Persidangan Umum
“Tinggallah Di Dalam Aku, dan Aku Di Dalam Kamu; Oleh Kerana Itu Berjalanlah Bersama-Ku”
Persidangan Umum April 2023


“Tinggallah Di Dalam Aku, dan Aku Di Dalam Kamu; Oleh Kerana Itu Berjalanlah Bersama-Ku”

Juruselamat berjanji untuk tinggal di dalam kita adalah benar dan tersedia bagi setiap ahli Gereja-Nya yang mentaati perjanjian.

Nabi purba Henokh, disebut dalam Perjanjian Lama, Ajaran dan Perjanjian, dan Mutiara yang Sangat Berharga,1 memainkan peranan penting dalam penubuhan kota Sion.

Laporan tulisan suci tentang panggilan pelayanan Henokh menyatakan “dia mendengar suatu suara dari syurga, memfirmankan: Henokh, anakku, bernubuat kepada orang-orang ini, dan katakanlah kepada mereka—Bertaubatlah, … kerana hati mereka telah menjadi keras, dan telinga mereka lambat mendengar, dan mata mereka tidak dapat melihat jauh.”2

“Dan apabila Henokh mendengar firman-firman ini, dia menundukkan dirinya ke tanah … dan berbicara di hadapan Tuhan, mengatakan: Mengapakah aku diperkenankan dalam pandangan-Mu, dan aku hanyalah seorang lelaki, dan semua orang membenciku; kerana aku lembab berkata-kata; kerana itu aku ialah hamba-Mu?”3

Lihatlah pada masa Henokh dipanggil untuk melayan, dia sedar akan kekurangan dan batasan peribadinya. Saya percaya kita semua ada masanya merasa seperti Henokh dalam pelayanan Gereja kita. Tetapi saya juga percaya jawapan Tuhan terhadap rayuan Henokh mengajar dan berguna bagi kita hari ini.

“Dan Tuhan berfirman kepada Henokh: Pergilah dan lakukanlah sebagaimana yang telah Aku perintahkan engkau, dan tiada seorang pun akan menusuk engkau. Bukalah mulutmu, dan ia akan dipenuhi, dan Aku akan memberi engkau suara. …

“Lihatlah Roh-Ku berada padamu, kerana itu semua perkataanmu akan Aku persolehkan; dan gunung-ganang akan lenyap dari hadapanmu, dan sungai akan beralih dari alirannya; dan engkau akan tinggal di dalam Aku, dan Aku di dalam kamu; oleh kerana itu berjalanlah bersama-Ku.4

Henokh akhirnya menjadi seorang nabi hebat dan alat dalam tangan Tuhan untuk mencapai pekerjaan yang hebat, tetapi dia tidak memulakan pelayanannya seperti itu! Sebaliknya, keupayaan dia diperbesarkan sedikit demi sedikit semasa dia belajar untuk tinggal dan berjalan bersama Putera Tuhan.

Saya tulus berdoa untuk bantuan Roh Kudus semasa kita mempertimbangkan nasihat Tuhan kepada Henokh dan maksudnya untuk kita hari ini.

Engkau Akan Tinggal di dalam Aku

Tuhan Yesus Kristus menjemput kita untuk tinggal di dalam Dia.5 Tetapi bagaimanakah kita belajar dan tinggal di dalam Dia?

Perkataan tinggal bermakna tetap atau kukuh dan bertahan tanpa menyerah. Elder Jeffrey R. Holland menjelaskan bahawa “tinggal” sebagai satu tindakan yang bermaksud “‘[untuk] kekal— tetapi [untuk] kekal selamanya.’ Itulah panggilan pesanan injil untuk … semua … di dunia. Datanglah, dan kekal. Datang dengan keyakinan dan ketahanan. Datanglah secara kekal, demi kepentinganmu dan demi semua generasi yang mesti mengikutmu.”6 Oleh itu, kita tinggal di dalam Kristus semasa kita teguh dan tabah setia kepada Penebus dan tujuan kudus-Nya, ketika senang mahupun susah.7

Kita mula tinggal di dalam Tuhan dengan menjalankan hak pilihan untuk mengambil kuk-Nya ke atas diri kita8 melalui perjanjian dan tatacara injil yang dipulihkan. Hubungan perjanjian kita dengan Bapa Syurgawi dan Putera hidup dan bangkit adalah sumber perspektif, harapan, kuasa, kedamaian, dan kebahagiaan yang berkekalan; ia juga landasan yang kukuh9 bagi membina kehidupan kita.

Kita tinggal di dalam Dia dengan sentiasa berusaha menguatkan ikatan perjanjian individu dengan Bapa dan Putera. Contohnya, ikhlas berdoa kepada Bapa Yang Abadi dalam nama Putera Terkasih-Nya mendalamkan dan mengukuhkan hubungan perjanjian kita dengan Mereka.

Kita tinggal di dalam Dia dengan benar-benar berjamu atas firman Kristus. Ajaran Juruselamat membawa kita, sebagai anak-anak perjanjian, lebih dekat kepada-Nya10 dan akan memberitahu kita segala hal yang harus dilakukan.11

Kita tinggal di dalam Dia dengan sungguh-sungguh bersedia untuk terlibat dalam tatacara sakramen, mengkaji dan merenungkan perjanjian kita dan ikhlas bertaubat. Mengambil sakramen dengan layak adalah saksi kepada Tuhan bahawa kita bersedia mengambil nama Yesus Kristus ke atas diri kita dan berusaha untuk “selalu mengingati-Nya”12 selepas tempoh singkat terlibat dalam tatacara kudus itu.

Dan kita tinggal di dalam Dia dengan melayani Tuhan semasa kita melayani anak-anak-Nya dan saudara saudari kita.13

Juruselamat berfirman, “Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.”14

Saya telah ringkas terangkan beberapa cara kita boleh tinggal di dalam Juruselamat. Sekarang saya menjemput kita sebagai pengikut-Nya untuk meminta, mencari, mengetuk, dan belajar sendiri melalui kuasa Roh Kudus cara lain untuk menjadikan Kristus pusat kehidupan dalam segala yang kita lakukan.

Dan Aku di dalam Kamu

Janji Juruselamat kepada para pengikut-Nya digandakan: jika kita tinggal di dalam Dia, Dia akan tinggal di dalam kita. Tetapi adakah Kristus boleh tinggal di dalam anda dan saya—secara individu dan peribadi? Jawapan untuk soalan ini adalah ya!

Dalam Kitab Mormon, kita belajar tentang ajaran dan kesaksian Alma kepada orang miskin yang terpaksa merendahkan hati kerana kesengsaraan. Dalam arahannya, dia membandingkan firman kepada benih yang mesti ditanam dan dipelihara, dan dia menggambarkan “firman” sebagai kehidupan, misi, dan korban tebusan Yesus Kristus.

Alma berkata, “Mulalah percaya kepada Putera Tuhan, bahawa Dia akan datang untuk menebus umat-Nya, dan bahawa Dia akan menderita dan mati untuk menebuskan dosa-dosa mereka; dan bahawa Dia akan bangkit lagi dari yang mati, yang akan mendatangkan kebangkitan agar orang akan berdiri di hadapan-Nya, untuk dihakimi pada hari terakhir dan hari penghakiman menurut perbuatan mereka.”15

Menurut huraian “iman” Alma, pertimbangkan kaitan yang dia kenal pasti.

“Dan sekarang … aku berhasrat agar kamu akan menanamkan firman ini dalam hatimu, dan sewaktu itu mula menggembung demikian pula peliharalahnya dengan imanmu. Dan lihatlah, firman itu akan menjadi pokok, tumbuh dalam dirimu menuju kehidupan kekal. Dan pada waktu itu semoga Tuhan mengabulkan bagimu agar bebanmu boleh menjadi ringan, melalui kebahagiaan Putera-Nya. Dan bahkan semuanya ini dapat kamu lakukan jika kamu mahu.”16

Benih yang kita harus berusaha untuk tanamkan dalam hati adalah firman—bahkan kehidupan, misi dan ajaran Yesus Kristus. Apabila firman dipelihara oleh iman, ia dapat menjadi pokok yang tumbuh dalam diri kita menuju kehidupan abadi.17

Apakah pokok lambangkan dalam penglihatan Lehi? Pokok itu boleh melambangkan Yesus Kristus.18

Saudara dan saudari yang dikasihi, adakah Firman berada dalam diri kita? Adakah kebenaran Injil Juruselamat ditulis dalam hati kita?19 Adakah kita datang dan menjadi lebih seperti Dia? Adakah pokok Kristus tumbuh dalam diri kita? Adakah kita berusaha untuk menjadi “makhluk baru”20 dalam Dia?21

Mungkin potensi ini mengilhami Alma untuk bertanya: “Adakah kamu secara rohani telah dilahirkan dari Tuhan? Adakah kamu telah menerima rupa-Nya pada air mukamu? Adakah kamu telah mengalami perubahan yang hebat ini dalam hatimu?”22

Kita harus sentiasa ingat arahan Tuhan kepada Henokh, “Engkau akan tinggal di dalam Aku, dan Aku dalam dirimu.”23 Saya bersaksi bahawa janji Juruselamat untuk tinggal di dalam kita adalah benar dan tersedia bagi setiap ahli Gereja-Nya yang mentaati perjanjian.

Oleh Kerana Itu Berjalanlah Bersama-Ku

Rasul Paulus memperingatkan para pengikut yang telah menerima Tuhan: “Hidup bersatu dengan Dia.”24

Bersatu dengan Juruselamat menekankan dua aspek penganutan yang penting: (1) mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan (2) mengingat dan menghormati perjanjian kudus yang menghubungkan kita kepada Bapa dan Putera.

Yohanes menyatakan:

“Jika kita taat kepada perintah Tuhan, itulah tandanya kita mengenal Dia.

“Jika seseorang berkata, Aku mengenal Tuhan, tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang itu pendusta, Tuhan tidak ada di dalam hatinya.

“Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Tuhan dengan sempurna: Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Tuhan.

“Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Tuhan, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus.”25

Yesus perintah setiap orang, “Ikutlah Aku”26 dan “berjalanlah bersama-Ku.”27

Saya bersaksi apabila kita maju terus dengan iman dan berjalan dalam kelembutan hati Roh Tuhan,28 kita diberkati dengan kuasa, bimbingan, perlindungan dan kedamaian.

Kesaksian dan Janji

Alma gambarkan rayuan kasih Tuhan kepada semua:

“Lihatlah, Dia mengirimkan ajakan kepada semua orang, kerana lengan belas kasihan dihulurkan kepada mereka, dan Dia berfirman: Bertaubatlah, dan Aku akan menerimamu.

“… Datanglah kepada-Ku dan kamu akan makan buah dari pokok kehidupan; ya, kamu akan makan dan minum roti dan air kehidupan dengan bebas.”29

Saya menekankan keseluruhan mohonan Juruselamat. Dia ingin memberkati setiap orang yang hidup sekarang, yang pernah hidup, dan yang akan hidup di atas bumi dengan rahmat dan belas kasihan-Nya.

Sesetengah ahli Gereja menerima ajaran, asas, dan kesaksian yang diisytiharkan berulang kali dari mimbar Pusat Persidangan dan dalam jemaah tempatan di seluruh dunia—namun mungkin bergelut untuk mempercayai kebenaran abadi ini digunakan khusus dalam kehidupan dan keadaan mereka. Mereka ikhlas percaya dan tabah melayani, tetapi hubungan perjanjian mereka dengan Bapa dan Putera Penebus-Nya belum menjadi realiti hidup yang mengubah kehidupan mereka.

Saya berjanji bahawa melalui kuasa Roh Kudus, anda boleh tahu dan rasa kebenaran injil yang saya cuba jelaskan adalah untuk anda—secara individu dan peribadi.

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dan Penebus kita yang pengasih dan hidup. Jika kita tinggal di dalam Dia, Dia akan tinggal di dalam kita.30 Dan apabila kita berjalan dan bersatu dengan-Nya, kita akan diberkati dengan limpahan hasil. Saya bersaksi demikian dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Kejadian 5:18–24; Ajaran dan Perjanjian 107:48–57; Musa 6–7.

  2. Musa 6:27

  3. Musa 6:31

  4. Musa 6:32, 34; penekanan ditambah.

  5. Lihat Yohanes 15:4–9.

  6. Jeffrey R. Holland, “Abide in Me,” Liahona, Mei 2004, 32.

  7. Lihat Yohanes 15:10.

  8. Lihat Matius 11:29–30.

  9. Lihat Helaman 5:12.

  10. Lihat 3 Nefi 27:14–15.

  11. Lihat 2 Nefi 32:3.

  12. Moroni 4:3; Moroni 5:2.

  13. Lihat Mosia 2:17.

  14. Yohanes 15:10.

  15. Alma 33:22.

  16. Alma 33:23; penekanan ditambah.

  17. Lihat Alma 26:13.

  18. Saya menjelaskan asas ini dalam satu pertemuan rohani pada tahun 2017:

    “Alma … ‘mula mengkhutbahkan firman Tuhan kepada bangsa itu, memasuki saumaah-saumaah mereka, dan ke dalam rumah-rumah mereka; ya, dan bahkan mereka mengkhutbahkan firman di jalan-jalan raya mereka’ [Alma 32:1; penekanan ditambah]. Dia juga membandingkan firman Tuhan dengan sebiji benih.

    “‘Sekarang, jika kamu memberi tempat, agar sebiji benih boleh ditanam dalam hatimu, lihatlah, jika ia sebiji benih yang sejati, atau benih yang baik, jika kamu tidak menyingkirkannya akibat ketidakpercayaanmu, sehingga kamu akan menentang Roh Tuhan, lihatlah, ia akan mula mengembung di dalam dadamu; dan ketika kamu merasakan gerakan penggembungan ini, kamu akan mula berkata dalam dirimu—Semestinya ini benih yang baik, atau bahawa firman itu baik, kerana ia mula memperbesar jiwaku; ya, ia mula menerangi pengertianku, ya, ia mula menjadi lazat bagiku’ [Alma 32:28; penekanan ditambah].

    “Menariknya, sebiji benih yang baik menjadi pokok seperti pokok yang di tanam di dalam hati dan mula menggembung, bertunas, dan tumbuh.

    “‘Dan lihatlah, sewaktu pokok itu mula tumbuh, kamu akan berkata: Marilah kita memeliharanya dengan penjagaan yang rapi, agar pokok itu boleh berakar, agar ia boleh tumbuh, dan menghasilkan buah bagi kita. Dan sekarang, lihatlah, jika kamu memeliharanya dengan rapi, pokok itu akan berakar, dan tumbuh, dan menghasilkan buah.

    “Tetapi jika kamu mengabaikan pokok itu, dan tidak mengambil berat akan pemeliharaannya, lihatlah pokok itu langsung tidak akan berakar; dan ketika panas matahari datang dan menghanguskannya, kerana pokok itu tidak memiliki akar, ia akan layu, dan kamu mencabutnya dan membuangnya.

    “Sekarang, ini bukanlah kerana benih itu tidak baik, tidak juga kerana buahnya tidak dihasrati; tetapi itu kerana negerimu gersang, dan kamu tidak mahu memelihara pokok itu, oleh itu kamu tidak dapat memiliki buahnya.

    “‘Dan demikianlah, jika kamu tidak mahu memelihara firman, menanti-nantikan dengan mata iman pada buahnya, kamu langsung tidak akan dapat memetik buah dari pokok kehidupan.

    “‘Tetapi jika kamu akan memelihara firman, ya, memelihara pokok itu sewaktu pokok itu mula tumbuh, melalui imanmu dengan ketekunan yang besar, dan dengan kesabaran, menanti-nantikan buahnya, pokok itu akan berakar; dan lihatlah ia akan menjadi pokok yang tumbuh menuju kehidupan kekal’ [Alma 32:37–41; penekanan ditambah].

    “… Ciri utama dalam mimpi Lehi adalah pokok kehidupan—yang mewakili ‘kasih Tuhan’ [1 Nefi 11:21–22].

    “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” [Yohanes 3:16].

    “Kelahiran, kehidupan, dan korban tebusan Tuhan Yesus Kristus adalah pernyataan terbesar akan kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya. Seperti Nefi bersaksi, kasih ini adalah “paling dihasratkan melebihi segala-galanya” dan “yang paling membahagiakan kepada jiwa” [1 Nefi 11:22–23; lihat juga 1 Nefi 8:12, 15]. Bab 11 dari 1 Nefi membentangkan huraian terperinci tentang pokok kehidupan sebagai lambang untuk kehidupan, pelayanan, dan pengorbanan Juruselamat—‘perendahan diri Tuhan’ [1 Nefi 11:16]. Pokok itu boleh dianggap sebagai lambang Kristus.

    “Satu cara untuk fikirkan buah pada pokok umpama satu lambang berkat-berkat Korban Tebusan Juruselamat. Buah tersebut digambarkan sebagai “dihasrati untuk menjadikan seseorang gembira” [1 Nefi 8:10] dan menghasilkan kebahagiaan besar serta hasrat untuk berkongsi kebahagiaan itu dengan orang lain.

    “Jelasnya, tema menyeluruh dari Kitab Mormon, menjemput semua untuk datang kepada Kristus [lihat Moroni 10:32] adalah yang paling penting dalam penglihatan Lehi [lihat 1 Nefi 8:19]” (“The Power of His Word Which Is in Us” [pesanan diberi di seminar untuk pemimpin misi baharu 27 Jun 2017], 4–5).

  19. Lihat 2 Korintus 3:3.

  20. 2 Korintus 5:17.

  21. Analogi Alma mengajar kita bahawa keinginan untuk percaya menanam benih di dalam hati kita, memelihara benih iman menumbuhkan pokok kehidupan, dan memelihara pokok menghasilkan buah dari pokok, yang “manis melebihi segala yang manis” (Alma 32:42) dan adalah “kurnia yang terbesar daripada Tuhan” (1 Nefi 15:36).

  22. Alma 5:14.

  23. Musa 6:34; penekanan ditambah.

  24. Kolose 2:6.

  25. 1 Yohanes 2:3–6; penekanan ditambah.

  26. Lukas 18:22.

  27. Musa 6:34.

  28. Lihat Ajaran dan Perjanjian 19:23.

  29. Alma 5:33–34; penekanan ditambah.

  30. Lihat Yohanes 15:5.