Persidangan Umum
Mengakses Kuasa Tuhan melalui Perjanjian
Persidangan Umum April 2023


Mengakses Kuasa Tuhan melalui Perjanjian

Semasa anda berjalan di jalan perjanjian, dari pembaptisan ke bait suci dan sepanjang hidup, saya janjikan anda kuasa untuk melawan aliran duniawi.

November lepas, saya berpeluang untuk membaktikan Bait Suci Belém Brazil. Ia satu kegembiraan untuk bersama para ahli Gereja di utara Brazil. Pada masa itu, saya belajar bahawa Belém adalah pintu gerbang bagi kawasan ke sungai yang paling hebat di dunia, Sungai Amazon.

Walaupun sungai itu megah, dua kali setahun, sesuatu yang luar biasa berlaku. Apabila matahari, bulan, dan bumi sejajar, gelombang pasang surut yang kuat mengalir ke sungai, menentang aliran semula jadi air. Ombak setinggi 6 meter1 bergerak sejauh 50 kilometer2 ke hulu telah dilaporkan. Fenomena ini, secara umum dikenali sebagai pasang surut, orang tempatan merujuknya sebagai pororoca atau “deruan kuat,” kerana bunyi kuat yang dihasilkan. Kita boleh simpulkan bahawa bahkan Amazon yang perkasa perlu menyerah kepada kuasa syurgawi.

Seperti sungai Amazon, hidup kita ada aliran semula jadi; kita cenderung untuk melakukan apa yang datang secara semula jadi. Seperti sungai Amazon, dengan bantuan syurgawi, kita boleh melakukan hal-hal yang luar biasa. Merendahkan hati, berlembut hati, atau bersedia menyerahkan kehendak kita kepada Tuhan bukanlah sifat semula jadi kita. Namun hanya dengan itu kita boleh berubah, untuk kembali hidup di hadirat Tuhan dan mencapai takdir abadi kita.

Tidak seperti sungai Amazon, kita boleh pilih untuk menyerah kepada kuasa syurgawi atau “mengikut aliran dunia.”3 Melawan aliran itu mungkin susah. Tetapi apabila kita “menyerahkan pada pujukan Roh Kudus” dan tinggalkan kecenderungan manusia alamiah,4 kita boleh menerima kuasa perubahan Juruselamat dalam hidup untuk melakukan hal-hal yang sukar.

Presiden Russell M. Nelson mengajar cara untuk melakukan ini. Dia berjanji, “Setiap orang yang membuat perjanjian dalam kolam baptisan dan di bait suci—dan mentaatinya—telah meningkatkan akses kepada kuasa Yesus Kristus … [untuk mengangkat] kita dari tarikan dunia.”5 Dalam kata lain, kita boleh akses kuasa Tuhan, hanya apabila kita berhubung dengan-Nya melalui perjanjian kudus.

Sebelum bumi dicipta, Tuhan tubuhkan perjanjian sebagai mekanisme di mana kita, anak-anak-Nya, akan menyatukan diri kepada-Nya. Berdasarkan hukum abadi yang tidak berubah, Dia menetapkan syarat yang tidak boleh dirunding di mana kita diubah, diselamatkan dan dimuliakan. Dalam hidup ini, kita buat perjanjian-perjanjian ini dengan terlibat dalam tatacara imamat dan berjanji untuk melakukan kehendak Tuhan, dan sebagai balasan, Tuhan menjanjikan berkat tertentu.6

Perjanjian ialah satu janji yang kita harus bersedia, fahami dengan jelas dan mentaatinya.7 Membuat perjanjian dengan Tuhan adalah berbeza daripada janji biasa. Pertama, wewenang imamat diperlukan. Kedua, janji yang lemah tidak berkuasa untuk mengangkat kita dari tarikan dunia. Kita hanya membuat perjanjian apabila kita berniat untuk memenuhinya.8 Kita menjadi anak-anak perjanjian Tuhan dan para waris kerajaan-Nya, terutamanya apabila kita berusaha mentaati perjanjian itu.

Istilah jalan perjanjian merujuk kepada siri perjanjian di mana kita datang kepada Kristus dan berhubung dengan-Nya. Melalui ikatan perjanjian ini, kita dapat akses kepada kuasa abadi-Nya. Jalan itu bermula dengan iman kepada Yesus Kristus, pertaubatan, diikuti dengan pembaptisan dan menerima Roh Kudus.9 Yesus Kristus tunjukkan kita cara untuk memasuki jalan itu ketika Dia dibaptiskan.10 Menurut laporan Injil Perjanjian Baru dalam Markus dan Lukas, Bapa Syurgawi berbicara langsung kepada Yesus semasa pembaptisan-Nya, berfirman, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi; Engkau menyenangkan hati-Ku.” Apabila kita memulakan jalan perjanjian melalui pembaptisan, saya dapat bayangkan Bapa Syurgawi menyatakan hal sama kepada kita: “Engkaulah anak-Ku yang Aku kasihi. Terus maju.”11

Semasa pembaptisan dan mengambil sakramen,12 kita bersaksi untuk bersedia mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus.13 Dalam konteks ini, marilah kita ingati perintah Perjanjian Lama, “Jangan sebut nama [Tuhan] untuk maksud yang jahat.”14 Untuk fahaman kita, ini seperti larangan untuk gunakan nama Tuhan dengan tidak takzim. Itu termasuk dalam perintah, tetapi peringatannya lebih mendalam. Perkataan bahasa Ibrani sebut bermaksud angkat atau bawa, seperti mengangkat panji untuk menunjuk individu atau kumpulan yang diwakili.15 Perkataan “jahat” bermaksud “kosong” atau “menipu”.16 Perintah untuk tidak sebut nama Tuhan untuk maksud yang jahat boleh bererti, “Anda tidak harus katakan anda pengikut Yesus Kristus kecuali berniat untuk mewakili Dia dengan betul.”

Kita menjadi pengikut dan mewakili-Nya dengan betul apabila kita berniat secara berperingkat mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus melalui perjanjian. Perjanjian kita memberi kuasa untuk kekal di jalan perjanjian kerana hubungan kita dengan Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi kita diubah. Kita terhubung dengan Mereka melalui ikatan perjanjian.

Jalan perjanjian membawa kepada tatacara bait suci, seperti anugerahan bait suci.17 Anugerahan ialah kurniaan perjanjian kudus Tuhan yang lebih sepenuhnya menghubungkan kita kepada-Nya. Dalam anugerahan, kita, pertama, berjanji untuk mematuhi perintah Tuhan; kedua, bertaubat dengan hati yang hancur dan roh yang menyesal.; ketiga, menjalani injil Yesus Kristus. Kita buat dengan mengamalkan iman kepada-Nya, buat perjanjian dengan Tuhan semasa menerima tatacara keselamatan dan permuliaan, mentaati perjanjian sepanjang hayat kita dan berusaha mengamal dua perintah terbesar untuk kasihi Tuhan dan sesama manusia. Keempat, kita berjanji untuk patuhi hukum kemurnian akhlak dan, kelima, mendedikasi kita dan segala berkat yang diberi untuk bina Gereja-Nya18

Dengan membuat dan mentaati perjanjian bait suci, kita belajar lebih tentang tujuan Tuhan dan menerima kegenapan Roh Kudus.19 Kita menerima arahan untuk kehidupan kita. Kita matang dalam penganutan supaya kita tidak kekal sebagai anak-anak yang tidak tahu apa-apa.20 Sebaliknya, kita hidup dengan perspektif abadi dan lebih bermotivasi untuk melayani Tuhan dan orang lain. Kita menerima peningkatan keupayaan untuk memenuhi tujuan kefanaan. Kita dilindungi daripada kejahatan,21 dan kita memperoleh kuasa yang lebih besar untuk menentang godaan dan bertaubat apabila kita tersandung.22 Apabila tersandung, memori perjanjian dengan Tuhan membantu kita kembali ke jalan. Dengan kuasa Tuhan, kita menjadi pororoca, kita sendiri, dapat melawan aliran dunia, sepanjang hidup kita dan sehingga keabadian. Akhirnya, takdir kita diubah kerana jalan perjanjian membawa kepada permuliaan dan kehidupan abadi.23

Mentaati perjanjian di kolam pembaptisan dan di bait suci juga memberi kita kekuatan untuk menahan percubaan dan dukacita kefanaan.24 Ajaran yang berkaitan dengan perjanjian ini memudahkan jalan kita dan menyediakan harapan, penghiburan dan kedamaian.

Datuk nenek saya Lena Sofia dan Matts Leander Renlund menerima kuasa Tuhan melalui perjanjian pembaptisan ketika menyertai Gereja pada tahun 1912 di Finland. Mereka riang menjadi sebahagian dari cabang pertama Gereja di Finland.

Leander meninggal dunia kerana tuberkulosis lima tahun kemudian ketika Lena hamil dengan anak kesepuluh mereka. Anak itu, bapa saya, dilahirkan dua bulan selepas kematian Leander. Lena bukan sahaja kebumikan suaminya tetapi juga tujuh daripada sepuluh anaknya. Sebagai seorang balu yang miskin, dia bergelut. Selama 20 tahun, dia tiada rehat malam yang baik. Pada siang hari, dia berusaha untuk menafkahi keluarganya. Pada malam hari, dia menjaga ahli keluarga yang sakit. Sukar untuk bayangkan bagaimana dia mengatasinya.

Lena tabah kerana dia tahu suami dan anak-anaknya yang sudah meninggal dunia boleh menjadi miliknya sepanjang keabadian. Ajaran berkat bait suci, termasuk keluarga abadi, membawa kedamaian kerana dia percaya kepada kuasa pemeteraian. Di kefanaan, dia tidak menerima anugerahannya ataupun dimeteraikan kepada Leander, tetapi Leander kekal sebagai pengaruh penting dalam hidupnya dan sebahagian harapan besarnya untuk masa depan.

Pada tahun 1938, Lena serahkan catatan agar tatacara bait suci boleh dilaksanakan untuk ahli keluarganya yang telah mati, antara yang terawal dihantar dari Finland. Selepas dia meninggal dunia, tatacara perwakilan bait suci dilaksanakan untuk dia, Leander, dan anak-anaknya yang sudah meninggal dunia. Melalui wakil, dia dianugerahi, Lena dan Leander dimeteraikan bersama anak-anak yang sudah meninggal dan bapa saya dimeteraikan kepada mereka. Seperti yang lain, Lena “beriman sampai mati … tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Tuhan, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya.”25

Lena hidup seolah-olah telah membuat perjanjian ini dalam hidupnya. Dia tahu bahawa perjanjian pembaptisan dan sakramen menghubungkannya dengan Juruselamat. Dia “membiarkan keinginan manis untuk tempat kudus [Penebus] membawa harapan kepada hatinya yang sedih.”26 Lena menganggapnya sebagai belas kasihan Tuhan ketika dia belajar tentang keluarga abadi sebelum mengalami tragedi dalam hidupnya. Melalui perjanjian dia menerima kuasa Tuhan untuk bertahan dan bangkit melebihi cabaran dan kesusahannya.

Semasa anda berjalan di jalan perjanjian, dari pembaptisan ke bait suci dan sepanjang hidup, saya janjikan anda kuasa untuk melawan aliran duniawi—kuasa untuk belajar dan dikudus, dan kuasa untuk cari harapan, hiburan dan sukacita semasa menghadapi cabaran. Saya janjikan anda dan keluarga anda perlindungan daripada pengaruh musuh, terutamanya menjadikan bait suci sebagai fokus utama hidup anda.

Apabila anda datang kepada Kristus dan berhubung dengan-Nya dan Bapa Syurgawi kita melalui perjanjian, sesuatu yang luar biasa berlaku. Anda diubah dan disempurnakan dalam Yesus Kristus.27 Anda menjadi anak perjanjian Tuhan dan waris dalam kerajaan-Nya.28 Saya boleh bayangkan Dia berkata kepada anda, “Engkaulah anak-Ku yang Aku kasihi. Selamat pulang.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Kira-kira 20 kaki.

  2. Kira-kira 30 batu.

  3. Kita ada pilihan kerana Tuhan berikan kita hak untuk memilih dan bertindak sendiri. Lihat Panduan Tulisan Suci, “Hak Pilihan,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org; 2 Nefi 2:27; Musa 7:32.

  4. Lihat Mosia 3:19.

  5. Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” Liahona, Nov. 2022, 96, 97.

  6. Lihat Panduan Tulisan Suci, “Kesatuan,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org.

  7. Setiap orang tersandung sekali-sekala, tetapi Tuhan bersabar dengan kelemahan kita dan telah memberi kita kurnia pertaubatan bahkan setelah melanggar perjanjian. Seperti yang Elder Richard G. Scott ajarkan, “Tuhan melihat kelemahan berbeza daripada dia [melihat] pemberontakan … [kerana] apabila Tuhan berbicara tentang kelemahan, ia sentiasa dengan belas kasihan” (“Personal Strength through the Atonement of Jesus Christ,” Liahona, Nov. 2013, 83). Oleh itu, kita tidak harus meragui kemampuan Juruselamat untuk membantu kita dengan kelemahan kita. Bagaimanapun, sengaja melanggar perjanjian dan merancang untuk bertaubat selepas itu—dalam kata lain, dosa dan pertaubatan yang dirancang—adalah menjijikkan kepada Tuhan (lihat Ibrani 6:4–6).

  8. Lihat Robert Bolt, A Man for All Seasons: A Play in Two Acts (1990), xiii-xiv, 140.

  9. Lihat 2 Nefi 31:17–18.

  10. Lihat 2 Nefi 31:4–15.

  11. Lukas mencatatkan, “Dan Roh Tuhan berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku”(Lukas 3:22). Markus mencatatkan, “Lalu terdengarlah suara Tuhan, Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku”(Markus 1:11). Terjemahan William Tyndale lebih nyata dan intim daripada Versi Raja James. Dalam terjemahannya, suara Bapa Syurgawi berkata, “Engkau adalah Putera-Ku yang Aku kasihi” (Brian Moynahan, God’s Bestseller: William Tyndale, Thomas More, and the Writing of the English Bible—A Story of Martyrdom and Betrayal [2002], 58). Hanya Matius melaporkan bahawa suara itu berfirman secara umum, mengatakan, “Kemudian terdengar suara Tuhan berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku” (Matius 3:17). Injil Yohanes hanya melaporkan tentang pembaptisan oleh Yohanes Pembaptis: “Aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Tuhan” (Yohanes1:34).

  12. Lihat 2 Nefi 31:13; Ajaran dan Perjanjian 20:77.

  13. Presiden Dallin H. Oaks menjelaskan kepentingan istilah “sedia” apabila kita memperbaharui perjanjian pembaptisan dengan sakramen: “Adalah penting apabila kita mengambil sakramen kita tidak bersaksi bahawa kita mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus. Kita bersaksi bahawa kita sanggup melakukan demikian. [Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:77.] Fakta bahawa kita hanya bersaksi kepada kesediaan kita menunjukkan bahawa sesuatu yang lain mesti berlaku sebelum kita benar-benar mengambil ke atas diri kita nama kudus itu dalam makna yang paling penting” (“Taking upon Us the Name of Jesus Christ,” Ensign, Mei 1985, 81). “Sesuatu yang lain” merujuk kepada berkat bait suci dan permuliaan di masa depan.

  14. Keluaran 20:7.

  15. Lihat James Strong, The New Strong’s Expanded Exhaustive Concordance of the Bible (2010), Seksyen kamus Ibrani, halaman 192, nombor 5375.

  16. Lihat Strong, The New Strong’s Expanded Exhaustive Concordance of the Bible, Seksyen kamus Ibrani, halaman 273, nombor 7723.

  17. Elder David A. Bednar mengajar: “Perjanjian pembaptisan dengan jelas merenungkan peristiwa masa depan dan menantikan bait suci. … Proses mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus yang dimulai dalam air pembaptisan diteruskan dan diperbesarkan di dalam rumah Tuhan. Semasa kita berdiri di dalam air pembaptisan, kita memandang ke bait suci. Semasa kita mengambil sakramen, kita memandang ke bait suci. Kita berjanji untuk selalu mengingati Juruselamat dan mematuhi perintah-perintah-Nya sebagai persediaan untuk terlibat dalam tatacara kudus bait suci dan menerima berkat-berkat tertinggi yang tersedia melalui nama dan wewenang Tuhan Yesus Kristus. Jadi, dalam tatacara bait suci kita dengan lebih lengkap dan sepenuhnya mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus” (“Honorably Hold a Name and Standing,” Liahona, Mei 2009, 98). Proses itu mungkin tidak lengkap sehingga “kita akan kelihatan seperti Dia” (Moroni 7:48), apabila kita telah diubah sepenuhnya.

  18. Seperti Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir jelaskan, 27.2 perjanjian-perjanjian harus mematuhi hukum kepatuhan, mematuhi hukum pengorbanan, mematuhi hukum Injil Yesus Kristus, mentaati hukum kemurnian akhlak, dan mentaati hukum pembaktian; lihat juga David A. Bednar, “Biarlah Rumah Ini Dibina Demi Nama-Ku,” Liahona, Mei 2020, 84–87.

  19. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:14–15. Elder D. Todd Christofferson mengajar, “Kegenapan Roh Kudus termasuk apa yang Yesus gambarkan sebagai ‘janji yang Aku berikan kepadamu tentang kehidupan abadi, bahkan kemuliaan kerajaan selestial; yang mana kemuliaan itu adalah gereja Putera Sulung, bahkan dari Tuhan, yang paling kudus dari semuanya, melalui Yesus Kristus Putera-Nya’ (A&P 88:4–5)” (“The Power of Covenants,” Liahona, Mei 2009, 23, nota 5).

  20. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:15.

  21. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:22, 25–26.

  22. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:21.

  23. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:15, 22; Russell M. Nelson, “Kuasa Momentum Rohani,” Liahona, Mei 2022, 98.

  24. Lihat Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” 96; Ajaran dan Perjanjian 84:20. Presiden Nelson berkata, “Setiap kali anda cari dan ikuti dorongan Roh, setiap kali anda lakukan apa-apa yang baik—hal-hal yang ‘manusia alamiah’ tidak akan lakukan—anda sedang mengatasi dunia.” (“Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” 97).

  25. Ibrani 11:13.

  26. Penebus Israel,” Nyanyian Rohani, no. 6, ayat 5. Inilah lagu rohani kegemaran Lena Sofia Renlund.

  27. Lihat Moroni 10:30–33.

  28. Lihat Ajaran dan Perjanjian 132:19–20.