2010–2019
Peranan Kitab Mormon dalam Penukaran Hati
Oktober 2018


Peranan Kitab Mormon dalam Penukaran Hati

Kita mengumpulkan Israel untuk kali terakhir dan melakukan sedemikian dengan Kitab Mormon, salah satu alat yang paling berkuasa untuk penukaran hati.

Banyak orang pada masa kini tertanya-tanya tentang realiti Tuhan dan hubungan kita dengan-Nya. Banyak yang tahu sedikit atau langsung tidak mengetahui tentang rancangan kebahagiaan-Nya yang besar. Lebih dari 30 tahun yang lalu, Presiden Ezra Taft Benson memerhatikan bahawa “banyak dari … dunia pada masa kini menolak keilahian Juruselamat. Mereka mempersoalkan kelahiran-Nya yang menakjubkan, kehidupan-Nya yang sempurna, dan realiti kebangkitan-Nya yang agung.”1

Pada zaman kita, soalan-soalan tertumpu bukan sahaja pada Juruselamat kita tetapi juga pada Gereja-Nya—Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir—yang Dia pulihkan melalui Nabi Joseph Smith. Soalan-soalan ini sering kali tertumpu pada sejarah, ajaran-ajaran, atau amalan-amalan dalam Gereja Juruselamat.

Kitab Mormon Membantu Kita Berkembang dalam Kesaksian

Dari Mengkutbahkan Injil-Ku, kita baca: “Ingatlah bahawa pemahaman kita [tentang Bapa Syurgawi dan rancangan kebahagiaan-Nya] datang melalui nabi-nabi moden—Joseph Smith dan para penggantinya. Oleh demikian, soalan pertama yang seseorang harus jawab adalah jika Joseph Smith merupakan seorang nabi, dia boleh menjawab soalan ini dengan membaca dan berdoa tentang Kitab Mormon.”2

Kesaksian saya tentang panggilan ilahi Nabi Joseph Smith telah dikuatkan melalui pembelajaran Kitab Mormon dengan penuh doa: Satu Kesaksian Lagi Tentang Yesus Kristus. Saya telah bertindak atas jemputan Moroni untuk “bertanya kepada Tuhan, Bapa yang Abadi, dalam nama Kristus,” untuk mengetahui kebenaran penuh Kitab Mormon.3 Saya bersaksi bahawa saya tahu ia adalah benar. Pengetahuan itu telah datang kepada saya, seperti ia boleh datang kepada anda, “melalui kuasa Roh Kudus.”4

Pengenalan kepada Kitab Mormon menyatakan: “Mereka yang memperoleh kesaksian ilahi ini [tentang Kitab Mormon] daripada Roh Kudus akan juga mengetahui melalui kuasa yang sama bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia, bahawa Joseph Smith ialah pewahyu dan nabi-Nya pada zaman terakhir ini, dan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan yang sekali lagi ditegakkan di atas bumi, sebagai persiapan untuk Kedatangan Kedua Mesias.”5

Sebagai penginjil muda yang akan melayani di Chile, saya mempelajari pengajaran yang mengubah hidup tentang kuasa penukaran hati Kitab Mormon. Encik Gonzalez melayani di kedudukan yang dihormati dalam gerejanya untuk bertahun-tahun lamanya. Dia mempunyai latihan agama yang luas, termasuk ijazah dalam teologi. Dia sungguh bangga dengan kepakarannya dalam Alkitab. Sungguh ketara bagi kami bahawa dia merupakan sarjana keagamaan.

Dia turut tahu tentang para penginjil Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir semasa mereka melakukan pekerjaan mereka di bandar kotanya di Lima, Peru. Dia sering ingin bertemu dengan mereka agar dia boleh mendidik mereka tentang Alkitab.

Pada suatu hari, seperti kurnia dari syurga, tanggapannya, dua penginjil menahan dia di tepi jalan dan bertanya sekiranya mereka boleh datang ke rumahnya dan berkongsi tulisan suci dengannya. Mimpinya menjadi kenyataan! Doanya telah dijawab. Akhirnya, dia dapat membetulkan pemuda yang sesat ini. Dia memberitahu mereka bahawa dia senang untuk menjemput mereka datang ke rumahnya dan berbincang tentang tulisan suci.

Dia sungguh ternanti-nantikan temu janjinya. Dia telah bersedia untuk menggunakan Alkitab untuk menyangkal kepercayaan mereka. Dia sungguh yakin bahawa Alkitab akan secara jelas dan tepat menunjuk kesalahan dalam cara-cara mereka. Malam temu janji tiba, dan para penginjil mengetuk pintunya. Dia sungguh bersemangat. Masanya akhirnya telah tiba.

Dia membuka pintu tersebut dan menjemput para penginjil ke dalam rumahnya. Salah satu penginjil memberikannya sebuah kitab berwarna biru dan berkongsi kesaksian yang tulus bahawa dia tahu kitab tersebut mengandungi firman Tuhan. Penginjil yang kedua juga menambah kesaksiannya tentang kitab tersebut, bersaksi bahawa ia telah diterjemahkan oleh nabi moden Tuhan bernama Joseph Smith dan bahawa ia mengajarkan tentang Kristus. Para penginjil tersebut mengundur diri dan meninggalkan rumahnya.

Encik Gonzalez sungguh kecewa. Tetapi dia membuka kitab tersebut dan mula menyelak halamannya. Dia membaca halaman pertama. Dia membaca halaman demi halaman dan tidak berhenti sehingga lewat tengah hari keesokan harinya. Dia membaca seluruh kitab tersebut dan mengetahui bahawa ia adalah benar. Dia tahu apa yang harus dia lakukan. Dia menelefon para penginjil tersebut, menerima pengajaran, dan melepaskan kehidupan yang dia ketahui untuk menjadi seorang ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Lelaki yang baik ini adalah pengajar MTC saya di Provo, Utah. Kisah penukaran hati Brother Gonzalez dan kuasa Kitab Mormon meninggalkan tanggapan yang besar bagi saya.

Ketika saya tiba di Chile, presiden misi saya, Presiden Royden J. Glade, menjemput kami untuk membaca kesaksian Nabi Joseph Smith yang tercatat di Joseph Smith—Sejarah setiap minggu. Dia mengajarkan kami bahawa kesaksian tentang Penglihatan Pertama akan mempunyai hubung kait langsung kepada kesaksian kita sendiri tentang Injil dan kesaksian kita tentang Kitab Mormon.

Saya memandang serius jemputannya. Saya telah membaca laporan Penglihatan Pertama; saya telah membaca Kitab Mormon. Saya telah berdoa seperti yang diarahkan oleh Moroni dan menanyakan “Tuhan, Bapa yang Abadi, dalam nama Kristus”6 sekiranya Kitab Mormon adalah benar. Saya bersaksi hari ini bahawa saya tahu Kitab Mormon, seperti yang Nabi Joseph Smith katakan: “adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, dan batu kunci agama kita, dan seseorang [akan] menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun.”7 Nabi Joseph juga mengisytiharkan: “Ambil keluar Kitab Mormon serta wahyu-wahyu, dan di manakah agama kita? Kita tidak ada.”8

Penukaran Hati Peribadi

Semasa kita lebih memahami siapa kita dan tujuan Kitab Mormon, penukaran hati kita mendalam dan menjadi lebih tetap. Kita dikuatkan dalam komitmen kita untuk mematuhi perjanjian yang kita lakukan dengan Tuhan.

Satu asas tujuan Kitab Mormon adalah untuk mengumpulkan Israel yang tercerai-berai. Pengumpulan ini memberi semua anak-anak Tuhan kesempatan untuk masuk ke dalam jalan perjanjian dan, dengan mematuhi perjanjian-perjanjian tersebut, kembali ke hadirat Tuhan. Semasa kita mengajarkan pertaubatan dan membaptis penganut baru, kita mengumpulkan Israel yang tercerai-berai.

Kitab Mormon mempunyai 108 rujukan kepada bani Israel. Pada permulaan Kitab Mormon, Nefi mengajarkan, “Kerana seluruh maksudku adalah bahawa aku dapat memujuk manusia supaya datang kepada Tuhan Abraham, dan Tuhan Isyak, dan Tuhan Yakub, dan diselamatkan.”9 Tuhan Abraham, Ishak, dan Yakub adalah Yesus Kristus, Tuhan Perjanjian Lama. Kita diselamatkan semasa kita datang kepada Kristus melalui menjalankan injil-Nya.

Kemudian, Nefi menulis:

“Ya, bahkan bapaku berbicara banyak berkenaan bangsa bukan Israel, dan juga berkenaan kaum keturunan Israel, bahawa mereka harus dibandingkan dengan sebatang pokok zaitun, yang cabang-cabangnya akan dipatahkan dan dicerai-beraikan ke atas seluruh permukaan bumi. …

“Dan setelah bani Israel dicerai-beraikan, mereka akan dikumpulkan bersama kembali; atau, kesimpulannya, setelah bangsa bukan Israel telah menerima kegenapan Injil, cabang-cabang asli pokok zaitun itu, atau kaum keturunan Israel yang selebihnya akan dicantumkan ke dalam, atau datang kepada pengetahuan berkenaan Mesias yang sejati, Tuhan mereka dan Penebus mereka.”10

Demikian juga, di penghujung Kitab Mormon, nabi Moroni mengingatkan kita tentang perjanjian kita, dengan mengatakan, “Agar engkau tidak lagi dapat dicelarukan, agar perjanjian Bapa Yang Abadi yang telah Dia buat kepadamu, Wahai bani Israel, dapat digenapi.”11

Perjanjian Bapa yang Abadi

Apakah “perjanjian Bapa yang Abadi” yang dirujuk oleh Moroni? Kita baca di dalam kitab Abraham:

“Nama-Ku ialah Yehova, dan Aku mengetahui akhir dari permulaan; oleh kerana itu tangan-Ku akan berada di atasmu.

“Dan Aku akan menjadikan engkau sebuah bangsa yang besar, dan Aku akan memberkati engkau melebihi batas ukuran, dan menjadikan namamu besar di kalangan semua bangsa, dan engkau akan menjadi suatu berkat bagi keturunanmu selepas engkau, bahawa dalam tangan mereka, mereka akan memberikan pelayanan dan Imamat ini kepada segala bangsa”12

Presiden Russell M. Nelson mengajarkan dalam siaran seluruh dunia terbaru bahawa “ini sememangnya adalah zaman akhir, dan Tuhan sedang mempercepatkan pekerjaan-Nya untuk mengumpulkan Israel. Pengumpulan tersebut adalah hal paling penting yang berlangsung di dunia pada masa kini. Tidak ada yang lain sebanding dengan kebesarannya, tidak ada yang sebanding dengan kepentingannya, tidak ada yang sebanding dengan keagungannya. Dan jika anda memilih untuk, jika anda ingin, anda boleh menjadi bahagian besar darinya. Anda boleh menjadi bahagian besar bagi sesuatu yang besar, sesuatu yang hebat, sesuatu yang agung!

“Ketika kita berbicara tentang pengumpulan, kita hanya menyatakan kebenaran asas ini: setiap dari anak-anak Bapa Syurgawi kita, di kedua-dua belah tirai, berhak untuk mendengar pesanan injil pemulihan Yesus Kristus. Mereka memutuskan bagi diri mereka jika mereka ingin mengetahui lebih banyak.”13

Itu adalah apa yang kita lakukan sebagai ahli kepada Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir: kita berusaha untuk membawa dunia kepada suatu pemahaman—dan penukaran hati kepada—injil Yesus Kristus. Kita adalah “pengumpul zaman akhir.”14 Misi kita adalah jelas. Saudara dan saudari, marilah kita dikenali sebagai mereka yang telah menyimpan janji Moroni ke dalam hati, berdoa dan menerima jawapan untuk mengetahui bahawa Kitab Mormon adalah benar, dan kemudian berkongsi pengetahuan tersebut dengan orang lain dalam perkataan dan, paling penting, dalam perbuatan.

Peranan Kitab Mormon dalam Penukaran hati

Kitab Mormon mengandungi kegenapan Injil Yesus Kristus.15 Ia membimbing kita kepada perjanjian Bapa, yang jika mentaati akan menjanjikan kita kurnia terbesar-Nya—kehidupan abadi.16 Kitab Mormon adalah batu kunci kepada penukaran hati semua putera dan puteri Bapa Syurgawi.

Memetik lagi dari Presiden Nelson: “Semasa anda … membaca Kitab Mormon setiap hari, anda akan mempelajari tentang ajaran pengumpulan, kebenaran tentang Yesus Kristus, Korban tebusan-Nya, dan kegenapan injil-Nya yang tidak ditemui dalam Alkitab. Kitab Mormon adalah penting kepada pengumpulan Israel. Faktanya, jika tidak ada Kitab Mormon, janji pengumpulan Israel tidak akan terjadi.”17

Izinkan saya mengakhiri dengan firman Juruselamat semasa Dia mengajar bangsa Nefi tentang berkat-berkat yang dijanjikan: “Kamulah anak-anak para nabi; dan kamu adalah dari bani Israel; dan kamu adalah dari perjanjian yang telah Bapa buat dengan nenek moyangmu, yang berfirman kepada Abraham: Dan dalam keturunanmulah semua kaum di bumi akan diberkati.”18

Saya bersaksi bahawa kita adalah putera dan puteri Tuhan, benih keturunan Abraham, bani Israel. Kita mengumpulkan Israel untuk kali terakhir dan melakukan sedemikian dengan Kitab Mormon—sebuah kitab yang, digabungkan dengan Roh Tuhan, adalah alat yang paling berkuasa untuk penukaran hati. Kita dipimpin oleh nabi Tuhan, Presiden Russell M. Nelson, yang mengarahkan pengumpulan Israel pada zaman kita. Kitab Mormon adalah benar. Ia telah mengubah kehidupan saya. Saya menjanjikan anda, seperti Moroni dan banyak nabi sepanjang zaman, bahawa ia dapat mengubah [kehidupan] anda.19 Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Teachings of Presidents of the Church: Ezra Taft Benson (2014), 129.

  2. What Is the Role of the Book of Mormon?Preach My Gospel: A Guide to Missionary Service, rev. ed. (2018), lds.org/manual/missionary.

  3. Moroni 10:4.

  4. Moroni 10:4.

  5. Pengenalan kepada Kitab Mormon.

  6. Moroni 10:4.

  7. Pengenalan kepada Kitab Mormon.

  8. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 196.

  9. 1 Nefi 6:4.

  10. 1 Nefi 10:12, 14.

  11. Moroni 10:31.

  12. Abraham 2:8–9.

  13. Russell M. Nelson, “Harapan Israel” (pertemuan rohani sedunia remaja, 3 Jun 2018), 4, HopeofIsrael.lds.org.

  14. Lihat Yakub 5:72.

  15. Presiden Ezra Taft Benson mengajarkan: “Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa Kitab Mormon mengandungi ‘kegenapan Injil Yesus Kristus’ (A&P 20:9). Itu tidak bermaksud ia mengandungi setiap pengajaran, setiap ajaran yang pernah diungkapkan. Melainkan, ia bermaksud bahawa dalam Kitab Mormon kita akan menemui kegenapan bagi ajaran-ajaran yang diperlukan untuk keselamatan kita. Dan ia mengajar dengan mudah dan jelas agar bahkan kanak-kanak dapat mempelajari jalan kepada keselamatan dan permuliaan” (Teachings: Ezra Taft Benson 131).

  16. Lihat Ajaran dan Perjanjian 14:7.

  17. Russell M. Nelson, “Harapan Israel,” 7.

  18. 3 Nefi 20:25.

  19. Lihat, sebagai contoh, Henry B. Eyring, “The Book of Mormon Will Change Your Life,” Liahona, Feb. 2004, 12–16.