Persidangan Umum
Diberkatilah Pendamai
Persidangan umum Oktober 2025


13:16

Diberkatilah Pendamai

Pendamaian masih bermula di tempat yang paling asas—dalam hati kita. Kemudian di rumah dan keluarga.

Selamat datang ke persidangan umum. Betapa kita bersyukur untuk dikumpulkan.

Apabila kita menunggu untuk persidangan ini, kita sedar akan apa yang berlaku pada minggu-minggu sebelumnya. Kita sedar bahawa hati bersedih atas kehilangan, dan ada yang merasakan ketidakpastian yang disebabkan oleh keganasan atau tragedi di seluruh dunia. Bahkan orang setia yang berkumpul di ruang kudus—termasuk gereja kita yang suci di Michigan—telah kehilangan nyawa mereka atau orang tersayang. Saya berucap dari hati saya, menyedari bahawa banyak hati anda dibebani oleh apa yang anda, keluarga anda, dan dunia kita telah alami sejak persidangan umum lepas.

Kapernaum di Galilea

Bayangkan anda seorang remaja muda di Kapernaum, berhampiran Laut Galilea, semasa pelayanan Yesus Kristus. Berita tentang rabbi menyebar—seorang pengajar—yang pesanannya menarik orang ramai. Jiran-jiran merancang untuk pergi ke sebuah gunung yang menghadap ke laut untuk mendengar-Nya.

Anda menyertai yang lain berjalan di jalan berdebu di Galilea. Apabila anda tiba, anda terkejut nampak ramai orang berkumpul untuk dengar Yesus. Ada yang berbisik, “Mesias.”

Anda dengar. Firman-Nya menyentuh hati anda. Dalam perjalanan panjang ke rumah, anda senyap.

Anda merenungkan hal-hal yang menakjubkan—hal-hal yang melampaui taurat Musa. Dia berucap tentang memalingkan pipi sebelah dan mengasihi musuh anda. Dia berjanji, “Diberkatilah semua pendamai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Tuhan.”

Dalam realiti anda, semasa anda merasakan beban hari yang sukar—ketidakpastian dan ketakutan—kedamaian terasa jauh.

Berjalan laju; anda sampai ke rumah tercungap-cungap. Keluarga anda berkumpul; bapa anda bertanya, “Beritahu kami apa yang kamu dengar dan rasa.”

Anda berkongsi bahawa Dia jemput anda untuk sinarkan cahaya anda di hadapan orang lain, untuk cari kesolehan walaupun dianiaya. Dengan suara beremosi anda mengulangi, “Diberkatilah semua pendamai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Tuhan.”

Anda bertanya, “Bolehkah saya menjadi pendamai dalam dunia penuh kekecohan, apabila hati saya dipenuhi dengan ketakutan, dan kedamaian kelihatan susah dicapai?”

Bapa anda lihat ibu anda dan jawab dengan lembut, “Ya. Kita bermula di tempat paling asas—dalam hati kita. Kemudian di dalam rumah dan keluarga kita. Semasa kita berlatih di sana, pendamaian boleh merebak ke jalan raya dan kampung kita.”

Maju ke 2,000 Tahun Kemudian

Maju ke 2,000 tahun kemudian. Tidak perlu dibayangkan—inilah realiti kita. Walaupun tekanan yang dirasai oleh generasi muda hari ini berbeza daripada orang muda di Galilea—polarisasi, sekularisasi, tindak balas, kemarahan di jalan raya, kemarahan, dan kritikan di media sosial—kedua-dua generasi menghadapi budaya konflik dan ketegangan.

Syukurnya, remaja putera dan remaja puteri kita juga terdorong kepada detik Khutbah di atas Bukit: seminari, persidangan Untuk Kekuatan Remaja, dan Ikutlah Aku. Di sini mereka menerima jemputan Tuhan yang sama: untuk sinarkan cahaya mereka di hadapan orang lain, untuk mencari kesolehan bahkan ketika dianiaya, dan mengasihi musuh mereka.

Mereka juga menerima kata-kata yang menggalakkan daripada para nabi Pemulihan yang hidup: “Pendamai diperlukan.” Tidak bersetuju tanpa bersikap kasar. Gantikan pertikaian dan keangkuhan dengan keampunan dan kasih. Bina jambatan kerjasama dan pemahaman, bukan dinding prasangka atau pengasingan. Dan janji yang sama: “Diberkatilah semua pendamai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Tuhan.”

Hati generasi muda hari ini dipenuhi dengan kesaksian tentang Yesus Kristus dan harapan untuk masa depan. Namun mereka juga bertanya, “Bolehkah saya menjadi pendamai dalam dunia penuh kekecohan, apabila hati saya dipenuhi dengan ketakutan, dan kedamaian kelihatan susah dicapai?”

Jawapan yang jelas sekali lagi adalah ya! Kita memeluk firman Juruselamat: “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. … Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”

Hari ini, pendamaian masih bermula di tempat yang paling asas—dalam hati kita. Kemudian di rumah dan keluarga. Apabila kita berlatih di sana, pendamaian akan merebak ke kawasan kejiranan dan komuniti kita.

Marilah kita mempertimbangkan tiga tempat ini di mana Orang Suci Zaman Akhir moden membina kedamaian.

Pendamaian dalam Hati Kita

Yang pertama adalah dalam hati kita. Satu elemen yang jelas dalam pelayanan Kristus menunjukkan bagaimana kanak-kanak tertarik kepada-Nya. Di dalamnya terdapat petunjuk. Melihat ke dalam hati seorang kanak-kanak yang murni dan tulus dalam pendamaian boleh mengilhami hati kita. Berikut adalah bagaimana beberapa kanak-kanak Sekolah Primer menjawab “Apakah rupanya untuk menjadi pendamai?”

Saya berkongsi jawapan mereka secara terus dari hati mereka! Luke berkata, “Selalu bantu orang lain.” Grace berkongsi betapa pentingnya untuk mengampuni sesama, walaupun ia rasa tidak adil. Anna berkata, “Saya bermain dengan sesiapa yang tiada kawan untuk bermain.” Lindy merenungkan bahawa menjadi pendamai bererti membantu orang lain. “Kemudian lakukan yang sama pada orang lain. Terus berkongsi untuk lakukannya.” Liam berkata, “Jangan jahat kepada orang, walaupun mereka jahat kepada kamu.” London berkata, “Jika seseorang mengusik atau jahat kepada kamu, kamu berkata, ‘Sila berhenti.’” Trevor memerhatikan, “Jika ada satu donut tinggal dan kamu semua mahunya, kamu berkongsi.”

Jawapan kanak-kanak ini adalah bukti kepada saya bahawa kita semua dilahirkan dengan kecenderungan ilahi terhadap kebaikan hati dan rasa kasihan. Injil Yesus Kristus memelihara dan mengait sifat-sifat ilahi ini, termasuk pendamaian, ke dalam hati kita, memberkati kita dalam kehidupan ini dan seterusnya.

Pendamaian di Rumah

Kedua, membina pendamaian di rumah kita dengan menggunakan pola Tuhan untuk mempengaruhi hubungan sesama kita: dorongan, kepanjangsabaran, kelemah-lembutan, kelembutan hati, dan kasih yang tidak berpura-pura.

Berikut adalah cerita yang mengilhamkan yang menunjukkan bagaimana satu keluarga membuat pendamaian dalam urusan keluarga, meletakkan asas ini dalam amalan.

Kanak-kanak dalam keluarga ini bergelut dalam hubungan mereka dengan seorang dewasa yang sering marah, merendahkan orang, dan berkasar. Kanak-kanak, tersinggung dan kecewa, mula tertanya-tanya jika mereka harus mencerminkan tingkah laku yang sama.

Satu petang keluarga itu bercakap secara terbuka tentang ketegangan dan perasaan itu. Kemudian satu idea muncul—bukan hanya satu penyelesaian tetapi satu eksperimen.

Daripada bertindak dengan senyap atau bertindak balas, kanak-kanak akan melakukan sesuatu yang tidak dijangka: mereka akan bertindak dengan baik hati. Bukan sahaja ketahanan sopan tetapi pencurahan kata-kata baik dan perbuatan yang ikhlas, tak kira bagaimana mereka diperlakukan sebagai balasan. Semua bersetuju mencubanya untuk suatu masa, kemudian bertemu semula untuk berbincang.

Walaupun beberapa orang ragu pada mulanya, mereka buat komitmen kepada rancangan itu dengan hati yang ikhlas.

Apa yang berlaku seterusnya adalah satu perkara yang luar biasa.

Keadaan menjadi lebih baik. Senyuman menggantikan kerutan. Orang dewasa, yang dahulunya kasar, mula berubah. Kanak-kanak, dikuasai oleh pilihan mereka untuk memimpin dengan kasih, menemui kegembiraan dalam perubahan. Perubahan ini begitu mendalam sehingga pertemuan susulan yang dirancang tidak diperlukan. Kebaikan telah melakukan pekerjaannya dengan lembut.

Dengan masa, ikatan persahabatan sejati dibentuk, mengangkat semua orang. Untuk menjadi pendamai, kita mengampuni sesama dan dengan sengaja membina orang lain daripada meruntuhkan mereka.

Pendamaian dalam Komuniti Kita

Ketiga, pendamaian dalam komuniti kita. Dalam tahun-tahun kesusahan Perang Dunia Kedua, Elder John A. Widtsoe mengajarkan: “Satu-satunya cara untuk membina komuniti yang damai adalah untuk membina lelaki dan wanita pencinta dan pembuat damai. Setiap individu, dengan ajaran Kristus … memegang kedamaian [seluruh] dunia di tangan.”

Cerita berikut menggambarkan ajaran itu dengan indah.

Beberapa tahun yang lalu, dua lelaki—seorang imam Islam dan seorang pastor Kristian dari Nigeria—berdiri di sisi bertentangan dengan pemisahan agama yang menyakitkan. Setiap mereka telah menderita dengan mendalam. Namun, melalui kuasa penyembuhan keampunan, mereka memilih untuk berjalan bersama.

Pastor James Wuye dan Imam Muhammad Ashafa

Imam Muhammad Ashafa dan Pastor James Wuye menjadi kawan dan menjadi pasangan kedamaian. Bersama mereka menubuhkan pusat pengantaraan antara agama. Mereka sekarang mengajar orang lain untuk menggantikan kebencian dengan harapan. Sebagai calon dua kali untuk Hadiah Keamanan Nobel, mereka baru-baru ini menjadi penerima sulung Hadiah Keamanan Komanwel.

Bekas musuh ini mengembara bersama dengan membina semula apa yang telah patah, saksi hidup bahawa jemputan Juruselamat untuk menjadi pendamai bukan sahaja boleh—ia sangat berkuasa.

Apabila kita mengetahui kemuliaan Tuhan, maka kita “tidak akan memiliki fikiran untuk saling mencederai, tetapi untuk hidup dengan damai.” Dalam jemaah dan komuniti kita, semoga kita memilih untuk melihat satu sama lain sebagai anak-anak Tuhan.

Rancangan Pendamai untuk Satu Minggu

Kesimpulannya, saya memberi satu jemputan. Pendamaian menuntut tindakan—apakah yang setiap kita boleh mulakan esok? Adakah anda akan mempertimbangkan rancangan pendamai selama seminggu yang merangkumi tiga langkah?

  1. Zon rumah bebas pertikaian: Apabila pertikaian bermula, berhenti seketika dan mula semula dengan kata-kata dan perbuatan baik.

  2. Membina jambatan digital: Sebelum menyiarkan, membalas, atau memberi komen dalam talian, bertanya, Adakah ini akan membina jambatan? Jika tidak, berhenti. Jangan hantar. Sebaliknya, kongsi kebaikan. Memberitakan kedamaian di tempat yang dipenuhi kebencian.

  3. Pembaikan dan bersatu semula: Setiap ahli keluarga boleh mencari hubungan yang tegang untuk meminta maaf, melayani, membaiki, dan bersatu semula.

Kesimpulan

Sudah beberapa bulan sejak saya merasa tanggapan yang tidak dapat dinafikan yang membawa kepada pesanan ini: “Diberkatilah Pendamai.” Kesimpulannya, saya ingin berkongsi tanggapan yang telah menekankan hati saya selama ini.

Pendamaian ialah sebuah sifat seperti Kristus. Pendamai kadangkala dilabel naif atau lemah—dari semua pihak. Namun, untuk menjadi pendamai bukanlah untuk menjadi lemah tetapi menjadi kuat dalam cara yang dunia tidak fahami. Pendamaian memerlukan keberanian dan kompromi tetapi tidak memerlukan pengorbanan asas. Pendamaian adalah untuk memimpin dengan hati terbuka, bukan fikiran tertutup. Ia adalah untuk mendekati satu sama lain dengan tangan dihulurkan, bukannya buku lima. Pendamaian bukan perkara baharu didengar. Ia diajar oleh Yesus Kristus Sendiri, kepada mereka dalam Alkitab dan Kitab Mormon. Pendamaian telah diajar oleh para nabi zaman moden sejak zaman awal Pemulihan bahkan sehingga hari ini.

Kita memenuhi peranan ilahi kita sebagai anak-anak Bapa Syurgawi yang penyayang semasa kita berusaha untuk menjadi pendamai. Saya bersaksi tentang Yesus Kristus, iaitu Putera Kedamaian, Putera Tuhan yang hidup, dalam nama Yesus Kristus, amin.