2010–2019
Mengambil Ke Atas Diri Kita Nama Yesus Kristus
Oktober 2018


Mengambil Ke Atas Diri Kita Nama Yesus Kristus

Semoga kita akan dengan jujur mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus—dengan melihat seperti yang Dia melihat, dengan melayani seperti Dia melayani, dan mempercayai bahawa rahmat-Nya adalah cukup.

Saudara dan saudariku baru-baru ini, semasa saya merenungkan undangan Presiden Rusell M. Nelson untuk memanggil Gereja dengan nama yang telah diungkapkan, saya berpaling kepada ketika Juruselamat mengarahkan bangsa Nefi tentang nama Gereja.1 Semasa saya membaca firman Juruselamat, saya terkejut dengan cara Dia juga memberitahu rakyat tersebut bahawa “kamu harus mengambil ke atas kamu nama Kristus.”2 Ini menyebabkan saya menilai diri saya dan bertanya, “Adakah saya mengambil ke atas diri saya nama Juruselamat seperti yang Dia inginkan saya lakukan?”3 Hari ini saya ingin berkongsi beberapa tanggapan yang saya terima sebagai jawapan kepada soalan saya.

Pertama, untuk mengambil ke atas diri kita nama Kristus bermaksud kita dengan penuh iman berusaha untuk melihat sebagaimana Tuhan akan melihat.4 Bagaimanakah Tuhan melihat? Joseph Smith berkata, “Sementara sebahagian kaum manusia menghakimi dan menghukum yang lainnya tanpa belas kasihan, Ibu Bapa Agung alam semesta memandang seluruh umat manusia dengan pemeliharaan dan perhatian kebapaan,” kerana “kasih-Nya [adalah] tidak terduga.”5

Beberapa tahun yang lalu kakak sulung saya telah meninggal dunia. Dia mempunyai hidup yang mencabar. Dia telah bergelut dengan injil dan tidak pernah benar-benar aktif. Suaminya meninggalkan perkahwinan mereka dan meninggalkannya bersama empat anak-anak muda untuk dibesarkan. Pada petang kematiannya, dalam sebuah bilik bersama anak-anaknya, saya memberikannya sebuah berkat untuk kembali ke syurga dengan aman. Pada masa tersebut saya menyedari bahawa saya telah terlalu sering memandang kehidupan kakak saya dari segi percubaan dan ketidakaktifan dia. Semasa saya meletakkan tangan saya di atas kepalanya pada petang tersebut, saya menerima beberapa teguran dari Roh. Saya telah sedar tentang kebaikannya dan membolehkan saya melihatnya seperti Tuhan melihatnya—bukan sebagai orang yang bergelut dengan Injil dan kehidupan tetapi sebagai seorang yang menghadapi masalah sukar yang tidak saya miliki. Saya melihatnya sebagai seorang ibu yang hebat, walaupun terdapat halangan besar, telah membesarkan empat anak-anak yang cantik, dan menakjubkan. Saya melihatnya sebagai kawan kepada ibu kami yang meluangkan masa untuk menjaga dan menjadi rakan kepadanya selepas ayah kami meninggal dunia.

Ketika petang terakhir bersama kakak saya, saya percaya Tuhan menanyakan saya, “Tidakkah anda melihat bahawa semua orang di sekeliling anda adalah makhluk kudus?”

Brigham Young mengajar:

“Saya berharap untuk mengajar Orang Suci … untuk memahami lelaki dan wanita sebagaimana mereka ada, dan bukan memahami mereka sebagaimana anda ada.”6

“Betapa sering ia diucapkan—‘Orang tersebut telah melakukan kesalahan dan dia tidak boleh menjadi Orang Suci.’ … Kita mendengar sesetengah mengutuk dan menipu … [atau] melanggar Hari Sabat. … Janganlah menghakimi orang sedemikian, kerana anda tidak mengetahui rancangan Tuhan berkenan mereka. … [Melainkan,] menanggunglah bersama mereka.”7

Boleh sesiapa dari anda membayangkan Juruselamat kita membiarkan anda dan beban anda berlalu tanpa disedari oleh-Nya? Juruselamat memandang orang Samaria, penzina, pemungut cukai, orang sakit kusta, sakit secara mental, dan orang yang berdosa dengan pandangan yang sama. Semua orang adalah anak-anak Bapa-Nya. Semua boleh ditebus.

Bolehkah anda membayangkan Dia berpaling dari seseorang yang ragu akan kedudukan mereka di kerajaan Tuhan atau sesiapa pun yang menderita dari segala hal?8 Saya tidak dapat. Dalam mata Kristus, setiap jiwa adalah tidak ternilai. Tidak seorang pun yang di ditahbiskan sebelumnya untuk gagal. Kehidupan abadi adalah mungkin untuk semua.9

Dari teguran Roh di sisi katil kakak saya, saya mempelajari pengajaran yang hebat: bahawa semasa kita melihat seperti Dia melihat, kita akan mendapat kemenangan berganda—penebusan bagi mereka yang telah kita sentuh dan penebusan diri kita sendiri.

Kedua, untuk mengambil ke atas diri kita nama Kristus, kita bukan sahaja perlu melihat seperti Tuhan melihat, tetapi kita harus melakukan pekerjaan-Nya dan melayani seperti Dia melayani. Kita menjalankan dua perintah besar, berserah kepada kehendak Tuhan, kumpulkan Israel, dan biarkan terang kita “bercahaya depan orang.”10 Kita menerima dan menjalani perjanjian dan tatacara Gereja-Nya yang telah dipulihkan.11 Ketika kita melakukan ini, Tuhan memberkati kita dengan kuasa untuk memberkati diri kita sendiri, keluarga kita, dan kehidupan orang lain.12 Tanyakan diri anda, “Adakah saya ketahui sesiapa yang tidak memerlukan kuasa syurga dalam kehidupan mereka?”

Tuhan akan melakukan perbuatan yang ajaib di antara kita semasa kita menguduskan diri kita.13 Kita menguduskan diri kita dengan menyucikan hati kita.14 Kita menyucikan hati kita semasa kita mendengarkan-Nya,15 bertaubat akan dosa-dosa kita,16 bertukar hati,17 dan mengasihi seperti Dia mengasihi.18 Juruselamat menanyakan kita, “Apabila kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah upahmu?”19

Baru-baru ini saya mempelajari tentang sebuah pengalaman dalam kehidupan Elder James E. Talmage yang menyebabkan saya untuk berhenti dan mempertimbangkan bagaimana saya mengasihi dan melayani mereka yang di sekeliling saya. Sebagai seorang pensyarah muda, sebelum menjadi Rasul, pada puncak wabak difteria yang bahaya pada tahun 1892, Elder Talmage menemui sebuah keluarga yang tidak dikenali, bukan ahli Gereja, yang tinggal berdekatannya dan telah diserang penyakit itu. Tiada seorang yang ingin merisikokan diri mereka dengan memasuki ke dalam rumah yang dijangkiti itu. Elder Talmage, bagaimanapun, segera masuk ke dalam rumah tersebut. Dia menjumpai empat orang kanak-kanak: seorang yang berusia dua tahun setengah yang mati di atas katil, seorang berusia lima tahun dan sepuluh tahun yang berada dalam kesakitan yang teramat, dan seorang yang berusia tiga belas tahun yang lemah. Ibu bapa tersebut menderita dengan kesedihan dan kelesuan.

Elder Talmage mendandan yang telah mati dan yang hidup, menyapu bilik, mengeluarkan pakaian yang kotor, dan membakar kain-kain yang dipenuhi dengan penyakit tersebut. Dia berjaga sepanjang hari dan kemudian kembali pada keesokan paginya. Anak yang berusia sepuluh tahun mati pada malam tersebut. Dia mengangkat dan memeluk perempuan yang berusia lima tahun tersebut. Perempuan itu batuk lendir darah pada seluruh muka dan pakaian Elder Talmage. Dia menulis, “Saya tidak boleh menjauhkannya dari saya,” dan dia memeluknya sehingga perempuan itu mati dalam pelukannya. Dia membantu menguburkan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dan mengatur makanan dan pakaian yang bersih untuk keluarga yang bersedih itu. Setelah kembali ke rumah, Brother Talmage membuang pakaiannya, mandi dalam larutan zink, mengurung dirinya dari keluarganya, dan mengalami jangkitan ringan akibat penyakit itu.20

Begitu banyak nyawa di sekeliling kita yang dipertaruhkan. Orang Suci mengambil ke atas diri mereka nama Juruselamat dengan menjadi kudus dan melayani semua tanpa mengira di mana atau bagaimana keadaan mereka—kehidupan (kita) terpelihara semasa kita melakukan sedemikian.21

Yang Terakhir, saya percaya bahawa untuk mengambil ke atas diri kita nama-Nya kita harus mempercayai-Nya. Dalam satu pertemuan yang saya hadiri pada hari Ahad, seorang wanita muda menanyakan sesuatu yang seperti berikut: “Teman lelaki saya dan saya telah berpisah baru-baru ini, dan dia pilih untuk meninggalkan Gereja. Dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah lebih bahagia. Bagaimanakah ini boleh terjadi?”

Juruselamat menjawab soalan ini ketika Dia berkata kepada bangsa Nefi, “Tetapi jika [hidup anda] tidak dibangunkan di atas Injil-Ku, dan dibangunkan di atas pekerjaan manusia, atau di atas pekerjaan iblis, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu [anda akan] merasakan kebahagiaan dalam pekerjaan [anda] untuk suatu musim, dan lama-kelamaan akhir itu akan tiba.”22 Tidak ada sukacita berpanjangan di luar injil Yesus Kristus.

Pada pertemuan tersebut, bagaimanapun, saya berfikir tentang banyak orang baik yang saya kenali yang bergelut dengan beban yang teramat dan perintah-perintah yang sangat menakutkan bagi mereka. Saya tanyakan diri saya, “Apakah lagi yang akan Juruselamat katakan kepada mereka?”23 Saya percaya Dia akan bertanya, “Adakah anda percaya kepada saya?”24 Kepada wanita yang mengalami masalah pendarahan, Dia berkata, “Imanmu telah menyembuhkan engkau; pergilah dengan selamat.”25

Salah satu tulisan suci kegemaran saya adalah Yohanes 4:4, yang berbunyi, “Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria.”

Mengapakah saya suka tulisan suci tersebut? Kerana Yesus tidak perlu untuk pergi ke Samaria. Orang Yahudi pada zaman-Nya membenci orang Samaria dan mengembara di jalan sekeliling Samaria. Tetapi Yesus memilih untuk pergi ke sana untuk mengisytiharkan kepada seluruh dunia untuk pertama kalinya bahawa Dia adalah Mesias yang dijanjikan. Untuk pesanan ini, Dia memilih bukan saja kumpulan orang buangan tetapi juga seorang wanita—dan bukan mana-mana wanita tetapi seorang wanita yang hidup dalam dosa—seseorang yang dianggap pada masa itu untuk sebagai yang paling kurang dari yang kurang. Saya percaya bahawa Yesus melakukan ini supaya setiap kita sentiasa memahami bahawa kasihnya lebih besar daripada ketakutan kita, luka kita, ketagihan kita, keraguan kita, godaan kita, dosa kita, keluarga kita yang rosak, kemurungan dan kecemasan kita, penyakit kronik kita, kemiskinan kita, penderaan kita, kepiluan kita dan kesepian kita.26 Dia mahu semua tahu tiada apa pun dan tiada siapa pun yang tidak dapat Dia sembuhkan dan menyampaikan sukacita berpanjangan.27

Rahmat-Nya mencukupi.28 Dia sendiri menurunkan darjatnya di bawah segala hal. Kuasa Korban tebusan-Nya adalah kuasa untuk mengatasi segala beban dalam kehidupan kita.29 Pesanan tentang wanita di tepi perigi itu adalah Dia mengetahui keadaan hidup kita30 dan kita boleh selalu berjalan bersama Dia tidak kita di mana kita berada. Bagi dia dan setiap kita, Dia berkata, “Barangsiapa minum air yang akan Ku-berikan kepadanya, dia tidak akan haus untuk selama-lamanya; sebaliknya [mendapatkan] mata air yang memancar sampai kepada hidup yang kekal.”31

Dalam mana-mana perjalanan hidup, kenapa anda berpaling dari satu-satunya Juruselamat yang mempunyai kuasa untuk menyembuhkan dan menyelamatkan anda? Apa pun harga yang anda harus bayar untuk percaya kepada-Nya adalah berbaloi. Saudara dan saudari saya, marilah kita pilih untuk meningkatkan iman kita kepada Bapa Syurgawi dan Juruselamat kita, Yesus Kristus.

Dari lubuk hati saya, saya bersaksi bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah Gereja Juruselamat, diarahkan oleh Kristus yang hidup melalui nabi yang benar. Doa saya adalah bahawa kita akan dengan jujur mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus—dengan melihat seperti yang Dia melihat, dengan melayani seperti Dia melayani, dan mempercayai bahawa rahmat-Nya adalah cukup untuk menghantar kita ke rumah dan untuk sukacita yang berpanjangan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat 3 Nefi 27:3–8.

  2. Lihat 3 Nefi 27:5–6; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 20:77 dan perjanjian sakramen.

  3. Lihat Dallin H. Oaks, His Holy Name (1998) untuk pengkajian lengkap tentang mengambil ke atas diri kita dan menjadi saksi bagi nama Yesus Kristus.

  4. Lihat Mosia 5:2–3. Sebahagian dari perubahan hati yang hebat di antara rakyat Raja Benyamin yang mengambil ke atas diri mereka nama Kristus adalah mata mereka dibuka kepada “pandangan yang hebat.” Mereka yang mewarisi kerajaan selestial adalah individu yang “melihat sebagaimana mereka dilihat” (Ajaran dan Perjanjian 76:94).

  5. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 39.

  6. Brigham Young, dalam Journal of Discourses, 8:37.

  7. Discourses of Brigham Young, sel. John A. Widtsoe (1954), 278.

  8. Lihat 3 Nefi 17:7.

  9. Lihat Yohanes 3:14–17; Kisah Rasul-Rasul 10:34; 1 Nefi 17:35; 2 Nefi 26:33; Ajaran dan Perjanjian 50:41–42; Musa 1:39. Elder D. Todd Christofferson juga mengajarkan: “Dengan yakin kami bersaksi bahawa Korban Tebusan Yesus Kristus yang telah diharapkan, dan akhirnya, akan mengimbangi semua kehilangan dan kerugian bagi mereka yang memaling kepada-Nya. Tiada yang ditakdirkan untuk menerima kurang daripada apa yang Bapa punyai untuk anak-anak-Nya” (“Mengapa Kahwin dan Punyai Keluarga,” Liahona, Mei 2015, 52).

  10. Lihat Matius 5:14–16; 22:35–40; Mosia 3:19; Ajaran dan Perjanjian 50:13–14; 133:5; lihat juga Russell M. Nelson, “The Gathering of Scattered Israel,” Liahona, Nov. 2006, 79–81.

  11. Lihat Imamat 18:4; 2 Nefi 31:5–12; Ajaran dan Perjanjian 1:12–16; 136:4; Fasal-Fasal Kepercayaan 1:3–4.

  12. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:20–21; 110:9.

  13. Lihat Yosua 3:5; Ajaran dan Perjanjian 43:16; lihat juga Yohanes 17:19. Juruselamat mengorbankan Diri-Nya bagi mendapatkan kuasa untuk memberkati kita.

  14. Lihat Helaman 3:35; Ajaran dan Perjanjian 12:6–9; 88:74.

  15. Lihat Joseph Smith—Sejarah 1:17, perintah pertama diberikan oleh Tuhan dalam penglihatan kepada Nabi Joseph Smith; lihat juga 2 Nefi 9:29; 3 Nefi 28:34.

  16. Lihat Markus 1:15; Kisah Rasul-Rasul 3:19; Alma 5:33; 42:22–23; Ajaran dan Perjanjian 19:4–20. Juga renungkan dua renungan ini tentang dosa. Pertama, Hugh Nibley menulis: “Dosa adalah pembaziran. Ia adalah melakukan sesuatu hal ketika anda seharusnya melakukan hal yang lain dan yang lebih baik yang anda mempunyai keupayaan” (Approaching Zion, ed. Don E. Norton [1989], 66). Ibu John Wesley, Susanna Wesly, menulis kepada anaknya: “Ingatlah peraturan ini. Apa pun yang melemahkan alasan anda, merosakkan hati nurani anda, mengaburkan deria anda kepada Tuhan, mengambil kebahagiaan anda bagi hal-hal rohani, apa pun yang meningkatkan hak kuasa badan ke atas minda, perkara itu adalah dosa untuk anda, meskipun itu kelihatan tidak bersalah” (Susanna Wesley: The Complete Writings, ed. Charles Wallace Jr. [1997], 109).

  17. Lihat Lukas 22:32; 3 Nefi 9:11, 20.

  18. Lihat Yohanes 13:2–15, 34. Pada malam sebelum Korban tebusan-Nya, Juruselamat membasuh kaki seorang yang mengkhianati Dia, yang lain yang menafikan Dia, dan yang lain tertidur pada masa yang sangat Dia memerlukan. Dia kemudian mengajarkan, “Aku memberikan perintah baru kepada kamu, Iaitu supaya kamu saling mengasihi; seperti Aku telah mengasihi kamu.”

  19. Matius 5:46.

  20. Lihat John R. Talmage, T he Talmage Story: Life of James E. Talmage—Educator, Scientist, Apostle (1972), 112–14.

  21. Lihat Alma 10:22–23; 62:40.

  22. 3 Nefi 27:11.

  23. Dalam Matius 11:28,30, Tuhan berkata: “Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat; Aku akan memberikan kelegaan kepadamu. … Sebab Kuk yang Kupasang itu enak, dan beban-Ku pun ringan.” Juga pertimbangkan 2 Korintus 12:7–9: Paulus menerangkan penderitaan “duri dalam daging” yang sangat kuat, yang dia telah berdoa untuk dihapuskan. Kristus berkata kepadanya, “Cukuplah rahmat-Ku bagimu, sebab justeru dalam kelemahanlah kuasa-Ku menjadikan sempurna.” Lihat juga Eter 12:27.

  24. Lihat Mosia 7:33; 29:20; Helaman 12:1; Ajaran dan Perjanjian 124:87.

  25. Lihat Lukas 8:43–48; Markus 5:25–34. Wanita dengan masalah pendarahan berada dalam keperluan dan buntu dalam pilihan. Dia telah menderita selama 12 tahun, telah menghabiskan semua sumbernya pada doktor, dan menjadi semakin teruk. Orang buangan dari bangsa dan keluarganya, dia dengan penuh tujuan berjalan melalui orang ramai dan menumpukan dirinya kepada Juruselamat. Dia memiliki kepercayaan dan iman sepenuhnya kepada Juruselamat, dan Dia merasa sentuhannya pada pakaian suci-Nya. Dari iman itu Dia dengan segera dan sepenuhnya menyembuhkannya. Dia kemudian memanggilnya “anak perempuan.” Dia bukan lagi orang buangan tetapi ahli dalam keluarga Tuhan. Kesembuhannya adalah secara jasmani, sosial, emosi, dan rohani. Cabaran mungkin akan berlangsung selama bertahun atau seumur hidup, tetapi janji-Nya tentang penyembuhan adalah pasti dan mutlak.

  26. Lihat Lukas 4:21; Yohanes 4:6–26. Lukas, bukannya Yohanes, mencatatkan bahawa pada awal pelayanan Yesus, Dia pergi sendiri ke saumaah di Nazaret, membaca sebuah kitab dari Yesaya yang bernubuat tentang Mesias, dan kemudian menyatakan, “Hari ini adalah kitab suci ini digenapi di telingamu.” Ini adalah catatan pertama kalinya Juruselamat menyebut Diri-Nya sebagai Mesias. Bagaimanapun, di perigi Yakub, Yohanes mencatatkan pertama kalinya Yesus mengisytiharkan Diri-Nya sebagai Mesias secara terbuka. Dalam suasana ini, kerana orang Samaria dianggap bukan Yahudi, Yesus juga mengajarkan bahawa Injil-Nya adalah untuk semua orang, baik orang Yahudi maupun orang bukan Yahudi. Perisytiharan ini berlaku pada “jam keenam,” atau pada tengah hari, apabila bumi menerima cahaya sepenuhnya dari matahari. Perigi Yakub juga berada di lembah berhampiran tempat yang tepat di mana Israel kuno secara adat membuat perjanjian dengan Tuhan setelah memasuki negeri yang dijanjikan. Menariknya, di satu sisi lembah itu adalah gunung yang kering dan di sisi lain adalah gunung yang penuh dengan mata air yang memberikan kehidupan.

  27. Elder Neal A. Maxwell mengajarkan: “Apabila dalam keadaan tekanan kita tertanya-tanya jika ada lagi yang kita harus berikan, kita dapat dihiburkan mengetahui bahawa Tuhan, yang mengetahui kemampuan kita dengan sempurna, meletakkan kita di sini untuk berjaya. Tidak seorang pun yang ditahbiskan sebelumnya untuk gagal atau untuk menjadi jahat. … Apabila kita merasa tidak layak, marilah kita ingat jaminan bahawa Tuhan tidak akan menggagalkan kita” (“Meeting the Challenges of Today” [Brigham Young University devotional, Okt. 10, 1978], 9, speeches.byu.edu).

  28. Presiden Russell M. Nelson telah mengajarkan:

    “Pada hari yang mendatang, anda akan menyampaikan diri anda di hadapan Juruselamat. Anda akan merasa tidak layak sehingga menitis air mata untuk berada di hadirat kudus-Nya. Anda akan sukar mencari kata-kata untuk mengucapkan terima kasih kepada-Nya kerana membayar dosa-dosa anda, untuk memaafkan anda tentang apa-apa yang tidak baik terhadap orang lain, untuk menyembuhkan anda dari kelukaan dan ketidakadilan dalam kehidupan ini.

    “Anda akan berterima kasih kepada-Nya kerana menguatkan anda untuk melakukan yang mustahil, kerana mengubah kelemahan anda menjadi kekuatan, dan untuk membolehkan anda tinggal bersama-sama dengan Dia dan keluarga anda selama-lamanya. Identiti-Nya, Korban tebusan-Nya, dan sifat-Nya akan menjadi peribadi dan nyata bagi anda” (“Prophets, Leadership, and Divine Law” [worldwide devotional for young adults, Jan. 8, 2017], broadcasts.lds.org).

  29. Lihat Yesaya 53:3–5; Alma 7:11–13; Ajaran dan Perjanjian 122:5–9.

  30. Lihat Joseph Smith—Sejarah 1:17; Elaine S. Dalton, “He Knows You by Name,” Liahona, Mei 2005, 109–11.

  31. Yohanes 4:14.