui kajian tulisan suci yang tetap. Sebagai tambahan, kita boleh melawat kawan-kawan baru kita di rumah mereka dan menjemput mereka ke rumah kita dalam masa di luar pertemuan dan aktiviti Gereja, membantu mereka bergabung ke dalam sungai hebat komuniti Orang Suci.

Kita boleh berkongsi bagaimana kita mengatasi cabaran yang serupa dalam hidup kita apabila kita menyedari penyesuaian dan cabaran yang kawan-kawan baru kita alami semasa menjadi ahli keluarga Tuhan. Ini akan membantu mereka mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian dan bahawa Tuhan akan memberkati mereka apabila mereka beriman kepada janji-janji-Nya.12

Apabila Sungai Solimões dan Negro bergabung bersama, Sungai Amazon menjadi hebat dan kuat. Dalam cara yang sama, apabila kita dan kawan-kawan baru kita benar-benar bergabung, Gereja Yesus Kristus dipulihkan menjadi lebih kuat dan kukuh. Isteri saya, Rosana dan saya sangat bersyukur kepada mereka yang telah membantu kita bergabung dengan sungai baru ini bertahun-tahun yang lalu, ketika kita memeluk Injil Yesus Kristus di negara asal kita, Brasil. Sepanjang tahun, orang-orang baik ini telah benar-benar melayan kita dan membantu kita tetap mengalir dengan kesolehan. Kita sangat bersyukur untuk mereka.

Para nabi di Hemisfera Barat tahu bagaimana membantu kawan-kawan baru mengalir bersama dalam iman ke dalam sungai kebaikan baru ini terhadap kehidupan abadi. Sebagai contoh, kerana dia telah melihat hari kita dan tahu bahawa kita akan menghadapi cabaran yang serupa,13 Moroni memasukkan beberapa langkah penting dalam catatannya dalam Kitab Mormon:

“Dan setelah mereka diterima untuk pembaptisan, dan telah dipengaruhi dan dibersihkan oleh kuasa Roh Kudus, mereka dihitung di kalangan umat gereja Kristus; dan nama mereka telah dicatat, agar mereka boleh diingati dan dipelihara oleh firman Tuhan yang baik, untuk memelihara mereka di dalam jalan yang benar, untuk menjaga mereka secara berterusan untuk berdoa, bergantung hanya pada jasa Kristus, yang merupakan pengarang dan penyempurna iman mereka.

“Dan gereja sering bertemu bersama, untuk berpuasa dan berdoa, dan untuk berbicara antara satu sama lain tentang kesejahteraan jiwa mereka.”14

Rakan-rakan terkasih dalam pekerjaan Tuhan, saya percaya kita boleh dan perlu melakukan dengan lebih baik dalam mengalu-alukan kawan-kawan baru ke dalam Gereja. Saya menjemput anda untuk mempertimbangkan apa yang kita boleh lakukan untuk lebih menerima, dan membantu mereka, bermula dengan hari Ahad minggu depan. Berhati-hati untuk tidak membenarkan tugasan Gereja anda untuk menghalang anda dari mengalu-alukan kawan-kawan baru di pertemuan dan aktiviti Gereja. Lagipun, jiwa-jiwa ini amat berharga dalam mata Tuhan dan lebih penting daripada program dan aktiviti. Jika kita melayan kawan-kawan baru kita dengan hati yang penuh kasih seperti Juruselamat, saya berjanji kepada anda, dalam nama-Nya, bahawa Dia akan membantu kita dalam usaha kita. Apabila kita bertindak sebagai pelayan beriman, seperti Juruselamat, kawan-kawan baru kita akan mempunyai bantuan yang mereka perlukan untuk tetap kuat, berdedikasi, dan beriman sampai ke akhir. Mereka akan menyertai kita apabila kita menjadi umat Tuhan yang kuat dan akan membantu kita membawa air tawar kepada dunia yang memerlukan berkat-berkat Injil Yesus Kristus. Anak-anak Tuhan ini akan berasa bahawa mereka “bukan lagi orang asing ataupun pendatang, tetapi warga umat Tuhan.”15 Saya berjanji kepada anda bahawa mereka akan mengenali kehadiran Juruselamat kita, Yesus Kristus, dalam Gereja-Nya. Mereka akan terus mengalir bersama kita seperti sungai ke dalam mata air dari semua kebaikan sehingga mereka diterima dengan tangan terbuka oleh Tuhan, Yesus Kristus, dan mereka mendengar Bapa berkata, “Kamu akan memperoleh kehidupan abadi.”16

Saya menjemput anda untuk mendapatkan bantuan Tuhan dalam mengasihi orang lain seperti Dia mengasihi anda. Mari kita mengikuti nasihat Mormon: “Oleh itu, saudara [dan saudari] yang dikasihi, berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini, yang telah Dia berikan kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus.”17 Dengan kebenaran-kebenaran ini, saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.