2010–2019
Kebenaran dan Rancangan
Oktober 2018


Kebenaran dan Rancangan

Apabila kita mencari kebenaran tentang agama, kita harus menggunakan kaedah-kaedah rohani yang bersesuaian.

Wahyu moden mendefinisikan kebenaran sebagai “pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 93:24). Itu merupakan definisi tepat bagi rancangan keselamatan dan “Keluarga: Suatu Perisytiharan Kepada Dunia.”

Kita hidup di dalam zaman yang punyai maklumat luas dan tersebar. Namun tidak semua maklumat tersebut benar. Kita perlu berhati-hati ketika mencari kebenaran dan memilih sumber-sumber bagi pencarian itu. Kita tidak patut mempertimbangkan keunggulan duniawi atau hak kuasa sebagai sumber-sumber kebenaran yang layak. Kita haruslah berhati-hati dengan maklumat atau nasihat yang diberi oleh selebriti-selebriti hiburan, atlit-atlit terkenal, atau sumber-sumber maklumat dari orang yang tidak diketahui. Kepakaran dalam satu bidang tidak bermakna kepakaran kebenaran dalam bidang lain.

Kita juga harus berwaspada terhadap motivasi orang yang memberi maklumat itu. Itulah sebab mengapa ayat-ayat suci memberi amaran tentang penipuan imam (lihat 2 Nefi 26:29). Jika sumber itu tidak bernama atau tidak diketahui, maka maklumat itu mungkin disyaki.

Keputusan-keputusan peribadi kita haruslah berdasarkan maklumat daripada sumber-sumber yang layak dalam bidang tersebut dan bebas daripada motivasi yang mementingkan diri.

I.

Apabila kita mencari kebenaran tentang agama, kita harus menggunakan kaedah-kaedah rohani yang bersesuaian: doa, kesaksian Roh Kudus, dan pengkajian ayat suci dan kata-kata nabi moden. Saya sentiasa berasa sedih apabila saya mendengar seseorang yang melaporkan kehilangan kepercayaan agama akibat ajaran-ajaran duniawi. Mereka yang dahulunya pernah memperoleh visi rohani boleh menjadi buta secara rohani akibat diri sendiri. Presiden Henry B. Eyring telah berkata, “Masalah mereka tidak bergantung kepada apa yang mereka lihat; ia bergantung kepada apa yang mereka masih tidak dapat lihat.”1

Kaedah-kaedah sains mendorong kita kepada kebenaran saintifik. Namun “kebenaran saintifik” bukanlah jawapan bagi kehidupan sepenuhnya. Mereka yang tidak belajar “melalui pembelajaran dan juga melalui iman” (Ajaran dan Perjanjian 88:118) mengehadkan pemahaman kebenaran hanya kepada cara saintifik. Ini meletakkan had buatan dalam pencarian kebenaran.

Presiden James E. Faust telah berkata: “Mereka yang telah [dibaptiskan] meletakkan roh abadi mereka dalam bahaya dengan hanya mencari sumber ilmu duniawi. Kita percaya bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir mempunyai Injil Kristus yang sempurna, di mana Injil merupakan asas kebenaran dan penerangan abadi.”2

Kita memperoleh kebenaran dan kegembiraan abadi dengan mengetahui dan bertindak berdasarkan kebenaran tentang siapa kita, maksud kehidupan fana, dan ke mana kita akan pergi setelah kita mati. Kebenaran-kebenaran tersebut tidak boleh dipelajari secara kaedah saintifik atau duniawi.

II.

Kini saya akan bercakap tentang kebenaran Injil yang dipulih merupakan asas ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Sila pertimbangkan kebenaran-kebenaran berikut dengan teliti. Berikut banyak menjelaskan tentang ajaran dan amalan kita, mungkin termasuk perkara-perkara yang belum lagi difahami.

Terdapatnya seorang Tuhan, yang merupakan Bapa penyayang kepada roh-roh yang pernah hidup dan yang akan datang.

Jantina adalah abadi. Sebelum kita dilahirkan di bumi ini, kita hidup sebagai roh lelaki atau perempuan di hadirat Tuhan.

Kita telah pun mendengar Koir Tabernakel di Temple Square menyanyikan “Aku Akan Ikut Rancangan Tuhan.”3 Itulah rancangan yang Tuhan telah tubuhkan supaya semua anak-anak Roh-Nya dapat maju secara abadi. Itulah rancangan yang amat penting bagi kita semua.

Berdasarkan rancangan itu, Tuhan telah mencipta bumi ini sebagai satu tempat di mana anak-anak rohani-Nya boleh dilahirkan secara fana dan menerima badan fizikal dan memperoleh peluang untuk kemajuan abadi dengan membuat pilihan-pilihan yang soleh.

Agar ia bermakna, keputusan-keputusan fana perlu dilakukan di antara daya pertentangan baik dan jahat. Harus adanya pertentangan, maka seorang musuh, yang telah dihalau akibat pemberontakan, telah dibenarkan untuk menggoda anak-anak Tuhan supaya bertindak bertentangan dengan rancangan Tuhan.

Matlamat rancangan Tuhan adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak-Nya memilih kehidupan abadi. Ini hanya boleh dicapai melalui pengalaman fana dan, setelah mati, oleh perkembangan selepas fana dalam dunia roh.

Ketika dalam kehidupan fana, kita akan dicemari dosa apabila kita menyerah kepada godaan jahat musuh, dan kita akan akhirnya mati. Kita menerima cabaran-cabaran itu dengan bergantung kepada jaminan rancangan di mana Tuhan akan menyediakan seorang Juruselamat, Putera Tunggal-Nya, yang akan menyelamatkan kita dengan kebangkitan universal untuk mewujudkan kehidupan setelah kematian. Juruselamat juga akan menyediakan satu korban tebusan supaya semua boleh bebas daripada dosa berdasarkan syarat-syarat yang Dia telah tetapkan. Syarat-syarat itu termasuklah kepercayaan dalam Kristus, pertaubatan, pembaptisan, kurnia Roh Kudus, dan tatacara Injil lain yang dilaksanakan oleh wewenang imamat.

Rancangan kegembiraan hebat Tuhan menyediakan keseimbangan sempurna di antara keadilan abadi dan belas kasihan yang kita boleh peroleh melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Ia juga membolehkan kita ditukar menjadi makhluk baru dalam Kristus.

Satu Tuhan penyayang mencapai kita. Kita tahu bahawa melalui kasih-Nya dan kerana Korban Tebusan Putera Tunggal-Nya, “seluruh umat manusia boleh diselamatkan, melalui kepatuhan kepada hukum-hukum dan tatacara-tatacara Injil [Nya]” (Fasal-Fasal Kepercayaan 1:3; penekanan ditambahkan).

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir lebih dikenali sebagai Gereja yang berpusatkan keluarga. Namun apa yang tidak difahami dengan jelas adalah bahawa berpusatkan keluarga ditumpukan lebih daripada perhubungan fana. Perhubungan abadi juga merupakan asas teologi kita. “Keluarga ditetapkan Tuhan.”4 Berdasarkan rancangan hebat Pencipta yang pengasih kita, misi Gereja terpulih Dia adalah untuk membantu anak-anak Tuhan menerima permuliaan dalam kerajaan Selestial, yang hanya boleh dicapai melalui perkahwinan abadi di antara seorang lelaki dan seorang wanita (lihat Ajaran dan Perjanjian 131:1–3). Kami menegaskan ajaran-ajaran Tuhan bahawa “jantina merupakan sifat yang asas untuk identiti dan tujuan pra-fana, fana dan abadi seseorang” dan bahawa “perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah perlu untuk rancangan abadi-Nya.”5

Akhirnya, kasih Tuhan begitu hebat sehinggakan, kecuali hanya beberapa yang menjadi para putera keterkutukan, Dia telah menyediakan satu takdir gemilang bagi semua anak-anak-Nya. “Semua anak-anak-Nya” termasuklah semua yang telah pun meninggal. Kita boleh melakukan tatacara Injil untuk mereka secara wakilan dalam bait suci kita. Tujuan Gereja Yesus Kristus adalah untuk melayakkan anak-anak Dia bagi kemuliaan taraf tertinggi, iaitu permuliaan atau kehidupan abadi. Bagi mereka yang tidak berminat atau layak untuk itu, Dia telah menyediakan kerajaan kemuliaan gemilang yang bertaraf rendah.

Sesiapa yang memahami kebenaran-kebenaran abadi ini boleh memahami mengapa kita ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir berfikir dan berlaku sepertimana kita fikir dan lakukan.

III.

Kini saya akan menyebutkan beberapa aplikasi berkenaan kebenaran abadi yang hanya boleh difahami dengan rancangan Tuhan.

Pertama, kita menghormati hak pilihan individu. Ramai tahu akan usaha hebat Gereja yang dipulih untuk mempromosikan kebebasan agama di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia. Usaha-usaha itu bukan hanya mempromosikan kepentingan-kepentingan kita sendiri tetapi, menurut rancangan Dia, memohon untuk membantu anak-anak Tuhan menikmati kebebasan untuk memilih.

Kedua, kita merupakan orang penginjil. Kadangkala kita ditanya mengapa kita menghantar penginjil ke pelbagai negara, juga di kalangan populasi yang beragama Kristian. Kita menerima soalan yang sama berkenaan mengapa kita menderma jutaan duit bantuan kemanusiaan kepada mereka yang bukan ahli Gereja kita dan mengapa kita tidak menggabungkan bantuan ini dengan usaha menginjil kita. Kita melakukan ini kerana kita mempunyai penghargaan tinggi terhadap semua manusia fana sebagai anak-anak Tuhan—saudara dan saudari kita—dan kita ingin berkongsikan hasil rohani dan fana dengan semua.

Ketiga, kehidupan fana amat kudus bagi kita. Komitmen kita kepada rancangan Tuhan mengharuskan kita untuk menentang pengguguran dan amalan “euthanasia.”

Keempat, ada yang terganggu oleh beberapa amalan Gereja berkenaan perkahwinan dan kanak-kanak. Pengetahuan kita berkenaan rancangan keselamatan Tuhan memerlukan kita untuk menentang tekanan sosial dan perundangan yang mundur daripada perkahwinan tradisional dan membuat perubahan yang mengelirukan atau mengubah jantina atau menghapuskan perbezaan di antara kaum lelaki dan kaum perempuan. Kita tahu bahawa perhubungan, identiti, dan fungsi lelaki dan perempuan penting untuk mencapai rancangan hebat Tuhan.

Kelima, kita juga punyai perspektif jelas berkenaan anak-anak. Kita memandang penanggungan dan pengasuhan anak-anak sebagai sebahagian daripada rancangan Tuhan, dan satu tugas yang menggembirakan dan kudus bagi mereka yang telah diberi kuasa untuk menyertainya. Dari segi pandangan kita, harta bernilai yang tidak terhingga di bumi dan di syurga adalah anak-anak kita dan keturunan kita. Oleh itu, kita harus ajar dan memilih asas-asas dan amalan yang menyediakan keadaan yang terbaik untuk pembesaran dan kegembiraan anak-anak—semua kanak-kanak.

Akhirnya, kita merupakan anak-anak kesayangan seorang Bapa Syurgawi, yang telah mengajar kita bahawa sifat lelaki dan sifat wanita, perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang wanita, dan penanggungan dan pengasuhan anak-anak penting dalam rancangan kegembiraan hebat Dia. Kedudukan kita berkenaan dasar-dasar tersebut sering menggusarkan penentangan terhadap Gereja. Kita menganggapnya sebagai tidak boleh dielakkan. Penentangan sebahagian daripada rancangan itu, dan penentangan Setan yang paling kuat tertumpu kepada apa pun perkara yang paling penting dalam rancangan Tuhan. Dia ingin memusnahkan usaha Tuhan. Kaedah utamanya adalah untuk menyebabkan kesangsian terhadap Juruselamat dan hak kuasa ilahi-Nya, untuk memadamkan usaha-usaha Korban Tebusan Yesus Kristus, untuk menghalang pertaubatan, memberi wahyu palsu, dan untuk melawan pertanggungjawapan individu. Dia juga cuba mengelirukan jantina, memesongkan perkahwinan, dan menghalang kelahiran anak—terutamanya ibu bapa yang akan membesarkan anak-anak mereka dalam kebenaran.

IV.

Usaha Tuhan terus maju walaupun menghadapi penentangan teratur dan kerap apabila kita berusaha untuk mengikut ajaran-ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Kepada mereka yang ragu-ragu disebabkan penentangan itu, saya menawarkan cadangan-cadangan berikut.

Ingatlah bahawa asas pertaubatan diperbolehkan oleh kuasa Korban Tebusan Yesus Kristus. Sepertimana digalakkan oleh Elder Neal A. Maxwell, jangan berada di antara mereka “yang lebih rela cuba mengubah Gereja dan bukannya diri sendiri.”6

Sepertimana Elder Jeffrey R. Holland telah berkata:

“Berpegang kepada perkara yang kamu sudah tahu dan berdiri tegas sehingga ilmu tambahan datang.

Dalam Gereja ini, yang kita tahu akan selalu lebih kuat daripada apa yang kita tidak tahu.” 7

Jalankan iman dalam Tuhan Yesus Kristus, itulah asas pertama Injil.

Akhirnya, carilah bantuan. Pemimpin-pemimpin Gereja kita mengasihi anda dan mencarikan bimbingan rohani untuk membantu anda. Kita punyai banyak sumber-sumber yang anda boleh dapati melalui LDS.org dan sokongan-sokongan lain bagi pengkajian Injil di rumah. Kita juga punyai saudara dan saudari pelayan yang telah dipanggil untuk memberi bantuan dengan penuh kasih.

Bapa Syurgawi pengasih menginginkan anak-anak Dia untuk peroleh kegembiraan iaitu tujuan penciptaan kita. Takdir gembira itu ialah kehidupan abadi, yang kita boleh peroleh dengan bergerak maju di sepertimana dipanggil oleh nabi kita, Presiden Russell M. Nelson, “perjalanan perjanjian.” Inilah yang dia telah katakan dalam pesanan pertamanya sebagai Presiden Gereja: “Ikutilah perjalanan perjanjian. Tekad anda untuk ikut Juruselamat dengan membuat perjanjian bersama Dia dan mematuhi perjanjian-perjanjian itu akan membuka pintu kepada setiap berkat dan hak istimewa rohani yang ada untuk para lelaki, wanita, dan anak-anak di merata-rata tempat.”8

Sesungguhnya saya bersaksi bahawa hal-hal yang saya katakan adalah benar, dan ia terjadi daripada ajaran-ajaran dan Korban Tebusan Yesus Kristus, yang telah memperbolehkan segala hal di bawah rancangan hebat Tuhan, Bapa Abadi kita. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Henry B. Eyring, To Draw Closer to God: A Collection of Discourses (1997), 143.

  2. James E. Faust, “The Abundant Life,” Ensign, Nov. 1985, 9.

  3. “Aku Akan Ikut Rancangan Tuhan,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 86–87.

  4. Keluarga: Satu Perisytiharan kepada Dunia,” Liahona, Mei 2017, 145.

  5. Keluarga: Suatu Perisytiharan Kepada Dunia,” 145.

  6. Neal A. Maxwell, If Thou Endure It Well (1996), 101.

  7. Jeffrey R. Holland, “Lord, I Believe,” Liahona, Mei 2013, 94; penekanan dalam yang asal.

  8. Russell M. Nelson, “As We Go Forward Together,” Liahona, Apr. 2018, 7.