Persidangan Umum
Penuaian Tidak Sempurna
Persidangan Umum April 2023


Penuaian Tidak Sempurna

Juruselamat bersedia untuk menerima persembahan kita dan menyempurnakannya melalui rahmat-Nya. Dengan Kristus, tiada tuaian yang tidak sempurna.

Ketika kecil, saya belajar untuk sukai perubahan musim dramatik di Montana barat selatan, tempat saya membesar. Musim luruh—masa menuai ialah kegemaran saya. Keluarga kami berharap dan berdoa agar kerja keras berbulan kami akan hasilkan tuaian yang berlimpah-limpah. Ibu bapa saya risau tentang cuaca, kesihatan haiwan dan tanaman, serta hal lain yang di luar kawalan mereka.

Semakin membesar, saya menjadi lebih peka tentang keperluan itu. Hidup kami bergantung pada penuaian. Bapa saya mengajar tentang peralatan yang kami guna untuk menuai biji-bijian. Saya memerhati semasa dia gerakkan jentera ke padang, memotong sebaris pokok gandum dan kemudian memeriksa di belakangnya untuk memastikan seberapa banyak bijirin masuki tangki pegangan dan tidak dibuang bersama sekam. Dia mengulangi ini beberapa kali, dan melaraskan mesin setiap kali. Saya pergi dan periksa sekam itu dengan dia dan berpura-pura saya tahu.

Selepas dia berpuas hati dengan pelarasan mesin itu, saya jumpa beberapa biji bijirin dalam sekam di atas tanah dan dengan berwajah kritikal menunjukkan kepadanya. Saya tidak akan lupa apa yang bapa saya katakan: “Ini cukup memuaskan dan terbaik yang mesin ini boleh lakukan.” Tidak puas hati dengan penjelasannya, saya merenungkan ketidaksempurnaan penuaian ini.

Tidak lama kemudian, apabila cuaca berubah menjadi sejuk pada waktu petang, saya melihat beribu-ribu ekor burung, angsa, dan itik berhijrah berkumpul di ladang untuk makan dalam perjalanan panjang mereka ke selatan. Mereka makan sisa tuaian kami yang tidak sempurna. Tuhan telah menyempurnakannya. Tiada bijirin masih tertinggal.

Obsesi tentang kesempurnaan sering merupakan satu godaan dalam dunia kita dan juga dalam budaya Gereja. Media sosial, jangkaan palsu, dan kritikan diri menciptakan perasaan kekurangan—bahawa kita tidak cukup baik dan tidak akan pernah sempurna. Ada orang yang salah faham tentang jemputan Juruselamat untuk jadilah sempurna.1

Ingatlah bahawa kesempurnaan tidak sama seperti disempurnakan di dalam Kristus.2 Kesempurnaan terdiri oleh standard yang mustahil dan membandingkan kita dengan orang lain. Ini mewujudkan perasaan bersalah dan cemas, serta membuat kita mahu menarik diri dan mengasingkan diri.

Disempurnakan dalam Kristus adalah hal lain. Ia sebuah proses—dibimbing oleh Roh Kudus—untuk menjadi lebih seperti Juruselamat. Standard yang Bapa Syurgawi tetapkan jelas ditakrifkan dalam perjanjian yang kita dijemput untuk melakukan. Ia melegakan kita dari beban rasa bersalah dan kekurangan, selalu menegaskan identiti kita di mata Tuhan. Walaupun proses ini mengangkat kita dan mendorong kita untuk menjadi lebih baik, kita diukur oleh kesolehan peribadi kepada Tuhan yang kita buat untuk mengikuti-Nya dalam iman. Apabila kita terima jemputan Juruselamat untuk datang kepada-Nya, kita akan sedar usaha kita yang terbaik sudah cukup baik dan rahmat Juruselamat akan membuat perbezaan dengan cara yang tidak dapat dibayangkan.

Kita dapat melihat asas ini berkesan apabila Juruselamat memberi makan kepada lima ribu orang.

“Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?”

“Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.

“Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata,

“Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?”3

Pernahkah anda tertanya perasaan Juruselamat terhadap budak ini, yang dengan iman kecilnya mempersembahkan apa yang dia tahu tidak mencukupi dalam menghadapi tugas di depan mata?

“Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Tuhan. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya.

“Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.”4

Juruselamat menyempurnakan persembahan yang rendah hati.

Tidak lama selepas pengalaman ini, Yesus menghantar pengikut-Nya berlayar dengan perahu. Kemudian mereka dapat laut beribut di tengah malam. Mereka menjadi takut semasa ternampak satu makhluk yang berjalan di atas air ke arah mereka.

“Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, ‘Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!’

“Lalu Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.

“‘Marilah,’ jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus.

“Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!”

“Dan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, ‘Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?’”5

Saudara dan saudari, itu mungkin bukan akhir perbualan mereka. Saya percaya Petrus dan Juruselamat berjalan kembali ke kapal, Petrus merasa lemah dan mungkin merasa sangat malu, Juruselamat mungkin berkata sesuatu seperti ini: “Oh, Petrus, janganlah takut dan risau risau. Jika kamu dapat melihat diri seperti saya melihat kamu, keraguan kamu akan pudar dan iman bertambah. Saya sayangi kamu, Petrus; kamu keluar dari perahu. Persembahan kamu diterima, dan walaupun kamu tenggelam, Aku akan sentiasa berada di sana untuk mengangkat kamu dari air, dan persembahan kamu akan dijadikan sempurna.”

Elder Dieter F. Uchtdorf mengajar:

“Saya percaya Juruselamat Yesus Kristus mahu anda lihat, rasa, dan tahu yang Dialah kekuatan anda. Dengan bantuan-Nya, tiada batas untuk pencapaian anda. Potensi anda tidak terbatas. Dia mahu anda melihat diri sepertimana Dia melihat anda. Dan itu sangat berbeza dengan cara dunia melihat anda. …

“Dia kuatkan yang letih; dan kepada mereka yang rasa tidak berkuasa, Dia tingkatkan kekuatan.”6

Kita perlu ingat bahawa apa sahaja sumbangan terbaik kita yang tidak sempurna, Juruselamat boleh menyempurnakannya. Tidak kira betapa kecilnya usaha kita, kita tidak harus meremehkan kuasa Juruselamat. Perbualan ramah, kunjungan pelayanan yang singkat namun ikhlas atau pelajaran Sekolah Primer yang diajar dengan kasih, memberi penghiburan, melembutkan hati, dan mengubah kehidupan abadi dengan bantuan Juruselamat. Usaha yang kekok boleh membawa mukjizat, dan kita boleh terlibat dalam penuaian yang sempurna.

Sering kali kita diletakkan dalam situasi yang akan membesarkan kita. Kita mungkin rasa tidak dapat menggalas tugasan itu. Kita mungkin melihat orang yang kita layani dan rasa kita tidak akan cukup baik. Saudara dan saudari, jika anda rasa demikian, lihatlah lelaki dan wanita hebat yang saya layani sedang duduk di belakang saya.

Saya rasa kesakitan anda.

Saya tahu, kesempurnaan tidak sama dengan disempurnakan dalam Kristus, bandingan diri tidak sama dengan mengikut contoh. Apabila kita membandingkan diri dengan orang lain, hanya ada dua hasil. Sama ada kita akan melihat diri lebih baik daripada orang lain dan bersikap menghakimi dan kritikal terhadap mereka, atau kita akan melihat diri kurang daripada orang lain dan menjadi cemas, rendah diri dan kecewa. Membandingkan diri dengan orang lain jarang sekali produktif, tidak bermanfaat, dan kadangkala menyedihkan. Malah, perbandingan ini boleh menjejaskan secara rohani, menghalang kita dari menerima bantuan rohani yang diperlukan. Sebaliknya, mencontohi orang yang menunjukkan sifat-sifat seperti Kristus boleh dipelajari, bermanfaat dan membantu kita menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih baik.

Juruselamat menunjukkan kita teladan semasa Dia mencontohi Bapa. Dia mengarahkan pengikut-Nya Filipus: “Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’?”7

Dan kemudian Dia mengajar, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan juga.”8

Tidak kira betapa kecil usaha, jika kita ikhlas, Juruselamat akan menggunakan kita untuk mencapai pekerjaan-Nya. Jika kita buat yang terbaik dan mempercayai Dia akan bantu dengan baki keseluruhan, kita menjadi sebahagian mukjizat yang mengelilingi kita.

Elder Dale G. Renlund berkata, “Anda tidak perlu menjadi sempurna, tetapi kami perlukan anda, kerana semua orang yang sudi boleh melakukan sesuatu.”9

Dan Presiden Russell M. Nelson ajarkan kita, “Tuhan sukakan usaha.”10

Juruselamat bersedia untuk menerima persembahan kita dan menyempurnakannya melalui rahmat-Nya. Dengan Kristus, tiada tuaian yang tidak sempurna. Kita mesti ada keberanian untuk percaya bahawa rahmat-Nya adalah untuk kita—bahawa Dia akan membantu kita, menyelamatkan kita pada saat gelap, dan menyempurnakan usaha kita.

Dalam perumpamaan tentang seorang penabur, Juruselamat menggambarkan benih yang ditempatkan di tanah yang baik. Ada yang menghasilkan seratus kali ganda, enam puluh kali ganda dan tiga puluh kali ganda. Semuanya sebahagian dari tuaian-Nya yang sempurna.11

Nabi Moroni menjemput semua, “Ya, datanglah kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia, dan jauhilah dirimu daripada segala kejahatan; dan jika kamu akan menjauhi dirimu daripada segala kejahatan, dan mengasihi Tuhan dengan segala daya, fikiran dan kekuatanmu, maka rahmat-Nya adalah mencukupi bagimu, agar dengan rahmat-Nya kamu boleh menjadi sempurna di dalam Kristus.”12

Saudara dan saudari, saya bersaksi tentang Kristus, yang berkuasa untuk menyempurnakan persembahan kita yang paling rendah hati. Marilah kita lakukan yang terbaik, bawalah apa yang kita boleh, dan, dengan iman, meletakkan persembahan tidak sempurna di kaki-Nya. Dalam nama-Nya, Tuan tuaian yang sempurna, bahkan Yesus Kristus, amin.