Persidangan Umum
Pendamai Diperlukan
Persidangan Umum April 2023


Pendamai Diperlukan

Anda mempunyai hak pilihan anda untuk memilih pertikaian atau perdamaian. Saya menggesa anda untuk memilih menjadi pendamai, sekarang dan selalu.

Saudara dan saudari dikasihi, ia gembira dapat bersama anda. Sepanjang enam bulan lalu, anda sentiasa dalam fikiran saya dan dalam doa saya. Saya berdoa agar Roh Kudus akan menyampaikan apa yang Tuhan mahu anda dengar semasa saya berucap kepada anda sekarang.

Semasa latihan amali pembedahan saya bertahun-tahun yang lalu, saya membantu seorang pakar bedah memotong kaki yang dipenuhi dengan gangren yang berjangkit. Pembedahan itu sukar. Kemudian, lebih malangnya, salah seorang dari pasukan itu melakukan tugas dengan buruk, dan pakar bedah itu meletus dalam kemarahan. Semasa dia tengah marah, dia membuang pisau bedahnya yang dipenuhi dengan kuman. Ia terkena pada lengan saya!

Semua orang di bilik pembedahan—kecuali pakar bedah di luar kawalan itu—takut oleh pelanggaran amalan pembedahan ini. Syukurnya, saya tidak dijangkiti. Tetapi pengalaman ini meninggalkan tanggapan yang berpanjangan bagi saya. Pada waktu itu, saya berjanji kepada diri sendiri bahawa apa pun yang berlaku dalam bilik pembedahan saya, saya tidak akan hilang kawalan emosi saya. Saya juga bersumpah pada hari itu saya tidak akan melemparkan apa-apa dalam kemarahan—sama ada ia pisau bedah atau perkataan.

Sampai sekarang, berdekad-dekad kemudian, saya mendapati diri saya tertanya-tanya jika pisau bedah tercemar yang terkena lengan saya adalah lebih beracun daripada pertikaian yang menjangkiti dialog sivik kita dan terlalu banyak perhubungan peribadi hari ini. Ketertiban dan kesopanan telah hilang dalam zaman polarisasi dan perselisihan mendalam ini.

Kekasaran, mencari kesalahan, dan bercakap jahat tentang orang lain menjadi terlalu biasa. Terlalu banyak pakar, ahli politik, penghibur, dan pempengaruh lain yang menghina secara berterusan. Saya amat bimbang bahawa begitu ramai orang percaya bahawa ia boleh diterima untuk menghukum, mencerca dan memfitnah sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan mereka. Ramai kelihatan bersemangat untuk merosakkan reputasi orang lain dengan kata-kata yang menyakitkan hati!

Kemarahan tidak pernah memujuk. Permusuhan tidak membina sesiapa pun. Pertikaian tidak membawa kepada penyelesaian yang diilhami. Malangnya, kita kadang-kadang melihat kelakuan pertikaian dalam gereja kita. Kita mendengar mereka yang meremehkan pasangan dan anak-anak mereka, yang menggunakan kemarahan untuk mengawal orang lain, dan mereka yang menghukum ahli keluarga dengan “bersikap dingin.” Kita mendengar tentang remaja dan kanak-kanak yang membuli dan pekerja yang memfitnah rakan sekerja mereka.

Saudara dan saudari yang dikasihi, ini tidak harus berlaku. Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita harus menjadi contoh bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain—terutamanya apabila kita mempunyai pendapat yang berbeza. Salah satu cara yang paling senang untuk mengenal pasti pengikut sejati Yesus Kristus adalah betapa berbelas kasihan orang itu semasa melayani orang lain.

Juruselamat menjelaskan ini dalam khutbah-Nya kepada para pengikut di kedua-dua hemisfera. “Diberkatilah pendamai,” kata Tuhan.1 “Sesiapa akan menampar pipi kananmu, palingkanlah kepadanya yang sebelah juga.”2 Dan kemudian, tentunya, Dia memberi teguran yang mencabar setiap daripada kita: “Kasihilah musuh-musuhmu, berkatilah mereka yang mengutukmu, berbuat baiklah kepada mereka yang membencimu, dan berdoalah bagi mereka yang mempergunakanmu, dan menganiayaimu.”3

Sebelum kematian-Nya, Juruselamat memerintahkan Dua Belas Rasul-Nya untuk saling mengasihi seperti Dia telah mengasihi mereka.4 Dan kemudian Dia menambahkan, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”5

Pesanan Juruselamat adalah jelas: Para pengikut-Nya yang sejati membina, mengangkat, menggalak, memujuk, dan mengilhami—tidak kira betapa sukarnya situasi. Pengikut Yesus Kristus yang benar adalah pendamai.6

Hari ini adalah Ahad Palma. Kita bersedia untuk memperingati peristiwa yang paling penting dan luar biasa di bumi, iaitu Korban Tebusan dan Kebangkitan Tuhan Yesus Kristus. Salah satu cara terbaik kita boleh menghormati Juruselamat adalah untuk menjadi pendamai.7

Korban Tebusan Juruselamat membolehkan kita untuk mengatasi segala kejahatan—termasuk pertikaian. Jangan buat kesilapan tentangnya: pertikaian adalah jahat! Yesus Kristus mengisytiharkan bahawa dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-[Nya], tetapi daripada “iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain.”8 Mereka yang membangkitkan pertikaian sedang main permainan Setan, sama ada mereka menyedarinya atau tidak. “Tidak seorang pun dapat melayani dua orang tuan.”9 Kita tidak boleh menyokong Setan dengan serangan lisan kita dan kemudian berfikir bahawa kita masih boleh melayani Tuhan.

Saudara dan saudari yang dikasihi, bagaimana kita melayani satu sama lain benar-benar penting! Bagaimana kita bercakap dengan dan tentang orang lain di rumah, di gereja, di tempat kerja dan online benar-benar penting. Hari ini, saya minta kita untuk berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang lebih tinggi dan lebih kudus. Sila dengar dengan teliti. “Jika terdapat apa-apa pun yang berhemah, indah, atau dikatakan baik atau layak dipuji”10 yang kita boleh katakan tentang orang lain—sama ada di depan mukanya atau belakangnya—ia harus menjadi standard komunikasi kita .

Jika pasangan dalam bahagian anda bercerai, atau misionari muda habis misi awal, atau seorang remaja meragui kesaksiannya, mereka tidak memerlukan penghakiman anda. Mereka perlu alami kasih suci Yesus Kristus yang dicerminkan dalam kata-kata dan tindakan anda.

Jika seorang kawan di media sosial ada pandangan politik atau sosial yang melanggar semua yang anda percaya, respons anda yang marah dan menyakitkan hati tidak akan membantu. Membina pemahaman dua hala akan memerlukan lebih banyak usaha anda, tetapi itulah yang diperlukan oleh kawan anda.

Pertikaian menghalau Roh—setiap kali. Pertikaian menekankan tanggapan palsu bahawa konfrontasi adalah cara untuk menyelesaikan perbezaan; tetapi ia tidak pernah terjadi. Pertikaian adalah pilihan. Perdamaian adalah pilihan. Anda ada hak pilihan anda untuk memilih pertikaian atau perdamaian. Saya menggesa anda untuk memilih menjadi pendamai, sekarang dan selalu.11

Saudara dan saudari, kita benar-benar boleh mengubah dunia—satu orang dan satu interaksi pada satu masa. Bagaimana? Dengan menunjukkan bagaimana mengurus perbezaan pendapat yang jujur dengan saling menghormati dan dialog yang bermaruah.

Perbezaan pendapat adalah sebahagian dari kehidupan. Saya bekerja setiap hari dengan hamba-hamba Tuhan yang berdedikasi yang tidak selalu melihat isu dengan cara yang sama. Mereka tahu saya ingin mendengar idea mereka dan perasaan jujur tentang semua yang kita bincangkan—terutamanya isu-isu sensitif.

Imej
Presiden Dallin H. Oaks dan Presiden Henry<nb/>B. Eyring

Dua penasihat mulia saya, Presiden Dallin H. Oaks dan Presiden Henry B. Eyring, adalah teladan baik dalam cara mereka menyatakan perasaan mereka—terutamanya apabila mereka mungkin berbeza. Mereka berbuat demikian dengan kasih suci terhadap satu sama lain. Tidak seorang mencadangkan bahawa dia tahu yang terbaik dan oleh itu mesti mempertahankan pandangannya. Mereka juga tidak perlu bersaing dengan yang lain. Kerana masing-masing dipenuhi dengan kasih ihsan, “kasih suci Kristus,”12 perbincangan kami dapat dibimbing oleh Roh Tuhan. Saya sayangi dan menghormati dua lelaki hebat ini!

Kasih ihsan adalah penawar kepada pertikaian. Kasih ihsan adalah kurnia rohani yang membantu kita untuk menyingkirkan manusia alamiah, yang mementingkan diri, mempertahankan diri, angkuh dan cemburu. Kasih ihsan ialah ciri utama seorang pengikut sejati Yesus Kristus.13 Kasih ihsan mentakrifkan seorang pendamai.

Apabila kita merendahkan hati di hadapan Tuhan dan berdoa dengan segala tenaga hati, Tuhan akan memberi kita kasih ihsan.14

Mereka yang diberkati dengan kurnia ilahi ini adalah panjang sabar dan baik hati. Mereka tidak iri hati terhadap orang lain dan tidak mementingkan diri mereka. Mereka tidak mudah marah dan tidak berfikiran jahat tentang orang lain.15

Saudara dan saudari, kasih suci Kristus ialah jawapan kepada pertikaian yang menimpa kita hari ini. Kasih ihsan menggerakkan kita “untuk menanggung beban satu sama lain”16 daripada menimbun beban kepada satu sama lain. Kasih suci Kristus membenarkan kita “berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal”17terutamanya dalam situasi yang tegang. Kasih ihsan membenarkan kita untuk menunjukkan bagaimana lelaki dan perempuan Kristus berbicara dan bertindak—terutamanya ketika diserang oleh kritikan.

Sekarang, saya tidak berkata kita bersetuju dengan semua perkara untuk menjadi pendamai.18 Saya bercakap tentang melayani orang lain dalam cara yang konsisten dengan mematuhi perjanjian yang anda buat apabila mengambil sakramen. Kita berjanji untuk selalu mengingati Juruselamat. Dalam situasi yang sangat tegang dan dipenuhi dengan pertikaian, saya menjemput anda untuk mengingati Yesus Kristus. Berdoa untuk mempunyai keberanian dan kebijaksanaan untuk mengatakan atau melakukan apa yang Dia akan lakukan. Apabila kita mengikut Putera Kedamaian, kita akan menjadi pendamai-Nya.

Pada ketika ini anda mungkin berfikir bahawa pesanan ini benar-benar akan membantu seseorang yang anda kenali. Anda mungkin berharap ia akan membantu seseorang itu untuk melayani anda dengan lebih baik. Saya berharap ia akan berlaku! Tetapi saya juga berharap bahawa anda akan merenung dalam hati anda untuk melihat jika terdapat serpihan keangkuhan atau iri hati yang menghalang anda daripada menjadi seorang pendamai.19

Jika anda serius untuk membantu mengumpulkan Israel dan membina hubungan yang akan bertahan sepanjang keabadian, sekarang adalah masa untuk mengenepikan kepahitan. Sekarang adalah masa untuk berhenti mendesak bahawa ia adalah cara anda atau tiada cara lain. Sekarang adalah masa untuk berhenti melakukan hal-hal yang membuat orang lain takut kerana mungkin menyinggung anda. Sekarang adalah masa untuk menguburkan senjata peperangan anda.20 Jika senjata lisan anda dipenuhi dengan penghinaan dan tuduhan, sekarang adalah masa untuk menyingkirkan mereka.21 Anda akan bangkit sebagai lelaki atau wanita Kristus yang kuat secara rohani.

Bait suci boleh membantu dalam usaha kita. Di sana kita dianugerahi dengan kuasa Tuhan, memberi kita keupayaan untuk mengatasi Setan iaitu penghasut segala pertikaian.22 Usir dia dari hubungan anda! Perhatikan bahawa kita juga menegur musuh setiap kali kita menyembuhkan salah faham atau enggan tersinggung. Sebaliknya, kita boleh menunjukkan belas kasihan yang lembut yang merupakan ciri-ciri pengikut sejati Yesus Kristus. Para pendamai menggagalkan musuh.

Marilah kita sebagai satu bangsa menjadi cahaya sejati di atas bukit—satu cahaya yang “tidak dapat disembunyikan.”23 Marilah kita menunjukkan bahawa terdapat cara yang damai dan berhormat untuk menyelesaikan isu-isu rumit dan cara yang diterangi untuk mengatasi perselisihan. Apabila anda menunjukkan kasih ihsan yang pengikut sejati Yesus Kristus tunjukkan, Tuhan akan mengembangkan usaha anda di luar imaginasi anda.

Jala injil adalah jala terbesar di dunia. Tuhan menjemput semua untuk datang kepada-Nya, “hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan.”24 Terdapat ruang untuk semua orang. Walau bagaimanapun, tidak ada ruang untuk prasangka, penghukuman atau pertikaian apa pun.

Saudara dan saudari yang dikasihi, hal terbaik akan datang kepada mereka yang meluangkan masa hidup membangunkan orang lain. Hari ini saya menjemput anda untuk meneliti penganutan anda dalam konteks cara anda melayani orang lain. Saya memberkati anda untuk membuat sebarang penyesuaian yang diperlukan supaya kelakuan anda memuliakan, menghormati, dan mewakili seorang pengikut Yesus Kristus yang sejati.

Saya memberkati anda untuk menggantikan sifat suka bergaduh dengan kerendahan hati, permusuhan dengan pemahaman dan pertikaian dengan kedamaian.

Tuhan hidup! Yesus ialah Kristus. Dia berdiri sebagai ketua Gereja ini. Kita ialah hamba-hamba-Nya. Dia akan membantu kita untuk menjadi pendamai-Nya. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.