Persidangan Umum
Satu Dengan Kristus
Persidangan Umum April 2023


Satu Dengan Kristus

Hanya dalam dan melalui kesetiaan dan kasih individu kepada Yesus Kristus, kita boleh menjadi satu.

Seperti dimaklum oleh Presiden Dallin H. Oaks, hari ini adalah Ahad Palma, permulaan Minggu Suci, menandakan kemasukan kemenangan Tuhan ke Yerusalem, penderitaan-Nya di Getsemani dan kematian di salib beberapa hari kemudian, dan Kebangkitan-Nya yang mulia pada Ahad Easter. Marilah kita bertekad untuk tidak melupakan jasa Kristus untuk menebus kita.1 Janganlah kita hilang perasaan kebahagiaan besar yang dirasai semula pada Easter ketika kita merenung kemenangan-Nya dari kematian dan kurnia kebangkitan sejagat.

Petang sebelum ujian dan penyaliban yang menanti-Nya, Yesus menyertai perjamuan Paskah bersama para Rasul-Nya. Di penghujung Perjamuan Terakhir ini, dalam Doa Perantaraan yang kudus, Yesus memohon kepada Bapa-Nya dengan kata-kata ini: “Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu [Rasul-ku], nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu.”2

Kemudian, dengan lembut, Juruselamat meluaskan mohonan-Nya untuk semua yang percaya:

“Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka;

“ Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan kita.”3

Menjadi satu adalah tema yang berulang dalam injil Yesus Kristus dan dalam urusan Tuhan dengan anak-anak-Nya. Berkenaan dengan kota Sion pada zaman Henokh, ia dikatakan “mereka satu hati dan satu fikiran.”4 Berkenaan Orang Suci awal dalam Gereja Yesus Kristus primitif, Perjanjian Baru mencatatkan, “Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran.”5

Di zaman keagamaan kita, Tuhan menasihati, “Aku berfirman kepadamu, jadilah satu; dan jika kamu tidak bersatu kamu bukanlah milik-Ku.”6 Antara sebab yang Tuhan berikan tentang mengapa Orang Suci awal di Missouri gagal untuk membina tempat Sion adalah kerana mereka “tidak bersatu menurut kesatuan yang dituntut oleh hukum kerajaan selestial.”7

Di mana Tuhan menguasai dalam semua hati dan minda, orang-orang ini dikenali sebagai “dalam kesatuan, anak-anak Kristus.“8

Semasa Juruselamat yang bangkit muncul kepada bangsa Kitab Mormon purba, Dia tidak bersetuju bahawa sebelum itu ada perselisihan di kalangan orang ramai mengenai pembaptisan dan hal-hal lain. Dia perintahkan:

“Dan tidak akan ada perselisihan di antara kamu, seperti yang sudah ada sehingga sekarang; jangan juga ada perselisihan di antara kamu tentang pokok-pokok ajaran-Ku, seperti yang sudah ada sehingga sekarang.

“Kerana sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian.”9

Dalam dunia kita yang penuh pertikaian, bagaimanakah kesatuan dapat dicapai, terutamanya di Gereja yang kita harus “hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan”?10 Paulus memberi kita nasihat:

“Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri.

“Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus.”11

Kita terlalu berbilang kaum dan ada kalanya terlalu bercanggah untuk bersatu atas tujuan atau nama lain. Hanya dalam Yesus Kristus kita benar-benar menjadi satu.

Menjadi satu dengan Kristus berlaku satu demi satu—bermula dengan diri kita sendiri. Kita adalah dua makhluk dari daging dan roh dan kadangkala berperang dengan diri kita sendiri. Seperti yang Paulus nyatakan:

“Batinku suka akan hukum daripada Tuhan;

“Tetapi aku sedar bahawa dalam [badan] diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku.”12

Yesus juga adalah makhluk dari daging dan roh. Dia diuji; Dia faham; Dia boleh bantu kita capai kesatuan dalam diri.13 Oleh itu, menggunakan cahaya dan rahmat Kristus, kita berusaha untuk berikan roh kita—dan Roh Kudus—kuasa ke atas jasmani. Dan jika kita gagal, Kristus, melalui Korban Tebusan-Nya, telah memberi kita kurnia pertaubatan dan peluang untuk cuba lagi.

Jika setiap kita “menerima sifat-sifat Kristus,” maka kita bersama boleh berharap untuk jadi satu, seperti yang Paulus katakan, “tubuh Kristus.”14 Untuk “menerima sifat-sifat Kristus” sudah tentu termasuk menjadikan “perintah[-Nya] yang terutama dan yang terpenting”15 komitmen pertama dan terbesar kita, dan jika kita kasihi Tuhan, kita akan patuhi perintah-Nya.16

Kesatuan dengan saudara dan saudari kita dalam tubuh Kristus berkembang apabila kita mematuhi perintah kedua—yang berkait rapat dengan perintah pertama—untuk mengasihi orang lain seperti diri kita.17 Saya rasa kesatuan yang lebih sempurna akan diperoleh di antara kita jika kita menurut pernyataan Juruselamat yang lebih tinggi dan kudus dari perintah kedua ini—untuk mengasihi satu sama lain bukan sahaja seperti kita mengasihi diri kita sendiri tetapi sebagaimana Dia mengasihi kita.18 Secara ringkas, “Setiap orang mencari kepentingan sesama sendiri, dan melakukan segala hal dengan tumpuan matamu hanya satu pada kemuliaan Tuhan.”19

Presiden Marion G. Romney, bekas penasihat dalam Presidensi Utama, dalam menjelaskan bagaimana kedamaian dan kesatuan berkekalan diperoleh, berkata:

“Jika seorang, menyerah kepada Setan, dipenuhi dengan perbuatan daging, ia berperang dengan dirinya sendiri. Jika dua-duanya menyerah, mereka masing-masing berperang dengan diri mereka dan melawan sesama sendiri. Jika ramai orang menyerah, masyarakat akan [menuai] tekanan dan pertikaian yang hebat. Jika pemerintah sesebuah negara menyerah, maka akan timbul pertikaian di seluruh dunia.”

Presiden Romney teruskan, “Sebagaimana perbuatan daging ada penggunaan universal, demikian pula injil kedamaian. Jika satu orang menjalaninya, dia ada kedamaian dalam dirinya. Jika dua lelaki menjalaninya, setiap mereka ada kedamaian dalam diri dan antara satu sama lain. Jika rakyat menjalaninya, negara akan damai. Apabila ada cukup negara yang menikmati hasil Roh untuk mengawal urusan dunia, maka, hanya pada masa itulah, gendang perang tidak lagi berbunyi, dan bendera pertempuran akan diturunkan. … (Lihat Alfred Lord Tennyson, “Locksley Hall,” The Complete Poetical Works of Tennyson, ed. W. J. Rolfe, Boston, Houghton-Mifflin Co., 1898, p. 93, baris 27–28.)”20

Dengan “menerima sifat-sifat Kristus,” kita boleh menyelesaikan atau mengetepikan perbezaan, percanggahan dan perselisihan. Contoh yang agak dramatik untuk atasi perpecahan ada dalam sejarah Gereja kita. Elder Brigham Henry Roberts (biasanya dikenali sebagai B. H. Roberts), lahir di England pada tahun 1857, telah melayan sebagai ahli Majlis Pertama Tujuh Puluh—yang kita rujuk hari ini sebagai Presidensi Tujuh Puluh. Elder Roberts adalah pembela injil Gereja dipulihkan yang teguh dan gigih dalam beberapa masa yang paling sukar.

Imej
Pemuda B. H. Roberts

Tetapi, pada tahun 1895, pelayanan Elder Roberts dalam Gereja telah diancam oleh pertikaian. B. H. telah menjadi wakil dalam konvensyen untuk merangka perlembagaan Utah apabila ia menjadi sebuah negeri. Kemudian dia memutuskan untuk menjadi calon Kongres Amerika Syarikat tetapi tidak memberitahu atau meminta kebenaran daripada Presidensi Utama. Presiden Joseph F. Smith, seorang penasihat dalam Presidensi Utama, telah mencela B. H. atas kegagalan itu dalam mesyuarat umum imamat. Elder Roberts kalah dalam pengundian dan merasakan sebahagian besar kekalahannya disebabkan oleh kenyataan Presiden Smith. Dia mengkritik pemimpin Gereja dalam beberapa ucapan politik dan temuduga. Dia menarik diri dari pelayanan Gereja yang aktif. Dalam satu mesyuarat panjang di Bait Suci Salt Lake dengan ahli Presidensi Utama dan Majlis Dua Belas Rasul, B. H. Kekal bertegas dalam mewajarkan dirinya. Kemudian, “Presiden [Wilford] Woodruff beri [Elder Roberts] tiga minggu untuk mempertimbangkan semula kedudukannya. Jika dia tidak bertaubat, mereka akan melepaskan dia dari Tujuh Puluh.”21

Dalam pertemuan peribadi berikutnya dengan Rasul Heber J. Grant dan Francis Lyman, B. H. pada mulanya tidak mengalah, tetapi kasih dan Roh Kudus akhirnya menang. Air mata bergenang. Kedua-dua Rasul itu dapat bertindak terhadap pandangan dan kesalahan tertentu yang mengganggu B. H., dan mereka pergi dengan mohonan ikhlas untuk perdamaian. Keesokan paginya, selepas berdoa panjang, Elder Roberts hantar nota kepada Elder Grant dan Lyman bahawa dia bersedia untuk bersatu semula dengan para saudaranya.22

Apabila dia bertemu dengan Presidensi Utama, Elder Roberts berkata, “Saya pergi kepada Tuhan dan menerima cahaya dan arahan melalui Roh-Nya untuk tunduk kepada wewenang Tuhan.”23 Didorong oleh kasihnya kepada Tuhan, B. H. Roberts kekal sebagai pemimpin Gereja yang setia dan bertahan hingga akhir hayatnya.24

Imej
Elder B. H. Roberts

Kita juga boleh lihat dalam contoh ini bahawa kesatuan tidak bermakna hanya bersetuju bahawa setiap orang harus melakukan hal sendiri atau mengikut caranya sendiri. Kita tidak boleh jadi satu kecuali kita semua berusaha untuk tujuan sama. Ini bermakna, dalam kata-kata B. H. Roberts, tunduk kepada kuasa Tuhan. Kita adalah anggota tubuh Kristus yang berbeza, melaksanakan fungsi yang berbeza pada masa yang berlainan—telinga, mata, kepala, tangan, kaki—tetapi semuanya dari satu tubuh.25 Oleh itu, matlamat kita adalah “dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan.”26

Kesatuan tidak memerlukan kesamaan, tetapi ia memerlukan keharmonian. Kita boleh menyatukan hati dalam kasih, bersatu dalam iman dan ajaran, dan masih sorak untuk pasukan berbeza, tidak bersetuju dalam pelbagai isu politik, berdebat tentang gol dan cara betul untuk mencapainya dan hal-hal seperti itu. Tetapi janganlah kita sekali-kali tidak bersetuju atau bertikai dengan kemarahan. Juruselamat berfirman:

“Kerana sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu, dia yang memiliki semangat pertikaian bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada iblis, yang merupakan bapa pertikaian, dan dia menghasut hati manusia untuk bertikai dengan kemarahan, antara satu sama lain.

“Lihatlah, ini bukanlah ajaran-Ku, untuk menghasut hati manusia dengan kemarahan, antara satu sama lain; tetapi inilah ajaran-Ku, bahawa hal-hal seperti itu haruslah dihentikan.”27

Setahun lalu, Presiden Russell M. Nelson mohon kita dengan kata-kata ini:“Tiada di antara kita yang boleh mengawal negara, atau tindakan orang lain, atau bahkan ahli keluarga kita sendiri. Tetapi kita boleh mengawal diri kita. Seruan saya hari ini, saudara dan saudari yang dikasihi, adalah untuk mengakhiri konflik yang meradang dalam hati anda, rumah anda dan kehidupan anda. Lupakan sebarang hasrat untuk melukai orang lain—sama ada hasrat itu marah, lancang mulut atau rasa geram terhadap orang yang menyakiti anda. Juruselamat memerintahkan kita untuk memaling pipi yang lain [lihat 3 Nefi 12:39], untuk mengasihi musuh dan berdoa bagi mereka yang menganiaya kita [lihat 3 Nefi 12:44].”28

Saya katakan sekali lagi bahawa hanya dalam dan melalui kesetiaan individu dan kasih kepada Yesus Kristus kita boleh berharap untuk menjadi satu—satu di dalam, satu di rumah, satu dalam Gereja, akhirnya satu di Sion, dan lebih-lebih lagi, satu dengan Bapa dan Putera dan Roh Kudus.

Saya kembali kepada peristiwa Minggu Suci dan kejayaan mutlak Penebus kita. Kebangkitan Yesus Kristus memberikan kesaksian tentang keilahian-Nya dan bahawa Dia telah mengatasi segala sesuatu. Kebangkitan-Nya menjadi saksi bahawa, terikat kepada-Nya melalui perjanjian, kita juga boleh mengatasi segala sesuatu dan menjadi satu. Kebangkitan-Nya menjadi saksi bahawa melalui Dia, kebaqaan dan kehidupan abadi adalah realiti.

Pagi ini, saya bersaksi tentang Kebangkitan-Nya yang benar dan semua maksudnya, dalam nama Yesus Kristus, amin.